
Saya ingin bertanya jika pasangan kita telah disahkan mengidap HIV positif, adakah Islam membenarkan perkahwinan ini jika kedua-duanya bersetuju?
Islam memuji umatnya yang memilih jalan kebaikan dengan mendirikan rumah tangga. Apatah lagi pernikahan itu akan menghalalkan sesuatu hubungan lelaki dan wanita yang pada asalnya tidak dibolehkan.
Islam juga menganjurkan kepada kita, sekiranya ingin memilih pasangan hidup, maka pilihlah dalam kalangan orang yang baik-baik. Keutamaan pula dalam sudut agama yang ada pada diri seseorang.
Adapun sekiranya pasangan kita mengidap HIV positif, maka hal ini tidak digalakkan walaupun kedua-dua pasangan bersetuju. Ini kerana dikhuatiri akan memberi kesan buruk pula kepada anak yang bakal lahir dalam keluarga.
Firman Allah SWT yang bermaksud:“…Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam lembah bahaya kebinasaan, dan baikilah perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” Al-Baqarah: 195.
Tetapi sekiranya ingin juga berkahwin maka perkahwinan itu tetap sah selagi mana memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Islam.
Oleh: Ustaz Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamil, Editor Kanan Penerbitan Al-Quran Karya Bestari.
Mertua Lebih Penting Atau Ibu Bapa Kita Sendiri Perlu Diutamakan Selepas Kahwin?

Keutamaan terhadap ibu bapa kandung untuk ditaati si anak. Bayangkan jika sepasang ibu bapa hanya ada seorang anak perempuan atau semua anaknya perempuan dan mereka sudah berkahwin. Bayangkan jika semua anak perempuannya lebih utamakan mertua berbanding ibu bapa kandung sendiri.
Usah kita mengajar ajaran-ajaran mengarut sebegini. Suami ada tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapanya. Isteri juga ada tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapanya sendiri.
Ya, kita perlu berlaku ehsan kepada mertua kita. Akan tetapi menyatakan mertua isteri lebih utama daripada ibu bapa sendiri adalah sesuatu yang tiada asasnya. Wallahua’lam.
Di sini kami kongsikan satu ringkasan fatwa yang elok dibaca:
Assalamualaikum. Jazakumullahu khair. Di bawah saya kongsikan fatwa yang sama seperti yang ustaz jawab di atas.
KEWAJIPAN SEORANG ISTERI: BERKHIDMAT KEPADA MENTUA?
Assalamualaikum. Tersebar dalam masyarakat bahawa apabila seorang Muslimah sudah berkahwin, maka secara automatik ibu bapa suami iaitu mentua kepada si Muslimah tadi menjadi lebih utama kepada Muslimah tersebut berbanding ibu bapa Muslimah itu sendiri. Benarkah hal ini.
Jawapan:
Di sini, diringkaskan fatwa daripada www.islamqa.com yang diketuai oleh Shaikh Salih al-Munajid:
- Tiada sebarang dalil menunjukkan kewajipan seorang Muslimah untuk berkhidmat kepada mentuanya.
- Seorang isteri hendaklah melayani mentuanya dengan baik atas dasar ihsan selagi mana ia di dalam batas kemampuannya.
- Suami hendaklah sedar akan hal ini bahawa dia tidak berhak memaksa isterinya untuk berkhidmat kepada ibu bapanya, dan si isteri tidak wajib melakukannya walau disuruh oleh si suami. Ini kerana ia bukan kewajipan yang terhasil apabila akad nikah berlaku.
- Dalam masa yang sama, Muslimah juga dinasihati untuk memberikan khidmat yang mampu kepada mentua kerana satu masa nanti mereka juga akan menjadi ibu, dan akan mempunyai menantu, dan akan tiba saatnya mereka pula memerlukan bantuan menantu mereka.
- Seorang suami hendaklah sedar bahawa hubungan mereka adalah hubungan suami isteri, dan bukannya hubungan seorang tuan dengan hambanya.
*Di atas merupakan kesimpulan daripada fatwa Shaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Shaikh ‘Abdul Aziz bin Baz, Shaikh Abdullah bin Qu’ud, dan Shaikh ‘Abdullah bin Ghudayan, Shaikh ‘Abdul Razzaq ‘Afifi. Wallahua’lam.
Sumber: Dr Ustaz Rozaimi Ramle
Tip Kurangkan Bajet Majlis Kahwin, Meriah Dengan Cara Bebas Hutang

Mungkin masih ada bakal pengantin yang menggali tip kurangkan bajet majlis kahwin nanti, bukan kerana tidak mampu tetapi kepada nak berjimat untuk hidup bebas hutang.
Ya, ada yang mengimpikan majlis dengan tema tertentu malah tidak kisah berbelanja memandangkan perkahwinan adalah kenangan indah sekali seumur hidup dan tak kurang juga yang mahukan majlis serba ringkas.
Tip Kurangkan Bajet Majlis Kahwin
Namun semuanya bergantung kepada bajet masing-masing kerana paling penting, jangan sampai terjerat hutang hanya kerana mahukan majlis yang grand.
Sebaik-baiknya, bakal pengantin perlu merancang perbelanjaan dengan teliti bukan untuk hari bahagia semata-mata tetapi mengutamakan kehidupan selepas bergelar suami isteri kelak.
Bagi pasangan yang merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan, berikut tip sebagai panduan untuk menjimatkan perbelanjaan sewaktu merancang hari bahagia anda:
1) Tetapkan bilangan tetamu
Perkahwinan Melayu sememangnya sinonim dengan jumlah jemputan yang ramai. Namun cukuplah sekadar dengan kehadiran ahli keluarga, saudara mara dan kenalan rapat untuk menjadi saksi hari bahagia anda.
Untuk lebih mudah, buat senarai tetamu.
2) Survey servis katering dan pelamin
Jangan malas untuk membuat survey mengenai dua perkara ini. Selain survey sendiri, anda mungkin boleh meminta bantuan rakan-rakan untuk rekomendasi mana-mana syarikat yang menyediakan pakej perkahwinan.
Dengan cara ini, anda dapat membuat perbandingan dan memilih yang terbaik mengikut bajet anda.
3) Majlis nikah dan sanding serentak
Untuk menjimatkan kos, upacara akad nikah boleh diadakan pada waktu pagi manakala persandingan pula pada sebelah tengahari.
Banyak wang dapat dijimatkan seperti kos sewa venue, persalinan dan katering.
4) Hantaran
Nak lebih jimat? Waktu inilah anda dapat menonjolkan kreativiti dengan menggubah sendiri hantaran ataupun meminta bantuan rakan mahupun ahli keluarga.
Tidak perlu bunga-bungaan segar sebagai dekorasi, sebaliknya gantikan dengan bunga hiasan plastik atau mengikut kreativiti anda.
Begitu juga jumlah balasan hantaran. Cukuplah sekadar tiga berbalas lima ataupun mengikut bajet anda.
5) Cenderahati (doorgift)
Tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk hal yang satu ini. Cuba minimakan kos dengan membeli sesuatu yang sesuai untuk semua golongan tetamu.
Bonus sekiranya anda pandai membuat kek atau biskut, balut cantik-cantik untuk dijadikan doorgitf.
6) Persalinan
Bak kata orang, ukur baju di badan sendiri. Cukup sekadar menempah satu persalinan baharu untuk majlis nikah, manakala untuk persalinan sanding pula, pilihlah untuk mengenakan busana yang disewa.
Ataupun berbincanglah dengan pereka fesyen anda untuk membuat persalinan 2 in 1. Lebih jimat!
7) Fotografi
Rajinkan diri untuk membuat survey. Ramai jurufoto menawarkan pakej dengan potongan harga pada waktu-waktu tertentu.
Sebaiknya lakukan survey beberapa bulan sebelum majlis berlangsung, bukanlah pada waktu saat akhir.
Bernikah Kerana Ibadah, Sebelum Terima Lamaran, Ini Perlu Anda Lakukan

Menikahlah dengan niat ibadah. Menikahlah untuk menjalankan sunnah Nabi. Menikahlah untuk menjaga diri dari dosa dan maksiat. Namun, jangan asal menikah. Jangan langsung menerima lamaran yang datang tanpa mempertimbangkannya terlebih dahulu. Bahkan salah seorang isteri Nabi Muhammad pun ada yang meminta masa untuk memutuskan, apakah ia menerima lamaran Rasulullah atau tidak.
Kerananya, lakukan hal ini sebelum memutuskan untuk menerima lamaran. Zaid bin Haritsah bercerai dengan Zainab binti Jahsy. Setelah habis masa ‘iddahnya, Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan Zaid bin Haritsah untuk mendatangi bekas isterinya itu. Rupanya, Zaid diperintahkan untuk membawa lamaran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.
Sesampainya di rumah Zainab, Zaid menyampaikan amanah yang dibawanya dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Kemudian, Zainab mengatakan, “Aku tidak akan berbuat apa-apa sampai aku meminta petunjuk Rabbku.” Setelah itu, Zainab bergegas untuk mendirikan solat, meminta petunjuk kepada Allah Ta’ala.
.
Apa Yang Perlu Dilakukan Sebelum Menerima Lamaran?
Berkenaan hal ini, Dr. Thal’at Muhammad ‘Afifi Salimi mengatakan, “Ini adalah dalil antusiasme shahabiyah terhadap solat istikharah yang mereka pelajari dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagaimana halnya mereka belajar setiap surat dari al-Quran.” Inilah amalan utama itu. Sebuah bentuk perasaan perlu dan pengakuan akan kelemahan diri kepada Allah Ta’ala Yang Maha kuat.
Sebab, Dia Maha Mengetahui, sedangkan manusia sama sekali bodoh dan amat terbatas pengetahuannya. Bahkan, manusia tak kuasa untuk menentukan bagaimana kelangsungan hidupnya dalam sekejap masa yang akan datang. Dengan meminta petunjuk kepada Allah Ta’ala, maka keraguan akan hilang, dan keyakinan akan terus bertambah.
.
Kerana itu, jalan untuk mewujudkan dan mengharungi kehidupan setelah pernikahan pun akan semakin dimudahkan oleh-Nya. Sebab, kehidupan setelah pernikahan dipenuhi ujian dan godaan yang berat, sukar, dan penuh tipu daya.
Oleh itu, menikah diganjari pahala yang agung. Dan, syaitan laknatullah akan sentiasa melakukan berbagai macam tipu daya agar seorang manusia tidak mahu menikah, berlambat-lambat tanpa alasan yang syar’i, bahkan syaitan akan mengerahkan seluruh kemampuannya untuk memisahkan pasangan yang telah sah menikah. Ya, cerai adalah projek besar iblis laknatullah ‘alaihim.