Semalam merupakan ulang tahun kelahiran ke-37 buat penyanyi kelahiran Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL). Pelbagai ucapan telah diterima daripada keluarga, sahabat serta para peminat termasuklah adik iparnya sendiri.
Dan semalam merupakan insta story pertama BCL selepas kehilangan suami tercinta, Ashraf Sinclair. Beliau mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang memberi ucapan hari lahirnya. Catitnya di insta story, pemergian Ashraf merupakan satu berita yang sukar untuk dipercayai walaupun sudah sebulan berlalu. Dia masih belum boleh menerima hakikat bahawa suami tercinta sudah tiada lagi bersamanya. Sedihnya!
Menurut BCL, dia tidak memuat naik sebarang posting di mana-mana akaun media sosialnya kerana masih belum bersedia untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Tetapi, sempena ulang tahun kelahirannya, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi ucapan dan kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.
Akuinya, ini bukan perjalanan yang mudah tetapi sedikit demi sedikit dia berusaha untuk bangkit dan berjalan. Dia turut meminta agar para pengikutnya terus berdoa serta sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah suaminya dan berdoa agar kita semua dilindungi daripada bahaya akibat penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda satu dunia.
Sepanjang satu bulan yang lalu, BCL tidak pernah memuat naik sebarang posting di akaun media sosialnya kerana masih bersedih biarpun sepanjang tempoh tersebut BCL ada menjayakan persembahan dan rakaman televisyen atas tuntutan kerja.
Tulusnya cinta BCL buat arwah Ashraff Sinclair. Sama-sama kita doakan agar BCL diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupannya dan semoga segala urusannya dipermudahkan. Al-Fatihah buat Ashraff Sinclair.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI