Cara Ajak Suami Buat Kerja Rumah, Alangkah Bahagianya Bila Buat Kerja Bersama!

Share

Menjadi kebiasaan seorang isteri menguruskan segala kerja rumah daripada membasuh, memasak, mengemas, menyidai pakaian dan banyak lagi. Hakikatnya, kerja rumah bukan hanya terletak di bahu isteri seorang sahaja kerana ramai yang berkerjaya dan kepenatan setelah seharian berada di tempat kerja.

Agar rumah tangga kekal bahagia dan kekal harmoni, suami haruslah sama-sama membantu meringankan bebanan isteri dalam membuat kerja rumah. Lagipun bila lakukan kerja rumah bersama akan menambahkan lagi kemesraan dalam hubungan anda berdua.

Buat semua isteri, pastikan anda ikuti 13 cara memujuk ini agar suami turut bertanggungjawab dalam membantu anda membuat kerja rumah.

1. Jangan sesekali menggunakan ayat perintah. Semestinya anda tidak mahu suami merasakan yang dia seperti orang suruhan anda. Sebagai ketua keluarga tentu sahaja dia rasa tercabar jika isterinya memberikan arahan sebegitu.

2. Pujuk suami untuk membantu anda dengan cara yang berhemah dan kata-kata yang lembut. Cara ini akan membuatkan suami turut sama membantu anda.

3. Berikan tunjuk ajar kepada suami sebelum memintanya melakukan kerja rumah. Tidak semua suami mahir dan tahu tentang kerja atau peralatan yang ada di rumah.

4. Berikan pelukan dan rangkul pinggang suami dari belakang ketika suami sedang melakukan kerja-kerja rumah misalnya ketika suami sedang mencuci pinggan. Pelukan mesra ini akan memberi ketenangan jiwa kepada suami.

5. Luah dan ceritakan kepada suami tentang kepenatan menguruskan rumah tangga yang anda alami selama ini. Luahan ini akan memberi kelegaan dalam diri anda sekali gus mengundang rasa simpati suami untuk membantu anda.

6. Ajak suami untuk sama-sama menguruskan kerja rumah. Dengan cara ini membolehkan kerja tersebut selesai dengan cepat dan melancarkan lagi kerja-kerja anda berdua.

7. Bagi memudahkan suami, buatkan pembahagian dan jadual tugas anda berdua. Libatkan juga anak-anak dalam jadual tugas ini agar mereka dapat mempelajari erti kerjasama, kewajipan dan tanggungjawab.

8. Beri kejutan dengan menampalkan nota kata-kata romantis dan memuji suami di ruang yang mudah dilihat sebagai tanda yang anda gembira dengan pertolongan yang diberikan suami. Cara ini pastinya membuatkan suami rasa terharu dan gembira.

9. Jangan sesekali membebel atau marah jika suami melakukan kesilapan ketika menguruskan kerja rumah bagi mengelakkan suami hilang minat untuk membantu anda. Sebaiknya tegurlah kesilapan suami dengan baik.

10. Ungkapkan kata-kata manis yang memuji suami apabila suami selesai melakukan kerja rumah dengan jaya. Ucapan memuji mahupun terima kasih ini menunjukkan yang isteri menghargai bantuan suami kepadanya.

11. Komunikasi dalam rumah tangga sangat penting untuk mengekalkan keharmonian. Sentiasalah berbincang tentang kelebihan dan kelemahan anda berdua. Dari situ anda berdua akan berubah menjadi pasangan yang terbaik.

12. Apabila suami kepenatan menguruskan kerja rumah, tentu sahaja dia inginkan belaian dan urutan romantis daripada isteri. Oleh itu berikan ‘upah’ hubungan intim yang istimewa kepada suami. Tentu suami semakin ringan tulang membantu anda.

13. Sebagai tanda terima kasih anda kepada suami, raikan suami dengan sesuatu yang menggembirakannya misalnya membelanjakan suami makan di tempat istimewa, masak makanan kegemarannya, memberikan cuti satu hari untuk suami berehat daripada melakukan kerja rumah atau apa sahaja. Cara ini pasti membuatkan suami rasa dihargai.

IKLAN