Sekadar gambar hiasan

Nukilan ini hanya sekadar luahan perasaan, kerna diri ini buntu dan tidak tahu hendak diluahkan kepada siapa. Setiap hari air mata menangisi dan mengadu kepada Allah sehingga sampai masa tiada lagi air mata yang mengalir walau hakikatnya hati ini terlalu bersedih dan terluka dengan mulut-mulut durjana manusia.

Diri ini sering dipandang hina, dikeji dan terus-terusan disakiti dengan soalan yang aku sebagai hamba Allah yang kerdil tidak tahu jawapannya. Umpama menjadi 1 dosa yang sangat besar jika tidak mempunyai zuriat. Berdosakah aku?

Aku sudah berkahwin selama 4tahun lebih, diawal perkahwinan, aku keguguran.Sejak itu, aku sudah tidak berpeluang lagi merasa kehadiran khalifah didalam rahim ini.

Hari raya merupakan hari untuk setiap insan bergembira, tapi rasanya bukan untuk diri ini. Bukan untuk suami isteri yang tidak mempunyai zuriat. Masa inilah, semua orang, sanak saudara menjadi penyiasat. Soalan bertubi-tubi sehingga lidah ini menjadi kelu untuk memberi jawapan.
Jawapan yang aku sendiri tidak tahu dimana penghujungnya. Hanya Allah yang lebih tahu. Ketahuilah, andai aku boleh mengetahui jawapannya, biar aku sendiri yang bertanya pada Allah, apa salahku, apa dosaku sehingga aku diuji dengan ujian yang berat ini.

Tapi, siapalah aku? Allah tidak pernah berjanji hambanya yang berkahwin akan mempunyai zuriat. Tapi apa yang aku tahu, setiap ujian yang Allah beri pada hambanya tanda dia rindu dan tanda dia menunjukkan kasih & sayangnya.

Adakah aku beruntung? Ye, aku hambanya yang beruntung kerna aku tahu Allah masih sayangkan aku. Diberinya aku ujian ini. Sebab dia rindu nak dengar rintihanku dan tangisanku setiap malam.

Aku redha dan setiap kali mengadu padaNya hatiku menjadi tenang setenang air yang mengalir.

Namun ketenangan ini sering diragut oleh manusia yang lidahnya setajam pisau, tidakkah mereka tahu apa itu dosa sesama manusia? Lebih baik kamu diam dari berkata-kata.

Hanya 5 minit saja kau perlukan untuk bercakap dan bertanya tentang zuriat, tapi adakah kau tahu hati ini mengambil masa berminggu-minggu dan kadang berbulan-bulan untuk dipujuk?

IKLAN

Kau tanya aku “apa masalah kamu laki bini nie, kahwin dah lama pun tak juga mengangdung?”. Aku kelu untuk menjawab, andai kau tahu, kami dah pergi pakar dan kami suami isteri tiada apa-apa masalah. Semuanya dalam keadaan baik, cuma rezeki belum berpihak.

Seorang lagi dari kamu bertanya sambil memegang perutku, “dah ada isi ke”?Bila aku menjawab tidak, kau membuat muka sinis sehingga berlinang mata ini.Tidakkah kau nampak perutku? Ada khalifah ke didalam rahimku ini?kenapa kau bertanya soalan yang kau dah tau jawapannya? Apa tujuannya? Ingin menyakiti?

Kemudian ada diantaranya menyuruh aku berdoa banyak-banyak dan dengan selamba dia meneka mungkin ada yang tidak kena dengan doaku sehingga Allah tidak kabulkan.

Allah…perlukah itu yang keluar dari mulutmu? Aku tahu aku pendosa, doaku tidak dikabulkan atau didengar.Jika kau bukan pendosa, dan doamu mudah dikabulkan, doakan aku bukan sakiti aku.

Ada juga yang cadangkan pelbagai ubat, rawatan dan urutan. Adakah kamu rasa kami tidak iktiar? Adakah kamu rasa kami hanya berserah dan menunggu bulan jatuh ke riba?

IKLAN

Tahukah kamu beribu-ribu duit kami dihabiskan dengan pelbagai iktiar. Perlu ke kami canang satu dunia? Berhenti tuduh kami tidak beriktiar.

Kami tahu anda semua terlalu perihatin, tapi maaflah bukan itu yang kami mahu. Cukup doakan kami dan berhenti dari terus menguris hati. Hati kami sudah teruk terluka sepanjang 4tahun lebih ini.

Kepada anda yang perihatin, berhentilah cadangkan kami pelbagai iktiar. Berhenti tag kami difacebook tentang kehamilan sebab kami rasa terlalu bersedih setiap kali melihat nama kami ditag. Kami tahu niat anda ikhlas, tapi cukup-cukuplah.

Ada yang mengajar aku pelbagai teknik, katanya kami salah teknik. Perlu ke aku bercerita yang aku sering google teknik yang sapatutnya? Perlu ke aku cerita perihal didalam kainku? Perlu ke? Jika kamu terlalu hebat diranjang, cukuplah hanya kamu yang tahu tidak perlu mengajarku, sebab ia menampakkan kelemahanmu.

IKLAN

Wajah ini sering menipu, pura-pura gembira bila melihat orang yang kahwin kemudian sudah berisi,adik beradik bertambah-tambah zuriatnya tidak kurang saudara mara dan sahabat handai berlumba-lumba mencipta generasi.

Aku terpaksa nampakkan aku gembira, tetapi hanya Allah dan suami yang tahu air mata ini mengalir dikala sendiri. Dikala dibelakang insan-insan yang bergembira menunggu kelahiran cahaya mata.

Terima kasih suami kerna sering meminjamkan bahumu untuk menangis. Kita menangis bersama-sama kerna manusia. Tapi kita tau kita bahagia walau berdua. Terima kasih Allah hadirkan dia untukku.

Aku pernah meminta suami cari peneman baru supaya dia ada zuriat keturunan. Walaupun hati diguris-guris saat mengeluarkan kebenaran itu dari mulut ini. Isteri mana yang mahu dimadu? Isteri mana mahu berkongsi kasih?Aku tahu kekurangan diri. Aku menangis walaupun konon merelakan, tapi suami masih ingin sama-sama mengharungi. Katanya peneman baru bukanlah penyelesaiannya. Dalam hati gembira mendengarnya. Terima kasih suami, sebagai ganjaran kesabaranmu akan aku tingkatkan lagi ketaatanku supaya kau dapat ke syurga sebagai suami yang terbaik.

Kepada manusia diluar sana, cubalah jaga hati kami yang tidak seberapa, kami tahu kami bukanlah siapa-siapa, tapi ketahuilah kami juga mempunyai hati dan perasaan. Hati kami dicipta bukan untuk terus disakiti. Berdoalah moga Allah bagi kamu pinjam pinjamannya itu dengan lebih lama. Janganlah kamu riak dengan kami yang tiada. Sekian. Wasalam.

– Nieza

Kredit: iiumc.com

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI