Kewajipan Suami Memberi Nafkah (belanja) Sesungguhnya kewajipan memenuhi keperluan nafkah terhadap isteri tidak hanya terhenti setakat nafkah batin semata-mata tetapi juga nafkah zahir termasuk memberi belanja dan keperluan zahir kepada isteri. Perkara ini telah ditetapkan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya, “Dan kewajipan suami memberi makanan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 233) Takrif nafkah harta (belanja) adalah suatu bahagian daripada harta yang dibelanjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepada suami terhadap isterinya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah daripada sumber yang halal, iaitu bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan serta ia bukan dari usaha mencuri, rasuah, riba dan sebagainya. Maka harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri dan anak-anak mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram tidak boleh dijadikan nafkah. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Setiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, nerakalah yang lebih layak baginya.”
Hak Isteri Tanggungjawab Suami Salah satu daripada hikmah mengapa beban nafkah itu terpikul di bahu suami adalah disebabkan kelebihan lelaki dalam penciptaannya dari segi kekuatan fizikal dan akal fikirannya yang disifatkan sebagai mampu untuk bekerja keras mencari nafkah, memberi pelindungan dan mempertahankan maruah keluarga di mana tidak ada kewajiban bagi isteri untuk mencari nafkah.
Tetapi ini bukanlah bermaksud bahawa Islam telah menggambarkan wanita sebagai orang yang lemah dan hanya membebani lelaki tetapi ia adalah penghormatan Islam kepada wanita sehubungan dengan tugas mereka yang amat kompleks di rumah dalam menguruskan hal anak-anak dan keluarganya. Oleh itu memberi nafkah ini adalah wajib hukumnya ke atas suami semenjak mula berlakunya pernikahan, meskipun si isteri itu merupakan seorang yang kaya di mana perkahwinan itu sekali-kali tidak akan mengubah kedudukannya bahkan dia tetap mempunyai hak-hak peribadi yang tidak boleh diganggu walaupun oleh suami.
IKLAN
Sedangkan suami tetap bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isterinya itu yang merangkumi penyediaan keperluan asas iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal yang selesa di samping memberikan wang perbelanjaan untuk menguruskan keperluan diri, anak-anak dan rumah tangga. Ini adalah berdasarkan kepada keadaan dan kemampuan si suami tersebut dimana isteri yang baik tidak akan ‘merengek-rengek’ meminta sesuatu yang tidak mampu dibeli atau disediakan oleh suaminya sebagaimana yang tersebut didalam al-Quran yang maksudnya, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu);
Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekara kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah at-Thalaq, ayat 6-7) Sedekah Yang Diwajibkan Sesungguhnya Islam menganggap bahawa pemberian nafkah suami kepada isteri itu sebagai satu sedekah di mana Rasulullah SAW menerangkan dalam sebuah hadis baginda bahawa sedekah yang paling baik adalah yang melebihi keperluan.
IKLAN
Walhal sedekah ini pula elok didahulukan kepada orang yang dibawah tanggungan si suami itu sendiri yang membawa maksud kepada isteri masing-masing. Sa’ad bin Abu Waqqash berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya, “Setiap belanja yang engkau berikan demi mencari redha Allah, pasti diberikan pahala, sekalipun yang engkau suapkan ke dalam mulut isterimu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Malahan nilai memberi nafkah kepada isteri dan anak itu sebenarnya adalah lebih utama daripada menyumbangkan harta demi perjuangan Islam di mana Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya, “Satu dinar yang engkau belanjakan untuk perang di jalan Allah dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk isterimu, yang paling besar pahalanya ialah apa yang engkau berikan kepada isterimu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Perpisahan memang menyakitkan. Tapi apa nak buat kalau dah tak ada persefahaman dalam perhubungan. Malah kita tak akan berpisah kalau tiada halangan.
Dalam sedang bahagia melupakan, dia datang tanpa diundang. Ini jawapan padu yang lelaki perlu hadam. Lelaki seharusnya lebih kebal terhadap godaan, sedangkan wanita pula harus lebih bersabar pada kesepian.
Isteri : Abang, phone abang bunyi tu…
Suami : Hello, Siapa ni
Wanita : Saya ni, Medina…
Suami : Oh! Ada apa ye, tiba-tiba call?
Wanita : Boleh keluar sekejap tak? Saya ada depan rumah awak ni.
Ya, Medina adalah bekas kekasih Mukhriz dulu. Entah mengapa dia tiba-tiba menghubungi Mukhriz yang sudah berkahwin, bahkan mengajaknya berjumpa. Mukhriz meminta izin dari isterinya.
“Takpe bang, jumpa je lah, saya percaya dengan abang” kata isteri Mukhriz
Medina : Kita keluar minum sekejap?
Mukhriz : Ada masalah apa? boleh cakap kat sini je. Dah malam ni, saya tak boleh tinggal wife sorang-sorang kat rumah, dia takut gelap.
Medina : ……Saya dah bercerai…..
Mukhriz : Kenapa? Bukan ke suami awak sayang sangat dengan awak?
Medina : Tak, dia jahat! Dia curang dengan saya. (sambil menangis)
Mukhriz : Dah…dah, jangan sedih lagi, awak muda lagi, masih boleh cari yang lebih baik!
Medina : Awak benci saya tak?
Mukhriz : Tak, yang dah lepas, lepaslah. Saya dah lupakan.
Medina : Serius?
Mukhriz : Serius! Pernah ke saya bohong dengan awak?
Medina : Awak…..masih cintakan saya?
Mukhriz : … Cinta…
Medina : Kalau macam tu, kita nikah jom? Saya janji akan jadi isteri yang baik. Kita mesti bahagia.
Mukhriz : Medina, saya dah kahwin…
Medina : So? Awak cintakan saya kan?
Mukhriz : Tak boleh, wife saya cintakan saya sangat-sangat, tak mungkin saya lukakan hati dia….
Medina : Kalau awak tak berani bagi tahu dia, biar saya yang bagi tahu!
Mukhriz : Tak boleh!
Medina : Tapi kenapa?
Mukhriz : Sebab saya seorang lelaki.
Medina : Bagi saya alasan yang jelas! Terang-terangan awak masih cintakan saya, dan saya pun cintakan awak, kenapa kita tak boleh bersama?
Mukhriz : Betul awak nak tahu kenapa?
Medina : Ya…
Jawapan Mukhriz :
Saya tahu mencintai seseorang itu tak mudah, bahkan saya lebih mengerti bagaimana sakitnya dikhianati! Kerana itu saya tak akan mengkhianati isteri saya..
Yang memutuskan memilih dia sebagai pasangan hidup adalah saya, saya jugalah yang mengambil keputusan untuk menikahi dia. Saya sudah berjanji pada diri saya sendiri untuk menumpukan hidup saya pada dia, saya tidak boleh melakukan perkara-perkara yang membuat dia sedih. Apapun masalah yang akan menimpa keluarga kami dimasa hadapan, saya tetap akan berdiri disampingnya dan melindunginya.
Dia sangat mencintai saya, dia sangat polos dan sangat baik. Dia melakukan dan memikirkan segala-galanya untuk saya. Sekarang saya boleh berada di hadapan awak, juga kerana dia yang menyuruh saya menemui awak. Dia tahu saya tak akan tinggalkan dia, sebab tu dia pun setuju untuk bernikah dan menyerahkan sepenuh hidupnya kepada saya. Kehidupan seorang wanita yang sudah menyerahkan diri, sama sekali tidak boleh disia-siakan!
Mukhriz : Faham?
Medina : Ya, faham. Kalau macam tu, kita jadi kawan rapat je, macam mana?
Mukhriz : Tak perlu, saya tak perlu teman wanita lain lagi selain isteri saya!
Medina : Kenapa?
Jawab Mukhriz lagi..
Pertama, favourite kita tak sama. Saya suka ini, awak suka itu…
Kedua, awak tak kan boleh beri kebahagiaan seperti yang isteri saya sudah berikan.
Ketiga, saya tak ada masa lagi untuk teman awak shopping atau makan, sebab saya akan buat semua tu dengan isteri saya.
Keempat, isteri saya boleh jadi cemburu.
Jadi buat apa berkawan rapat dengan awak?
Perkara yang paling membuat lelaki bangga bukanlah jumlah wanita yang sudah ditidurinya, tetapi kemampuannya untuk memiliki seorang wanita yang bersedia tidur dengannya seumur hidup. Manakala, perkara yang paling membuat wanita bangga bukanlah soal berapa banyak lelaki yang dimilikinya, tetapi berapa banyak wanita yang ditolak oleh pasangannya.
Lelaki seharusnya lebih kebal terhadap godaan, sedangkan wanita pula harus lebih bersabar pada kesepian.
Merancang majlis perkahwinan yang sempurna tidak semestinya memerlukan perbelanjaan dan bajet yang tinggi untuk direalisasikan. Oleh yang demikian, pentingnya penyediaan anggaran perbelanjaan agar majlis perkahwinan anda tidak menyebabkan terlalu banyak pembaziran wang pada perkara yang tidak perlu.
Bagi anda yang mempunyai bajet terhad, berikut merupakan perkara yang boleh dielakkan agar anda boleh menjimatkan kos perkahwinan. Ini lima perkara yang perlu dielakkan bagi agar anda boleh save bajet.
1. PENGAPIT YANG TERLALU RAMAI
Kehadiran pengapit yang ramai mampu menyerikan majlis perkahwinan. Ia cukup mengujakan apabila mempelai diapit oleh teman-teman yang memakai busana berona sedondon. Namun, ia akan melibatkan kos yang tinggi kerana anda perlu menyediakan pakaian mereka, bunga tangan dan pelbagai aksesori untuk kelihatan sempurna sekali gus untuk menambah seri pada majlis anda.
Ia akan melibatkan sejumlah wang besar untuk direalisasikan. Sebaiknya, cukup hanya menggunakan dua orang pengapit iaitu seorang untuk pengapit pengantin perempuan dan seorang lagi untuk pengantin lelaki. Dengan cara ini bajet perkahwinan boleh dijimatkan.
2. KEK PERKAHWINAN BERTINGKAT
Rata-rata pengantin menempah kek bertingkat untuk upacara memotong kek kerana mementingkan kecantikan momen itu di dalam foto dan video. Tambahan pula, kek bertingkat ini kosnya agak tinggi. Sekiranya anda masih ingin kek bertingkat, anda boleh berjimat dengan cara menempah kek yang disertakan dengan replika atau dummy cake di bahagian atas manakala kek sebenar di bahagian bawah.
3. PROP NOVELTI, KAIN RENTANG DAN BUNTING
Ramai pengantin masa kini menempah bunting sebagai petunjuk jalan atau digantung di depan rumah. Tanpa disedari, ia memakan sejumlah kos yang agak tinggi. Untuk menjimatkan kos, anda boleh membuatnya sendiri atau menempah dengan kadar yang tidak terlalu banyak. Begitu juga dengan photo booth yang turut memakan kos belanja yang agak besar untuk merealisasikannya.
4. CENDERAHATI YANG MAHAL
Kerap berlaku di mana kita terdorong membeli sesuatu bekas yang mahal atau menempah beg kertas mengikut cita rasa dan tema majlis walhal akhirnya ia akan dibuang juga. Untuk menjimatkan kos, seeloknya anda beli beg kertas yang sedia ada yang menepati keperluan. Anda juga boleh mengunakan kreativiti anda untuk menyediakan sendiri cenderahati perkahwinan untuk menjimatkan kos perkahwinan.
5. TERLALU BANYAK MOMENTO
Kini terlalu banyak pakej fotografi dan videografi yang ditawarkan mampu menelan belanja beribu ringgit. Tidak salah jika anda ingin mengabadikan momen-momen indah anda yang hanya dialami sekali seumur hidup. Ada cara yang lebih jimat iaitu anda mungkin boleh meminta bantuan ahli keluarga terdekat anda atau rakan anda untuk merakamkan momen bahagia anda. Anda juga boleh mendapatkan pakej fotografi tanpa album dan cara ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan.
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Saya mempunyai kakak ipar dan baru berkahwin dengan lelaki lain baru-baru ini dengan menggunakan wali hakim. Dia baru memberitahu tentang perkahwinannya kepada keluarga kami. Dia tinggal di Kuala Lumpur dan berkahwin di Kuala Lumpur. Wali aqrab (bapanya) tinggal di Pulau Pinang, tetapi wali ab’ad (suami saya) yang memenuhi kriteria wali tinggal tidak lebih 15km dari kakak ipar saya.
Persoalan saya, adakah sah perkahwinan ini jika wali aqrab masih hidup dan sihat berada di Pulau Pinang dan wali ab’ad memenuhi syarat tinggal berdekatan dengan wanita itu?
Kredit: CST Production
JAWAPAN
Muqaddimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”
Riwayat al-Daraqutni (3/227) Ibn Majah (1882) dan rijalnya thiqah
Merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji [4/62], apabila seorang perempuan mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali, perkahwinan adalah batal dan kedua-duanya wajib dipisahkan. Ini adalah pendapat majoriti fuqaha’ kecuali mazhab Hanafi. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 9/6698]
Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA, RAsulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, perkahwinan tersebut adalah batal.” Baginda mengulanginya sebanyak tida kali. “Apabila disetubuhi oleh pasangannya, dia berhak menerima mas kahwin bagi menghalalkan farajnya. Jika berlaku perbalahan tentang wali, maka sultan ialah wali kepada mereka yang tidak berwali.”
Riwayat Abu Daud (2083)
Kami simpulkan beberapa sebab yang mengharuskan untuk berwalikan hakim yang dirujuk dari kitab al-Fiqh al-Manhaji dan beberapa kitab yang lain:
Keengganan wali dalam pernikahan
Jika wali enggan walaupun wali merupakan bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Hal ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali. Jika mereka enggan menunaikan tanggungjawab, maka hakimlah yang perlu melaksanakannya.
Menurut Imam al-Nawawi:
فإن فقد المعتق وعصبته زوج السلطان. وكذا يزوج إذا عضل القريب والمعتق وإنما يحصل العضل إذا دعت بالغة عاقلة إلى كفء وامتنع
Maksudnya: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang.
[Lihat: Minhaj al-Tolibin hal. 207]
Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. [Lihat: Mughni al-Muhtaj 4/253]
Ketiadaan wali nasab
Apabila wali nasab tiada, maka hak perwalian berpindah kepada qadhi, kerana dia dilantik untuk melaksanakan kepentingan orang Islam.
Susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:
Bapa Kandung.
Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
Adik Beradik Lelaki Sebapa.
Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
Anak Saudara Lelaki Sebapa.
Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
Wali Hakim.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/61)
Wali aqrab (yang terhampir) tidak cukup syarat-syarat menjadi wali dan ketiadaan wali ab’ad
Seorang wali yang mempunyai hak untuk mengahwinkan perlu memenuhi syarat-syarat wali iaitu Islam, seorang yang adil, baligh, berakal, tiada penyakit yang mencacatkan fikiran, tidak terhalang dari menguruskan hartanya kerana boros (السفه) dan bukan dalam keadaan ihram haji atau umrah.
Wali aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau wali dalam keadaan berihram haji atau umrah
Berkata Imam Abi Ishak al-Syirazi:
إن غاب الولي إلى مسافة تقصر فيها الصلاة زوجها السلطان ولم يكن لمن بعده من الأولياء أن يزوج لأن ولاية الغائب باقية ولهذا لو زوجها في مكانه صح العقد وإنما تعذر من جهته فقام السلطان مقامه
Maksudnya: Sekiranya tidak ada wali (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu. Dan tidak boleh wali yang setereusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali mengahwinkan perempuan itu dengan menggantikan tempat wali, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerna ada keuzuran daripada wali maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali).
[Lihat: al-Muhazzab 2/429]
Begitu juga jika wali dalam keadaan ihram, maka hakim akan mengambil tempatnya untuk mengahwinkan perempuan tersebut kerana hak wali masih kekal kepada wali aqrab dan tidak berpindah kepada wali yang seterusnya.
Imam al-Muti’ie menyatakan bahawa sekiranya seorang perempuan mempunyai dua orang wali, maka perwalian diberikan kepada yang lebih aqrab (hampir) seperti dalam pewarisan, dan jika dikahwinkan oleh wali yang seterusnya, maka perkahwinan tersebut tidak sah. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 16/162]
Namun, jika wali aqrab berada kurang dua marhalah, maka hakim tidak boleh melaksanakan perkahwinan itu kecuali dengan izin wali. Ini kerana jarak perjalanan yang singkat dan wali perlu dirujuk sama ada hadir sendiri atau mewakilkannya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/63-70]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.
Begitu juga perkahwinan yang dilakukan di luar negara Malaysia seperti kahwin lari di selatan Thailand. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:
1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.
4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim,
Penutup
Tuntasnya, tidak sah aqad nikah tanpa wali, dan seorang perempuan tidak boleh mengahwinkan dirinya atau perempuan yang lain. Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali aqrab dari segi nasab seperti bapa atau datuk kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya.
Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah, hak perwalian tidak berpindah kepada wali seterusnya, maka perkahwinan tersebut sah dengan berwalikan hakim yang diiktiraf di kawasan tersebut walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.
Walaubagaimanapun, kami menasihatkan kepada setiap pasangan yang ingin berkahwin untuk menghormati dan mendahulukan wali aqrab yang sedia ada. Ini juga untuk menjaga keharmonian dalam hubungan kekeluargaan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam. Wallahua’lam.