
Apakah hukumnya seorang isteri keluar rumah tanpa kebenaran suami, sedangkan tujuannya ingin berselawat dan membaca yasin bersama kawan?
Alasan suami tidak membenarkan isteri keluar rumah kerana mengharapkan isteri menjaga anaknya. Tambahan pula, suami kerja jauh dari keluarganya dan hanya seminggu sekali pulang ke rumah.
Apabila Allah SWT menetap-kan suami supaya mencari dan memberi nafkah, ditetapkan kepada isteri supaya taat kepada suami.
Bahkan dalam masalah keluar rumah, Allah SWT melarang isteri meninggalkan rumah.
Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Hendaklah kamu tetap di rumah kamu dan jangan sekali-kali kamu keluar sebagaimana orang jahiliah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Arahan suami jelas melarang bertujuan menjaga anak, maka itulah sewajibnya ditaati, manakala selawat dan membaca surah Yasin dan ibadat lain boleh saja dibuat di rumah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Maka perempuan yang soleh ialah yang taat (kepada Allah SWT dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, deÂngan pemuliharaan Allah SWT dan pertolongan-Nya.
“Dan perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan bertujuan mengajarnya).
“Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)
Wujud perselisihan ulama membolehkan isteri keluar tanpa izin hanya menziarahi ibu bapa kerana adanya arahan Allah SWT supaya tidak memutuskan silaturahim.
Selagi suami menunaikan nafkah dan melaksanakan tanggungjawabnya, selagi itu suami berhak ditaati.
Kesimpulanya, puan perlu berbincang dengan suami. Mana mungkin seminggu tidak keluar rumah sekurang-kurang untuk membeli keperluan hidup seperti ke pasar. Minta izin secara umum.
Program yang baik seperti selawat dan bacaan Yasin seharusnya tidak dicemari dengan isteri derhaka kepada suami. Buktikan kepada suami bahawa anak puan turut berjaya terdidik, terpelihara dan terjaga akhlaknya, malah tindak tanduk puan sendiri meyakinkan suami. Semoga keluarga puan bertambah bahagia.
Bagi Isteri ‘Me Time’, Lebih-Lebih lagi Bila Dia Dengan Allah

Setelah seharian penat bekerja serta menguruskan rumah tangga, seorang isteri tentunya mahu berehat dan mempunyai masa untuk diri sendiri. Perlu anda tahu bahawa isteri bukanlah robot. Mereka juga memerlukan rehat untuk recharge otak dan tubuh mereka.
Ramai suami menganggap ‘me time’ untuk isteri adalah dengan beri duit kepada mereka dan biar mereka keluar jalan-jalan, shopping atau pun habiskan masa di spa. Ternyata anda silap! ‘Me time’ terbaik untuk seorang isteri adalah ‘quality time’ dia bersama Tuhannya.
Pengalaman ini dikongsi sendiri oleh Muhammad Yusof menerusi laman Facebooknya. Ternyata perkongsian seorang pakcik yang dijumpai di sebuah masjid telah membuka matanya tentang ‘me time’ seorang isteri. Mari kita baca perkongsiannya.
*********************************************
Hari tu aku solat Subuh dekat sebuah masjid. Aku ada kursus luar sebenarnya, hari tu.
Habis-habis solat aku duduk kejap kat kerusi depan pintu keluar masjid sambil main henset. Habis semua jemaah keluar, ada sorang pak cik keluar lepas tu dia duduk sebelah aku. Dia tegur aku, bagi salam dan mungkin pak cik ni jenis mesra alam then cepat je kami bersembang walaupun baru jumpa pagi tu. Tak jadi aku nak masuk kereta sebab layan dia sembang.
Ada jemaah yang keluar tegur pak cik ni ‘Assalamualaikum cikgu..’. Aku tanya-tanya, rupanya dia cikgu tapi dia dah beberapa tahun pencen.
Tengah-tengah sembang, dia tengok jam. Tiba-tiba dia bangun dan pergi kat pintu keluar masjid. Aku tengok dia pusingkan sepasang selipar. Pelik juga aku. Lepas tu dia datang balik kat aku.
Aku yang naif ni terus la tanya dia ‘Kenapa dengan selipar tu pak cik?’.
Dia jawab ‘Oh tu selipar isteri pak cik. Pak cik pusingkan supaya dia mudah nak pakai selipar tu tak payah dia nak pusing-pusing, terus je sarung..’
Aku rasa dah agak lama juga aku dengan pak cik ni duduk berbual tapi isteri dia tak keluar-keluar lagi.
So aku pun saje la tanya dia ‘Lama jugak ye isteri pak cik solat?’
Jawapan pak cik ni buat aku terkesan.
‘Biasa la dik. Pak cik memang suruh dia lama sikit duduk masjid ni. Habiskan wirid dulu, habiskan baca surah al-Waqiah dulu, lepas tu nak sambung baca Al-Quran ke, zikir ke, takpe, bacalah pak cik bagitau kat dia. Setiap hari lepas pak cik siap-siap semua, pak cik biasa tunggu dia kat sini..’
Allahu. Aku rasa pak cik dan mak cik ni adalah pasangan ahli Syurga yang Tuhan nak aku belajar daripada dorang pagi-pagi ni.
Aku selalu terfikir bahawa ‘me time’ isteri ni ialah kita just bagi duit then biar isteri keluar jalan-jalan, shopping ataupun bawak dia pergi urut. Jadi dengan buat benda-benda ni kita rasa isteri kita dah cukup dah release segala tension dorang, tapi sebenarnya aku tersilap.
‘Me time’ yang terbaik ialah biar isteri ada ‘quality time’ dengan Tuhan dia. Bila yang paling utama ni dah settle, InsyaAllah Allah akan permudahkan untuk membuka segala pintu kebahagiaan, pintu rezeki, pintu kesihatan nak jaga keluarga, yang selama ini kita nak kecapi sebagai pasangan suami dan isteri.
Kadang-kadang suamikan, bila isteri keluar lambat solat kat rnr atau stesyen minyak mulalah suami nak buat muka, siap marah ‘kenapa lama sangat!’ padahal time solatlah si isteri nak rilek-rilek kejap, tunggu giliran dapat telekung dan masa itulah si isteri nak dapat ‘quality time’ dengan Tuhan dia.
Ingat suami, bagilah ruang dan peluang untuk dorang dapat ‘masa berharga’ ni. Bukan sekadar ‘masa berharga’ tak jaga suami atau anak je.
Lepas tu, aku tengok isteri pak cik tu berjalan ke arah kami berdua. Nampak nur melimpah muka bersih jernih mak cik tu, sejernih muka suaminya.
Pak cik tadi bila nampak isterinya terus bagitau aku nak mintak diri dulu pergi sarapan kat kedai dekat-dekat situ.
Allah, Allah.
Pagi itu Allah ajar aku dan aku rasa aku kena kongsi cerita ini dengan korang semua.
Semoga kita jadi pasangan yang membahagiakan pasangan masing-masing, dunia dan akhirat.
‘Ya Allah ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati(kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa..’
Amin.
Sumber: Facebook Muhammad Yusof
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Mudahnya Nak Jadi Isteri Solehah. Tak Tahu Pasal Ni Memang Rugi!

Bukan mudah menjadi seorang isteri, jika si isteri itu seorang yang berkerjaya. Isteri perlu bijak dalam menguruskan tanggungjawab terhadap suami dengan sebaik mungkin dan memberikan yang terbaik buat suami dan keluarganya. Namun mungkin ada yang mengeluh kepenatan, Subhanallah banyak pahala menjadi seorang isteri ini tau. Mari kita sebarkan agar wanita di luar sana mengetahui dan bersyukur.
.
1. Seorang isteri yang memberikan minum segelas air kepada suaminya adalah lebih baik dari berpuasa setahun
2. Setiap makanan yang disediakan seorang isteri bagi suaminya, maka jauh lebih baik daripada ia mengerjakan ibadah haji dan umrah
3. Apabila seorang isteri mandi junub disebabkan jimak oleh suaminya, maka jauh lebih baik baginya daripada mengorbankan 1000 ekor kambing sebagai sedekah kepada fakir miskin
4. Jika seorang isteri hamil maka dia dicatatkan sebagai seorang yang syahid dan khidmatnya kepada suaminya dianggap sebagai jihad.
5. Seorang isteri yang menjaga dan memelihara anak-anaknya dengan baik, maka hal tersebut menjadi benteng neraka serta pandangan yang baik dan harmoni terhadap suaminya menjadi tasbih atau zikir baginya.
6. Disebutkan pula bahawa tidak akan putus ganjaran pahala dari Allah SWT bagi seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.
