Biasanya masalah manusia bermula dari rumah tangga – jika elok rumah tangganya maka eloklah kehidupan di luarnya dengan masyarakat. Sebab itulah kata orang bijak pandai, di sebalik kejayaan seorang suami, ada isteri di belakangnya yang membahagiakan dan menenangkannya, ketika suami dalam kedukaan dan dibelit masalah. Demikian jugalah di sebaliknya, kejayaan seorang isteri atas sokongan dan restu suaminya.
Lumrahnya bagi setiap pasangan, untuk tempoh masa enam bulan pertama tempoh perkahwinan, merupakan saat bahagia – zon berbulan madu. Pada waktu itu semuanya nampak manis dan indah, saling sayang menyayangi, dan pasangan pengantin baharu ini tidak nampak kehidupan lain, selain kehidupan berdua, suami isteri. Namun begitu, rasa cinta yang memuncak itu akan menurun sedikit demi sedikit, apabila keperibadian masing-masing tidak dapat disembunyikan lagi daripada pasangan, terutama jika terserlah banyak sikap buruk kita.
Semakin lama kita akan kenal pasangan kita itu siapa dia yang sebenar daripada segi hati budi, sikap dan prinsip kehidupannya. Beruntunglah kalau kita dapati pasangan kita itu fiilnya, sama seperti yang kita sangkakan sebelum kita berkahwin dengannya. Sebaliknya bermulalah cabaran dalam rumah tangga, jika selepas berkahwin baru kita tahu pasangan kita itu tidak seperti yang kita sangkakan, khususnya daripada segi perangai dan keperibadiannya.
Seterusnya untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga, kita perlu lihat apa yang dia/pasangan kita jadi setelah dia berkahwin dengan kita. Kalau dia/pasangan kita seorang yang positif, tetapi selepas berkahwin dengan kita negatif sikapnya, renung semula di mana silapnya dan perbetulkan segera.
Jom audit diri dalam hati kita, terimalah pasangan kita seadanya dan bersyukurlah kita mempunyai pasangan hidup tempat berkongsi suka dan duka. Kembali ke pangkal jalan – tujuan berkahwin adalah untuk mendapat reda Allah SWT. Oleh sebab itu rasa cinta sahaja tidak cukup untuk menjadi asas kebahagiaan rumah tangga. Yang lebih penting adalah rasa hormat antara satu sama lain, dan inilah jaminan kebahagiaan rumah tangga akan kekal selama-lamanya.
Lumrahnya semua orang berkahwin kerana cinta, dan cinta tidak kekal lama jika asas perkahwinan itu kerana kecantikan fizikal. Apabila usia meningkat kecantikan mulai pudar bersama-sama rasa cinta yang turut hambar. Tetapi rasa hormat antara satu sama lain yang dibina sejak awal perkahwinan akan membuatkan pasangan sentiasa menghargai antara satu sama lain. Tanda kita menghormati pasangan kita, apabila suami bercakap, isteri mendengarnya dan pandang wajahnya. Apabila suami memberi pendapat kita terima, kalau tidak setuju jangan berkasar, bincang baik-baik dan nyatakan pendirian kita.
Suami juga, walau sibuk macam mana pun luangkan masa untuk berbual dan bertanya khabar mengenai isteri, biasanya isteri perlukan perhatian suami. Percayalah, rasa hormat sangat penting, terutama bagi isteri yang berkerjaya dan berjawatan lebih tinggi daripada suaminya. Ingatlah kejayaan isteri adalah atas reda dan restu suaminya. Usahlah mencipta masalah dalam rumah tangga kerana sikap buruk kita – keegoan, hendak menang sahaja, cakap kita sahaja yang betul, tidak boleh terima teguran dan seumpamanya.
SUMBER : DR MUHAYA MUHAMAD
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI