
Gaji sudah mencecah lima angka, tetapi perbelanjaan bulanan sering tidak mencukupi. Apabila dicongak-congak, tidak tahu ke mana sebenarnya duit itu dibelanjakan. Sebagai manusia biasa pasti kita tidak akan pernah terlepas daripada mengeluh dengan kekurangan rezeki. Namun pernahkah kita audit diri kita sendiri? Apakah punca yang menyebabkan sukarnya untuk kita menjemput rezeki?

Datuk Professor Dr. Muhaya Mohamad pernah membincangkan isu ini. Beliau memberitahu, setiap individu sebenarnya telah ditetapkan rezeki, jodoh dan umur mereka semenjak berada di dalam kandungan iaitu ketika berusia 4 bulan. Jadi, selagi manusia itu tidak lagi menikmati rezeki yang Allah telah tetapkan, manusia itu tidak akan mati.
“Seseorang itu kena yakin dengan Allah. Rezeki itu bukan hanya pada duit, tetapi kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan hati yang ingin berbuat baik. Rezeki itu sebenarnya meluas.
Kena tahu tentang undang-undang kompensasi. Undang-undang kompensasi ini adalah apa yang kita buat, itu yang kita dapat. Contohnya, kalau kita bergaji RM3000, tetapi kita bekerja seperti orang yang bergaji RM2000, lebihan yang RM1000 tadi akan diambil balik. Begitu juga sebaliknya,” Betul lah apa yang Prof Muhaya katakan tu. Gaji kita banyak tu, kita buat kerja senilai dengan tu. Kalau kurang, ia akan pergi ke mana-mana yang kita pun tak akan tahu.
Selain itu, beliau juga berkongsi bahawa jika seseorang itu banyak berbuat dosa, maka ia juga akan menolak rezeki dan hilang keberkatan. Kalau orang menganggap dia mendapat rezeki kerana dia kuat bekerja, itu silap. Kerja yang kita buat itu adalah amalan soleh. Rezeki yang kita dapat adalah rahmat Allah. Jadi, kalau kita buat sesuatu kerja yang tidak ada keberkatan Allah, tidak ada Bismillah, duit yang kita perolehi itu akan hilang begitu sahaja.
Jadi bagaimana untuk dapat keberkatan?
Jelas Prof Muhaya, pertama sekali seseorang itu perlu betulkan niat dalam mencari rezeki. Untuk dapat rezeki yang berkat, pertama sekali kena betulkan niat kita dengan Allah. Selain itu, kita kena niat rezeki itu biarlah mencukupi. Jangan dengki dengan rezeki orang lain. Ini kerana jika kita tumpang gembira dengan rezeki orang lain, kita juga akan dapat rezeki seperti mereka. Doakan yang baik-baik untuk orang lain. Kalau kita peniaga, kita doakan pesaing kita maju. Orang yang paling kedekut, adalah orang yang tidak mendoakan orang lain.
7 Cara Berkesan Untuk Si Isteri Tawan Hati Pasangan Yang Sedang Merajuk

Lelaki merajuk mungkin kedengaran agak pelik bagi sesetengah wanita. Hakikatnya, lelaki juga sering merajuk dek kerana sebab-sebab tertentu. Tambahan lagi, pasangan yang sudah berkahwin sering mengalami perbalahan dalam rumah tangga.
Bagi si isteri, mungkin agak rungsing mengenangkan suami yang sedang merajuk. Jom kita lihat cara berkesan untuk tawan hati suami kembali!
Beri Ruang Dan Masa
Sekiranya berlaku pertelingkahan atau perbalahan antara pasangan, kedua-dua pihak masih dalam keadaan marah dan ego. Oleh itu, masa dan ruang diperlukan untuk berfikir sedalamnya punca masalah serta penyelesaian yang betul.
Anda pastinya sudah tahu mengenai ego lelaki yang agak tinggi. Beri sedikit masa kepada pasangan anda untuk menenangkan fikiran hati dan perasaan yang sedah marah. Apabila dia sudah tampak agak tenang dan relaks, mula tegur dia seperti biasa dan mintalah maaf sekiranya perlu.
Berikan Pelukan Dan Ciuman Manja
Cara ini sememanngnya paling manis dalam perhubungan. Cara ini boleh membuatkan si dia senyum kembali. Berikan suami anda ciuman dan pelukan paling manja buat si dia.
Lumrah lelaki menyukai belaian dan kasih sayang seorang isteri. Pastinya dia tidak mampu menolak pelukan dan ciuman yang diberikan oleh anda.
Masak Makanan Kegemaran
Cara ini juga boleh membuatkan hati si dia menjadi cair. Berikan kejutan dengan memasak makanan kegemarannya. Untuk tampak lebih romantis, hidangkan dengan cara sedikit berbeza dan istimewa.
Anda boleh menjadikan ia sebagai candle light dinner untuk anda berdua. Lelaki cukup gemar memakan makanan yang dimasak oleh si isteri. Tambahan pula, anda masak dengan penuh kasih sayang dan seikhlas mungkin.
Bincang Dari Hati Ke Hati
Komunikasi amat penting dalam sesebuah perhubungan. Bawalah berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. Jangan biar hati yang marah menjadikan hubungan anda retak.
Bincang dengan hati yang terbuka dan mengakui kesalahan masing-masing. Jangan biarkan ego anda mengatasi segalanya. Selami hati suami anda dengan mendalam kerana anda lebih tahu mengenai isi hati pasangan anda.
Berikan Hadiah
Sekiranya perkara-perkara di atas masih tidak membuahkan hasil, anda boleh mencuba dengan cara memberikan hadiah buat suami anda. Mungkin cara ini nampak klise, namun lelaki juga sukakan kejutan.
Berikan hadiah atau barangan kesukaannya sebagai cara untuk memujuk. Dengan cara ini, lelaki menganggap dirinya begitu dihargai oleh anda.
Mengalah Dan Meminta Maaf
Perkara ini harus dilakukan pada awal kejadian agar tidak menjadi melarat. Turunkan ego anda untuk mengalah dan meminta maaf walaupun kesalahan tersebut bukanlah datang dari anda.
Tidak salah untuk meminta maaf terlebih dahulu. Mungkin dari situ, suami anda dapat melihat kebaikan yang sebenar dalam diri anda. Anda harus ingat, mengalah tidak bermakna anda kalah.
Gunakan Media Sosial
Dunia sekarang semakin canggih dengan teknologi. Antara perkara yang anda boleh lakukan melalui media sosial ialah dengan memuat naik gambar anda berdua dengan kepsyen yang manis dan sweet. Anda boleh ‘tag’ pasangan anda agar dia mengingat kembali kenangan anda bersamanya.
Mungkin hatinya akan lebih tersentuh melihat kesungguhan anda untuk memperbaiki hubungan anda berdua. Tapi ingat, jangan sesekali membuka aib pasangan anda kerana boleh menjadikan keadaan bertambah buruk. Maklumlah kuasa media social boleh membawa padah.
Percayalah, Hanya Isteri Yang Lebih Tahu Baik Dan Buruk Sikap Suaminya

Seorang suami minta nasihat mengenai isterinya. Isterinya asyik marah anak-anak. Anak saya 3 orang ustaz. Isteri asyik mara dan jerit pada anak-anak. Terasa kasihan pada anak-anak. Terasa tiada hari anak-anak tak kena marah. Kadang-kadang saya tengok isteri saya sayang yang kecil jer.
Kakak sulung asyik kena marah jer. Semua salah kakak besar. Saya takut anak jadi trauma. Dia kalau menjerit atau marah saya rasa nak lari rumah. Kalau saya cuba pertahankan anak saya. Dengan saya-saya kena marah.
Abang nak tahu tak Allah sayang abang. Bila saya dengar ketua keluarga ingin bertanya soalan begini tandanya dia seorang yang baik dan bertanggungjawab. Abang nak bantu dan selesaikan.
Sebenarnya selalu wanita tanya masalah suka cubit dan marah anak-anak. Bila saya dengar saya terus tanya ada bincang dengan suami..itu antara punca utama.
Abang nak tahu tak sebenarnya bukanlah kita nak salahkan sesiapa. Selalunya wanita yang selalu marah-marah anak dan tak boleh kawal emosinya kerana dia dahagakan perhatian dan cinta suaminya. Dia rindukan suaminya. Dia ingin suaminya bersamanya. Isteri kita wanita yang Allah jadikan sensitif. Jiwa mereka lembut. Mereka dahagakan kasih sayang dan rasa kebersamaan dalam membuat segala urusan rumahtangga.
Wanita ini bila kita dah dapat hati dia. Semuanya akan jadi superb. Juta-juta kali lebih layanan dan kasih sayangnya kepada suami dan anak-anak. Bila dah terluka dan sakit semuanya berubah…
Kita perlu sedar. Dia bukan bibik kita. Dia bukan orang gaji kita. Mereka wanita yang kita nikahi maksudnya ingin kita cintai,sayangi, bimbing dan pembantu kita sehingga syurga Allah. Mereka bukan milik kita. Mereka amanah Allah..
Sebab tu kata ulama pintu agama sebuah keluarga ialah ayah. Pintu agama buat anak-anak ialah ibu. Jika kita membimbing isteri kita dengan Islam dengan cinta dan sayang insyaAllah isteri kita akan bimbing anak-anak kita Islam dengan cinta dan sayang. Mereka dahagakan belaian dan kasih sayang.
Peluk mereka. Sayangi mereka. Lihatlah nanti mereka akan peluk dan sayang anak-anak. Bila sampai rumah sunnah beri salam dan peluk atau cium ahli keluarga. Anak-anak dahagakan pelukan dan ucapan sayang. Mak anak yakni isteri kita yang penat sepanjang hari tu lagi dahagakan ciuman, pelukan dan ucapan sayang terima kaseh dari suaminya. Begitu juga kita kan abang. Kita pun ingin begitu. Kita semua cuma manusia yang sedang belajar nak jadi baik.
Begitulah juga seorang ibu yang melayan anak besar sampai anak kecil dengan cinta dan sayang..begitulah kakaknya pula akan mencintai adiknya. Esok adiknya pun akan saling mencintai dan menyayangi kakak dan mak ayahnya. Esok kita mati mereka tak berebut harta tapi berebut nak bagi syurga paling tinggu buat mak ayah. Cinta ialah pendidikan yang utama pada keluarga selepas iman.
Suami isteri yang saling membantu. Saling mencintai. Saling menghargai akan membuat anak-anak pun jadi begitu. Janganlah pernah bergaduh depan anak-anak. Nanti anak kita akan jadi stress dan mereka akan jadi hipokrit. Jangan paksa anak kita terpaksa memilh antara kedua ibubapa. Dalam kata lain satu bas tapi ada 2 pemandu dan 2 arah tujuan. Kerana itu biarlah tidur sekali dan mimpi pun sama.
Bila isteri marah anak. Jangan lawan atau marah isteri depan anak. Bila isteri marah kita bantu apa yang patut. Kadang-kadang masa tu dia tengah susu anak, 2 anak lagi bergaduh dan jatuhkan air atau makanan. Kita tolong kutip makanan yang jatuh bersihkan. Kita tolong jaga 2 anak lagi.
Biasa mereka marah sedang mereka masak lauk di dapur seorang diri. Kita suami kadang-kadang tengok tv atau hp. Anak-anak dah sepahkan rumah ada yang mengacau di dapur. Mereka kunci jam Mereka masak sahur, mereka kena hidang. Mereka kejut anak. Mereka kejut suami, mereka kemas pinggan dan dapur. Mereka kena marah kalau tak kemas. Mereka kena marah kalau terlambat. Mereka kena marah jika penat tak bangun sahur.
Mereka bukan marah anak sebenarnya abang. Seperti anak-anak. Mereka buat hal, mereka jadi pelik, mereka bergaduh, mereka tak nak pergi sekolah, mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang ibubapanya. Lagi mereka kena marah dan jerit lagi mereka berusaha tarik perhatian..buat macam-macam
Sebab tu banyak isteri yang dulunya baik dan lemah lembut. Tapi bila suami dia buat hal dan ada perempuan lain. Dia maafkan tapi belum dapat lupakan mereka jadi berubah. Terus jadi pemarah dan kuat mengamuk dan bermasam muka..mula minta macam-macam. Cemburu lain macam. Sangka macam-macam sebab hati mereka dah luka.
Ubatnya kita sebagai ketua keluarga hidupkan amalan ta’lim dalam rumah. Pergi berdating berdua. Berjuang di jalan Allah. Cuba bawa isteri 3hari belajar iman. Berada di jalan Allah. Pergi umrah. Ziarah Kaabah. Ziarah Rasulullah saw. Solat malam sama-sama. Bersyukur kunci segalanya. Sentiasa sabar. Lihat orang yang lebih susah dari kita.
Ya Allah sayangilah isteri kami yang tercinta. Kami maafkan segala salah silap mereka semua kepada kami. Kerana semua ini salah kami sebagai suami kerana belum menjadi suami yang baik. Maafkan kami kerana belum menjadi isteri yang baik.
Sumber : Ebit lew
Didiklah Anak Lelaki Erti Tanggungjawab Agar Bila Kahwin Mampu Didik Isteri Sentiasa Bersyukur!

Menyentuh faktor ekonomi atau kewangan dalam rumah tangga bukanlah perkara yang luar biasa di dalam sesebuah perkahwinan. Isu kewangan keluarga kadang-kala menjadi punca utama perceraian kerana ia adalah sebab utama pasangan bergaduh.
Dalam Islam pernikahan itu adalah satu ibadah. Jika ingin berkahwin, seseorang itu mestilah seorang yang mampu fizikal, mental (termasuk kerohanian) dan kewangan. Hanya dengan kemampuan dalam tiga perkara utama ini, perkahwinan dapat mencapai kebahagiaan jitu.
Ini bukanlah bermakna seseorang itu perlu kaya raya baharu dia boleh menjadikan rumah tangganya bahagia. Tetapi keupayaan menanggung makan minum, pakaian dan perubatan tanggungan mengikut kemampuan adalah sesuatu yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang berkahwin.
Tanggungjawab ini diletakkan oleh Islam ke bahu suami atau seorang lelaki. Sebab itu, Islam mewujudkan peruntukan sekufu di mana perkahwinan harus melihat keserasian pasangan bukan hanya kepada kelayakan akademik, jawatan atau kerjaya tetapi juga latar belakang keluarganya.
Isu ekonomi yang boleh menyebabkan pasangan bercerai-berai ialah isu pendapatan keluarga dan siapakah yang bertanggungjawab menyara ahli keluarga?
Sudah tentu kewajipan itu diletakkan di bahu suami. Tetapi hari ramai suami mempunyai pendapatan yang lebih kecil daripada isteri.
Jelas, faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam rumah tangga. Hari ini ibu bapa atau wali dilanda dilema kerana anak perempuan yang berijazah dipinang lelaki yang tidak berkelulusan tinggi.
Ibu bapa juga tertekan dengan masalah anak perempuan berjawatan tinggi tetapi tidak dipinang orang. Kerana takut menjadi anak dara tua, akhirnya dinikahkan juga dengan seseorang yang tidak sekufu dengannya dari sudut akademik dan kerjaya.
Seorang lelaki yang berpendapatan kecil masih boleh menikahi wanita yang berpendapatan tinggi dengan syarat lelaki itu tahu tanggungjawabnya.
Dengan gaji yang kecil, ia perlu merancang kewangan rumah tangga supaya dialah yang menanggung makan minum anak dan isterinya serta menyediakan rumah untuk mereka mengikut kemampuannya.
Jika isteri kemudian mahu sesuatu di luar kemampuan suami, maka dia boleh menggunakan wang sendiri. Jika isteri reda berkongsi pendapatannya dengan suami dan anak-anak, itu adalah sedekah dan jariahnya.
Namun, isteri perlu ingat bahawa dia tidak boleh mengungkit pemberiannya, kerana ia tidak akan dapat pahala. Jika diungkit maka isteri akan menjadi orang paling malang kerana dia letih bekerja menanggung keluarga kerana suami tidak mampu.
Suami pula merasa rendah diri dan tersisih kerana isteri seperti tidak memerlukannya. Akhirnya suami mencari tempat bermanja yang lain yang boleh menerimanya seadanya dan isteri menjadi sakit hati dan mengungkit segala perkara dan dia tidak mendapat pahala.
Ingatlah wahai isteri, jika berkahwin dengan pilihan hati yang anda tahu tidak mampu menanggung anda, bersedialah untuk berkorban. Jika tidak, rumah tangga akan terkorban.
Bagi kaum lelaki pula, ingatlah tanggungjawab menanggung isteri dan anak-anak serta ibu bapa adalah tanggungjawab anda. Jika tidak mampu, didiklah isteri dan anak supaya bersyukur dan bila mencari isteri ‘ukurlah baju di badan sendiri’.
Hari ini ramai lelaki yang mengambil kesempatan daripada perkahwinannya, di mana akhirnya isterilah yang menanggung dia dan anak-anak sepenuhnya.
Ada suami yang berhenti kerja dan duduk di rumah seperti raja sehinggakan apabila perceraian berlaku, enggan meninggalkan rumah perkahwinan kerana dia tidak ada tempat hendak dituju kerana dia tidak bekerja.
Ibu bapa perlu mendidik anak lelaki supaya tahu tanggungjawab mereka dan apabila berkahwin dapat menjadi suami dan bapa yang dihormati.
Sumber : Utusan Online