7.Apabila seorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha, maka ia akan dimasukkan ke dalam syurga
8. Apabila dia mengerjakan solat fardhu lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kehormatan dirinya dan taat kepada suaminya, maka dia berhak masuk syurga dari pintu mana saja yang dia suka.
Hikmah Memperolehi Wanita Yang Terdidik Dalam Keluarga Soleh

Pilihlah bakal isteri yang baik akhlaknya, bukan sekadar cantik dari luaran sahaja. Dalaman juga harus dijaga.
1. Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
2. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak,mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.
3. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.
4. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.
5. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami,melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami.
Disunatkan pula memilih gadis yang terdiri dari keturunan yang kuat agama, anak cucu orang alim dan soleh. Seseorang wanita yang kuat agama memiliki sifat-sifat kemanusiaan, berbudi pekerti tinggi.
Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar.Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a:
“Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya.”
.
Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:
“Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya.”
Demikianlah di antara kelebihan yang diperolehi oleh seorang suami jika ia memiliki isteri yang solehah.
Islam menggalakkan mengahwini wanita-wanita asing daripada keluarga terdekat untuk meluaskan hubungan kekeluargaan dan mngukuhkan persaudaraan Islam.
Risiko dari perkahwinan sanak saudara akan melahirkan anak-anak yang tidak sihat dan lembab otak. Tujuan digalak berkahwin dengan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan supaya dapat melahirkan anak-anak yang sihat, bertenaga, cantik dan pintar.
Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“janganlah kamu nikahi wanita-wanita kerabat terdekat,maka sesungguhnya anak yang bakal lahir nanti berakhlak lemah fikiran dan akal.”
Rasulullah saw menyatakan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri berbanding dengan janda.Rasulullah saw bersabda:
“Kahwinlah para gadis kerana sesungguhnya, mereka itu menarik tutur bahasanya, bersih rahimnya (mampu berzuriat), kurang dalihnya dan mudah meredhai kerjanya.”
Rasulullah saw menekankan kelebihan memilih gadis untuk dijadikan isteri kerana setiap perkahwinan berkehendakkan sesuatu hasil penguniaan anak yang soleh dan solehah.
Untuk melaksanakan tugas yang mulia ini maka perlulah seorang lelaki itu mengkaji secara terperinci terlebih dahulu bakal isterinya agar dapat melahirkan anak dan tidak ada sebarang keuzuran yang boleh menghalangnya dari mengandung dan bersalin.
Bagi mengetahui sifat-sifat kesanggupan gadis itu,pada umumnya boleh dijadikan ibunya sebagai perbandingan. Seandainya ibunya mempunyai ramai anak,pada kebiasaannya gadis itu pun akan mewarisi ibunya,tetapi tidak semua tanggapan ini benar, kadang-kadang mengikut baka dirinya pula.
Apabila ramai zuriat, semakin kukuhlah ummah dan teruslah tertegaknya daulah Islamiah. Membiak zuriat bertambah seri, erat dan bahagianya sebuah rumahtangga di mana wujud ketenangan jiwa hasil kasih saying antara kedua suami isteri. Rasulullah saw, begitu kuat menekankan supaya setiap lelaki memilih calun isterinya yang ramai anak, sebagaimana sabda baginda:
.
“Kahwinlah perempuan-perempuan yang keturunan banyak anak, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku di hadapan para Nabi pada Hari Kiamat nanti.”
Begitulah penekanan Rasulullah saw ke atas umatnya,baginda bangga dengan umat yang ramai kerana disitulah letaknya kekuatan agama Islam.
Diharamkan seseorang lelaki memilih seseorang wanita yang telah dipinang saudaranya, kerana bererti ia menyerang hak dan menyakiti hati peminang pertama,memecah belah hubungan kekeluargaan dan mengganggu ketenteraman. Rasulullah saw bersabda yang maksudnya:
“Orang mukmin satu dengan lainnya bersaudara, tidak boleh ia membeli barang yang sedang dibeli saudaranya,dan meminang pinangan saudaranya sebelum ia tinggalkan.”
Islam juga mengutamakan wanita yang masih gadis untuk dipadankan dengan lelaki yang muda belia, sebab itulah disunatkan memilih gadis.
Walau bagaimana, terdapat pula keadaan tertentu apabila janda pula menjadi yang utama. Misalnya, untuk menyelesaikan masalah perlindungan kepada janda dan anak-anak.
Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang,sebab itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau sekufu. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram terhadap orang yang beriman.”
“Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.”
GAMBAR : TANGKAP PICTURES