“Malaysia Negara Janda dan Duda”. Begitulah tajuk utama sebuah akhbar tempatan yang telah disiarkan semalam. Berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, lebih daripada 274,000 ribu pasangan di seluruh negara bercerai dalam tempoh enam tahun.

Ianya adalah satu angka yang amat besar dan juga membimbangkan dengan melihat kepada institusi kekeluargaan di Malaysia yang kian rapuh. Satatistik yang lain pula menunjukkan bahawa 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu. Ini bermakna secara puratanya terdapat 156 pasangan Islam bercerai setiap hari di negara ini dengan Selangor mencatatkan kes penceraian paling tinggi di Malaysia.

“Cerai…… Elakkanlah”

Justeru, dalam ruangan Bayan Linnas kali ini kami cuba untuk menyentuh permasalahan ini dengan melihat dari sudut neraca Islami. Semoga ianya bermanfaat dan dapat dijadikan iktibar buat masyarakat Islam di luar sana.

Sebab Penceraian

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, kebanyakan kes perceraian yang direkodkan melibatkan pasangan muda dengan usia perkahwinan lima tahun ke bawah.

Punca utama perceraian ialah tiada persefahaman, pasangan curang, pasangan mengabaikan tanggungjawab, campur tangan keluarga dan orang luar serta masalah kewangan.

Antara yang membimbangkan lagi, berlakunya perceraian itu adalah kerana sebab-sebab yang amat remeh yang mana pada dasarnya boleh diselesaikan dengan duduk berbincang antara satu sama lain.

Baru-baru ini, media arus perdana negara telah menyenaraikan hampir lebih 20 sebab berlakunya perceraian dan amat malang sekali alasan-alasan yang dikemukakan untuk bercerai amatlah remeh sekali. Antara yang disebutkan adalah:

  1. Isteri meminta set persalinan 30 jenis warna untuk baju, seluar dan aksesori.
  2. Isteri mengotorkan kopiah suami kerana tidak mahu suami menghabiskan masa berborak di surau.
  3. Isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai.
  4. Isteri suka membasuh baju pada waktu malam.
  5. Suami mencurigai setiap tindakan isteri.
  6. Berbeza fahaman politik.
  7. Suami tidak suka isteri makan dalam kereta.
  8. Gaji suami lebih rendah.
  9. Isteri lambat menyediakan makanan.
  10. Pasangan bangun tidur lewat.
  11. Suami bekerja tidak tentu masa.
  12. Anak demam dan tidak sihat.
  13. Cemburu pasangan berkawan dengan bekas kekasih.
  14. Pasangan terlalu cerewet.
  15. Pasangan tidur berdengkur.
  16. Pasangan gemar membeli-belah.
  17. Suami tangkai jering (kedekut).
  18. Tidak suka cara pasangan menjemur dan membasuh baju.
  19. Berebut rancangan televisyen.
  20. Pasangan lupa pam tandas
  21. Sungguh, alasan-alasan di atas amatlah tidak masuk akal sehingga dapat meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan. Sepatutnya perkara-perkara di atas dapat diselesaikan dengan berunding, berbincang bersama pasangan demi mencari titik persefahaman.

Islam & Perceraian

Islam melihat institusi kekeluargaan adalah satu institusi yang amat penting dalam melahirkan generasi-generasi yang hebat. Bahkan jika kita melihat kepada fiqh Islami, kita akan dapati bahawa para fuqaha’ amat mementingkannya sehinggakan dalam kebanyakan kitab fiqh dan hadith pasti akan adanya satu kitab yang dinamakan al-Nikah yang mana membicarakan segala perkara yang berkaitan dengan nikah dan perceraian. Ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah dan cerai ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang mudah bagi umat Islam.

“Cerai…… Elakkanlah”

Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, awal-awal lagi Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan yang bakal dilayarkan dapat belayar dengan aman. Sekiranya badai melanda di tengah-tengah pelayaran, nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut betul pada laluannya kembali.

Ads

Namun, jika segala usaha telah dilakukan untuk mempertahankan institusi kekeluargaan itu namun hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya. Allah SWT berfirman:

ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ

Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Al-Baqarah: 229)

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah menyebut di dalam tafsirnya bahawa masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk perceraian. Mereka sesuka hati boleh menceraikan isteri mereka dan sesuka hati rujuk kepada mereka meskipun sudah seratus kali bercerai. Ianya seolah-olah tiada berkesudahan. Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya.

Ayat di atas merupakan antara dalil pensyariatan talak bagi pasangan yang berkahwin namun tidak dapat mencari jalan keluar dalam menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. Sepertinya hati telah bercerai namun mulut belum melafzakannya lagi, maka cara terakhirnya adalah dengan bercerai.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam melayari bahtera kehidupan, ianya amat memerlukan kepada ilmu, akhlak, sifat toleransi, memahami tanggungjawab antara suami isteri, menunaikan hak masing-masing dan yang paling penting dalam semua itu adalah sifat toleransi sesama pasangan.

Ads

Ingatlah firman Allah SWT dalam menceritakan tentang tujuan dijadikan manusia itu berpasangan:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Al-Ruum: 21)

Saya sarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin, sudah berkahwin mahupun yang sedang berada di ambang konflik untuk menginsafi diri dan juga melihat hakikat kehidupan berkeluarga itu yang mana amat memerlukan kepada ilmu dan juga toleransi. Antara perkara yang boleh dilakukan:

  1. Pasangan perlulah bermuhasabah diri dengan merenung kembali kesilapan diri dan berusaha untuk memperbaikinya.
  2. Selesaikanlah isu-isu kecil dengan beralah.
  3. Jangan diungkit dan memperbesarkan isu-isu yang remeh.
  4. Selesaikan isu-isu yang besar dengan duduk berbincang untuk mencari titik persefahaman.
  5. Mewujudkan masa bersama untuk merapatkan lagi hubungan.
  6. Teruskan belajar dan bawa bersama pasangan untuk menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah bersifat mingguan.
  7. Bawa anak dan isteri ke masjid untuk sama-sama bertawajuh.
  8. Elakkan menggunakan bahasa yang keras.
  9. Elakkan dari mempamerkan kemarahan di kawasan terbuka.
  10. Ringankan mulut untuk mengucapkan maaf dan sentiasalah menerima kemaafan dari pasangan dalam perkara-perkara yang kecil.
  11. Bangunlah pada waktu malam bersama pasangan untuk qiyammullail.

Semoga dengan saranan-saranan berikut dapat memberikan faedah dan manfaat buat kita bersama dan saya akhiri perbincangan kita pada kali ini dengan sebuah doa yang cukup indah yang mana Al-Quran telah mengajarkannya kepada kita dan sepatutnya selalu diamalkan ketika berdoa:

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٖ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

Ads

Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

(Al-Furqaan: 74)

Semoga doa ini sentiasa meniti di bibir-bibir kita, insan yang selalu mengharapkan kebahagian di dalam melayari bahtera kehidupan rumahtangga. Wallahu a’lam.

Akhukum fillah,

 

 

 

 

 

 

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI