
Perkahwinan sangat digalakkan dalam islam untuk mengelaknya dari berlaku zina, tapi jika perkahwinan hanya untuk melepaskan nafsu dan perkataan cerai dijadikan mainan dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan perceraian di kalangan suami isteri berusia muda.
Jahil terhadap ilmu berumahtangga itulah yang menjadi punca utama kepada perceraian di kalangan pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga.
Kahwin bukan perkara yang mudah
Berselindung di sebalik perbuatan baik ketika di alam percintaan juga boleh menjadi punca perceraian di kalangan pasangan baru berkahwin. Ramai pasangan bercinta berlagak baik demi menarik perhatian si kekasih. Apabila berkahwin dan duduk serumah, perkara negatif yang sebelum ini tidak pernah ditunjukkan tiba-tiba kelihatan, menyebabkan timbul rasa jelik atau benci.
Justeru, amat penting pasangan yang baru berkahwin bersama-sama mengubah kekurangan diri dan berjanji untuk menjadi yang terbaik. Berilah masa kepada pasangan untuk mencari titik pertemuan dan persefahaman. Misalnya, suami yang selama ini dirasakan mampu membimbing ke arah kebaikan berubah sikap tidak seperti diharapkan atau ada suami yang langsung tidak memberi nafkah.
Selain itu, pasangan muda sering dikaitkan dengan darah muda atau tidak sabar sehinggakan perkataan cerai mudah dilafazkan tatkala berlaku perselisihan faham kecil. Sesuatu perkahwinan adalah lebih elok jika tempoh kursus dilanjutkan supaya bakal suami dan isteri dapat belajar banyak perkara dan ilmu yang diajar benar-benar berkesan di hati.
Sebab berlakunya punca perceraian pasangan muda adalah
1) Jahil ilmu rumah tangga
2) Gaya hidup moden yang banyak menjurus kepada masalah sosial
3)) Belum bersedia menjadi suami isteri
4) Gagal memahami dan menghargai pasangan
5) Menyembunyikan sejarah silam
6) Masalah komunikasi
7) Kurang pemantauan daripada keluarga dan orang tua
8) Kurang masa berkualiti bersama-sama Gagal memenuhi tuntutan batin pasangan.
Kredit : Berita harian
“Isteri Ni Baik Buruk Kita Semua Dia Terima, Ikhlas. Tujuan Dia Tag Atau Mention Sebab Dia Nak Cakap Terima Kasih..” Padu Beb!

Suami dan isteri ada peranan masing masing. Peranan dan tanggungjawab suami besar, bukan hanya sekadar berstatus suami. Lelaki ni, kalau tak diberitahu dan kalau tak di ingatkan, kalau tak ditimpa musibah,selalu lupa. Lelaki ini kongsi, tujuan isteri tag dan mention sebenanrnya sebab dia nak cakap terima kasih. Padu beb!
WANITA-WANITA YANG SETIA.
Suami dan isteri ada peranan masing masing. Peranan dan tanggungjawab suami besar, bukan hanya sekadar berstatus suami. Kita yang lelaki ni, kalau tak diberitahu dan kalau tak di ingatkan, kalau tak ditimpa musibah, kita lupa.
Itu memang sifat kita. Ini sekadar pedoman buat lelaki dan suami seperti aku yang seringkali terlupa.
Kita duduk dalam rahim wanita 9 bulan 10 hari lamanya, sampai koyak isinya untuk lahirkan kita dulu, anak-anak kita nanti. Luka kulitnya dengan benang jahitan yg kekal parutnya sampai bila-bila.
Darah dan airmata yang tumpah tu kita nak kira macam mana? Saat diorang menahan derita dan sakit tu kita nak balas dengan apa?
Kita tanya diorang, sejak lahirkan kita sejak lahirkan anak-anak kita, bila last diorang makan kenyang sekenyangnya?
Bila masanya diorang dapat tidur senyenyaknya?
Pernah kita bangun teman isteri susukan anak, tahan belakang badan isteri masa menyusukan zuriat kita dengan sakit epidural, czer, meneran yang masih berbaki?
Jangan cakap kau, aku sendiri tak mampu, serius. Tak terlayan nak bangun setiap 2-3 jam. Dioranglah bangun paling awal, tidur paling lambat.
Kita tanya mak dan isteri kita, waktu bila yang diorang paling takut sekali?
Waktu diorang rasa nak demam. Siapa nak jaga anak-anak, siapkan makan pakai kita? Nak harap kita yang lelaki ni? Harapan.
Tak pernah langsung dikisahnya pasal sihat atau sakit asalkan kebajikan dan keperluan suami serta anak-anak terjaga.
Apa yang susah, apa yang sombong sangat nak pura-pura tak ingat? Tegas mempertahankan ego ‘Aku Suami’ tak kena pada tempatnya? Sampai ada yang terajang anak isteri kononnya nak mengajar.
Kalau mak kau tau perangai kau macam tu dari kecik dia dah picit-picit kau sampai keluar taik hijau. Cuba kita ingat balik, bila waktu diorang cuti sejak kau terima nikahnya? Cuti dari tugas isteri dan ibu.
Mak dan isteri pengorbanannya sama.
Disisi Tuhan mereka adalah makhluk yang dimuliakan. Sehina dan sejahat jahat kita dulu, mak dan isterilah yang takkan berpaling muka dari kita. Setia di sebelah dengan harapan ada sinar untuk kita berubah, nikmati bahagia bersama.
Kita komplen isteri tak dengar cakap, tak turut perintah, tak lawa macam dulu. Kalau nak cerita pasal dulu, kau ingat dulu kau sorang je ke nak dia?
Kalau dia tau perangai kau kaki pukul, kaki dadah, buat dia macam khadam kau ingat dia nak ke kat kau? Nak bini lawa bukan main tapi minta beli set makeup pun kau kata membazir, baik buat makan dari beli benda yang tak penting katerr koo.
Baju seluar isteri dari kahwin sampai anak 3 tak bertukar-tukar tapi kau bukan main melaram dengan baju Supreme, sportrim 20 inci.
Siapa isteri kita adalah siapa diri kita ni. Tengok balik diri kita sebagai suami macam mana. Bila kita rasa kita bagus tapi isteri tak bagus dan tak betul memanjang, itulah permulaan masalah.
Kita nak cakap pasal tugas dan tanggungjawab isteri, kau list-kan kita punya, dia list kan dia punya. Kau tengok siapa punya lagi panjang berjela terutama bagi isteri yang tidak bekerja. Cuba buat, berdebar tak berdebar bila kau tengok kau punya tak sampai suku dari isteri kau.
Aku tak nak cakap pasal agama sangat sebab kau orang lebih arif, lebih pandai. Ini soal menyantuni, memahami, menghargai dan kesepakatan dalam rumahtangga.
Bertahun tahun kau abaikan anak isteri dengan lebihkan benda kat luar atau kawan-kawan yang menjahanamkan kau, jangan nanti bila anak kau tak dengar cakap, isteri kau rasa dia boleh hidup tanpa kau baru kau nak tepuk dahi. Itu jam, tengok kau happy tak happy.
Kawan yang kita patut berkawan adalah mereka yang
“Tak apa bro settle anak bini dulu. Lepak ni bila bila boleh”.
Bukan yang “Pirahhh! Dengan bini pun takut ke woi, kah kah”.
Kau tak tau dia keluar rumah sampai tolak kereta tolak motor, dah jauh baru start. Kau tak tau dia punya masalah kat rumah menimbun-nimbun. Melepak, kalah orang bisnes sampai ke tengah pagi. Tiap hari tiap minggu pulak tu.
Kawan ni penting jugak, bukan tak penting. Cuma aku nak kau tanya diri kau 1 benda je. Kau sakit, kau lumpuh, kau susah tak makan anak beranak esok, siapa yang jaga siapa yang mandikan kau dan siapa yang bantu kau cari duit nak suap anak anak?
Betul, kawan datang bagi bantuan, sokongan dan bagi sumbangan, tapi setakat mana dan sampai bila? Diorang pun ada keluarga, ada komitmen lain. Isteri kau jugak nanti kat sebelah. Isteri kau yang luar biasa tu.
Jangan lebihkan kawan sampai anak anak dan isteri terasa. Pandai-pandailah kau atur.
Bila aku cakap pasal ego lelaki atau suami, kau tahu marah, apatah lagi nanti bila mak atau isteri kau tegur pasal ego kau. Bila isteri suruh baca, kau suruh lukis. Malas benor nak membaca. Kalau bermanfaat, cedoklah buat panduan tapi kalau buruk, kau abaikan sudah. Peningkan kepala kau buat apa?
Isteri ni baik buruk kita semua dia terima, ikhlas. Tujuan dia tag atau mention kau sebab dia nak cakap terima kasih atau untuk kau buat panduan mana yang baik dan bermanfaat.
Aku tak cakap aku cukup bagus untuk nasihat orang, anak pun baru 2 orang tapi kau lelaki aku lelaki, hanya kita yang tau dan kita sahaja yang faham perangai kita.
Ingat, tak semua memiliki peluang kedua dan tak semua peluang kedua sama seperti peluang pertama.
Jangan sia-siakan.
Kerja Sebumbung Suami Isteri, Ini Cara Supaya Tak Mudah Jemu

TIPS SUAMI ISTERI KERJA SEBUMBUNG
#1-Hormati Tanggungjawab Pasangan
Anda harus hormat jika pasangan anda berjawatan lebih tinggi daripada anda di tempat kerja agar tidak berlaku perselisihan faham dalam membuat keputusan.
Contohnya si isteri seorang pengurus dan suami seorang pekerja. Itu tidak bermakna si isteri ada kuasa membuat keputusan di rumah, kerana suami merupakan seorang pemimpin dalam keluarga. Perlu ada sikap bertolak ansur antara satu sama lain. Begitu juga bagi mereka yang ada adik-beradik ataupun keluarga bekerja bersama.
.
#2-Hal di Tempat Kerja Jangan dibawa ke Rumah
Jangan cuba-cuba bincangkan hal-hal kerja di rumah walau sedikit pun.
Jika ada berlaku sedikit pertengkaran mengenai kerja tinggalkan di tempat kerja dan lupakan segalanya apabila anda sampai di rumah. Ia boleh memudaratkan perhubungan anda jika anda melakukan perkara sedemikian, begitu juga hal di rumah, jangan tarik muka jika berlaku sebarang masalah peribadi tidak kira kecil atau besar.
Namun, ia bergantung juga kepada pasangan jika mereka mempunyai minat yang sama, selagi ia tidak menjejaskan perhubungan, tiada masalah. Jika mahu menyiapkan kerja yang melibatkan anda dengan pasangan dan perlu disiapkan dengan kadar segera, cari masa dan tempat yang sesuai. Tapi kalau boleh elakkan melakukan perkara ini.
#3-Beri Layanan Sama Adil
Jangan berat sebelah. Tidak bermakna jika pekerja itu suami atau isteri anda kebajikan diberi lebih kepadanya. Buat penilaian terhadap pekerja menerusi prestasi bukan keistimewaan seseorang itu dalam hidup anda. Tegur jika si dia membuat silap, jujur dalam menentukan markah KPI pekerja.
Lagi satu simpan ‘romantis’ itu di rumah jangan dibawa-bawa ke tempat kerja. Menggunakan panggilan yang sepatutnya jika pasangan berpangkat, elakkan memanggil dengan gelaran manja yang anda gunakan di rumah.
#4-Jangan Bergaduh di Tempat Awam
Jika ada perselisihan faham mengenai kerja, cuba berbincang dengan baik, jangan bergaduh di hadapan orang ramai. Rasa marah akan dibawa ke rumah, selain itu seperti yang yang ditekankan tadi jangan bawa masalah ‘tak basuh pinggan di rumah’ sebagai satu alasan untuk buatkan anda bertekak di tempat kerja.
Ia menampakkan bahawa anda ini pasangan yang tidak professional. Apapun, jika ia mengenai perihal kerja sekali pun, elakkan bergaduh di tempat umum supaya tidak terjadi kes hasut menghasut.
#5-Berikan Ruang untuk Diri Sendiri
Di rumah bersama, di tempat kerja bersama ia membuatkan anda akan bosan kerana tiada ruang untuk anda sendiri. Boleh mendatangkan kesan buruk terhadap perhubungan anda, kamu dan pasangan sepatutnya cari ruang untuk diri sendiri walaupun dalam waktu sebentar.
Beri kelonggaran jika ingin makan tengah hari bersama rakan lain, atau luangkan masa bersama rakan.
#6-Salah Seorang Harus ‘Bersedia’ untuk Mengalah
Samada berhenti bekerja, atau pindah di tempat kerja yang lain. Ada sebab sesetengah syarikat membuat polisi dimana suami isteri dilarang bekerja di bawah satu syarikat, ia supaya tidak menjejaskan prestasi syarikat mahupun kehidupan peribadi pekerja. Tapi inilah yang paling baik kerana tekanan kerja sekarang ini sangat tinggi, jadi kalau mahukan rumah tangga selamat salah seorang harus berundur.
SUMBER : https://graphology.com.my/
Jangan Risau ‘Tak Mampu’ Kalau Nak Kahwin, Rezeki Akan Datang Tanpa Anda Sedari

Apakah kelebihan bagi orang yang ingin berkahwin? Apabila seorang muslim baik lelaki atau wanita akan berkahwin, biasanya akan timbul pelbagai perasaan akan timbul. Ada rasa gundah, resah, risau, bimbang, termasuk juga tidak sabar menunggu datangnya si pendamping. Bahkan ketika dalam proses taaruf sekalipun masih ada juga perasaan keraguan. Inilah khabar gembira berupa janji Allah bagi orang yang akan berkahwin. Bergembiralah wahai saudaraku…

.
1. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula),dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)”. (An Nuur : 26)
Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.
2. “Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”. (An Nuur: 32)
Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang untuk berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu nilai gajinya. Dalam fikiran mereka, “apakah gaji ini cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?”.
Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang ragu untuk melangkah ke jinjang pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi keperluan keluarga.
Allah akan menolong mereka yang menikah. Allah Maha Adil, apabila tanggungjawab para pemuda bertambah – dengan kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya, maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataannya di masyarakat, banyak mereka yang semula miskin tidak mempunyai apa-apa ketika berkahwin, kemudian Allah memberinya rezeki yang berlimpah dan mencukupkan keperluannya?
3. “Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fi sabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang menikah kerana ingin memelihara kehormatannya”. (HR. Ahmad 2: 251, Nasaiy, Tirmidzi, Ibnu Majah hadits no. 2518, dan Hakim 2: 160)
Bagi siapa sahaja yang berkahwin dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah dalam hadits ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.
4. “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar Ruum : 21)
5. “Dan Tuhanmu berfirman : ‘Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’ “. (Al Mu’min : 60)
Ini juga janji Allah ‘Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pendamping hidup yang agamanya baik, cantik, taat, dan sebagainya.Dalam berdoa, perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dan lain – lain. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Diantaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana Allah ‘Azza wa Jalla turun ke langit dunia, dan pada waktu antara azan dan iqamah,

.
Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Diantaranya adalah makan dan minum dari sumber yang haram, dan berpakaian dari usaha yang haram serta melakukan apa yang diharamkan Allah, Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini keberadaan Allah, mengakui bahawa Allah itu tempat meminta, mengakui bahawa Allah Maha Kaya, dan mengakui bahawa Allah Maha Mendengar. Sebahagian orang apabila jodohnya tidak kunjung datang maka mereka pergi ke dukun-dukun berharap agar jodohnya lancar. Cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam:
“Barang siapa yang mendatangi peramal / dukun, lalu dia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam”. (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad).
Telah bersabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Maka janganlah kamu mendatangi dukun-dukun itu.” (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).
Telah bersabda Nabi SAW, “Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna itu adalah (hukumnya) syirik.” (Hadis sahih riwayat Abu Dawud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).

.
6. “Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat“. (Al Baqarah : 153)
Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi dan terbebas dari bid’ah-bid’ah.
7. “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”. (Alam Nasyrah : 5 – 6)
Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung datang. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahawa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surat Alam Nasyrah.
8. “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”. (Muhammad : 7)
Agar Allah menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dan sebagainya. Dengan itu semoga Allah menolong kita.
9. “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”. (Al Hajj : 40)
10. “Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat”. (Al Baqarah : 214)
Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak / belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim. Jadi, kenapa ragu – ragu dengan janji Allah?