
“Kau taknak kahwin lagi ke?”
Spontan soalan tu muncul dari mulut Seman.
Kawannya si Hassan yang ketika itu sedang menghirup tea o panas berhenti.
“Nak. Tapi aku tak sanggup”
“Laa, kenapa tak sanggup pulak, kau kan lelaki. Ke kau takut bini?”
Bertubi-tubi Hassan dihujani soalan dari Seman. Tapi dia tetap tenang dan tidak melenting dengan pertanyaan dari kawannya itu.
“Aku tak takut bini. Tapi aku sayangkan dia”
Seman tak puas hati. Dia menarik sepuntung rokoknya lalu dinyalakan api.
“Man.. kau tahu tak. Satu perkara ni aku tak pernah ceritakan pada sapa-sapa. Tentang bini aku”
“Cerita apa? Kenapa dengan bini kau?”
“Bini aku banyak tolong aku Man. Dia bangun seawal pukul 3.00 pagi. Masak lauk untuk bawa jual depan kilang. Sebelum gerak, dia akan angkat anak aku nombor 5 dan 4 tu bawa masuk kereta. Lepas tu dia akan hantar anak aku nombor 2 dan 3 kat sekolah sebelum drop aku kat stesen komuter. Hari-hari dia buat macam tu tanpa ada keluhan sedikit pun”
Seman masih menghembus-hembus asap rokoknya ke udara. Sesekali dia jeling ke arah kawannya yang padanya dikategorikan takut bini.
“Habis niaga, dia pergi beli barang untuk esok pulak. Berhenti tak berhenti, dia bancuh air untuk jual di hadapan sekolah kak Ngah dan kak Chik. Masa tu lah dia dapat tidur sekejap dalam kereta sebelum anak-anak aku balik sekolah”
“Tak berhenti kat situ, bila petang balik kemas rumah pulak sebelum keluar nak amik kak Ngah dan kak Chik yang baru habis kelas agama. Aku..? Hanya duduk kat office ni buat kerja kat pejabat dalam aircond. Kau rasa patut ke aku menduakan dia?”
Kali ni Seman hanya diam. Dimatikan api rokoknya dan dia hadap wajah kawannya itu.
“Malam-malam, pukul 10 baru dia dapat tidur. Tu pun kalau anak-anak aku dah tidur. Kalau tak, berjagalah dia sampai 12 malam. Pukul 3 dah nak bangun balik. Kau bayangkan Man berapa jam dia dapat tidur?”
“Anak bongsu aku tu pulak sekarang ni asyik batuk-batuk je. Kahak dalam tekak. Kadang, bila aku tak sedar, dia lah yang bangun sapu Garlic Balm kat dada anak tu. Bila reda baru dia lena balik. Tapi beberapa jam je lagi dia ada..”
Mata Hassan mula berkaca.
“Bila kau kawen nanti, kau akan tahu macam mana isteri kau berkorban untuk kau. Masa tu aku harap kau tak macam ni lagi. Berhentilah merokok. Jadilah seorang yang bertanggungjawab dan menghargai seorang wanita yang bernama isteri”
Hassan bangkit meninggalkan. Harapannya agar kawannya itu mempunyai kesedaran dan mengerti apa itu erti pengorbanan.
Karyawanbisu
Untuk Lelaki Yang Dah Ada Niat Nak Kahwin, Sila ‘Buang’ Tabiat Lama Anda

Siapa yang tidak inginkan hubungan cinta itu berkekalan sehingga ke jinjang pelamin? Sebut sahaja pasal kahwin, pasti ramai yang masih bujang mengimpikannya. Namun, perlu diingatkan dalam pada kita nak berkahwin tu kita kena fikir masak-masak adakah kita sudah bersedia?
Sudah bersedia untuk jalankan tanggungjawab sepenuhnya? Kerana berkahwin ini bukanlah satu perkara yang mudah. Anda perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Kahwin ni bukan macam ‘couple’ dulu-dulu dah. Kerana dialah insan yang anda pilih untuk sehidup semati.
Bagi lelaki, tanggungjawab amat berat kerana anda adalah ketua keluarga. Anda yang akan membentuk bagaimana keluarga anda nanti. Jadi, ianya bukan perkara yang mudah. Oleh itu, untuk menjadi ketua keluarga yang bagus, haruslah mengubah tabiat-tabiat lama anda. Apa dia? Jom kita lihat di bawah ini.
Solat

