Peranan wanita kini boleh dianggap sebagai hero dalam sesebuah keluarga terutama wanita atau ibu berkerjaya.

Lambakan tugas wanita yang juga isteri dan ibu sering menyebabkan golongan itu semakin kekurangan masa untuk diri sendiri.

Dalam Islam, Suami Yang Sepatutnya Menjaga Anak Dan Mengurus Segala Hal Rumah Tangga

Selesai tugasan di pejabat, wanita paling sibuk, bergegas pulang ke rumah menyediakan hidangan, menguruskan anak dan hal ehwal rumah tangga.

Malam pula, mereka meluangkan masa menemani anak membuat kerja sekolah atau menyediakan keperluan keluarga untuk keesokan harinya.

Walaupun hakikatnya semua tugas itu bukanlah tanggungjawab seorang isteri, atas rasa kasih dan ingin membantu suami, wanita itu rela melakukannya.

Tidak rasa dibebani, mereka melaksanakan setiap perkara itu dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan daripada suami. Cukup dengan penghargaan, kasih sayang dan kesediaan suami untuk membantu apabila diperlukan.

Dalam senario ini, suami sebagai ketua keluarga seharusnya memainkan peranan utama dalam mengatur segala urusan rumah tangga dan jangan sesekali mengambil kesempatan atas kebaikan isteri.

Mengikut hukum Islam, tugas berikut tertanggung di atas bahu suami:

– Menjaga anak.

– Menyediakan makan minum dan tempat tinggal untuk isteri dan anak.

IKLAN

– Mengurus segala urusan rumah tangga.

– Mendidik anak dan memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.

– Menyelenggara hal ehwal rumah tangga seperti memasak, mengemas rumah dan menjahit.

Menurut penceramah bebas, Mohd Assubhi Sidon, isteri hanya bertanggungjawab membantu suami dalam melakukan semua perkara terbabit.

“Dalam kata lain, isteri membantu sekiranya si suami tidak mampu dan tiada masa untuk melakukan tugas itu disebabkan tuntutan kerja, bukan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab berkenaan kepada isteri.

“Tetapi, isteri yang melakukan tugas membantu suami pasti dikurniakan ganjaran pahala yang besar,” katanya.

IKLAN

Menurutnya, untuk mengelakkan berlaku ketidakadilan dalam rumah tangga dan perbalahan, suami perlu turut sama menguruskan rumah tangga.

“Jangan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab itu kepada isteri walaupun dia tidak bekerja. Namun, kini kebanyakan suami sering menganggap dan bertindak seolah-olah semua itu tanggungjawab isteri serta mengharapkan isteri melakukan semua urusan rumah tangga tanpa rasa bersalah atau kasihan,” katanya.

Menurut jurulatih keluarga yang juga Ketua Pengawai Eksekutif Smart Parents Network Sdn Bhd, Zaid Mohamad, suami perlu menunjukkan teladan yang baik dengan membantu ‘kerja isteri’ di rumah, apatah lagi jika mereka mempunyai anak.

Sikap ringan tulang membantu kerja rumah bukan saja akan menyenangkan hati isteri, malah boleh menguatkan rasa kasih dan cinta mereka. Ia juga secara tidak langsung menunjukkan ciri suami yang baik kepada anak kerana ia dikenang sepanjang hayat.

“Apa yang dilakukan si ayah bakal mencorakkan sifat anak ketika mereka meningkat dewasa. Bekerjasama melakukan segala urusan rumah tangga antara suami dan isteri pasti membentuk sebuah kebahagiaan yang dapat dirasai setiap ahli keluarga,” katanya.

IKLAN

Zaid berkata, bapa perlu melakukan tugasan dalam rumah tangga bagi memastikan mereka tidak tertinggal dalam proses pembesaran anak.

“Sering dilihat kebanyakan anak lebih rapat dengan ibu berbanding bapa disebabkan ibu lebih meluangkan masa dalam proses pembesaran dan mendidik.

“Ini bukan saja menyebabkan ibu terbeban dengan tuntutan tugas di rumah, malah lebih membimbangkan apabila si anak turut terkesan dan semakin menjauh daripada bapa,” katanya.

Perkara yang boleh dilakukan bagi mengeratkan kasih sayang sesebuah keluarga:

– Suami, isteri dan anak bergotong-royong melakukan kerja di rumah seperti mengemas rumah dan memasak.

– Berkomunikasi dan meluahkan apa juga masalah dihadapi.

– Tidak memendam rasa marah atau penat yang ditanggung.

– Lakukan tugasan sebagai seorang suami dan isteri dengan ikhlas.

– Didik anak untuk menjalankan tugas mereka sejak kecil.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI