
Bertunanglah Biasa-Biasa, Supaya Tak Timbul Fitnah Bila Terjadi Apa-Apa

Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan untuk mengikat tali perkahwinan. Biasanya perkara ini melibatkan waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.
Soalan yang biasanya timbul di dalam pertunangan ialah adakah dibenarkan syarak untuk menghebahkan pertunangan tersebut sepertimana majlis perkahwinan atau tidak?
Sebahagian ulamak berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah perkara yang digalakkan. Ini kerana terdapat hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasullullah S.A.W. telah bersabda:
أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة
Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.
Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus (1/1/27)
Disebabkan itu sebahagian Al-Malikiyyah (pendapat yang berpandukan mazhab Imam Malik bin Anas bin Abi Amir Al-Ashbahi 93 – 179H) berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Perkara ini juga seperti mana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:
وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ
Maksudnya: Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan pasangan yang ditunangnya.
Selain itu ada juga pendapat lain yang menyatakan tiada masalah untuk menghebahkan pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.A. yang disebutkan sebelum ini, dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis (orang yang pakar dalam ilmu hadis).
Kesimpulannya tiada masalah untuk menghebohkan pertunangan. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkan serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan boleh sahaja pertunangan tersebut dibatalkan.
Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan kerana perkara ini lebih dituntut. Namun begitu dibolehkan juga merahsiakan pertunangan untuk mengelakkan hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.
Tonton video ni….
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Pentingnya Tahu ID Dan Password Akaun Bank Suami! Jangan Sesal Di Kemudian Hari

Buat isteri di luar sana, berapa ramai di kalangan anda mengetahui ID dan PASSWORD akaun bank suami anda? Jika belum, bincangkanlah tentang hal ini. Ramai yang terkejut tidak terkata dan terus buntu tidak tahu ingin buat apa kerana sewaktu hayat tidak pernah mereka berbicara tentang KEMATIAN. Walhal ia adalah suatu KEPASTIAN. Bertindak sebelum terlambat.
Baca perkongsian Cikgu Tg Abdul Ghafar tentang kepentingan hal tersebut.
BACAAN WAJIB ISTERI : Mesti Tahu Password Penting Suami!
Pasangan berkahwin memang kena banyak buat persediaan. Persediaan nak bayar rumah, kereta, perbelanjaan anak-anak. Semua tu lazim dibincangkan antara suami isteri.
Sedarkah anda, kita banyak berbincang buat persediaan untuk menghadapi kehidupan, tapi pernah tak berbincang buat persediaan untuk menghadapi kematian? Sedangkan mati itu sesuatu yang pasti. Kalau ditakdirkan si suami meninggal dunia terlebih dahulu, apa yang isteri perlu buat?
Keluarkan Duit Dulu, Baru Menangis
“Sayang kena hafal Password Maybank2U Abang ni,” pesan Cikgu Tg lembut dalam kereta semasa perjalanan pulang ke Port Dickson dari kampung halaman semalam.
“Kalau abang meninggal nanti, perkara pertama Sayang kena buat sebelum menangis adalah keluarkan sebanyak mungkin limit harian abang,” tambah Cikgu Tg.
“Iya insyaAllah bang,” jawapannya bersahaja, mungkin memikirkan benarnya kata-kata Cikgu Tg ini tetapi berat untuk difikirkan.
Sebelum Akaun Dibekukan…
“Sayang faham kalau meninggal nanti semua akaun bank, KWSP, Tabung Haji, ASB dan semua institusi kewangan yang ada akan freeze,” semestinya dia arif, semasa di USIM dulu dia mengambil jurusan Financial Math dan belajar tentang Muamalat dan Takaful ini.
“Pernah terjadi satu kes, arwah suami seorang isteri ini meninggal, si isteri dapat keluarkan setiap hari RM5,000 selama 3 hari berturut-turut sebelum akaun bank itu freeze. Alhamdulillah sekurang-kurangnya si isteri ini telah punyai RM15,000 dalam tangan untuk urusan pengebumian, langsaikan hutang-hutang arwah dan agihkan duit itu sebagai pusaka kepada yang berhak. Ada jugalah dapat duit sedikit sebelum menunggu DUIT HIBAH TAKAFUL RM100,000 yang ditinggalkan oleh arwah suami beliau diserahkan 4 bulan selepas itu,” Cikgu Tg memberikan contoh agar si dia ini betul-betul memahami apa yang Cikgu Tg ingin sampaikan.
Bicara ini adalah kisah benar semalam, kami berbincang dalam nada bersahaja namun betul-betul mengambil serius tentang hal ini.
Pentingnya Tahu ID Dan Password Akaun Bank Suami!
Buat para isteri di luar sana, berapa ramai dikalangan kalian mengetahui ID dan PASSWORD akaun bank suami kalian? Jika belum, bincangkanlah tentang hal ini.
Hal tentang masa depan bukan setakat bincang anak-anak akan datang nak sekolah di mana? Raya tahun ini nak pakai baju warna apa? Hujung minggu nanti nak beli barang dapur berapa bajetnya?
Hal tentang PENINGGALAN perlu difikirkan sama, saat Allah masih lagi beri peluang kita tidur atas katil bersama. Kerana apabila kita dijemput Ilahi, sangat berbeza mereka yang punyai PERANCANGAN dan mereka yang tiada langsung PERBINCANGAN.
Ramai yang terkejut tidak terkata dan terus buntu tidak tahu ingin buat apa jika sewaktu hayat ini tidak pernah mereka berbicara tentang KEMATIAN. Walhal ia adalah suatu KEPASTIAN.
Fikirkan teman-teman, telah ramai kawan-kawan kita pergi pada usia sebaya kita. Kita tidak terkecuali, suatu hari nanti pasti akan mengadapNya jua.
Mengingat Untuk Sama-sama Beringat
– Cikgu Tg –
Calon Jenazah
Anak, Suami dan Ayah Kepada 3 Orang Anak Kecil.
Perempuan Kalau Jumpa Lelaki Yang Tepat, Tak Pandang Dah Yang Lain

Ini 10 tanda anda telah jumpa calon suami ideal.
1. Bersedia untuk menyelesaikan segala masalah bersama-sama.
Lelaki sejati tidak hanya pandai berkata manis tetapi harus membuktikannya melalui perbuatan. Ketika berada dalam situasi yang sulit, mereka sentiasa ada untuk mengelap air mata anda.
2. Menyediakan sendiri makan malam
Wanita moden menganggap bahawa lelaki yang pandai masak adalah calon suami yang ideal. Tidak perlu menyiapkan makanan yang istimewa, jika si suami/pasangan menyediakan telur goreng dan kicap sahaja pun bisa membuatkan si isteri tersenyum lebar.
3. Sentiasa menyokong walaupun anda melakukan kesilapan
People make mistakes. Suami/pasangan yang supportive tidak akan terus menghukum isteri di atas kesalahan yang telah dilakukan. Walaupun kamu salah, dia sentiasa ada untuk memberikan sokongan dan nasihat.
4. Sentiasa peka dengan anda
Ini tidak bermakna si suami/pasangan tahu setiap pergerakan anda atau ingat baju warna apa yang anda pakai 5 hari lepas. Namun, dia sentiasa alert dengan apa yang berlaku pada diri anda. Dia tahu lagu kegemaran anda dan dia juga tahu setiap obsesi anda pada sesuatu perkara.
5. Bukan hanya pintar, tetapi bijak
Untunglah jika anda mempunyai suami yang bijak untuk menyelesaikan masalah matematik, tetapi apa yang lebih penting adalah lelaki yang mampu untuk mencari jalan keluar ketika menghadapi sebarang masalah. Jika suami/pasangan anda boleh memberikan nasihat tatkala sedang mempunyai salah faham dengan keluarga, anda memang sangat bertuah.
6. Dia tahu untuk menceriakan anda
Jika anda dalam keadaan sedih, dia tahu bagaimana untuk menceriakan kembali hidupmu. Dia akan berlawak jenaka, menyokong dan melakukan apa sahaja untuk menggembirakan anda.

7. Pandai berunding
Seorang lelaki yang ideal mudah untuk dibawa berbincang dan bijak untuk mengendalikan sebarang situasi tegang yang melibatkan banyak pihak. Tidak bertindak melulu, ciri-ciri lelaki seperti ini sememangnya diidamkan oleh setiap wanita.
8. Tidak akan membiarkan anda dalam kesusahan
Kebanyakan lelaki tidak boleh memberikan fokus kepada pelbagai masalah dalam satu masa. Namun, mereka tidak akan membiarkan anda sendiri dalam menghadapi kesusahan dan menjadikan masalah anda sebagai keutamaan mereka.
9. Pendapat anda sentiasa diperlukan
Hubungan suami isteri bukan sahaja bermakna harus tinggal sebumbung, malah anda juga harus menjadi seorang teman baik yang mampu memberikan pendapat di antara satu sama lain. Namun begitu, ini tidak bermakna si suami perlu mengikut semua kata isteri.
10. Membantu dalam kerja-kerja rumah
Jika si suami menghormati dan menghargai anda, mereka tidak akan membiarkan anda keseorangan membuat kerja-kerja rumah. Dia sangat memahami situasi anda yang sedang keletihan apabila pulang kerja, lalu membantu menguruskan hal-hal rumah seperti mencuci pakaian atau mengemas peralatan dapur. Dengan cara ini juga secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan suami isteri.
Mencari keserasian itu bukan mudah, namun pasangan kita adalah pasangan yang bakal melengkapi hidup kita. Jangan bandingkan pasangan dengan orang lain, hargai mereka ya!