Kalau sekarang ni tak solat atau solat ikut kerajinan, maka mulai hari ini, jangan pernah tinggal solat dan sentiasalah solat di awal waktu. Tapi, kalau kita masih sama, masih bawa perangai solat ikut rajin atau tak solat langsung di dalam rumah tangga yang akan didirikan, maka rumah tangga itu takkan dapat bertahan lama, sebab imamnya boleh meninggalkan Allah, apatah lagi manusia.
Kerja

Bila nak kawin, pastikan anda dah ada kerja yang stabil, yang mana anda selesa disitu dan bakal berkhidmat disitu untuk satu tempoh yang tertentu. Nak bela anak orang, nak jaga anak orang, kerja tak boleh ikut suka. Tak boleh kerja sekejap, berhenti. Kemudian menganggur sehingga dapat kerja yang sesuai, yang ikut cita rasa anda sendiri. Tak boleh macam tu sebab kita ada anak bini untuk ditanggung dan disara dengan hasil gaji yang kita dapat setiap bulan. Jadi, pastikan anda mempunyai kerja yang stabil dan pendapatan bulanan yang tetap dahulu.
Perangai Bujang

Perangai bujang ni banyak kalau nak disenaraikan. Contohnya, merempit, melepak, keluar rumah ikut suka, balik rumah ikut suka dan sebagainya. Maka, kita perlu ubah semua ini. Perlu ubah gaya hidup kita tu dengan bawa motor berhati-hati, kurangkan keluar melepak, keluar rumah pada masa-masa yang sesuai dan balik rumah sebelum tengah malam. Didik diri untuk selesa dengan amalan macam tu supaya bila kita dah berkahwin, kita tak cenderung untuk buat perangai-perangai masa kita bujang dulu.
Belajar Mengemas

Jangan terus letak dalam minda yang kerja rumah adalah kerja isteri sahaja. Kita sebagai lelaki juga perlu tahu untuk buat kerja-kerja rumah. Perlu tahu cara menyapu sampah, mop lantai, kemas rumah, sidai baju, lipat baju dan sebagainya supaya bila kita dah berkahwin, kita masih boleh teruskan apa yang kita dah biasa buat. Bila dah selalu buat tu percayalah, ianya akan mengurangkan bebanan isteri sebanyak 50% dan lelaki nampak macho jika tahu untuk buat kerja rumah.
Berhenti Jadi Buaya Darat, Jaga Pergaulan

Sekarang, sebelum kahwin, mungkin kita mempunyai ramai kawan perempuan. Semua kita keep in touch, berhubung berjumpa dan keluar dengan mereka atas nama “kawan”. Tapi, bila dah berkahwin, kita dah tak boleh keluar dengan perempuan walaupun dia itu seorang KAWAN SAHAJA sebab kita dah beristeri dan tiada keperluan untuk kita ada kawan perempuan yang kita masih rapat lagi. Kawan perempuan selepas berkahwin hanyalah si isteri seorang sahaja. Anda perlu menjarakkan diri atau kurangkan berhubung saat anda bakal menjadi suami kepada seseorang.
Perkahwinan merupakan ikatan yang suci yang menghalalkan hubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan. Perkahwinan bukan sekadar untuk memuaskan nafsu semata-mata tapi ianya merupakan satu tanggungjawab dan satu amanah untuk kita pikul, galas dan laksanakan sebagai seorang lelaki, suami, imam, pemimpin dan pembimbing kepada seorang perempuan yang diciptakan dari rusuk kiri kita yang bengkok untuk diluruskan dalam kita menuju ke jalan yg diredhai Allah S.W.T.
Maka, ubah tabiat-tabiat yang dinyatakan jika kita ada niat untuk mendirikan rumah tangga.
Sumber: Peguam Syarie Khidmat Masyarakat
Perkenalan Singkat Antara Syafiqah Dan Safuan Membawa Hingga Ke Gerbang Perkahwinan

Tarikh 21 May 2016 menjadi detik pertemuan antara Lt Ahmad Safuan Zulkarnain dan pasangan Nur Syafiqah Dato’ Dr Mohd Yunus. Lantas bibit perkenalan keduanya membawa hingga ke jinjang pelamin. Penyatuan pasangan ini berlangsung dalam majlis akad nikah pada 27 Julai 2018 di rumah pengantin perempuan.
“Sewaktu itu TUDM sedang mengadakan Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM . Saya terserempak dengan suami sewaktu dia sedang sibuk menjadi LO (Liaison Officer) kepada salah seorang Pegawai Kanan TUDM. Kami hanya sempat bermain mata dari jauh. Saya sebenarnya terkejut dan tak sangka terjumpa suami di situ sebab baru beberapa hari, saya dan kawan bergossip tentangnya dengan bekas makwe dia yang baru putus. Langsung tiada niat nak mendekati dia. Jadi saya minta kawan-kawan stalk dia dan kemudiannya saya add dia dia laman Facebook. Esok harinya dia ‘approve’ dan bermula perkenalan kami
Sejak itu, kami cuma kawan biasa tanpa mengharapkan apa-apa lagi sebab terlalu awal untuk kami buat keputusan. Sewaktu bulan Ramadan 2016, saya cerita tentang saya dan suami kepada ayah ibu. Ayah dan ibu memberi respon yang sangat baik dan kami mula mengenali hati budi. Sepanjang berkawan, adakalanya saya suka bergurau ‘tahun depan kita tunang eh’. Macam biasalah lelaki kan. Malas nak layan sebab dia masih dalam kursus asas penerbangan di Alor Star. Jadi saya cuba mendekati diri dengan keluarga mertua. Sehingga keluarga dia merisik pada 4 March 2017 dan kemudian mengikat tali pertunangan pada 1 Julai 2017.
Perasaan saat dilamar
“Saya terkesima sebab tidak sangka mimpi jadi kenyataan. Saya tidaklah mengharapkan sepenuhnya akan berlaku begitu cepat dan pantas, saya hanya berdoa dan redha apa jua yang berlaku,” jelasnya. Syafiqah akui keistimewaan yang ada pada pasangannya adalah karakter, identiti dan sikapnya berlainan dengan apa yang disangkakan. Dia lelaki yang pelik dan misteri.
Majlis nikah dan resepsi
Majlis nikah bertemakan champagne gold kerana amat meminati warna tersebut. Sentuhan warna tersebut bersesuai dengan warna kulit dan nampak elegan dan juga simple.
Majlis persandingan di rumah, Syafiqah memilih rona pastel kerana dirinya seorang yang sangat sederhana dan inginkan sesuatu yang nampak simple tetapi eksklusif. “Gabungan pelbagai warna bukan pilihan saya tetapi adanya warna dari tema pakai keluarga, sekretariat, saudara mara dan rakan-rakan serta suami berpakaian uniform berwarna ‘Navy Blue’, saya cuba untuk sesuaikan kombinasi warna-warna dengan warna busana saya. Warna busana saya adalah pastel peach white.
Manakala majlis resepsi di Bora Ombak pula, saya memilih warna yang sangat ‘outstanding’, ‘vogue’ dan eksklusif tetapi masih nampak sederhana, iaitu Rose Gold. Perkara pertama saya akan lihat adalah warna uniform pasangan. Tidak semua warna sesuai dengan warna tersebut. Paling banyak kita lihat adalah warna putih, terlalu normal dan saya seorang yang inginkan kelainan tetapi masih logik dan bersesuaian. Kedua-dua busana saya sepanjang majlis persandingan dan resepsi adalah sepenuhnya dari Jakel Textile. Saya percaya Jakel mempunyai ribuan kain yang sangat menarik dan cantik. Saya amat bersyukur atas layanan yang diberikan dari pihak Jakel dari mula kami berurusan sehingga kini,” jelas Syafiqah.
Idea perkahwinan
Syafiqah akui banyak buat survey dan suka menghadiri majlis perkahwinan kawan-kawan, terutama kawan-kawan yang berkahwin dengan Pegawai tentera. Dari situ bermulanya, angan-angannya dan pada awal 2017 mula mencari idea pelamin.
“Saya sukakan pelamin yang besar luas, dekorasi yang simple tapi nampak eksklusif. Saya mempunyai saudara-mara dan sahabat handai yang terlalu ramai. Jadi saya inginkan kerusi yang panjang dan luas, ada ruang di belakang kerus, di hadapan pelamin mempunyai saggy carpet yang besar. Untuk resepsi di Bora Ombak, pelamin tersebut adalah dari pihak Bora Ombak sendiri dan dekorasi di pintu depan dewan adalah dari pihak sekretariat ayah sendiri. Semua idea dekorasi untuk dua-dua majlis adalah dari saya sendiri, ibunda tersayang, para sekretariat dan pihak yang berkaitan,” cerita Syafiqah.
Hantaran istimewa
Semua hantaran adalah istimewa kerana semua adalah hasil dari sentuhan Syafiqah sendiri sehingga saat terakhir. “Hantaran yang paling saya ‘adore’ & ‘amaze’ adalah cupcake dari Madylon Cupcake. Saya sendiri ‘customize’ setiap satu cupcake untuk pihak lelaki dan perempuan. Setiap satu cupcake tersebut mempunyai cerita di sebaliknya, it represents who am I.
Harapan
Sebagai seorang wanita amat mengharapkan seorang lelaki bernama suami yang dapat menjaga, mendidik, membimbing dan melindungi isteri dan anak-anak seumur hidup. Semoga kami berdua dapat bertolak ansur dalam membuat keputusan, mampu sabar dan kuat dalam mengharungi segala dugaan dan cabaran untuk lima tahun yang pertama.
Lokasi bulan madu
“Saya pernah usulkan tempat-tempat yang saya ingin pergi bersama suami. Antaranya, Bukit Fraser, Bukit Tinggi, Cameron Highland, Kundasang Sabah. Tempat-tempat tersebut indah dan sekiranya ada rezeki kami akan ke Amerika Syarikat secara tidak langsung dapat melawat adik yang sedang menuntut di Royal Military College, Canada.
Akad Nikah: Desa Pinggiran Putra
Tema: Champagne Gold ( nikah), Shabby Chic (pastel peach white colour) -sanding, Blooming Dhalia (Rose Gold)- resepsi perempuan, The Garden – resepsi lelaki
Dekorasi pelamin: Capredoca & Something Borrowed by Nawal ( nikah) , Bora Ombak ( resepsi perempuan), Mnz Creative Wedding ( resepsi lelaki)
Busana: Tewah Butik, Alhumaira & Afrah Exclusive ( nikah), Jakel Textile, Ariani Luxe & Afrah Exclusive (sanding), Jakel Textile, Alhumaira & Afrah Exclusive (resepsi perempuan), Mnz Creative Wedding (resepsi lelaki)
Solekan & rambut: fiezamohdhussain – nikah , sanding & resepsi.
Dura IbrahimMakeup- resepsi lelaki
Bunga tangan: gubahan sendiri (nikah& resepsi), fiezamohdhussain ( sanding ), Mnz Creative Wedding (resepsi lelaki)
Fotografi: Silverline photo Malaysia & PR TUDM
Videografi: Silverline photo Malaysia & PR TUDM
Sayang Isteri Tinggal-Tinggalkan, Sayang Suami Manja-Manjakan

Sering kita mendengar untaian kata; “Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang suami manja-manjakan”. Ungkapan ini memberi pengertian yang sangat bermakna kepada pasangan suami isteri.
Ungkapan ini juga pasti memberi seribu satu perbezaan makna sama ada dari sudut ungkapan itu sendiri mahupun maksud di sebaliknya.
Perbezaan pemahaman dan tafsiran yang tepat mengenai ungkapan ini bergantung kepada sejauhmana tahap pengetahuan yang dianugerahkan Allah SWT kepada seseorang individu.
Ianya bersesuaian dengan tahap keimanannya serta keintiman hubungannya dengan Allah SWT.
Timbul tanda-tanya di dalam hati kita, adakah apabila seorang suami menyayangi isterinya, isterinya itu perlu ditinggal-tinggalkan?

Meninggalkan insan yang tersayang dalam ertikata keluar menjalankan urusan kehidupan dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan isteri atau suami atau keluarga atas maksud perintah Allah SWT dan mencari keredhaanNya adalah suatu tuntutan dalam Islam.
Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di tanah gersang lagi tandus. Pada ketika itu tiada jaminan keselamatan dan tiada bekalan makanan serta tiada tempat sandaran, ianya adalah semata-mata untuk menunaikan perintah Allah SWT.
Adakah pada ketika itu Nabi Ibrahim AS tidak menyayangi isteri dan anaknya Ismail yang baru dilahirkan?
Jika pada hari ini berlaku peristiwa yang sebegitu, pasti dibibir kita meniti kata-kata nista, alangkah tidak bertanggungjawab-nya tindakan Nabi Ibrahim AS itu! Begitulah bicara golongan yang tidak kuat dan lemahnya iman mereka.
Begitu juga yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang telah berhijrah meninggalkan isteri serta keluarga tercinta di Kota Makkah ke Madinah adalah atas perintah Allah SWT.
Mereka telah bersedia menjadikan isteri-isteri mereka sebagai balu dan anak-anak menjadi yatim. Demikianlah iman para sahabat hasil dari kefahaman dan didikan Rasulullah SAW.
Mungkin kita juga telah mendengar bagaimana kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah bin Abu Amir RA yang baru melangsungkan pernikahan bersama isterinya yang tercinta bernama Jamilah binti Ubay yang juga sepupunya.
Semasa mereka melalui malam pertama dengan penuh kemesraan, maka tiba-tiba laungan jihad berkumandang menyeru ke medan Uhud. Hanzalah dengan penuh semangat melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang dan akhirnya Hanzalah gugur sebagai syuhada di medan Uhud.
Itu kisah bagi para suami yang tanggungjawabnya amat berat terbeban di atas bahu mereka. Antara hak Allah SWT dan dirinya, antara tanggungjawab serta amanah sebagai khalifah dan ketua keluarga menjadi taruhan dan ujian keimanan.
Bagi para isteri pula hanya empat syarat untuk mereka ke syurga dengan mudah. Sabda Rasulullah SAW;
“Apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan (di bulan Ramadan), memelihara kehormatannya (aurat dan faraj) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga.” (H.R. Imam Bazzar melalui Anas RA).
Sayang suami manja-manjakan bukan bermakna dimanjakan seperti anak-anak kecil. Taat kepada suami menjadi tiket untuk isteri ke syurga disamping tiga perkara lagi sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut. Namun, jika ditambah dengan sedikit perhatian yang istimewa, ia merupakan bonus untuk para isteri.
Setelah suami ‘meninggalkan’ isteri sama ada untuk urusan kerja duniawi ataupun kerja-kerja ukhrawi (lebih-lebih lagi), wajarlah isteri melayani suami dengan lebih istimewa. Ia tidak memerlukan hamparan karpet merah, makan malam di bawah cahaya lilin dan rawatan SPA – jika boleh dilakukan, itu dikira hebat.
gambar hiasan : Tangkap Pictures
Cukup kasih sayang yang ditunjukkan melalui masakan yang menjadi kegemaran suami, urutan-urutan ringan yang menghilangkan lenguh-lenguh badan setelah penat memandu. Bersedia mendengar segala cerita dan masalah yang ingin dikongsi bersama. Walaupun tiada penyelesaian yang diberikan, kesudian mendengar sudah memadai dan membuktikan “sharing is caring”.
Dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW sendiri, baginda dimanjakan oleh para isterinya. Daripada Aisyah RA beliau berkata:
“Saya meminyaki badan Rasulullah SAW pada hari raya Aidiladha setelah baginda melakukan lontaran di jumrah Aqabah (Kubra)”. (H.R. Ibnu ‘Askari)
Dalam sebuah hadis yang lain, Aisyah RA berkata:
“Saya biasa menyikat rambut Rasulullah SAW, ketika itu saya sedang haid”. (H.R. Ahmad).
Segala layanan istimewa daripada isteri kepada suami atau sebaliknya tidak semestinya yang mewah, dan tidak perlu juga meniru perbuatan orang lain. Cukup sekadar berjaya menggembirakan kedua-dua pihak. Biar tindakan sederhana tetapi hasilnya maksima.
Kasih sayang yang wujud dalam keluarga adalah subjektif. Hanya yang merasainya dapat menilai, sama ada kasih sayang itu abadi daripada hati kerana Allah SWT ataupun kepura-puraan.
Tanpa ros merah, hadiah yang mahal, keharmonian dan kebahagiaan tetap dapat dikecapi sekiranya wujud persefahaman dan kasih sayang serta sikap mempercayai di dalam rumahtangga. Pokok pangkalnya, semuanya kembali kepada Allah SWT.
Jika isteri ditinggalkan kerana Allah SWT, jika isteri berbakti kepada suami dan anak-anak juga kerana Allah SWT, keberkatan tidak perlu dipinta, bahkan Allah SWT akan melimpahkan-nya tanpa terhitung nikmatnya. Subhanallah. Perbaikilah diri dan perbetulkanlah niat, segalanya hanyalah kerana Allah Taala. Wallahuaklam.