
Memiliki pasangan yang lebih tinggi sudah pasti menjadi idaman setiap wanita. Tidak pasti mengapa ketinggian menjadi salah satu faktor tarikan, tetapi ramai di antara mereka beranggapan bahawa lelaki tinggi itu nampak lebih tampan dan bergaya
Antara sebab mengapa lelaki bertubuh tinggi ini menjadi idaman wanita ialah
1. Wanita rasa selamat dan dilindungi
Tidak dinafikan berjalan dengan lelaki tinggi membuatkan wanita rasa lebih dilindungi, selamat dan menyenangkan. Wanita menganggap lelaki bertubuh tinggi boleh memberi perlindungan dan hero kepadanya jika terjadi sesuatu perkara, malah wanita juga akan berasa relaks apabila berada di sebelah lelaki yang bertubuh tinggi.
2. Nampak lebih gagah
Wanita merasakan selamat berada di samping lelaki yang lebih tinggi kerana dari mata kasar wanita, lelaki berfizikal sebegini kelihatan lebih gagah dan maskulin berbanding lelaki bertubuh rendah. Disebabkan itulah lelaki lebih tinggi menjadi pilihan ramai wanita.
3. Seronok dipeluk
Wanita memerlukan perhatian serta belaian seperti pelukan, sentuhan dan ciuman daripada lelaki yang disayanginya. Ketiga-tiga perkara ini membuatkan wanita rasa nikmat apabila berada bersama lelaki berpostur tinggi. Malah lelaki yang lebih tinggi daripada wanita tidak dinafikan best untuk dipeluk, apatah lagi saat wanita menekapkan kepalanya pada dada lelaki. Sentuhan hangat itu membuatkan wanita rasa selesa kerana dimanjakan.
4. Nampak lebih bergaya
Ketinggian seorang lelaki secara tidak langsung membuatkan lelaki tampak lebih menarik di mata wanita. Mungkin wajahnya kurang hensem namun disebabkan ketinggian yang dimilikinya itu memberi bonus buat lelaki tampak lebih bergaya. Malah lelaki sebegini juga sesuai mengenakan pelbagai pakaian.
5. Mudah menjadi perhatian wanita
Jika anda perasan, ramai rakyat Malaysia sendiri sangat meminati lelaki Korea. Ini kerana faktor ketinggian dan juga ketampanan mereka. Jika anda dari kalangan lelaki yang bertubuh lebih rendah, jangan pula kecewa. Ada saja wanita yang sukakan anda kerana ukuran comel anda itu.
6. Miliki keyakinan tinggi, berwibawa dan lebih dominan
Mereka dikatakan mempunyai keyakinan yang tinggi, berwibawa dan percaya pada dirinya. Malah lelaki sebegini juga dikatakan miliki peluang karier dan kepimpinan yang lebih baik.
Walaupun di sini menceritakan tentang keistimewaan lelaki bertubuh tinggi, anda yang memiliki tubuh badan yang rendah janganlah pula rasa rendah diri. Ramai wanita yang lebih selesa dengan lelaki bertubuh rendah kerana menganggapnya comel.
Jejak Alam Perkahwinan, Jangan Pernah Lupa Mak & Ayah

KISAH ibu bapa diabaikan anak pasti menjadi isu yang menyayat hati siapa sahaja. Tidak hairan saban tahun iklan perayaan sering menggunakan sentimen ini bagi meraih simpati dan perhatian masyarakat.
Hakikatnya, dalam kehidupan terlalu mencabar dan sukar ini, kebaktian terhadap orang tua acap kali diabaikan.
Secara sengaja atau tidak, memelihara orang tua menjadi beban kepada anak sama ada yang masih bujang, malah yang sudah berkeluarga. Yang bujang akan beralasan, mereka baru bekerja dan tidak mempunyai pendapatan cukup bagi memelihara ibu bapa yang tua.
Anak yang berkeluarga juga memberikan alasan kos sara hidup semakin mencengkam dan rumah yang sempit tidak memungkinkan mereka memelihara ibu bapa. Lebih sukar apabila pasangan tidak sukakan ibu bapa mentua bersama mereka.
Lalu episod luka ibu bapa yang disisihkan anak ini berterusan saban tahun tanpa ada kesudahannya. Benar sebagaimana bidalan menyatakan, ibu bapa mampu mengasuh sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga ibu bapa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baik kebaktian. Sekiranya salah seorang atau kedua-duanya telah tua dalam peliharaanmu, jangan sesekali kamu berkata kepada mereka ‘ah’, dan jangan kamu membentak mereka. Bercakap dengan mereka perkataan yang mulia. Rendahkan diri kamu di hadapan mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkan, ‘Wahai Tuhan! Kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua mengasihi daku semasa kecilku.” (Surah al-Isra, ayat 23-24)
.
Kewajipan memelihara ibu bapa
Ayat Allah SWT menyebutkan keimanan kepada-Nya diikuti kebaktian terhadap orang tua, menunjukkan memelihara ibu bapa adalah kewajipan besar selepas ketaatan kepada Allah SWT. Ia juga membuktikan bahawa hanya orang yang beriman kepada Allah SWT akan memelihara ibu bapa mereka dengan baik.
Baginda Rasulullah SAW menegaskan, keredaan Allah SWT kepada seorang hamba bergantung keredaan ibu bapanya. Sabda baginda: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua orang tua, dan murka Allah juga terletak pada murka mereka.”
Bererti ibu bapa kita adalah penyebab kita ditempatkan di syurga atau dihumban ke neraka. Rasulullah SAW berkata apabila ditanya mengenai hak ibu bapa terhadap anak mereka: “Mereka berdua (ibu bapa) adalah syurgamu dan nerakamu.”
Sebagai ibu bapa, pernahkah merasakan anak yang baru meningkat remaja mula bersikap biadap dan enggan mendengar kata. Anda mungkin tertanya bagaimana anak yang diasuh dengan penuh kasih sayang itu tega memperlakukan ibu bapa mereka sedemikian rupa.
Masalah biasa yang dialami oleh ibu bapa ini mungkin berpunca daripada kederhakaan mereka terhadap emak dan ayah mereka. Penderhakaan yang dilakukan anak terhadap ibu bapa mereka menyebabkan anak mereka juga menjadi biadap dan menderhakai mereka.
Ini jelas berdasarkan sabda Baginda SAW yang dilaporkan oleh At-Thobari, “Berbaktilah kepada kedua orang tua kamu, nescaya anak kalian juga akan berbakti kepada kalian.” Baginda juga berkata, “Lakukan apa sahaja yang kamu mahu, tetapi apa sahaja yang kamu lakukan kepada orang lain, kamu juga akan diperlakukan perkara yang sama.”
.
Kelapangan rezeki, masa
Justeru, bagi ibu bapa yang berhadapan dengan anak luar biasa degil dan biadap terhadap mereka, mungkin perlu muhasabah kembali hubungan dengan ibu bapa mereka. Jika mereka masih hidup, mohon ampun dan berbaktilah kepada mereka sebagaimana mereka pernah berbakti kepada kita.
Dalam psikologi pendidikan, anak yang melihat ibu bapa menghormati dan menjaga datuk serta nenek mengajar mereka untuk melakukan perkara sama kepada ibu bapa mereka.
Berbeza dengan pandangan zahir yang melihat ibu bapa sebagai beban yang menyusahkan anak dan menyempitkan kewangan mereka, sebaliknya ibu bapa adalah sumber rezeki Allah SWT.
Rasulullah mendedahkan perkara ini dalam sabdanya, “Siapa yang mahu dipanjangkan usianya dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada kedua orang tuanya dan menyambung silaturahim.”
Begitu juga dalam laporan Tsauban, Baginda SAW bersabda, “Seorang itu tidak memperoleh rezeki kerana dosa yang dilakukannya. Takdir tidak akan tertolak melainkan dengan doa. Tiada yang dapat menambah usia melainkan dengan berbakti kepada kedua ibu bapa.”
Justeru, bagi anak yang berasa sukar berbakti kepada orang tua kerana kewangan yang sempit, percayalah rezeki itu datangnya daripada Allah SWT. Kebaktian seorang anak kepada ayah dan ibunya tidak bergantung kepada kekayaan dan kelapangan masa.
Ia manifestasi kasih sayang anak kepada orang tua yang pernah berbakti dengan penuh kasih sayang. Kebaktian kepada ibu bapa juga menjadi asbab Allah SWT mengampunkan dosa. Salah satu cara untuk bertaubat atas kesalahan dilakukan kepada Allah SWT adalah berbakti kepada ibu bapa yang masih hidup.
Dicatatkan, seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan mengaku telah melakukan dosa dan meminta cara bertaubat. Baginda bertanya jika dia masih mempunyai ibu, tetapi ibunya telah meninggal dunia. Lalu baginda bertanya jika dia mempunyai ibu saudara dan dia mengakuinya. Baginda mengarahkannya berbakti kepada ibu saudaranya sebagai taubat kepada Allah SWT.
Dilema pilih isteri, ibu bapa
Dilema biasa bagi lelaki sepanjang zaman apabila terpaksa memilih antara isteri dan ibu bapa, siapa perlu didahulukan? Dalam banyak keadaan, lelaki akan lebih berpihak kepada isterinya dibandingkan dengan ibu bapa yang sudah tua.
Dilema seperti ini berlaku sejak zaman Nabi Ibrahim bersama anaknya Nabi Ismail dan malah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dilaporkan, anak Umar al-Khattab pernah mempunyai seorang isteri yang tidak disenangi oleh ayahandanya, lalu diarahkan menceraikan isteri itu, tetapi dia enggan. Lalu Umar menceritakan perkara itu kepada baginda dan dia mengarahkan anak Umar menceraikan isterinya.
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai siapa lebih berhak ke atas seorang wanita, lalu dia menjawab, suaminya. Aisyah bertanya pula mengenai lelaki, lantas Rasulullah menjawab, ibunya.
Ia tidak bererti seorang lelaki perlu membuat pilihan antara dua wanita yang disayanginya. Sebaiknya dia sepatutnya bijak membimbing isterinya bagi menghormati ibunya dan memberikan tumpuan lebih kepada ibunya tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab terhadap isteri.
Bakal Pengantin Suka Bangun Lewat, Mudah Boroi, Berat Naik Mendadak

Ramai antara kita yang merasa pelik, mereka jaga makan, tetapi berat badan mereka naik, tahukah anda bahawa selain menjaga makan, tidur juga mempengaruhi kenaikian berat badan jika tidak dijaga. Biasanya waktu tidur normal seseorang adalah antara 8 jam sehari, namun ramai antara kita tidur lewat atau kurang daripada 5 jam sehari.
Tapi betulkah tidur punca dan penyebab kepada masalah kegemukan? Ramai di kalangan kita tidak sedar bahawa 7 daripada 10 orang mengalami masalah tidur yang berkualiti. Perkara ini nampak remeh dan biasa, tetapi jika dibiarkan berlarutan lama-kelamaan ia menjadi punca kepada masalah kesihatan lebih-lebih lagi berkaitan dengan berat badan.
Jadi apakah tabiat-tabiat yang tidak elok untuk diamalkan sehingga membuatkan seseorang itu berhadapan dengan masalah kegemukan? Berikut penyebabnya;
- Tidur tidak teratur atau lewat
Kebanyakan orang meremehkan waktu tidur mereka dan lebih memilih melakukan kegiatan lain seperti bermain permainan video, melepak dengan kawan-kawan di luar atau menonton cerita lewat malam daripada tidur mengikut waktunya.
Kajian telah menunjukkan bahawa orang yang kurang tidur cenderung akan mengambil lebih banyak kalori dibandingkan orang yang cukup tidur kerana mempunyai masa yang ada dengan makan, bukan berehat atau tidur. Jika anda sudah terbiasa dengan kurang tidur, berkemungkinan besar anda juga akan terbiasa mengambil lebih banyak kalori sehingga membuatkan anda lebih cepat gemuk.
- Kualiti tidur rendah
Jika anda merupakan orang yang jenis tepat pada waktunya, tetapi mudah terbangun pada tengah malam ataupun tidur yang mudah terganggu, itu bermakna anda mempunyai kualiti tidur yang tidak baik. Kualiti tidur yang rendah juga boleh membuatkan seseorang itu cepat gemuk kerana mudah merasa tertekan. Kualiti tidur seperti ini mungkin disebabkan oleh beberapa hal kecemasan, stres dan seumpamanya. Untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti, seelok-eloknya lakukan sedikit senaman atau meditasi. Matikan segala objek elektronik atau letak dalam mod silent agar tidur anda tidak terganggu dengan bunyinya.
- Makan sebelum tidur
Makan sebelum masuk tidur adalah tabiat yang tidak elok. Kesannya anda akan mengambil lebih makanan berat dan berkalori tinggi dengan berharap dapat tidur lebih lama dan nyenyak. Tabiat ini boleh diubah jika anda masih berasa lapar sebelum tidur dengan mengambil minuman segelas susu atau malt coklat dan beberapa biji kurma atau kismis.
Makanan ini tidak mengenyangkan tetapi mampu menahan perut anda dari terus lapar. Jangan lupa berus gigi dengan ubat gigi berpudina bagi mengurangkan keinginan untuk makan lewat malam.
- Bangun lewat
Adakah anda seorang yang suka tidur lewat atau kerap menukar kepada mod snooze tiap kali alarm telefon berbunyi? Sebaiknya ubah tabiat itu dengan terus bangun dan jangan sambung tidur. Tidur lewat akan membuatkan anda akan bangun lewat pada keesokannya harinya dan ini akan membuatkan anda berada dalam keadaan lapar dua kali ganda dari biasa. Tidak hairan jika ada kemungkinannya anda akan makan dengan banyak. Tabiat ini jika tidak diubah lama-kelamaan akan membuatkan berat badan naik mendadak. Jadi, tidurlah di awal waktu dan ini akan membuatkan anda bangun pagi lebih awal.
Jadi, waktu sarapan anda lebih teratur dan berpada-pada. Atasinya dengan segera bangun jika terjaga dengan bunyi alarm walaupun masih terasa mengantuk dan buat sedikit regangan dan senaman ringan. Hirup udara pagi yang segar mampu membuatkan anda terasa lebih cergas untuk memulakan hari baru.
Nak Sihat, Jagalah Makan Betul-Betul

Tiada siapa menyangka pemuda berusia 32 tahun ini pernah mengalami masalah obesiti apabila melihat gambarnya yang bertubuh sasa, selain six pack pada perutnya!
Tetapi itulah realiti diri Mohamad Sazali Baharudin kira-kira lapan tahun lalu apabila beratnya mencapai 115 kilogram (kg) sebelum transformasi dirinya mendapat berat badan ideal iaitu 72kg
Bukan sahaja mengalami masalah berat badan, Sazali atau lebih mesra dengan panggilan Bob berkata penampilannya ketika itu turut memberi impak kepada keyakinan dan personaliti dirinya terutama ketika berdepan dengan orang ramai.
Ketika itu kata Sazali, makanan segera seperti McDonalds dan KFC adalah sahabat baiknya tanpa disedari ia adalah musuh dalam selimut yang mampu membunuhnya jika dia tidak mengambil keputusan untuk berubah.
"Hampir sepanjang hidup saya mengalami masalah berat badan dan tabiat pemakanan tidak sihat menyebabkan masalah itu bertambah teruk sehingga mencecah 115 kilogram ketika usia saya 24 tahun.
"Jauh di sudut hati saya, siapa tidak mahu kurus dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain tetapi kesukaran meninggalkan tabiat makan membuatkan saya terus hanyut tanpa menyedari ia akan memusnahkan diri," katanya kepada mStar.

Bimbang penyakit pemangkin semangat ubah diri
Bagaimanapun kata Sazali, dia mula tersedar perlu melakukan sesuatu untuk mengubah hidupnya atau akan terus berada di takuk sama sekali gus berdepan risiko menghidapi pelbagai masalah kesihatan pada usia muda.
Namun katanya, perjalanannya untuk mendapatkan berat badan ideal bukanlah perkara mudah seperti disangka, sebaliknya menyifatkan ia proses menguji ketahanan mental dan fizikal.
"Azam sahaja tidak cukup sebenarnya tetapi kita perlu ada kekuatan dan sejujurnya hendak bertahan supaya tidak kembali kepada tabiat lama itu adalah cabaran paling menyeksakan.
"Secara peribadi keazaman saya bermula apabila sedar akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan saya tidak mahu itu berlaku memandangkan usia saya masih muda.
"Keinginan untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti orang lain serta menggayakan pelbagai fesyen terkini juga antara motivasi saya," ujarnya.
Disiplin rahsia kekal langsing!
Sazali memberitahu tiada jalan mudah atau tempoh singkat untuk menurunkan berat badan, malah dia sendiri mengambil masa selama 18 bulan untuk mendapatkan berat badan ideal.
Malah kata Sazali, pada awal tempoh proses itu dia pernah mengalami situasi di mana berat badannya tidak menunjukkan penurunan walaupun sudah melakukan senaman dan diet.
"Hendak menguruskan badan juga perlu ada ilmu… paling penting kita kena tahu terlebih dahulu tentang tubuh kita. Saya sendiri pernah lakukan kesilapan apabila tidak mendapatkan panduan dan melakukan apa yang dirasakan betul.

"Memang saya bimbang dan mula buat kajian termasuk carian di Internet, berbual dengan jurulatih di pusat kecergasan serta mendapatkan informasi daripada individu yang mengalami masalah sama dengan saya.
"Saya mula menukar rutin senaman serta menu diet dan Alhamdulillah ia mula menunjukkan perubahan ketara. Ia bukan semata-mata tentang senaman tetapi juga jenis dan jumlah anda makan," katanya.
Paling penting kata Sazali, individu yang ingin menguruskan badan perlu menetapkan matlamat serta mempunyai motivasi serta disiplin tinggi.
Berkongsi rahsia rutinnya, Sazali memberitahu dia amat mementingkan pemakanan selain mengira jumlah kalori yang diambil setiap hari iaitu sekitar 2,000 berbanding 3,000 yang sepatutnya.
Ini kerana kata anak kelahiran Ipoh, Perak ini, sebanyak 70 peratus daripada kejayaan menurunkan berat badan adalah berdasarkan pemakanan seimbang.
"Setiap hari saya akan mengira jumlah pengambilan kalori dan memastikan ia hanya dua pertiga daripada keperluan seharian saya. Bagaimanapun ia bergantung kepada berat dan rutin seseorang itu," jelasnya.
Biar lambat, asal selamat!
Sementara itu, Sazali berkata, sehingga ke hari ini dia masih berjuang untuk mengekalkan berat badannya malah berusaha mendapatkan bentuk badan sasa.
Bagaimanapun kata Sazali, dia tidak menganggap perkara itu sebagai bebanan sebaliknya melihat senaman dan diet sebagai rutin hariannya selain mempelbagaikan aktiviti bagi meningkatkan stamina dan kecergasan.
"Pada saya proses ini bukan semata-mata untuk mendapatkan tubuh idaman tetapi menjadikan ia sebagai salah satu rutin harian.
"Seperti saya sendiri, lapan tahun saya berada dalam perjuangan ini yang ada turun naiknya namun saya sering beritahu diri bahawa biar lambat asal selamat. Jika rasa nak putus asa, ingat matlamat anda.
"Lama-kelamaan anda sendiri akan terbiasa dengan rutin tersebut dan hasil yang dapat anda lihat sebenarnya akan mendorong untuk terus berusaha," ujarnya.
Rutin diet Sazali:
1. Sarapan
Kopi tanpa gula bersama roti bakar dan dua biji telur separuh masak.
2. Snek Pagi
Biskut jagung atau buah-buahan seperti epal atau pir.
3. Makan Tengah Hari
Nasi (setengah senduk), ikan atau ayam panggang, sayur-sayuran hijau serta air putih.
4. Snek Tengah Hari
Buah-buahan
5. Makan Malam
Salad atau sandwich.
SUMBER : https://www.mstar.com.my/