“Sejak suami menganggur, suami mula tunjuk sikap malas kerja, dia beri alasan mahu rehat dulu. Sekarang saya seorang usahakan jualan nasi lemak, dia hanya makan tidur. Saya risau juga, apa kata adik-beradik yang lain, tapi suami buat tak faham.”
Keluhan demi keluhan disampaikan oleh isteri perihal kepincangan peranan suami sebagai ketua keluarga.
Kerukunan rumah tangga ditandai dengan keupayaan suami mengemudi bahtera rumah tangga dengan adil dan penuh kasih sayang.
Matlamat utamanya ialah untuk memandu isteri dan anak-anak bersama-sama menuju ke syurga. Allah S.W.T berfirman;
“(iaitu) syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama orang-orang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya.”Surah Ar-Ra‘du: 23
Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan maksud ayat ini bahawa Allah akan mengumpulkan seseorang bersama keluarganya, orang tua, isteri dan anak cucunya di syurga.
Suami itu sifatnya melindungi. Dengan kelebihan yang Allah S.W.T anugerahkan, seorang suami itu wajar dihormati oleh isteri dan anak-anak. Suami ini berwatak seperti seorang “rijal” sebagaimana dalam firman Allah;
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita ) dan kerana mereka menginfakkan sebahagian harta mereka.”Surah An-Nisa’: 34
Terdapat 8 langkah bagaimana caranya untuk menjadi seorang suami berperwatakan “rijal”. Di dalam bukunya, ‘Mr. Gentleman dambaan Wanita’, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin memberikan panduan yang amat jelas ciri-ciri suami hebat berwatak “rijal”.
#1- Boleh Membuat Keputusan
Secara fitrahnya, isteri menyukai suami yang boleh merancang perjalanan kehidupan rumah tangga dan yang prihatin tentang ilmu kekeluargaan.
Suami merancang, memberi pendapat, berbincang dengan isteri dalam melaksanakan misi dan visi keluarga.
Suami wajar raikan cadangan dan pendapat isteri, namun jangan biarkan isteri sahaja yang membuat keputusan dalam hal ehwal rumah tangga.
Berlalu masa, isteri akan meragui kepimpinan suami dalam membuat keputusan dan berani membangkang pendapat suaminya. Ada 4 cara terbaik dalam membuat keputusan;
#1- Melalui solat istikharah #2- Berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabi. #3- Berbincang #4- Kecerdikan
#2- Tidak Membela Suatu Kesalahan Dan Mudah Memaafkan
Suami berwatak rijal tidak mempertahankan sesuatu yang nyata kesalahannya walaupun kesalahan itu datang daripada suami tersebut.
Seorang suami biasanya akan menjadi defensif kerana ego dan mahu kelihatan mulia di hadapan isteri. Sepatutnya suami wajar meminta maaf dan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri. Seseorang akan jadi mulia apabila mahu memperbaiki keaiban diri.
#3- Memahami Komunikasi Dan Pertengkaran
“The biggest communication problem is we do not listen to understand. We listen to reply.”
Komunikasi yang tidak baik di antara suami dan isteri merupakan salah satu sebab berlakunya pertengkaran. Fokus kepada solusi, bukan menyebut semula perkara yang menjadi pertikaian.
Ads
Ustaz Amin menggariskan ada beberapa waktu yang sesuai untuk berkomunikasi seperti mana yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W;
#1- Di atas kenderaan #2- Waktu makan #3- Selepas solat #4- Ketika mandi #5- Ketika mahu tidur
#4- Mengetahui Hak Dan Batasan
Suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Dalam masa yang sama, isteri wajib mengetahui hak-hak yang perlu dipenuhi oleh suaminya.
Dalam menyempurnakan hak-hak ini, suami wajar mengetahui batasan hak isteri dan keluarganya. Terdapat 3 kategori hak yang perlu difahami oleh suami dan isteri.
#1- Dharuriyat: Perkara-perkara asas yang penting seperti keperluan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Suami perlu berusaha memenuhi segala keperluan dharuriyat dalam rumah tangganya.
#2- Hajiyat: Contohnya kereta. Pada zaman kini, penggunaan kereta menjadi keperluan untuk menghantar anak sekolah, ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan dan sebagainya. Begitu juga dengan penggunaan telefon bimbit. Suami perlu menyediakan keperluan ini mengikut kemampuan.
#3- Tahsiniyat: Perkara berbentuk kemewahan seperti barang kemas, aksesori perhiasan wanita dan sebagainya. Perkara ini merupakan ihsan daripada seorang suami kepada isteri dan suami tidak wajib memenuhi hak tahsiniyat sekiranya tidak mampu. Isteri pula tidak seharusnya menekan suami dengan hak tahsiniyat. Utamakan yang utama dan mengikut keperluan.
Ads
#5- Belajar Mengurus Nafsu (Syahwat Dan Amarah)
Nafsu merupakan makhluk yang Allah ciptakan, dimasukkan ke dalam manusia bersama-sama dengan akal. Oleh hal yang demikian manusia boleh mengawal nafsu. Antara kaedah mengawal nafsu syahwat ialah memperbanyakkan puasa.
Seorang suami wajar mengenali kelemahan nafsu syahwatnya supaya mudah untuk suami mengurus dan mengawalnya daripada terbabas.
Begitu juga dengan sifat marah. Sifat marah termasuk dalam sifat-sifat mazmumah dan jika tidak dikawal akan menjerumuskan diri ke dalam lembah kehinaan. Salah satu cara iblis dapat masuk ke dalam tubuh manusia ialah melalui kemarahan.
Kesannya amat buruk. Ini adalah kerana marah ialah kunci kepada bercambahnya hawa nafsu, peruntuh akhlak, permulaan kepada perkara tidak baik dan perosak kepada kasih sayang.
#6- Menjaga Nafkah Zahir Dan Batin
Di dalam institusi rumah tangga terdapat dua bentuk pengurusan yang sangat penting iaitu pengurusan diri dan pengurusan kewangan.
Pengurusan diri merujuk kepada cara untuk menangani dan mengawal tekanan dalam kehidupan berumah tangga, tanggungjawab suami dan isteri dan rujukan jika berlaku permasalahah dalam keluarga.
Pengurusan kewangan merujuk kepada cara menguruskan kewangan yang betul seperti mana yang disebut di dalam al-Quran dan hadis Nabi S.A.W;
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”Surah At-Talaq: 7
#7- Elakkan Berpoligami Jika Tidak Berkemampuan
Poligami dibenarkan apabila terdapat keharusan-keharusan tertentu selari dengan ketetapan syarak antaranya keuzuran isteri sedia ada, suami yang mempunyai daya kesihatan, memiliki harta benda dan keadilan yang mutlak antara para isterinya.
Kemampuan material seorang suami wajar diperhalusi. Ini adalah kerana mungkin dahulunya suami tidak berkemampuan seperti yang dipunyai pada masa kini.
Elakkan berpoligami dikhuatiri suami akan memakan wang yang sepatutnya menjadi hak isteri dan anak-anaknya. Hukumnya adalah haram.
Begitu juga dari aspek kemampuan mental seperti mampu menangani tekanan. Contohnya apabila suami berkahwin lagi, isteri yang pertama pasti terguris perasaannya.
Suami wajar menunjukkan kasih sayangnya kepada isteri pertama dan bersedia untuk bertanggungjawab dan memberi kasih sayang seadilnya.
#8- Menjaga Keluarga Dengan Ayat Suci Al-Quran
Institusi rumah tangga merupakan gedung pahala. Di dalamnya sarat dengan pintu-pintu pahala yang mencambahkan keberkatan keluarga. Dengan sebab itu jugalah syaitan sangat membenci rumah tangga.
Di dalam kitab Talbis Iblis, terdapat satu puak syaitan yang digelar Dasim yang tugasnya ialah meruntuhkan rumah tangga. Di antara jenis-jenis bisikan syaitan yang merosakkan rumah tangga ialah;
#1- Membisikkan peraaan jemu #2- Membisikkan perasaan tidak menghormati #3- Membisikkan perasaan bersangka-sangka #4- Membisikkan perasaan tidak bertimbang rasa #5- Membisikkan perasaan tidak cukup #6- Membisikkan perasaan sentiasa berasa betul #7- Membisikkan perasaan untuk menzalimi
Suami yang berwatak rijal wajib menjaga keluarganya dengan amalan ayat-ayat al-Quran dalam kehidupan misalnya mengamalkan bacaan surah al-Kahfi ayat 1-10, ayat Kursi dan surah Thaha ayat 1-5.
Demikian 8 ciri-ciri suami berwatak rijal yang menjadi dambaan para wanita. Semoga dengan paparan ini institusi keluarga akan jadi lebih harmoni, dipenuhi kasih dan sayang hingga ke syurga.
SUMBER : https://tzkrh.com/
OLEH : AZIAN MOHAMED ISA
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apa maksud sebenar mommy’s boy@anak emak? Adakah ia membawa maksud yang baik kerana semua sudah sedia maklum bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu, ataupun ia banyak mengundang keburukan terhadap hidup seseorang yang digelar anak emak?
Dalam kehidupan ini, setiap kelakuan seharusnya seimbang agar segalanya berjalan dengan lancar. Jika terlebih dan terkurang maka pasti wujudnya ketidak seimbangan dalam situasi ini. Perlakuan lelaki yang terlampau manja dengan emak sedikit sebanyak mampu mengundang maslah kepada pasangan jika tidak ditangani dengan seadilnya.
Menantu bermasam muka dengan mertua, penceraian, tidak puas hati, rungutan dan pelbagai lagi isu berbangkit pasti muncul sekiranya lelaki tersebut merupakan anak emak. Jika lelaki tersebut memiliki pasangan yang memahami, baguslah. Bagaimana pula jika pasangan itu jenis yang tidak mahu mengalah dengan mertua? Parah bukan?! Mari kita selidik ciri-ciri anak emak, baik dan buruknya bergelar anak emak dan pendapat awam mengenai hal ini.
Definisi Anak Emak : Anak yang terlalu manja dengan ibunya. Dalam apa sahaja tindakan pasti emak menjadi rujukan walaupun umur sudah melangkaui tahap dewasa dan matang.
Ciri-ciri Anak Emak:
Manja
Setiap masa ibu memantau pergerakannya walaupun sudah dewasa
Keputusan dalam setiap perkara dirujuk kepada ibu dahulu
Sesetengah dari mereka kurang berusaha kerana kerap dibantu
Mengutamakan pendapat ibu sendiri dari pasangan
Dari segi ekonomi, kadang kala tidak banyak berusaha kerana masih ditampung oleh ibu
Kurang tokoh menjadi pemimpin kerana sering bergantung kepada ibu
Kebaikan Anak Emak:
Sentiasa diberi perhatian
Mendapat layanan terbaik dalam keluarga
Sesetengahnya mewah dari segi ekonomi kerana sering dibantu oleh ibu
Hati dan perasaannya terjaga dari diusik oleh ahli keluarga yang lain kerana sering dibackup oleh ibunya.
Keburukan Anak Emak:
Kurang berkawan/ sering diejek oleh rakan-rakan yang menyedari perlakuan ini
Tidak suka berusaha dan hanya meminta di sokong dalam segala hal.
Mudah putus asa
Ada kalanya, individu ini tidak mampu menjalani kehidupan secara sendirian
Sering berselisihan pendapat dengan pasangan kerana mendahulukan ibu dalam segala hal.
Sentiasa tersepit dan berada dalam dilema untuk mendahulukan ibu sendiri atau pasangan.
Setiap masa kehidupannya berhadapan dengan masalah.
Sebagai seorang suami, lelaki sebegini tidak dapat mengimbangi tanggungjawabnya dengan ibu dan isterinya. Malah dia tidak memahami tanggungjawab sebagai suami.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Walaupun kadang-kadang ada pasang surutnya hubungan rumah tangga itu tapi percayalah suami kalau dia bahagia, dia akan menghargai anda lebih dari segala-galanya. Perkara yang jarang dia lakukan pun akan jadi perkara yang tak disangka oleh para isteri.
Namun begitu, si isteri jangan leka apabila tahu suami anda sedang bahagia. Hargai dan semaikan lagi hubungan itu agar kasih sayang tidak pudar. Jadikan dia keutamaan anda. Anda akan menjadi pasangan bahagia yang membuktikan pada dunia bahawa perkahwinan adalah kebahagiaan, tidak kiralah pada waktu senang mahupun susah.
Nak tahu suami bahagia atau tidak? Ini 11 tanda membuktikan yang suami anda confirm bahagia.
1. SELALU PELUK & CIUM
Apabila dia pulang dari tempat kerja, dia akan menghadiahkan anda sebuah ciuman. Ciuman itu bukanlah hanya sentuhan di pipi tetapi lebih intim. Anda boleh menafsirkan perbuatannya itu bahawa dia sangat gembira pulang ke rumah bertemu semula dengan anda.
2. RINGAN TULANG
Dia membantu anda menguruskan hal dalam rumah dan mahu meringankan beban anda. Dia dengan sukarela mengemas dan menguruskan rumah supaya rumah anda selesa didiami. Bukan itu sahaja, dia turut mendidik anak-anak untuk membuat perkara yang sama. Dia sedar bahawa tanggung jawab mendidik anak bukan terletak hanya di bahu isteri, tetapi juga di bahunya.
3. SELALU MEMUJI ISTERI
Dia suka memberi pujian pada anda. Dia memberi perhatian pada anda dan segala yang anda lakukan. Anda perasan dia memerhatikan anda, tetapi dia tak mampu menghentikannya kerana dia sangat mencintai anda. Dia tidak pernah jemu melihat anda tidak kira apa jua perubahan yang berlaku pada diri anda. Janganlah asyik menghamburkan kata-kata yang tidak sedap didengar seperti “Awak ni, makin gemuk pulak abang tengok”.
4. SENTIASA ‘CALL’, ‘SMS’ ATAU ‘WHATSAPP’
Apabila dia pergi untuk urusan perniagaan, dia akan menghubungi anda setiap hari dan memberitahu betapa rindunya dia pada anda. Ada juga suami yang baru sahaja sampai pejabat, akan terus membuat laporan, menghantar WhatsApp pada isteri, “Ayang, abang dah sampai”. Sehinggkan ada teman sepejabat kata dia kena queen-control.
Hakikatnya, apabila seorang suami betul-betul bahagia dengan rumah tangga, dia akan merindui isterinya dan ingin selalu bersamanya. Dia sangat setia pada anda dan anda juga tahu kebenarannya.
5. MENJADI SEORANG YANG PENENANG
Dia akan memeluk erat apabila anda menangis. Apabila anda berasa kecewa dan sakit hati sehingga menyebabkan air mata anda mengalir, dia ada untuk anda. Dia akan cuba sedaya upaya memahami apa yang anda lalui walaupun kadang-kadang tidak sesempurna mana.
6. PERKONGSIAN DARI HATI KE HATI
Ini antara tanda suami bahagia yang sangat jelas. Dia akan berkongsi cita-cita dan kesedihannya dengan anda. Senang cerita, selalu ada sesi pillow-talk.
Perkongsian ini bukanlah sesuatu yang mudah baginya kerana dia perlu memberitahu anda supaya anda boleh menyokongnya dan membantu membina keyakinan dalam dirinya. Apabila dia terbuka untuk berkongsi dengan anda mengenai perancangannya untuk kerjaya, dia mengharapkan anda mendengar dan memberikan sokongan. Dia tahu anda satu-satunya orang yang memahaminya. Rasa cintanya pada anda sangat mendalam dan cukup untuk membuatkan anda memahami dan mendengar curahan hatinya.
7. SELALU SEBUT ‘I LOVE YOU’
Dia akan memberitahu yang dia mencintai anda. Dia akan mengulanginya setiap hari dan anda juga akan membalasnya.
Selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga, ada isteri yang akan mula merungut “Awak ni, tak cakap awak cintakan saya pun”; dan kemudiannya dibalas dengan “Eh, awak ni. Kan saya dah cakap masa kita kahwin awal-awal dulu. Tak cukup lagi ke?”. Itu bukanlah perangai seorang suami yang bahagia. Dia suka menyebut selalu kerana dia dapat merasai perasaan cinta tersebut dan dia tahu anda amat suka mendengar kata-kata tersebut.
8. TIDAK MARAH KALAU TAK ‘DAPAT’
Ada jenis suami yang apabila isteri period, dia hangin satu badan. Apabila isteri tidur dan apabila kejutkan tak bangun untuk ‘bersama’, pagi-pagi akan muncung muka.
Wahai suami, isteri bukan boleh menentukan bila periodnya akan datang. Kadang-kadang, isteri penat melakukan kerja rumah sampai tertidur. Bukannya tidak mahu melayan suami, cuma apabila penat sangat, apa pun tak sedar.
Bagaimana kalau pantang 100 hari? Boleh tahan?
9. TIDAK MALU PANGGIL AYANG ATAU SAYANG DEPAN ORANG RAMAI
Tanda suami bahagia ialah dia bersikap natural pada bila-bila masa. Ada suami yang control macho, tidak mahu tunjuk manja depan public. Ada yang panggil isteri dengan nama sahaja. Maka, suami yang panggil Ayang atau Sayang, atau apa-apa nama manja isteri tanpa rasa malu, itulah lelaki sebenar.
10. TIDAK MALU PEGANG TANGAN ISTERI DEPAN ORANG RAMAI
Kadang-kala kita nampak ada pasangan yang sudah tua tetapi masih lagi berpegangan tangan. Terus terdetik dalam hati, “Oh… sweetnyaaa….!”.
Ramai yang inginkan momen seperti itu. Ramai yang ingin kedut bersama-sama apabila menginjak usia tua.
11. SELALU AJAK SOLAT BERJEMAAH
Bila suami tidak ke masjid atau surau, dia akan ajak isteri solat bersama. Dia faham konsep jika solat berjemaah, dapat pahala 27 kali ganda. Oleh kerana sayangkan isteri, dia mahukan isteri mendapat pahala bersama-sama.
Kredit foto: Instagram Ayda Jebat dan Raja Syahiran
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diabetes telah menjadi satu epidemik di seluruh dunia. Apabila anda menghidap diabetes, anda akan hidup dengannya seumur hidup. Walaubagaimanapun, anda boleh mengambil langkah untuk mengawal situasi tersebut. Pengawalan saiz hidangan adalah sesuatu yang mudah dan kaedah yang berkesan untuk membantu mengawal kadar kandungan gula dalam darah dan mengawal berat badan anda, lebih-lebih buat anda bakal pengantin yang perlu sentiasa sihat dan kekal anggun di hari bahagia.
Apakah pengawalan saiz hidangan?
Pengawalan diabetes selalunya melibatkan pengamalan diet yang sihat dan seimbang. Akan tetapi, anda mungkin tidak tahu mengenai berapa banyak kandungan makanan yang perlu anda ambil seperti yang disarankan. Oleh itu, cara pengawalan saiz hidangan diwujudkan dan jenisnya termasuklah alat pengukur makanan, saiz hidangan berpandukan sudu dan kadar mengikut saiz cawan.
Apakah cara pengawalan saiz hidangan yang berkesan?
Cara pengawalan saiz hidangan yang berkesan adalah cara untuk membantu anda merancang diet yang sihat yang sesuai dengan keadaan kesihatan anda. Diet yang sihat adalah cara pemakanan yang melibatkan pelbagai jenis makanan:
Sayuran yang segar. Sayuran berkanji seperti jagung, kekacang, peas manakala sayuran tidak berkanji adalah seperti brokoli dan sawi.
Bijirin penuh seperti beras.
Buah-buahan terutamanya buahan segar seperti oren dan grapefruit.
Produk tenusu tanpa lemak seperti susu tanpa lemak dan yogurt.
Protein tanpa lemak seperti daging tanpa lemak dan ikan.
Ayam.
Tiada diet yang sempurna. Oleh itu, makan engan cara pengawalan saiz hidangan adalah cara yang terbaik kearah diet yang sihat untuk pesakit diabetes.
Bagaimana untuk menentukan saiz hidangan anda?
Anda boleh menentukan saiz hidangan anda melalui cara ini:
Anda boleh menggunakan alat khas atau pinggan (pinggan besar) untuk menentukan saiz hidangan anda. Sekiranya anda menggunakan pinggan, lukiskan garisan untuk membahagikan pinggan kepada dua bahagian yang sama. Buat satu lagi garisan pembahagi yang sama kepada satu daripada dua bahagian yang telah digariskan sebelum ini.
Isikan bahagian yang paling besar dengan sayuran tidak berkanji seperti brokoli. Bagi satu bahagian kecil yang lain, isikan dengan bijirin atau makanan berkanji seperti nasi, pasta atau jagung. Untuk bahagian kecil yang lain, isikan dengan sumber protein seperti ikan.
Jangan lupa untuk mengambil sedikit kandungan lemak yang baik seperti kekacang, bijian atau avocado.
Tambahkan jus segar atau jus buahan atau produk tenusu tanpa lemak.
Pilih minuman tanpa gula seperti air putih dan teh.
Anda juga boleh menggunakan penimbang untuk mengetahui saiz sebenar hidangan anda.
Sesetengah sudu atau cawan mungkin menunjukkan saiz ukuran bagi hidangan anda.
Adalah amat penting bagi penghidap diabetes untuk makan secara sihat yang menyertakan pelbagai jenis makanan dengan saiz kandungan hidangan yang tepat. Anda boleh menggunakan alat khas yang tersedia di pasaran atau menggunakan alat ukuran anda yang tersendiri.