
Saya ingin bertanya jika pasangan kita telah disahkan mengidap HIV positif, adakah Islam membenarkan perkahwinan ini jika kedua-duanya bersetuju?
Islam memuji umatnya yang memilih jalan kebaikan dengan mendirikan rumah tangga. Apatah lagi pernikahan itu akan menghalalkan sesuatu hubungan lelaki dan wanita yang pada asalnya tidak dibolehkan.
Islam juga menganjurkan kepada kita, sekiranya ingin memilih pasangan hidup, maka pilihlah dalam kalangan orang yang baik-baik. Keutamaan pula dalam sudut agama yang ada pada diri seseorang.
Adapun sekiranya pasangan kita mengidap HIV positif, maka hal ini tidak digalakkan walaupun kedua-dua pasangan bersetuju. Ini kerana dikhuatiri akan memberi kesan buruk pula kepada anak yang bakal lahir dalam keluarga.
Firman Allah SWT yang bermaksud:“…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam lembah bahaya kebinasaan, dan baikilah perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Al-Baqarah: 195.
Tetapi sekiranya ingin juga berkahwin maka perkahwinan itu tetap sah selagi mana memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam.
Oleh: Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari.
Apakah Hak Anak Perempuan Pada Kedua Ibu Bapanya Selepas Berkahwin?

Hidup berpasangan adalah fitrah semula jadi dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang dengan malam, pasang dan surut. Begitu juga dengan manusia, melalui perkahwinan menemukan pasangan untuk mengharungi segala suka duka kehidupan. Perkahwinan dapat merubah hidup seseorang yang dahulunya terumbang-ambing kepada lebih berwawasan. Ada banyak ayat al-Quran mengenai pensyariatan perkahwinan memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia.
Namun begitu, sering kali timbul persoalan mengenai tanggungjawab anak perempuan terhadap kedua ibu bapanya selepas berkahwin. Adakah dikira derhaka kepada ibu bapa sendiri sekiranya ingkar dengan permintaan atau kemahuan mereka sekiranya tidak mendapat keizinan dari suami? Perkongsian ini diharap dapat merungkai persoalan di atas.
Seorang wanita apabila telah berkahwin, segala tanggungan dirinya adalah adalah dibawah tanggungan suaminya. Amanah ini telah diserahkan oleh bapa wanita tadi kepada suaminya. Islam amat menitik beratkan soal silaturahim, perhubungan sebagai anak dan ibu bapa perlu diteruskan seperti biasa. Wanita perlu mentaati suaminya dan diberi keutamaan daripada arahan ibu bapanya kerana tanggungjawab dan ketaatan isteri perlu diberikan kepada suaminya. Walaubagaimana pun Islam melarang suami berlaku tidak adil kepada isterinya jika ada sesuatu keperluan si isteri ingin membantu ibu bapanya yang susah dan memerlukan bantuan.
Gambar Hiasan.
Pihak suami perlu ingat bahawa setelah dia mengawini wanita tersebut, ibu bapa mertuanya telah menjadi mahramnya yang sama taraf dengan ibu bapanya sendiri. Si suami bukan hanya mengahwini isterinya sahaja tetapi dia perlu membina hubungan silaturrahim yang erat antaranya dengan keluarga si isteri. Perlulah diberi kasih sayang dan dipenuhi segala keperluan dan hajat mereka berdua jika mereka terdiri daripada orang miskin perlulah diberi bantuan. Malah si suami dianggap derhaka sekiranya menimbulkan perasaan benci atau tidak suka di hati ibubapa mertua.
Gambar Sekadar Hiasan.
Kedua-duanya (suami dan isteri) wajib berbuat baik kepada kedua orang tua (kedua-dua belah pihak) selagi ada hayatnya di dunia ini. Berbuat baik dalam erti kata menyenangkan hati kedua-duanya dan menjaga serta memberikan apa-apa keperluan mereka. Anak perempuan tidak terlepas dari segi tanggungjawab untuk berbakti kepada orang tuanya. Si suami hendaklah memahami situasi ini dan dia tidak boleh hanya mementingkan dirinya dan keluarganya sahaja.
Dalam Islam, lelaki adalah ketua keluarga, sebab itulah anak lelaki diberikan lebih tanggungjawab untuk menyara orang tuanya walaupun selepas berkahwin jika dibandingkan dengan perempuan yang kurang tanggungjawabnya untuk berbuat demikian selepas berumah tangga. Sebab itulah dalam Islam anak lelaki beroleh 1/2 nisbah faraid berbanding dengan anak perempuan, ini menunjukkan betapa Islam menghargai tanggungjawab yang dipikul oleh anak lelaki sebagai ketua keluarga.
