Gaya Hidup

Dari Instagram Ke Pelamin, Syazani Zikry Nikahi Sofiah Abu Bakar Selepas 10 Bulan Berkenalan

Share

Kadang-kadang jodoh hadir dengan cara yang tidak disangka. Begitulah kisah pelakon Syazani Zikry yang kini sah bergelar suami kepada pilihan hatinya, Sofiah Abu Bakar selepas kira-kira 10 bulan mengenali hati budi masing-masing.

Syazani atau nama lengkapnya Syazani Zikry Zainul Hakim selamat diijabkabulkan dengan Sofiah dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di The Square, A-Park, Puchong pada 26 September lalu. Dengan sekali lafaz, pasangan itu sah bergelar suami isteri.

Pada majlis tersebut, Sofiah diwalikan bapanya, Abu Bakar Ismail. Syazani turut menyerahkan wang hantaran sebanyak RM20,000 bersama mas kahwin berupa seutas gelang emas.

Pasangan ini turut bertukar hantaran, dengan pihak pengantin lelaki membawa lima dulang yang kemudian dibalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.

Bermula Daripada Sekeping Foto Di Instagram

Menariknya, kisah cinta pasangan ini bermula daripada media sosial apabila Syazani terlihat foto Sofiah menerusi Instagram rakannya ketika di universiti, Amelia.

Amelia yang juga jiran kepada Sofiah kemudian menjadi penghubung kepada perkenalan mereka. Syazani terlebih dahulu meminta rakannya itu bertanyakan status Sofiah sebelum memberanikan diri untuk mendekatinya.

Mereka mula berkenalan sekitar Januari 2025 dan hubungan itu kemudiannya berkembang menjadi lebih serius.

Selepas kira-kira 10 bulan mengenali Sofiah, Syazani mengambil langkah besar apabila bertanyakan kesediaan wanita berkenaan untuk mendirikan rumah tangga bersamanya.

Menurut Syazani, hasrat untuk berkahwin memang sudah lama ada dalam dirinya, namun dia sendiri tidak menyangka jodohnya akan hadir seawal itu.

BACA JUGA: Andre Taulany & Amanda Rigby Sah Bergelar Suami Isteri, Beza Usia 18 Tahun Bukan Penghalang

Isteri Memahami Kerjaya Seni

Selepas mendirikan rumah tangga, Syazani turut berkongsi kepada media bahawa perkahwinan tidak akan memperlahankan perjalanan kerjayanya sebagai pelakon.

Menurutnya, Sofiah memahami tuntutan pekerjaannya dalam industri seni dan tidak pernah menghalangnya untuk terus mengejar impian serta matlamat yang lebih besar dalam kerjaya.

Buat masa ini, pasangan tersebut juga belum menetapkan sebarang perancangan khusus mengenai cahaya mata kerana mahu memberi fokus kepada kerjaya masing-masing terlebih dahulu.

Selepas majlis pernikahan, Syazani dan Sofiah merancang menikmati percutian singkat ke Vietnam. Bagaimanapun, perjalanan itu bukanlah bulan madu rasmi mereka.

Pasangan ini merancang percutian bulan madu sebenar pada penghujung tahun selepas selesai dengan komitmen kerja. Montenegro antara destinasi yang menjadi pilihan Sofiah, namun lokasi sebenar masih belum diputuskan.

 

Published by
Reporter Pesona Pengantin