Contoh jika kita seorang ibu bapa yang garang, kemungkinan besar disebabkan kita mendapat didikan yang kasar dan keras daripada ibu bapa kita dahulu yang garang. Maka berlakulah kitaran ganas dalam sistem pendidikan keluarga kita, dan kita mesti hentikan segera kerana tabiat itu bukan contoh yang baik untuk diwarisi.

Fitrahnya setiap insan ada kehebatan/tenaga yang tersendiri. Keperibadian setiap individu itu bergantung pada akidah, sistem kepercayaan dan sistem nilai yang ibu bapa berikan kepada anak-anak. Jom audit diri, adakah nilai yang kita bina pada imej diri anak-anak itu berlandaskan kepentingan pembangunan fizikal semata-mata, atau turut disertakan dengan pembangunan jiwa/kerohanian? Adakah kita membina imej diri anak-anak untuk budaya hidup “memberi” yakni menjadi seorang yang kuat berusaha untuk mampu membantu orang lain, atau “mendapat” yakni berserah kepada untung nasib dan sentiasa mengharap pertolongan dan simpati daripada orang lain? Seterusnya adakah anak kita menjadi “kuda pacuan” yakni tolong buat sesuatu yang membuatkan ibu bapa bangga, atau tolong buat sesuatu yang memberatkan timbangan kita sebagai ibu bapa di padang mahsyar dengan pahala?

Kedua, ibu bapa perlu memberikan kasih sayang tanpa syarat, yakni tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak-anak apabila mereka dewasa nanti, serta tidak memberikan pelbagai alasan atas kegagalan kita mendidik anak-anak menjadi orang yang berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara. Anak-anak yang berumur 14 – 21 tahun akan lebih mempercayai dan terpengaruh dengan kawan-kawan dan orang luar yang rapat dengan mereka. Maka mereka perlu didisiplinkan secara diplomasi dan psikologi. Persoalannya bolehkah mereka mendengar nasihat kita kalau mereka tidak sayang akan kita? Sebab seseorang itu hanya akan mendengar nasihat orang yang disayanginya.

Ketiga, ibu bapa perlu menggunakan setiap saat umur kita untuk menghargai orang yang kita sayang, hinggakan setiap kali anak-anak berinteraksi dengan kita, mereka berasakan mereka dihargai, difahami dan disayangi. Kita perlu didik dan dekati anak-anak pada umur remaja yang sudah mula terdedah dengan kehidupan sosial, sebagai kawan. Boleh tidak kita jadikan anak itu kawan kita, kalau kita tidak berjaya disiplinkan mereka? Ingatlah, anak remaja menjadi “nakal” sebab kurang kasih sayang, tidak dapat didisiplinkan dan ibu bapa gagal dekati mereka seperti kawan. Lebih bermasalah lagi apabila ketika bersama-sama kawan-kawannya, mereka mendapat penghargaan, disebut kebaikan kehebatan mereka, diambil tahu dan diberikan perhatian tentang diri mereka.

Ibu bapa yang sering memuji anak-anak, menyebutkan dan membelai serta memeluk anak-anak dengan rasa kasih sayang,   juga memberikan sangkaan baik kepada anak-anak, sebenarnya telah membina keperibadian positif kepada mereka. Setiap pagi sebelum berpisah dengan anak-anak, tinggalkan kepada mereka pesanan-pesanan yang positif, yang kita hendak anak kita lakukan. Kata-kata positif yang menjadi perangsang kepada anak-anak seperti berikut, “Jadi anak yang baik hari ini – kesihatan baik, tenaga baik dan kuat, perangai yang baik, jumpa kawan-kawan cakap yang baik dan berbuat baik, jumpa guru tolong guru jadi orang yang menghormati dan mengenang jasa, suka belajar untuk bahagia dan membahagiakan guru dan ibu bapa”.