Gambar Hiasan
Namun pendapat yang mengatakan anak perempuan langsung tidak mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa selepas berkahwin adalah salah sama sekali. Cuba bayangkan jika ibu bapa itu mempunyai 6 orang anak dan kesemuanya adalah perempuan adakah penat lelah selama mereka membesarkan anak-anaknya langsung tidak akan dihargai anak-anaknya selepas anak-anak tersebut berumah tangga? Ini adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan mereka tidak merancang untuk mempunyai anak perempuan semuanya.
Di zaman sekarang telah berubah, semua perempuan telah berkerjaya, seharusnya kedua-duanya anak lelaki dan perempuan sama-sama membantu untuk menyara kedua ibu bapa mereka yang telah tua sebagaimana kedua ibu dan bapa telah menyara mereka semuanya.
Walaubagaimana pun sebelum apa-apa bantuan yang ingin diberikan, isteri perlulah meminta keizinan dan redha daripada suami. Sesungguhnya seorang suami yang Mukmin tidak akan menghalang sekiranya isterinya ingin membantu dan memberi khidmat kepada kedua ibu bapanya yang memerlukannya. Isteri perlu faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami tetapi bagi anak lelaki redha Allah bergantung pada redha ibu bapa.
Harungilah Dugaan Rumah Tangga Bersama, Ini Nasihat ‘Padu’ Untuk Bakal Pengantin

Setiap individu pastinya punya keinginan untuk berkahwin dan mengimpikan perkahwinan yang indah dan bahagia hingga ke akhir hayat. Malah, dalam Islam sendiri sangat menggalakkan umatnya untuk berkahwin.
Ramai menganggap perkahwinan itu adalah sesuatu yang indah. Ya, memang tidak dapat dinafikan yang perkahwinan itu memang indah. Tetapi, pasti ada dugaan yang dihadapi oleh pasangan yang sudah berkahwin.
Sebagai seorang yang bakal berkahwin, anda pasti akan mengalami perubahan dalam hidup. Maklumlah, baru nak hidup dengan ‘orang baru’. Pastinya anda mengambil masa untuk menyesuaikan diri.
Di sini, kami akan kongsikan beberapa nasihat untuk anda yang bakal berkahwin tidak lama lagi. Semoga segala urusan anda dipermudahkan.
1. Ketika Akan Menikah
Janganlah sekadar mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita. Janganlah sekadar mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.
2. Ketika Melamar
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis, tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.
3. Ketika Akad Nikah
Anda berdua bukan menikah di hadapan tok kadi semata-mata, tetapi menikah di hadapan Allah SWT.
4. Ketika Resepsi Pernikahan
Catat dan hitung semua tetamu yang datang untuk mendoakan anda, kerana anda harus berfikir untuk membalas pula kebaikan dan setiap doa mereka.
5. Sejak Malam Pertama
Bersyukur dan bersabarlah. Anda adalah sepasang manusia dan bukan sepasang malaikat.
6. Selama Menempuh Hidup Berkeluarga
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga, tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.
7. Ketika Rumah Tangga Bermasalah
Jangan saling berlepasa tangan, tapi tetap terus teguh mengharunginya.
8. Ketika Belum Memiliki Anak
Cintailah isteri atau suami anda 100%.
9. Ketika Telah Memiliki Anak
Jangan bagi cinta anda kepada suami/isteri dan anak anda, tetapi cintailah isteri atau suami anda 100% dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.
10. Ketika Ekonomi Keluarga Belum Membaik
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.
11. Ketika Ekonomi Membaik
Jangan lupa jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita.
12. Ketika Anda Adalah Suami
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit segera secara bertanggungjawab apabila isteri memerlukan pertolongan anda.
13. Ketika Anda Adalah Isteri
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah-lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan semua pekerjaan.
14. Ketika Mendidik Anak
Jangan pernah berfikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak, kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak.
15. Ketika Anak Bermasalah
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anak pun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.
16. Ketika Ada Lelaki Idaman Lain
Jangan diminum, cukuplah suami sebagai ubat.
17. Ketika Ada Wanita Idaman Lain
Jangan dituruti, cukuplah isteri sebagai pelabuhan hati.
