Sebelum berkahwin boleh dikatakan semuanya indah malah mungkin sesetengah sifat sebenar pasangan langsung tidak dijangkakan. Bak kata orang sudah tidur sebantal barulah sedar segala kelemahan dan kekurangan.

Dilema berkahwin dengan suami yang begitu manja dengan ibunya atau digelar ‘anak emak’ antara topik yang sering menjadi igauan ngeri buat sesetengah isteri dan ia seboleh-bolehnya mahu dielakkan.

Namun, kalau sudah jodoh, apa yang boleh dikata. Terima pasangan seadanya dan cubalah untuk mencari jalan supaya anda berdua boleh mencapai kata sepakat dalam kebanyakan perkara terutama apabila membabitkan ibu mentua.

Baik anda mahupun suami, kedua-keduanya perlulah memainkan peranan dalam memastikan rumah tangga yang harmoni, saling menghormati dan mencari jalan agar tidak melukakan hati pasangan dalam segala tindak tanduk.

Mengikut teori yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud, secara semula jadinya anak lelaki sememangnya lebih cenderung untuk rapat dengan ibu manakala anak perempuan pula lebih senang untuk bersama bapa.

Namun, yang menjadi masalah apabila ada anak lelaki terbawa-bawa sikap itu hingga dewasa dan lebih parah selepas melangsungkan perkahwinan pun segala keputusan berkaitan rumah tangganya akan dirujuk kepada ibunya terlebih dulu hingga mengetepikan perasaan isteri sendiri.

Jika keadaan ini tidak dibendung, mulalah berlaku banyak pergaduhan antara suami isteri, isteri bermasam muka dengan ibu mertua dan lebih teruk, berlaku perceraian kerana sikap suami yang melebihkan ibu sendiri dalam semua hal.

Dalam soal ini, biasanya isteri yang menjeruk perasaan, cuba menyimpamnya sedaya mungkin. Beruntunglah jika ibu mentua hanya memberi panduan, tetapi bagaimana jika si ibu menggunakan kuasanya menetapkan segala keputusan?

Kaunselor keluarga, Normaliza Mahadi berkata, selepas berkahwin, suami perlu tahu cara berfungsi secara maksimum dalam rumah tangga sebagai suami dan anak.

Sebagai lelaki yang rapat dengan ibu katanya, berkemungkinan akan mempunyai isu selepas berkahwin, maka lelaki ini perlu menyesuaikan diri selepas menjadi suami untuk keseimbangan hubungan dengan ibu dan isteri.

IKLAN

“Apa penyesuaian yang perlu dilakukan? Pertama, suami itu perlulah tahu had tanggungjawab terhadap ibu dan isteri. Di dalam membuat pemilihan, suami perlu tahu yang mana perlu didahulukan isteri dan bagaimana keadaan yang ibunya perlu diberi keutamaan.

Tiada istilah tersepit dalam memilih, yang ada hanyalah pilihan yang bersesuaian mengikut keadaan.

“Jika ibu menghimpit, suami perlu dengan jelas menegaskan beliau ada tanggungjawab yang perlu diselesaikan bersama isteri. Suami ini perlu meyakinkan ibunya bahawa menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri adalah suruhan Allah, tanpa mengabaikan atau mengetepikan si ibu.

“Jika isterinya pula menghimpit keadaan, suami juga perlu mendidik isteri tentang tanggungjawab terhadap ibunya. Ini kerana masih ada isteri yang tidak jelas bahawa status ibu mentua sebenarnya sama dengan ibu sendiri, yang perlu dihormati dan dijaga perasaannya.

Bila Kahwin Dengan Lelaki ‘Anak Mak’ Isteri Kena Pandai Main Psikologi

Normaliza yang juga Pengarah Perkhidmatan Kaunseling HR Capital Sdn Bhd berkata, sebagai ‘anak emak’, lelaki perlu tahu bagaimana mahu menangani perasaan sendiri apabila ibu sentiasa masuk campur urusan diri termasuk hal rumah tangga.

Katanya, suami perlu meyakinkan ibunya secara berhemah untuk menyedarkannya yang urusan rumah tangganya akan diselesaikan sendiri. Suami juga tidak perlu berkongsi dengan ibu setiap perjalanan dan krisis rumah tangga.

IKLAN

Malah, suami juga perlu ingat bahawa dia kini adalah suami dan sudah dewasa maka, rumah tangganya adalah tanggungjawab diri sendiri. Ibunya boleh menasihati tetapi bukan mencampuri.

“Suami tidak boleh membuka jalan kepada ibunya untuk membolehkannya mencampuri setiap urusan rumah tangga. Jika suami membuka jalan ini, agak susah untuk menutupnya nanti kerana ibu akan sentiasa mencampuri urusan dan menyebabkan pergolakan dalam rumah tangga dengan isteri.

“Untuk mengelakkan pergaduhan jika ibu dan isteri berkrisis, suami perlulah mendahulukan apa yang perlu didahulukan. Kedua-dua pihak perlu diberi keutamaan dengan cara berbeza. Di depan isteri suami perlu kelihatan sebagai orang yang matang dan boleh membuat keputusan.

“Suami juga perlu dilihat oleh ibunya sebagai seorang anak yang sentiasa mendahulukannya dalam keadaan yang perlu. Jika kedua-dua pihak melihat peranan lelaki ini sebagai anak dan suami yang ada pendirian, kemungkinan krisis berlaku adalah pada kadar minimum,” katanya.

Bila Kahwin Dengan Lelaki ‘Anak Mak’ Isteri Kena Pandai Main Psikologi

 Tip buat buat suami yang rapat dengan ibunya atau ‘anak emak’

IKLAN

• Tinggal di rumah sendiri dengan isteri. Tinggal di rumah ibu tidak membantu perhubungan. Biasanya apabila tinggal berasingan, hubungan akan lebih baik.

• Balik ke rumah ibu dalam kadar yang bersesuaian. Jika ibu dan isteri tidak boleh menjalinkan hubungan, singkatkan kunjungan.

• Baliklah ke rumah ibu bersendirian pada waktu tertentu untuk menumpukan perbualan dengan ibu sahaja. Isteri perlu memberi galakan untuk keselesaan suami tanpa ada prasangka. Bagaimanapun, janganlah suami ambil kesempatan atas kepercayaan isteri.

• Suami perlu kuat dalam menangani emosi diri sendiri.

• Pastikan kedua pihak rasa penting dalam kehidupan. Beri mereka peluang meluahkan pendapat.

• Perbualan dengan ibu bolehlah dibuat secara persendirian supaya isteri tidak mendengar butir perbualan yang mungkin mengecilkan hati. Begitu juga sebaliknya.

• Jika ibu memberitahu sesuatu yang tidak disukai tentang isteri, beritahulah ibu dengan baik apa yang diperkatakannya itu kurang tepat. Beritahu juga anda terasa hati dengan komen yang kurang enak mengenai isteri. Begitu juga jika isteri berpendapat yang tidak baik tentang ibunya.

• Didiklah kedua wanita yang penting ini untuk menerima antara satu sama lain tanpa perlu memilih.

Sumber : Metro

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI