Jika hendak bahagia, bahagiakan dahulu orang lain dan bukan membuatkan orang bersedih dan sakit hati kerana kita.

Jika hendak kebebasan, janganlah mengongkong orang yang di bawah tanggungjawab dan kawalan kita. Hal ini sangat penting supaya hidup ini tidak dibelenggu oleh perasaan negatif, sentiasa berburuk sangka terhadap orang lain dan tidak bersangka baik kepada Allah SWT.

Allah menjadikan manusia ini  dengan kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tujuannya adalah untuk mengimarahkan dunia ini.

Dengan kekurangan dan ketidaksempurnaan itulah, kita boleh menghargai kekuatan dan menerima kelemahan orang lain.

Sama seperti mengharapkan orang lain boleh menerima kelemahan dan berkongsi kekuatannya dengan kita.

Didik Hati Dan Pasangan Agar Gemar Menerima Teguran Dan Tidak Sukakan Pujian

Jom audit diri. Jika dalam apa-apa perkara, kita sahaja yang betul. Enggan mendengar pandangan serta menerima idea orang lain kerana beranggapan kita  lebih pandai dan hebat. Sebenarnya segala tindakan itu hanya akan memperlihatkan apa yang ada dalam diri kita (Ada – Beri – Dapat). Iaitu ada sikap negatif atau buruk dalam diri yang perlu dinyahkan!

Kalau mempunyai banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dan menerima kelebihan dalam diri orang lain juga. Jika kita mudah marah apabila ditegur, itu tanda kesombongan, keegoan dan kebongkakan.

IKLAN

Didik hati agar kita gemar menerima teguran dan tidak sukakan pujian. Melalui teguran kita akan tahu kelemahan diri untuk diperbaiki. Jika menjadi seorang yang suka memohon maaf dan memaafkan, itu tanda hati kita suci, ikhlas dan merendah diri. Sesungguhnya hendak memaafkan  mudah, tetapi hendak memohon maaf amat sukar, kerana terpaksa menurunkan keegoan. Hanya orang yang ada kesedaran ketuhanan yang tinggi, dan dalam dirinya ada kebaikan mampu melakukannya. Semua perkara ini membuktikan kebenaran konsep kehidupan, ‘Ada – Beri – Dapat’.

Kehidupan manusia ini ada peringkat-peringkatnya. Kejadian manusia terdiri daripada roh dan jasad. Roh atau jiwa (dalaman) adalah suci dan baik serta tidak pernah berubah, sejak dilahirkan hingga meninggal dunia. Ketika  peringkat bayi dan kanak-kanak, tingkah laku, keletah dan percakapan sentiasa menghiburkan serta membuatkan orang sekeliling bahagia. Di peringkat ini, kita adalah seorang yang baik, tidak pandai melawan ayah ibu. Lazimnya orang yang waras suka kepada bayi kerana bayi sangat menyenangkan mata memandang dan menenangkan hati apabila mengenangnya.

Dalam pada itu, jasad akan berubah mengikut umur  dan faktor persekitaran. Hal ini terjadi disebabkan banyak faktor luaran bersifat negatif meresap masuk mempengaruhi jiwa atau roh yang suci hingga hati seseorang itu dipenuhi dengan titik hitam sehingga menghijabkan kesucian roh.

Jika tidak dijaga dengan baik akan wujud titik hitam atau dalam istilah ‘pemikiran metafizik’ disebut blackhole yang mana akan menjadi penghalang kepada hati atau roh untuk menunjukkan potensi diri sebenar.

IKLAN

Apabila usia mulai mengalami kematangan, minda mula berfikir mencari jalan bagaimana hendak memenuhi keperluan hidup seterusnya.

Didik Hati Dan Pasangan Agar Gemar Menerima Teguran Dan Tidak Sukakan Pujian

Namun begitu, mengapakah sering berlaku, apabila sudah meningkat remaja dan dewasa, kita tidak lagi mampu membahagiakan orang di sekeliling? Sebaliknya kita sering mendatangkan masalah kepada mereka disebabkan tahap kesedaran keegoan yang tinggi, melibatkan beberapa sikap serta keperibadian negatif.

Beruntunglah bagi orang yang menggunakan mindanya untuk berfikir; “Mengapakah kita menjadi apa yang kita jadi sekarang?” “Semua kelebihan yang Allah berikan kepada kita itu mesti ada tujuannya dan apakah tujuan-Nya?” “Mengapakah ada perkara yang kita kuasai dan mengapakah ada perkara yang kita gagal kuasai, tetapi orang lain pula memiliki kehebatan itu?” Dalam situasi inilah kita perlu menjaga emosi.

IKLAN

Tujuannya adalah  untuk menangani kehebatan kita dan sedia menerima kelemahan orang lain. Realitinya, kecerdasan emosi akan menentukan kecerdasan fikiran dan tindakan.

Emosi yang telah terjejas akan mempengaruhi fikiran.  Sama ada positif atau negatif ia berlaku secara spontan, maknanya tidak akan berlaku secara dibuat-buat. Fikiran akan menjadi positif jika kita  mendapat sistem nilai yang positif melalui apa yang dibaca, didengar, ditonton dan dipandang.

Juga sekiranya pegangan akidah kukuh. Sistem nilai dan akidah inilah yang akan menentukan kecenderungan fikiran dalam menilai orang sekeliling  melalui  persepsi dan interpretasi. Jika persepsi dan interpretasi positif, maka ‘penerima pesanan’ pada minda kita juga positif.

Apa-apa sahaja yang terjadi kepada gen kita, akan mempengaruhi tubuh kita. Jika jiwa sihat dan positif, tubuh kita turut sihat dan positif. Cuba bayangkan, jika kita senang melihat orang lain susah dan susah melihat  orang lain senang, bayangkan apa yang ada dalam jiwa ini? Maknanya jiwa kita penuh dengan keladak.

Didik Hati Dan Pasangan Agar Gemar Menerima Teguran Dan Tidak Sukakan Pujian
 

Maka untuk kesejahteraan hidup dan menemui ‘tujuan kehidupan’ kita juga perlu melakukan refleksi diri, renung, fikir dan tanya. Mengapakah kita rasa apa yang kita rasa? Mengapakah kita fikir apa yang kita fikir? Banyak bertanya kepada diri  sendiri adalah satu cara untuk meningkatkan integriti supaya kita menjadi orang yang apa dicakap itu yang dibuat. Setiap hari tanyalah diri kita, adakah kita hidup dengan diri yang sebenar? Adakah kita hidup dengan roh yang sebenar (sifat  asalnya suci dan baik.

Ikut sahaja apa yang ada semasa  berada di alam roh yang mana kita tidak banyak soal)? Atau kita hidup dengan diri yang palsu, berpura-pura, ego, sombong dan bongkak (diri kita yang sudah berubah, roh tidak sesuci ketika baru dilahirkan atau semasa kita kecil). Binalah kebaikan dalam diri supaya kita dapat manfaat dalam kehidupan. ‘Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak’.

SUMBER : DR MUHAYA MUHAMAD

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI