
Pemberian diskaun bil elektrik sedia ada yang dilaksanakan kerajaan akan dilanjutkan sehingga 31 Disember ini, melibatkan seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bakal menikmati diskaun antara 2 hingga 50 peratus, bermula 1 Oktober hingga 31 Disember. “Ia sebagai lanjutan yang diumumkan Perdana Menteri pada 27 Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Pelanjutan ini turut terpakai bagi pengguna elektrik dengan penggunaan di antara 601 hingga 900kWj yang mula mendapat diskaun 10 peratus di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE),” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Sementara itu, bagi pengguna domestik di Sabah dan Sarawak, diskaun bil elektrik tetap diberikan sebanyak 2 peratus sehingga 31 Disember yang akan memanfaatkan kira-kira 520,000 pengguna di kedua-dua negeri itu.
“Pelanjutan diskaun selama tiga (3) bulan bagi pengguna-pengguna di Semenanjung Malaysia akan dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dengan anggaran RM392 juta.
“Manakala diskaun bagi Sabah dan Sarawak akan dibiayai oleh Kementerian Kewangan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM6 juta,” tambah kenyataan itu lagi.
Angka tersebut menjadikan kos keseluruhan pemberian diskaun bil elektrik dari April hingga Disember 2020 adalah berjumlah RM2.62 bilion. Mengimbas kembali, Suruhanjaya Tenaga pada 30 Jun lalu memaklumkan pengguna bukan domestik akan menikmati penurunan surcaj sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember, manakala pengguna domestik pula kekal membayar kadar tarif sedia ada.
Sumber: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Gaduh Macamana Sekalipun, Jangan Tidur Asing. Ini Korang Kena Tahu!

Bila bergaduh, mulalah ego masing-masing datang. Tak nak bertegur, tak nak pandang sekalipun. Kadang-kadang sampai terbawa tidur. Tapi ingat tak pesan orang tua kita, gaduh macamana sekalipun, jangan tidur asing. Ini 5 sebab korang kena tahu.
Hilang masa paling berharga.
Akan Effect Mood Esok.
Berlakunya salah faham.
Emosi anak terganggu.
Rumahtangga hambar
TEMPAT TIDUR BERSAMA PATUT MENJADI RUANG PALING SELESA
Terbukti, sains dan psikologi juga menyarankan agar semua pasangan mengekalkan tabiat tidur sekatil walaupun hubungan telah lewat usia. Tapi bila dah sekatil, jangan pula asyik dengan gajet masing-masing sampailah lewat malam.
Pandanglah wajah pasangan. Tanyakan tentang hari mereka. Berguraulah. Berpelukanlah. Biarlah tempat tidur bersama menjadi tempat kita untuk kita ‘recharge’ dan berasa lebih gembira – bukan sebaliknya!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kahwin Lama Bukan Bermaksud Boleh Abaikan Penampilan. Ini Tip Khusus Untuk Wanita

Suami kena terima saya seadanya. Mungkin itu yang anda rasakan pabila sudah bertahun-tahun hidup bersama, tidur sekatil dan sesekali berkongsi satu bantal berdua. Nah, biarpun sudah beranak-pinak dan usia pun kian meningkat, pastikan sang suami tetap bangga memiliki anda di sisinya. Membongkar 21 petua cantik agar cinta cik abang terus mekar berkembang! Pemulaan, Tempuhi hari baru dengan amalan bangun tidur ini. Tarik nafas dalam dan lakukan sedikit regangan untuk melancarkan darah. Kemudian minum segelas air, berselawat dan raupkan wajah untuk awet muda.
1. Bagi wanita berkerjaya atau surirumah yang sibuk, dapatkan potongan rambut pendek yang comel mengikut bentuk wajah anda. Ia lebih ringkas, mudah diurus dan membuatkan penampilan kelihatan lebih muda.
2. Ramai suami yang menyukai bau rambut isteri yang bersih selepas dicuci. Jadi pastikan anda bersyampu dan memakai perapi rambut setiap petang. Rutin ini juga memudahkan rambut didandan pada keesokan hari.
3. Kulit yang mulus tidak akan menjelma sekelip mata. Amalkan rutin mengusap krim malam yang baik sebelum tidur agar wajah kembali segar bermaya, sebaik anda terjaga dari lena.
4. Samada bertudung atau tidak, sembunyikan uban dari pandangan suami anda! Litupi uban dengan inai atau pewarna rambut rona gelap. Lakukan highlight jika berani, suami anda pasti teruja.
5. Rona kulit yang tidak sekata, kusam atau berbelak-belak boleh disembunyikan dengan aplikasi BB Cream. Ia bertindak sebagai bedak asas, pelembap, pencerah dan pelindung SPF yang lengkap untuk kegunaan harian.
6. Punya date membeli-belah dengan yang tersayang? Usah biarkan wajah polos tanpa solekan. Ingat lima asas solekan ringkas – berbedak, maskara, eyeliner, blusher dan lip gloss!
7. Tip agar pembayang mata bertahan lama, oleskan warna pilihan dengan putik kapas lembap berbanding berus aplikator yang disediakan. Putik kapas lembap juga baik untuk merapikan warna yang comot.
8. Semburkan mist selepas bersolek untuk membuatnya tahan berjam-jam. Amalan ini sesuai jika anda pulang dijemput suami atau berjanji makan malam dengannya selepas waktu pejabat.
9. Titiskan pelembap mata pada siang hari untuk mengembalikan kilauan, menyegar dan menghilangkan kepenatan. Lebih-lebih lagi jika memakai kanta lekap atau berkaca mata, tidaklah nanti mata asyik terkebil-kebil sahaja.
10. Bulu mata yang lentik terlihat lebih galak dan memukau. Jika bulu mata anda pendek dan tidak menarik, amalkan pemakaian alat pelentik bulu mata untuk mencipta kesan dramatik. Nah, bukankah cinta itu datang dari mata?
11. Oleskan jeli petroleum pada kening dan bulu mata sebelum tidur. Ia membantu agar ia tumbuh lebih lebat, kemas dan berkilat.
12. Mata yang sembab atau dilingkari bebayang hitam pasti tidak menarik. Lindungi masalah ini dengan gel mata yang disimpan dalam peti sejuk. Sensasi dingin akan merawat keletihan mata dengan berkesan.
13. Selain itu, gunakan timun atau uncang teh dingin untuk memulihkan lingkaran gelap. Untuk menghapuskan kantung mata, uruti daerah luar dan sekeliling mata dengan krim pelembap sambil merangsang lymphatic drainage.
14. Bayangkan bibir yang lembut mengucup kulitnya… Atasi masalah bibir kering dengan eksfoliasi setiap hari. Hanya gosok lembut dengan berus gigi dan sapukan Vaseline. Kemudian sapukan balm bibir dengan SPF 30.
15. Eksfoliasi bahagian wajah, leher dan tengkuk anda untuk menyisihkan kulit mati setiap dua minggu sekali. Bahagian-bahagian ini perlu diberi perhatian rapi kerana ia menjadi pusat perhatian suami.
16. Pupuk masker setiap minggu untuk membantu menyerlahkan wajah yang bebas cela. Namun elakkan masker ini dipakai semasa tidur, bimbang suami terkejut pula nanti!
17. Ketika bermanja dengan suami, pastikan seluruh kulit tubuh anda lembut dan licin, termasuklah tapak kaki. Amalkan sapuan losen dan sesekali lakukan rawatan spa pedicure untuk merawati tumit merekah.
18. Berurut sangat baik untuk merehatkan badan, selain membantu melancarkan darah, menyahtoksin dan membentuk badan yang pejal. Lebih intim jika anda menempah couple treatment di spa untuk urutan bersama suami.
19. Kenakan losen pelembap sebelum tidur. Tumpukan pada bahagian-bahagian kering seperti siku dan lutut. Aroma losen yang lembut juga boleh memberikan efek sensual ketika berbaring dengan suami.
20. Atasi masalah bau nafas tidak menyenangkan dengan berkumur-kumur menggunakan mouthwash khas untuk masalah ini. Lebih-lebih lagi ketika bangun dari tidur, sebaiknya gosoklah gigi terlebih dahulu sebelum mengejutkan suami.
21. Cuba belek album perkahwinan anda, lalu bandingkan perbezaan dulu dan sekarang. Apakah anda kini lebih gemuk dan tidak terurus? Kembalikan wanita jelita di dalam gambar-gambar itu. Anda masih belum terlewat untuk berdiet dan menjaga pemakanan. Mungkin tidak sekurus dulu tetapi sekurang-kurangnya berat badan terjaga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sukar Jumpa Jodoh, Ibu Suruh Jumpa Bomoh

Saya ini andartu (anak dara tua) sudah berumur mencecah 40 tahun lebih.Namun belum juga mendapat jodoh sehingga sekarang. Ibu saya menjadi risau kerana sudah berumur 40 tahun lebih tetapi tiada suami. Ibu saya ambil keputusan untuk bertemu dengan bomoh dengan tujuan membuang sial yang ada pada saya. Apa betul tindakan ibu saya itu?

Jawapan :
Satu perkara yang perlu kita ketahui, bahawa apabila kita merancang sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang.Segala apa yang melibatkan jodoh,rezeki, kematian dan lain-lain telah ditentukan oleh Allah swt. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi saw daripada Abdullah Bin Mas’ud :
إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ…. إلخ
Maksudnya :” Sesungguhnya setiap dari kalian akan dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari kemudian menjadi segumpal darah dalam tempoh yang sama. Kemudian menjadi segumpal daging dalam tempoh yang sama. Kemudian Allah mengutuskan malaikat dan diperintahkan (malaikat tersebut) dengan empat kalimat. Dikatakan kepada malaikat : tuliskan amalannya, rezekinya, ajalnya, adakah dia bahagia atau derita..”
Riwayat al-Bukhari ( 3208)
Perbuatan ibu saudari yang pergi menemui bomoh semata-mata untuk membuang sial bagi memudahkan mendapat jodoh adalah salah sama sekali. Perkara ini telah dijelaskan oleh Nabi saw yang diriwayatkan oleh Safiah daripada beberapa isteri Nabi saw. Sabda Baginda :
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya :” Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.”
Riwayat Muslim (5957)
Imam al-Nawawi menyatakan maksud tidak diterima solatnya adalah solat yang dilakukan tidak mendapatkan pahala.

Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (14/227)
Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw menyebut :
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلى الله عَليه وسَلم
Maksudnya :” Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.”
Riwayat Ahmad (9667)
Jelas di dalam hadis tersebut ancaman yang diberikan oleh Nabi saw bagi sesiapa yang berjumpa dengan bomoh, dukun atau yang semisal dengannya. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani ketika memberikan komentarnya berkenaan hadis ini beliau mengatakan :
“Lafaz-lafaz ini jelas menunjukkan ancaman (bagi yang datang berjumpa dengan dukun dan sebagainya).”
Rujuk Fath al-Bari (3/364)
Menerusi hadis-hadis ini, maka kami nasihatkan agar jangan pergi berjumpa dengan dukun atau bomoh atau apa sahaja yang semisal dengannya. Mereka tidak terlepas dari menggunakan sihir. Ketahuilah bahawa dosanya sungguh besar. Ini telah dinyatakan oleh Nabi saw dalam satu riwayat sabda Nabi saw :
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya :”Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”
Riwayat al-Bukhari (2766)
Selain daripada itu, tiada konsep sial di dalam Islam. Sabda Nabi SAW :
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya :” Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Bergantunglah hanya kepada Allah SWT. Sentiasalah berdoa, mengharap, memohon dan bermunajat hanya kepada Allah SWT. Mintalah hanya kepada Allah. Jangan pergi kepada selain Allah SWT apatahlagi jika yang ditemui adalah tukang tilik,dukun, bomoh atau apa sahaja namanya.
Persoalan berkenaan bomoh dan sebagainya telah kami jelaskan di dalam beberapa ruangan antaranya :
Sebagai seorang mukmin, kita digalakkan untuk berdoa kepada Allah.Firman Allah SWT :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu….”
(Surah Ghafir :60)
Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata :
“Doa adalah ibadah. Doa ialah mohon agar diberi manfaat dan dijauhkan daripada perkara yang buruk. Doa kepada selain dari Allah tidak langsung mendatangkan faedah. Yang mampu jawab hanyalah Allah dan Allah memerintahkan untuk berdoa serta berjanji untuk tunaikannya. Janji Allah adalah benar.”
Rujuk al-Tafsir al-Munir (24/150)
Jangan pernah meremehkan kuasa doa. Lihat sahaja doa Nabi Musa ketika Baginda berdoa yang mana ianya dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :
فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ
Maksudnya :” ..lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan”.
(Surah al-Qasas : 24)
Bukan sahaja diberi ganjaran atas pertolongan yang dihulurkannya bahkan ditawarkan oleh seorang lelaki untuk berkahwin dengan salah satu anak gadisnya. Teruskan berdoa dan bermunajat. Di samping berusaha mencari.
Selain itu, kami nasihatkan agar jangan terlalu memilih. Jika sudah bertemu dengan lelaki yang soleh, bertanggungjawab dan mampu memikul bebanan maka lakukan istikharah agar diberi petunjuk yang terbaik. Sabda Nabi saw :
إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Maksudnya :” Jika ada yang meminang dan kalian redha dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah. Jika kalian tidak berbuat demikian akan terjadi fitnah di bumi dan keburukan akan meluas.”
Riwayat al-Tirmizi (1004)
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