18. Ketika Ada Memilih Potret Keluarga
Pilihlah potret keluarga sekolah yang berada dalam proses pertumbuhan menuju potret keluarga bahagia.
19. Ketika Ingin Harmoni
Gunakanlah formula 7K:
- Ketakwaan
- Kasih sayang
- Kesetiaan
- Komunikasi dialog
- Keterbukaan
- Kejujuran
- Kesabaran
Sumber: Wedpedia
Perlu Ke Beritahu Orang Anda Sudah Bertunang?

Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan.
Darah manis! Itu metaforanya bagi menggambarkan fasa pertunangan walaupun sebenarnya tidak ada penjelasan jelas dari sudut hukum-hakam tentang istilah ‘darah manis’. Apabila seseorang individu atau pasangan berada dalam fasa ‘darah manis’ maka mereka selalu diberi pelbagai pesanan daripada orang terdekat demi menjaga perhubungan berkenaan supaya akhirnya pasangan itu berjaya diijabkabulkan, dan menjadi suami isteri yang sah.
Majoriti ulama berpandangan bahawa mengadakan pertunangan itu sekadar harus hukumnya. Walau bagaimanapun, Mazhab Shafie mempunyai pandangan bahawa bertunang itu hukumnya sunat.
Antara rasionalnya adalah, membina hubungan pertunangan bererti membina fasa eksklusif antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang mempunyai perancangan untuk hidup bersama sehingga akhir hayat. Suasana eksklusif perlu dibina supaya bakal pengantin dapat memberi tumpuan kepada perhubungan mereka tanpa ada sebarang gangguan daripada pihak-pihak yang tidak berkaitan.
Sehubungan itu, syariah menghukumkan haram untuk mana-mana lelaki melamar seorang perempuan yang sudah pun dilamar oleh seorang lelaki tertentu, atau secara ringkasnya seorang perempuan yang sudah menjadi tunangan orang. Kecuali lelaki berkenaan yang mahu melamar perempuan terbabit mendapat izin daripada tunangannya, ataupun pertunangan tersebut diputuskan.
Serentak dengan perkara ini juga, disunatkan pula untuk merahsiakan hubungan pertunangan daripada orang lain atau orang ramai. Hal pertunangan lebih baik dirahsiakan bagi mengelakkan berlakunya perasaan-perasaan yang tidak diingini sekiranya perhubungan yang terjalin hanya menemui kegagalan.
Walau apa pun punca kegagalan perhubungan berkenaan, nama baik setiap individu dan ahli keluarga serta kerabat dapat dilindungi. Hanya kalangan mereka yang terdekat sahaja yang mengetahui pasangan berkenaan pernah menjalinkan hubungan pertunangan tetapi gagal. Keadaan ini juga dapat mengelakkan timbulnya pandangan kurang baik daripada masyarakat awam.
Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan untuk mengikat tali perkahwinan. Biasanya perkara ini melibatkan waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.
Soalan yang biasanya timbul di dalam pertunangan ialah adakah dibenarkan syarak untuk menghebahkan pertunangan tersebut sepertimana majlis perkahwinan atau tidak?
Sebahagian ulamak berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah perkara yang digalakkan. Ini kerana terdapat hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasullullah S.A.W. telah bersabda:
أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة
Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.
Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu sebahagian Al-Malikiyyah (pendapat yang berpandukan mazhab Imam Malik bin Anas bin Abi Amir Al-Ashbahi 93 – 179H) berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Perkara ini juga seperti mana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:
وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ
Maksudnya: Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan pasangan yang ditunangnya.
Selain itu ada juga pendapat lain yang menyatakan tiada masalah untuk menghebahkan pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.A. yang disebutkan sebelum ini, dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis (orang yang pakar dalam ilmu hadis).
Kesimpulan
Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan yang mana ia jelas diharamkan di dalam Islam. Dengan menghebahkan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ
Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.
Riwayat Muslim (1412)
Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis ini secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain. Lebih-lebih lagi jika pinangan tersebut telah diterima dan tidak mendapat keizinan daripada orang yang dipinang tersebut.
Kesimpulannya tiada masalah untuk menghebohkan pertunangan. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkan serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan boleh sahaja pertunangan tersebut dibatalkan. Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan kerana perkara ini lebih dituntut. Namun begitu dibolehkan juga merahsiakan pertunangan untuk mengelakkan hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.