Untuk memperoleh hubungan rumah tangga yang bahagia bergantung sepenuhnya kepada cara pasangan berkenaan mengekalkan suasana harmoni dalam hubungan mereka tidak kira berapa lama usia perkahwinan.

Hal kecil yang pada pandangan kita dianggap remeh adakalanya boleh meretakkan hubungan sekiranya dibiarkan berlarutan. Apa yang penting, setiap ­pasangan perlu mengetepikan sikap terlalu emosi dan pentingkan diri sendiri selain memiliki sikap tolak ansur yang tinggi serta boleh menerima kekurangan dan kelebihan pasa­ngan.

Saling mempercayai dan menghargai

Saling percaya mempercayai menjadi kunci utama dalam hubungan suami isteri. Usah percaya bulat-bulat atau mudah melenting contohnya sekiranya anda mendengar pasangan anda berdampingan dengan individu lain di tempat kerja.

Sekiranya masih meragui, tanya sendiri kepada pasangan, usah cemburu buta tanpa bukti yang nyata. Sekiranya dia berkata benar, belajarlah untuk mempercayai kata-katanya. Namun, jangan terus percaya tanpa usul periksa dan perhatikan gerak-gerinya.

Sekiranya suami anda kelihatan berubah seolah-olah kemaruk cinta seperti sentiasa kelihatan berseri-seri, suka berbohong dan menelefon secara sembunyi-sembunyi, mungkin ada sesuatu, tetapi jika tidak, anda tidak perlu risau mengenainya.

Suami dan isteri sebenarnya harus selalu saling menghargai, memberi keyakinan dan ­memberi galakan kepada ­pasangan. Usah jadikan segala perbezaan antara anda berdua penyebab kepada masalah rumah tangga. Apa yang penting, selalu memaafkan setiap kesalahan antara satu ­dengan lain.

IKLAN

Belajar memaafkan dan berkongsi keadaan

Saling belajar untuk memaafkan pasangan dan berjanji untuk tidak mengulanginya ternyata penting untuk mengekalkan hubungan. Usah simpan dendam. Sekiranya ada perkara yang berlaku, jangan sesekali mengungkit kesalahan lalu yang menyakitkan hati. Ini kerana manusia itu tidak sempurna dan sentiasa melakukan kesalahan. Kemampuan untuk saling berkongsi perkara dengan pasangan anda sama ada suka dan duka meningkatkan lagi kerukunan rumah tangga.

Jangan biarkan pasangan anda menghadapi kehidupannya yang bermasalah seorang diri tanpa anda mengetahuinya sedikit pun. Di sinilah peranan anda sebagai seorang suami atau isteri untuk memberi semangat, menjadi penyelamat dan sentiasa ada dengannya pada saat suka dan duka.

Belajar terima kekurangan

IKLAN

Anda perlu belajar menerima kekurangan pasangan kerana dia juga perlu melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, sekiranya pasangan anda memperoleh pendapatan yang tinggi daripada anda, seharusnya perkara ini tidak membataskan hubungan dan seharusnya tidak memandang rendah antara satu sama lain kerana semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Jangan terlalu mengongkong dan berfikiran positif

Usah terlalu cerewet dan jangan mengatur hidup pasangan anda sehinggkan dia rasa terkongkong. Cuba bersikap terbuka dengan pandangan anda sekiranya ada perkara yang perlu diberitahu, usah dipendam. Luahkan sekiranya anda tidak menggemari sikapnya.

Cuba berfikiran positif mengenai apa yang pasangan anda lakukan dan jangan asyik mengesyakinya dengan fikiran yang bukan-bukan atau ada rasa tidak jujur terhadap pasangan.

IKLAN

 

Semakin lama semakin mesra

Biarpun usia perkahwinan sudah semakin matang, kemesraan anda dengan pasangan perlu dipelihara. Mencium pipi pasangan ketika pulang ke rumah di depan anak-anak menunjukkan kemesraan ibu dan bapa mereka tidak pernah padam. Pendek kata biarpun masa berlalu kemesraan antara pasangan itu tidak terlerai.

Apabila dikatakan selalu tampil cantik untuk suami anda, ini bukan bermaksud anda tidak boleh melawa lagi sekiranya bentuk badan anda sudah berubah. Anda hanya perlu tampil dengan kelihatan lebih harum, kemas dan bersih.

Kejutan menggembirakan dan kotakan janji

Buatlah sesuatu kejutan yang menggembirakan pasangan pada sambutan majlis perkahwinan atau kelahirannya. Hadiah tidak perlu yang mahal dan tulisan kata-kata cinta juga sudah memadai. Janji penting untuk ditepati, cubalah belajar menepati janji dengan pasangan anda seperti balik awal atau membelikan hadiah dan jangan mencipta pelbagai alasan sekiranya tidak dapat mengotakan janji anda.