
Khas buat suami di luar sana, buatlah hati isterimu gembira, walau hanya dengan satu perbuatan tanpa kata-kata. Cukuplah hatinya tersenyum, hidup anda akan lebih bahagia.

Tak lama lagi, insyaAllah genaplah 5 tahun usia perkahwinan saya dan isteri. Saya lihat di jari, masih tersemat cincin perkahwinan kami. Romantik bukan? (Err…)
Bagi orang perempuan, pakai cincin kahwin itu biasa. Tapi orang lelaki, cukuplah pakai sebulan atau setahun dua saja. Bukan apa, tugas harian orang lelaki membuatkannya tak berapa relevan untuk dipakai sentiasa.
Tak percaya cubalah check tangan mereka, berapa kerat saja yang masih ada cincin kahwin di jari? Boleh kira dengan jari. Saya sebenarnya pun sama, rasa geli.
Hinggalah pada satu hari, ketika daurah kitab Syamail Muhammadiah, tuan guru mensyarahkan bab cincin Nabi. Beliau beritahu cukup seseorang itu memakai cincin pinjam walau seketika, dia sudah pun mendapat pahala. Maksudnya di sini, Ali jumpa Abu. Ali cakap pada Abu nak pinjam cincin dia.
Abu melurut keluar cincin dari jarinya dan memberikan kepada Ali. Ali menyambut cincin tersebut lalu menyarungkan ke jari manisnya. Selepas beberapa saat, Ali pun menanggalkan dan memulangkannya kepada Abu dengan ucapan terima kasih. Itupun sudah dikira mendapat pahala Sunnah. Wahh! Mudah sangat nak dapat pahala. Lepas dengar saja perkara itu, saya terus bersemangat nak beramal. Bila balik rumah, saya pun carilah apa cincin yang ada sehinggalah terjumpa cincin kahwin dulu kala.

Saya tabahkan hati memakainya. Niat nak amal Sunnah semata-mata. Nak dijadikan cerita, isteri bila tengok kita pakai cincin kahwin yang dia bagi dulu, hatinya pun mula berbunga-bunga. Amboi! Rupanya orang perempuan ni bahagia bila kita memakainya. Mungkin dia rasa kita akan sentiasa ingat padanya. Ataupun sebagai petanda kepada makwe-makwe di luar sana bahawa lelaki tersebut sudahpun berpunya. Kurang-kurang kalau lelaki dia nak pergi karaoke waktu dia tengah berpantang, tengok cincin teringatlah juga. Eh!
Tapi seriuslah. Bila pakai cincin kahwin ni rasa macam cinta tu segar-bugar saja. Rasa macam baru kahwin pun ada. Sudahlah amal Sunnah dapat pahala berganda, gembirakan isteri pun ada pahalanya. orang perempuan, setujukah anda?
Kredit Bijen Mohd
Bila Nanti Dah Ada Menantu, Jangan Buat Menantu Terasa Hati

Bila tua nanti dan ada menantu, jangan buat menantu terasa hati” – Nasihat mak mentua pada aku yang buat aku terharu
.
Saya saja mahu berkongsi cerita ini . Sebelum ini saya berstatus janda anak dua. Dulu, saya pernah berkahwin dan bercerai kerana berpunca daripada mentua. Bekas suami saya bongsu. Dari cerita zaman dia bujang, memang cukup perhatian dari mak dia. Apa yang dia mahukan, kalau bapa dia tidak berikan, mak dia yang akan usahakan kemahuan dia.
Bermulalah cerita kami baru berkahwin. Mak dia jatuh sakit yang tidak boleh mahu buat apa-apa. Suami saya minta saya berhenti bekerja dan jaga mak dia. Pada mulanya, saya tidak mahu disebabkan saya ada komitmen dan hutang bank.
Disebabkan menantu lain tidak mahu mengalah, saya beralah juga sebab menantu baru kan? Saya jaga sampailah mak mentua saya dapat bangun macam sebelum ini. Dipendekkan cerita, bila dia sudah sihat, dia seolah-olah lupa jasa saya. Dia banyak melebihkan menantu yang sorang lagi sebab menantu itu selalu belikan dia beg tangan, ajak berjalan, pergi karaoke.
Saya ini pula, memang tidak pernah belikan apa-apa sebab saya tidak bekerja dan suami yang menanggung segala komitmen saya. Banyak benda lagilah yang mak mentah buat kepada saya.
Tetapi saya tidak pernah bermasam muka dan luahkan pada siapa-siapa pun sebab saya tiada kawan yang terdekat. Zaman itu belum wujud lagi Whatsapp. Jadi kredit telefon agak terhad untuk hubungi kawan-kawan.
Satu hari itu, saya ke kampung mentua saya. Masa saya lalu depan bilik dia, saya terdengar perbualan dalam telefon antara dia dengan anak dia yang mana ntah. Ayat yang dapat dengar jelas adalah,
“Ada tu, haa tengah tengok TV. Dah tahu hutang banyak, Tidak mahu bekerja. Malas nak belikan mak apa-apa. Nanti makin minta-minta pula;”
Dari situlah, bermulanya dendam saya membuak-buak pada mentua. Daripada saya tidak terfikir apa-apa pasal mak mentua saya selama ini, walaupun saya ada terasa, sejak terdengar macam itu, saya terus terasa benci sangat-sangat.
Saya mahu sambung kerja lepas mak mentua sihat, tetapi suami tidak izinkan dan suruh saya jaga anak saja. Sejak kejadian itulah, saya dan suami kerap bergaduh walaupun benda itu kecil saja. Makin lama, suami pun tidak tahan dengan sikap saya, dia terlepas cakap yang macam-macam.
Yang dia terlepas cakap itu semua hasutan daripada mak dia degan rasa terlalu marah macam kena rasuk syaitan, saya bertekak sehabisnya dengan suami sampailah dia tumbuk muka saya dan lafazkan talak ketika saya mengandung anak kedua pada usia 3 bulan.
Selama tiga tahun hidup menjanda, keinginan mahu bersuami itu ada, tetapi saya tidak mahu yang ada mak. Rata-rata lelaki yang saya kenal semuanya masih mempunyai emak lagi. Rasa fobia punya pasal, saya sanggup putuskan perkenalan walaupun saya sudah suka sangat dengan lelaki itu. Tidak putus-putus saya berdoa aga dapat jodoh yang saya mahukan.
.
Jarak Menantu dan Mak Mertua
Maka saya kenal dengan suami baru saya ini dan tahu dia masih ada mak lagi. Tetapi tidak tahulah kenapa perasaan saya kuat mahu kenal dengan suami sekarang. Dipendekkan cerita, kami berkahwin dan suami jarakkan saya dengan mak dia sebab tidak mahu beri rasa fobia saya itu muncul kembali.
Hampi setahun suami tidak bawa balik ke rumah menta dan mentua pun tidak pernah datang ke rumah kami. Kami hanya berhubung menerusi telefon saja. Akhirnya, saya sendiri yang ajak mentua datang ke rumah kami yang kebetulan dia ada di rumah anak dia yang lain yang terletak berdekatan dengan rumah kami.
Seminggu saja mentua saya ada di rumah kami. Mungkin tidak berasa selesa dengan saya kot. Ye lah, saya layan pun ala kadar sebab saya takut mahu berbaik-baik dengan mak mentua ini. Malam terakhir dia tinggal di rumah kami, suami tiada di rumah. Jadi tinggal kami berdua.
Mak mentua mulakanlah cerita kisah-kisah lama dia sampailah kisah dia dibenci dengan mak mentua. Cerita dia lebih kurang sama dengan saya, cuma bezanya dia tidak bercerai. Jadi dari situ saya mula selesa dengan dia dan saya bercerita dengan dia kisah silam saya. Rupanya, mak mentua saya sudah tahu sikit-sikit cerita saya, sebab itu dia tidak terasa apa yang saya buat pada dia. Dia bagi saya ruang untuk hilangkan rasa fobia dia.
Allah, malam itu, kami sama-sama berlinangan air mata dan kenangkan kisah lama dan dosa saya pada dia. Dia cuma berpesan pada saya;
Bila tua nanti dan ada menantu, jangan buat menantu terasa hati.. Sebab nanti kita pon akan terasa hati ngan sikap menantu.. Jangankan kata menantu, anak kita sendiri pun ada buat kita terasa kan?
Lagi pulak anak sendiri ada tinggi suara dengan kita kadang-kadang sebab memberontak.. Kalau sudah mula rasa terasa hati dengan menantu, cepat-cepat jauhkan jarak supaya yang busuk itu tidak jadi lebih busuk. Mak cukup takut nak buat menantu terasa sebab mak sudah lalui.
Sejak dari hari itulah, saya dengan mak mentua saya jadi cukup rapat. Alhamdulillah atas ujian yang Allah bagi pada saya.
Selamat Menjadi Ayah, Ini 5 Amalan Yang Perlu Dan Tidak Perlu Untuk Raikan Orang Baru

Ibu bapa manalah yang tidak gembira apabila anak mereka dilahirkan. Kelahiran anak yang diamanahkan oleh Allah SWT itu merupakan simbol kasih sayang antara pasangan dan tanda kegembiraan hidup berkeluarga.
Namun, di sebalik kegembiraan dan kebahagian, ada pula tanggungjawab baru yang perlu dipikul oleh kedua-dua ibu dan bapa. Ada yang sudah berpengalaman menyambut kedatangan insan baru, tapi masih ramai sebenarnya yang keliru dengan amalan yang sering dibuat oleh masyarakat Melayu.
Yang mana satu sunnah, yang mana satu adat dan yang mana satu khurafat? Kami kongsikan 5 amalan yang biasa dibuat dalam masyarakat Melayu selepas bayi dilahirkan:
1 Menanam uri
Menurut Mufti Faraz Adam Al-Mahmudi, tubuh badan manusia ini bukanlah hak milik kita. Ia hanyalah pinjaman Allah SWT sementara kita berada di atas muka bumi. Sebagaimana jenazah seorang Muslim perlu ditanam, begitu jugalah uri dan tali pusat seorang bayi yang baru dilahirkan.
Cara menanam uri pula mudah sahaja. Dr. Danial menjelaskan uri hanya perlu dicuci bersih menggunakan air sahaja sebelum dibungkus ketat menggunakan plastik dan ditanam.
Ramai orang Melayu yang terikut-ikut amalan seperti menggunakan kunyit, limau nipis, asam keping dan sebagainya ketika membasuh uri. Ada yang lebih mengarut dengan meletakkan paku dan kain putih/hitam untuk menghalau jin.
Malah, lebih menyedihkan apabila ada ibu bapa yang percaya bahawa menanam uri bersama pen, kalkulator, laptop dan kamus boleh membuatkan anak tersebut membesar menjadi orang yang bijak pandai.
2 Membelah mulut
Masih wujud golongan Melayu yang percaya membelah mulut perlu dibuat menggunakan cincin emas yang direndam dalam air zamzam, potongan asam keping dan sebagainya. Sebenarnya upacara “belah mulut” ini adalah adat yang berasal dari kaum Hindu agar mendatangkan kepetahan, kebijaksanaan dan kebaikan kepada bayi.
Dalam Islam, sunnah Rasulullah hanyalah dengan mentahnikkan bayi tersebut dengan buah kurma. Jika tiada tamar (kurma biasa/kering), bolehlah menggunakan rutab (kurma yang masak ranum/basah).
Ada ulama yang berpendapat jika ketiadaan kurma, anda boleh bertahnik menggunakan manisan lain seperti madu. Namun, kami pernah kupaskan isu ini di mana kajian mendapati madu sebenarnya tidak boleh diberikan kepada bayi dibawah umur 12 bulan.
Bukanlah kami katakan jatuh hukum haram memberi madu, tapi jika ia boleh mendatangkan mudarat, sebaik-baiknya elakkanlah. Lagipun, kita nak buat perkara sunnah kan? Sunnah Rasulullah hanya guna buah kurma. Zaman sekarang ini rasanya tak sukar pun nak mencari buah kurma sehingga perlu diganti dengan madu atau manisan lain. Ada saja buah kurma dijual sepanjang tahun.
Menurut Ustaz Khalid Basalamah, cara bertahnik juga amat mudah. Ia boleh dilakukan oleh bapa bayi sendiri atau mana-mana orang yang soleh. Kunyah sedikit sahaja isi kurma sehingga hancur sebelum diambil secalit pada hujung jari untuk dilalukan ke lelangit mulut bayi tersebut.
Pastikan orang yang mentahnik itu membersihkan tangan, menggosok gigi dan berkumur terlebih dahulu sebelum mula ya.
3 Mencukur jambul
Dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz menyatakan amalan mencukur jambul (bahagian depan rambut sahaja) dan menggunakan kelapa semasa upacara tersebut berlangsung adalah amalan bidaah dan khurafat kerana meniru ritual agama Hindu.
Menurutnya lagi, Islam menggalakkan rambut bayi dicukur sehingga botak untuk menyingkirkan segala kekotoran yang melekat di kepala bayi semasa dalam kandungan dan agar rambut baru dapat tumbuh dengan lebih sihat.
Rambut yang telah dicukur itu kemudian disedekahkan kepada fakir miskin dengan cara menimbang dan menyamakan berat rambut dengan nilai perak atau emas.
Sebagai contoh, berat rambut adalah 1 gram manakala nilai emas (1 gram) pada hari tersebut adalah RM180. Jadi, wang RM180 itu perlu dijadikan sedekah kepada fakir miskin.
Ustaz Azhar Idrus pula berkata mengadakan majlis cukur jambul sekadar ‘cukup syarat’ tidak menjadi satu kesalahan. Namun, ibu bapa perlu memastikan rambut bayi masih dicukur botak setelah majlis selesai. Selain itu, sunnah mencukur rambut ini terpakai untuk kedua-dua jantina bayi iaitu lelaki dan perempuan dan paling afdal dibuat pada hari ke-7 selepas kelahiran.
4 Berendoi
Ibadah aqiqah disunatkan kepada setiap bayi yang baru dilahirkan. Sunnah Rasulullah menyatakan ia paling elok dibuat semasa hari ke-7 kelahiran bayi. Namun hukumnya sunat muakkad selagi anak itu masih belum baligh dan harus apabila anak sudah baligh.
Daripada Samurah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.” (Riwayat Abu Daud : 1522)
Tertib sunat yang terbaik adalah menyembelih 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan 1 ekor kambing bagi anak perempuan. Walaupun begitu, Mufti WP menyatakan ia memadai sekiranya dapat menyembelih 1 ekor kambing sahaja bagi anak lelaki.
Daging kambing yang disembelih bolehlah dimasak sebagai jamuan atau diagih-agihkan.
Walau bagaimanapun, kecenderungan masyarakat zaman kini dalam mengadakan majlis akikah berserta adat berendoi secara besar-besaran bagaikan kenduri kahwin mempunyai pandangan yang berbeza-beza.
Menurut Ustaz Rohidzir Rais, adat berendoi menggunakan buaian yang dihias cantik sambil didendangkan marhaban dan berzanji merupakan adat Melayu yang sudah lama dipraktikkan. Amalan ini tidaklah bercanggah dengan ajaran Islam. Walaupun ia bukan berasal daripada Rasulullah SAW, ia dibolehkan selagi tidak berlebih-lebihan. Namun, lebih afdal sekiranya ia digantikan dengan amalan lain seperti bacaan Al-Quran atau berzikir untuk mengelakkan khilaf.
Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz pula menegaskan bahawa majlis keraian itu sekiranya diadakan secara besar-besaran, niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk dan mempamerkan unsur kemewahan. Niat seseorang haruslah benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Dikhuatiri kalau tersilap langkah, boleh bertukar menjadi riak. Daripada elok-elok mengejar pahala sunat, tiba-tiba mendapat dosa pula.
5 Menjauhi “gangguan”
Ramai ibu bapa yang amat takut dengan syaitan dan jin yang boleh mengganggu anak kecil. Ada yang terlalu taksub sehingga percaya dengan tangkal atau azimat seperti meletakkan paku, gunting dan sebagainya di bawah bantal bayi atau meletakkan buku surah Yaasin berhampiran dengan bayi dengan niat memberi perlindungan daripada gangguan.
Malah, lebih menyedihkan apabila segelintir masyarakat masih lagi mempercayai amalan khurafat seperti memakaikan benang hitam/kuning yang telah dibacakan ayat jampi untuk menghalau jin.
Jumhur ulama mengatakan haram mempercayai atau menggunakan tangkal dan azimat. Umat Islam ditegah melakukannya kerana dikhuatiri boleh jatuh syirik.
Menurut Ustaz Azhar Idrus, sememangnya wujud Ummu Sibyaan iaitu iblis yang suka mengganggu anak kecil. Tetapi kaedah yang terbaik untuk mengelakkan gangguan iblis ini adalah dengan menutup semua pintu dan tingkap ketika hampir waktu Maghrib.
Sekiranya anak menangis tidak henti-henti kerana dipercayai terkena gangguan syaitan, anda bolehlah bacakan ayat Kursi dan tiga Qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Naas), ditiup pada kepala bayi sambil berkata “Wahai Ummu Sibyaan, keluar dan jangan ganggu anak aku.” Kemudian, biarkan anak tidur dalam keadaan meniarap.
Kami berharap agar artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa yang baru menimang cahaya mata.
Perlu diingatkan, kebanyakan amalan semasa menyambut kelahiran bayi adalah sunat dilakukan. Tidak wajib bagi ibu bapa untuk membuat akikah, bertahnik dan mencukur rambut. Janganlah kita terlalu sibuk mengejar perkara yang sunat sehingga berlaku pembaziran. Malah, lebih teruk lagi sehingga tidak sedar yang kita sebenarnya telah melakukan perkara khurafat dan bidaah.
Ayat Kena Betul Kalau Nak Doa Diterima & Dimakbulkan. Ini 10 Cara Buat Doa Lebih Padu

Seorang wanita di Facebook, Nur Aliah Mohd Nor baru-baru ini telah berkongsi tentang teknik powerful words di dalam doa yang patut kita gunakan setiap kali kita menadah tangan kepada Allah. Untuk bakal pengantin, mungkin inilah masa untuk anda banyakkan masa berdoa agar perjalanan majlis juga rumahtangga yang bakal dibina kekal berpanjangan.
Teknik 1: Berilah kekuatan vs lapangkan kesulitan
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah berikanlah aku kekuatan”.
Jika doa begini, maka Allah akan sentiasa menguji hambaNya untuk test kekuatan kita.
Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi hari ini, Ya Allah keluarkanlah aku dari kesulitan ini, Ya Allah bantulah diriku ini.”
Teknik 2: Berilah vs kurniakanlah
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah BERILAH aku..”
Jadi cara doa yang kita boleh betulkan ialah,
“Ya Allah KURNIAKANLAH aku..”
Sebab bila kita sebut BERI, bila-bila masa Allah boleh ambil nikmat tersebut. Jika sebut KURNIA, maka Allah akan kurniakan sesuatu pada kita sampai bila-bila masa, InshaaAllah.
Teknik 3: Dimurahkan rezeki vs dilimpahkan rezeki
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“semoga DIMURAHKAN rezeki.”
Jadi cara doa yang kita boleh amalkan ialah,
“semoga DILIMPAHKAN rezeki yang berpanjangan dan berkat.”
Bila kita sebut “dilimpahkan”, maka benar Allah betul-betul limpahkan rezeki yang sangat banyak, berbanding dengan dimurahkan, sebab bila sebut murah, Allah berikan rezeki yang biasa dan mencukupi sahaja.
Teknik 4: Tambahkanlah
Satu lagi perkataan selain dilimpahkan, boleh juga guna perkataan TAMBAHKANLAH. Dan ini doa yang boleh kita amalkan bersama setiap kali dalam sujud terakhir kita.
“Ya Allah, TAMBAHKANLAH bagiku rezeki yang banyak lagi halal, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang baik, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”
Teknik 5: Cara mengaminkan doa
Sebelum ni kita selalu meng’amin’kan doa begini,
“Amin Ya Rabbal Al-Amin.”
Jadi cara yang lebih baik untuk kita amalkan bersama-sama adalah,
“Amin Ya Allah Ya Mujib”.
Sebab maksud Mujib ni ialah memakbulkan. Kita bersungguh-sungguh nak Allah makbulkan doa kita ni, jadi sebut dengan penuh yakin Ya Mujib.
Teknik 6: Doa untuk orang lain
Sebelum ni kita selalu berdoa dengan cara kita ‘mengarahkan’ Allah untuk cepat-cepat keluarkan kita dari masalah-masalah yang kita hadapi.
Jadinya doa yang terbaik kita boleh amalkan sambil mendoakan juga untuk orang lain, adalah dengan cara ini,
“Allah.. Allahu Robbunaa.. Laa Nusyriku Bihii Syai’a”,
(Allah adalah Rabb kami yang kami tidak pernah sekutukan dengan siapa pun)
Baca 100x, doa ketika beramai-ramai.
“Allah.. Allahu Rabbi.. Laa Usriku Bihi Syai’a”,
(Allah adalah Rabbku yang aku tidak sekutukan dengan siapa pun)
Baca 100x, doa apabila seorang diri.
Kenapa kita baca doa atau zikir ini adalah sebab doa ini penyingkir kesulitan, kesusahan, kegelisahan, kekhuatiran dan keresahan.
Sekali gus doa ini boleh menghilangkan beban hutang, beban hati, beban fikiran, serta sangat baik sekali buat bantu sahabat-sahabat kita dalam mencapai hajat-hajat mereka.
Teknik 7: Doa ketika bersedekah
Sebelum ni kalau di masjid nak sedekah tu, mungkin ada yang sedekah dan berlalu pergi macam tu je tanpa berdoa, atau mungkin ada yang berdoa dan terlalu mengharapkan Allah bagi rezeki cepat-cepat kat kita. Allahu.
Jadi InshaaAllah selepas ini, betulkan niat kenapa kita nak sedekah dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah,
“Ya Allah aku sedekahkan sejumlah ini kerana untuk digunakan demi mencari redhaMu. Semoga sedikit sumbangan ini dapat menghapuskan segala dosa-dosaku yang membuka segala pintu rezeki yang tidak pernah ku duga.”
Teknik 8: Doa orang yang terlalu sibuk berniaga
Doa di bawah ini adalah khusus untuk orang yang sibuk berniaga siang malam, solat pon kadang hujung waktu dan lebih sedih lagi sampai tak ada masa nak spend time bersama dengan keluarga tersayang.
Faktor jadi macam ini mungkin antara sebabnya doa kita tak spesifik minta kepada Allah. Jadi, InshaaAllah doa di bawah ini dapat membantu anda yang berniaga.
“Ya Allah ilhamkanlah kami dengan perniagaan ini dapat membawa kami dekat denganMu, yang membuatkan kami banyak masa untuk beribadat denganMu, banyak masa bersama suami/isteri, anak-anak kami serta ahli keluarga kami. Ya Rabb, kurniakanlah kami jutawan Islam yang kembali menegakkan ekonomi Islam. Dan Engkau kurniakanlah kami hamba-hambaMu yang menyebarkan dakwah dalam berniaga.”
Teknik 9: Doa mendapatkan zuriat
Sebelum ni kita selalu berdoa,
“Ya Allah kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah”.
Dan setiap kali tak dapat pasti kita akan rasa kecewa. Jadi doa yang boleh kita amalkan bersama adalah,
“Ya Allah sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan diriku dengan diriMu, maka makbulkanlah Ya Allah, sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau melihatku, maka kurniakanlah anak yang soleh dan solehah. Kerana Engkau sebaik-baik perancang dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.”
Teknik 10: Zahirkan kesyukuran sebelum membuat permintaan
Paling penting sekali adalah tips yang terakhir ini, kita dah berdoa bersungguh-sungguh ni dan dah tukar cara berdoa kita. Namun kita terlupa, untuk bersyukur kepada Allah swt terlebih dahulu.
Sebab barangsiapa yang bersyukur, Allah akan tambahkan lagi nikmat buat dirinya. Waktu terbaik untuk kita ucapkan kesyukuran kita adalah setiap pagi bangun je dari tidur dan juga waktu malam sebelum tidur, buat terapi kesyukuran iaitu 7 rasa kesyukuran kita kepada Allah swt. Contohnya begini,
“Syukur Alhamdulillah terima kasih Ya Allah..
aku bersyukur masih lagi bernafas pada pagi ini, aku bersyukur Engkau kurniakanku kesihatan yang baik, aku bersyukur Engkau kurniakanku rezeki yang melimpah ruah buat diriku..”