
Tak ramai yang setuju nak duduk sebumbung mentua, baik pasangan lelaki dan perempuan, pasti ada alasan tertentu.
Namun berbeza dengan penyanyi Liza Hanim dari sudut pengalamannya sendiri yang mana ayahnya meletakkan syarat supaya mereka menetap di rumah tersebut ketika suaminya mahu masuk meminang.
Duduk Sebumbung Dengan Mentua Dan Menantu, Liza Hanim Tak Ada Masalah
“Ada yang berpandangan menantu perempuan tidak boleh tinggal serumah dengan mertua. Bagi saya, itu semua terpulang kepada bagaimana pasangan suami isteri itu menguruskan rumah tangga mereka.
“Alhamdulillah, saya bertuah kerana waktu suami nak masuk meminang, arwah ayah waktu itu meletakkan syarat supaya kami duduk di rumah sekarang. Pun begitu, mereka (mak ayah) tidak pernah sekali pun campur tangan dalam urusan rumah tangga kami,” katanya lagi.
Tambahnya, pilihan untuk tinggal bersama ibu bapanya selepas berkahwin dibuat atas dasar mahu menjaga mereka yang sudah berusia.
“Saya juga nak kejar pahala, sebab itu memilih untuk duduk dengan mak ayah dan menjaga mereka. Begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain turut mahu berbuat demikian.
“Pada saya, terpulang kepada cara masing-masing. Cuma, apabila saya menjadi mertua suatu hari nanti, saya harap tak akan masuk campur urusan anak menantu. Doakan ya,” tambahnya.
Dah Biasa Dengan Cara Keluarganya Sebelum Ini
Malah pelantun lagu Gelisah Mimpi itu tidak menolak kemungkinan akan mempraktikan cara dan didikan yang sama seperti dilakukan oleh ibu bapanya sebelum ini.
“Memandangkan saya juga punya anak yang sudah besar dan ada yang berumur 20 tahun, sampai masa pasti saya akan keseorangan, tiada anak yang menjaga saya. Jadi, saya akan gunakan cara sama sepertimana ayah dan ibu lakukan.
“Walaupun anak-anak duduk di rumah sekali, namun hal rumah tangga mereka tak perlu nak masuk campur. Sebagai orang tua, kita hanya boleh perhati dan memberi nasihat. itu sahaja syaratnya,” ulas ibu kepada lima cahaya mata itu lagi.
Sumber : Sinarplus
Luahan Isteri-Isteri, Sebenarnya Lagi Pening Melayan Suami Dari Melayan Karenah Anak-Anak

Ramai yang salah faham dengan konsep “leader” dalam rumahtangga. Tugas suami sebagai leader keluarga bukan hanya bagi arahan sahaja tapi leader keluarga bertanggungjawab ke atas kesihatan, kebahagiaan dan keselesaan anak dan isteri mereka.
Malangnya, bagi ramai wanita, setelah menjadi ibu mereka bukan sahaja kena mengasuh anak, malah terpaksa juga mengasuh suami.
- Malah, 46% daripada wanita mengatakan suami mereka menyebabkan stress lebih tinggi daripada anak-anak mereka!
- Tiga orang dari empat yang masih ada pasangan mengatakan bahawa mereka melakukan kebanyakan tugas keibubapaan dan rumahtangga.
- Satu dalam setiap lima ibu berkata tidak dapat bantuan daripada pasangan mereka adalah sumber utama stres setiap hari.
1. Suami Kena “Involve” Dalam Urusan Rumahtangga & Parenting
Tak pandai boleh belajar. Kalau tak buat langsung memang sampai bila pun tak pandai. Berani dan rajinkan diri, tanya isteri kalau ada apa – apa yang boleh di bantu. Jangan malu untuk jadi pandai, tapi malulah bila berlagak pandai!
2. Berbincang Tangga Kejayaan Rumahtangga
Ada tak puas hati isteri terus bincang dengan suami. Pendam tak datangkan faedah. Suami pula jangan ego, dengar baik – baik bila isteri luahkan perasaan tu. Kalau nak tahu, luahan isteri itu la penanda aras prestasi kita sebagai suami, ayah dan lelaki.
3. Isteri Tolong Percaya Pada Suami
Selalunya akan ada dua belah cerita. Suami cerita lain, isteri cerita lain. Berhenti salah menyalah. Mula percaya pada suami, yakinkan suami boleh buat sebab setiap lelaki pasti mahu jadi suami dan ayah yang terbaik buat keluarga.
4. Berhenti Kejar “Perfect”
Kadang – kadang bukan suami tak tahu buat kerja tapi si isteri yang terlalu cerewet. Sentiasa nampak salah suami. Suami yang nak membantu pun jadi tawar hati. Biarkan je macam mana suami nak buat, comot sikit tak apa asalkan dia tolong.
5. Sentiasa Hargai Diri Sendiri
Tolak godaan untuk sentiasa buat kerja. Ingatlah untuk menghargai masa anda sendiri untuk “self healing” dan menjaga kesihatan diri anda sendiri. Buat kerja biar berpada – pada, kesihatan kena jaga selalu.
“Ringan sama di jinjing, berat sama di pikul”
Ingat! Anda bukan hanya ibu bapa, anda berdua adalah rakan kongsi, anda berkongsi hidup sebagai satu keluarga. Leader ( suami ) yang baik adalah leader yang boleh “lead & protect” ahli keluarga mereka, bukannya “comand & conquer” !
Sumber: Mohd Fhais
Isteri Depresi, Tanggungjawab Suami Untuk Berada Di Sisi Isteri

Ini perkongsian seorang suami yang mempunyai isteri yang mengalami masalah depresi yang sering dipandang enteng kebanyakan suami.
Ayuh ikuti pengalaman Najmi Nawawi ini.
==================================================
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
#isterikudepresi
p/s : tolong sebarkan, biar lebih ramai tahu dan faham apa itu depresi. Tolong.
SUMBER : FACEBOOK Najmi Nawawi DAN Husna Nadhirah.
Dahulukan Calon Pasangan Pilihan Keluarga. Ada Kalanya Kita Kurang Matang Dalam Membuat Keputusan

Menerusi segmen Pesona D’Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkongsi hadis Nabi SAW mengenai kekeluargaan.
Daripada Ibnu Majah, Nabi SAW bersabda: “Nikah itu sebahagian daripada sunahku. Orang yang tidak mahu beramal (kerana benci), maka dia bukan daripada kalanganku. Kahwinlah kamu! Kerana aku bangga dengan umatku yang ramai. Siapa yang ada kemampuan, bernikahlah. Maka, siapa yang tidak mampu, hendaklah kamu berpuasa. Sesungguhnya puasa itu ada ubat untuk menundukkan nafsu.”
Apabila Baginda SAW menyatakan nikah itu adalah sunah Baginda, maka daripada awal proses pernikahan itu terdapat sunahnya. Tatkala seseorang menyatakan hasrat untuk mencari pasangan, maka mulakanlah dengan sunah.
Lakukan solat sunat istikharah bagi memohon kepada Allah SWT supaya dipermudahkan urusan memilih pasangan. Apabila anak ingin mencari jodoh, galakkan untuk melakukan solat sunat istikharah supaya tidak mudah tertipu dengan pandangan mata manusia.
Mohon kepada Allah SWT untuk membimbing kita dalam urusan memilih pasangan. Tatkala selesai istikharah dan kita yakin dengan pilihan itu, dapatkan restu serta reda kedua ibu bapa.
Dahulukan calon pasangan pilihan keluarga
Bercerita soal jodoh, Ustaz Muhammad mencadangkan supaya mendahulukan calon pasangan pilihan keluarga. Ada kalanya, kita kurang kematangan dalam membuat sesuatu keputusan. Tambahan pula, ia membabitkan keputusan besar dalam hidup untuk membina sebuah keluarga.
Di mata kita mungkin sudah terbaik, namun ada kala kita salah menilai. Walau bagaimanapun, Islam tetap mengajarkan kita untuk lakukan istikharah supaya diberikan yang terbaik dalam perjalanan memilih pasangan hidup.
Ibu ayah pastinya mengharapkan yang terbaik buat anak mereka, terutamanya apabila telah lama mengasuh, mendidik dan membesarkan. Jalan terbaik adalah berserah kepada Allah SWT melalui jalan istikharah kita kepada-Nya.
Doa supaya diberi pasangan hidup terbaik
Dalam memilih pasangan hidup dan mempersiapkan diri membina sebuah keluarga, ayah perlu mendidik anak sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan pasangan hidup yang terbaik, sentiasa mentaati perintah-Nya serta menghormati orang tua.
Jika datang daripada calon pilihan kita, berbincang dengan baik dan pastikan calonnya mendapat restu kedua ibu bapa. Akhirnya, tetap perlukan petunjuk daripada Allah SWT mengikut apa yang telah diajarkan Baginda SAW.
Sunah yang dituntut dalam mendirikan sesebuah rumah tangga ada pada majlis akad nikah yang bererti kita mengambil tanggungjawab kepada kedua-dua pihak, baik isteri daripada segi layanan kepada suami mahupun suami daripada sudut nafkah kepada isteri.
Tatkala menimang cahaya mata, Baginda SAW telah gariskan beberapa panduan sunah untuk diikuti demi melahirkan generasi umat Baginda yang taat kepada Allah SWT.
Ajar adab bermula usia tujuh tahun
Rasulullah SAW bersabda: “Bermain-mainlah dengan anak kamu sehingga usianya tujuh tahun. Kemudian hendaklah kamu mengajarkannya adab bermula usia tujuh sehingga 14 tahun serta jadikannya sahabat atau kawan ketika berusia 14 tahun ke atas.”
Andai berlaku sesuatu ke atas rumah tangga atau terputus hubungan pernikahan itu, terdapat juga sunah yang diajarkan oleh Nabi SAW.
Semoga kita memperoleh rumah tangga yang bahagia dan dibahagiakan oleh Allah SWT. Rumah tangga bahagia bukan terletak pada mewahnya harta, namun bahagia letaknya di hati.
Allah SWT yang meletakkan kebahagiaan dalam hati kita, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang yang beriman.” (Surah al-Fath, ayat 4)
Oleh Mohd Faiz Othman
GAMBAR : AZFARINA SULAIMAN