Seorang isteri yang menderhakai suaminya adalah amat dibenci oleh Allah SWT. Dosa paling besar seorang isteri adalah derhaka kepada suami. Oleh itu, berwaspadalah anda ketika menjalani kehidupan rumah tangga bersama suami.
Jika dilihat berdasarkan hukum Feqah terdapat 9 ciri-ciri atau punca isteri derhaka (Nusyuz) :
Pertama : Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya
Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dalam bidang agama.
Isteri perlu meminta izin untuk keluar rumah menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya).
Peristiwa ini pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW apabila seorang suami tidak membenarkan isterinya keluar rumah tanpa izinnya semasa beliau bermusafir. Walaupun kematian ayah wanita tersebut, Nabi SAW tidak membenarkan wanita itu keluar rumah untuk menziarahi jenazah ayahnya.
Oleh kerana ketaatan wanita ini maka Nabi SAW menjelaskan bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosa ayah wanita tersebut.
Kedua : Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak
Jika diizinkan syarak seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau taun.
Ketiga : Menyakiti hati suami
Isteri yang suka menyakiti hati suaminya, suka berbantah-bantah atau tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menyakiti hatinya adalah berdosa besar. Ibnu ‘Asakir pula menyebut:
“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”
Keempat : Tidak menyerahkan diri pada suami ketika suami hajat bersama
Ketika suami berhajat kepadanya dia enggan melayan hajat suaminya tanpa ada keuzuran seperti sakit. Setakat malas atau tak ada keinginan bukan alasan yang munasabah, ini juga antara punca isteri derhaka.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya :
“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.
Keenam : Isteri membuat fitnah kepada suaminya
Isteri cuba memfitnah atau mendakwa suaminya telah mentalaknya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu. atau isteri menuduh tanpa bukti yang sahih bahawa suaminya ada perhubungan dengan wanita lain.
Ketujuh : Isteri minta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak
Jika isteri meminta cerai kerana alasan suami berhajat berpoligami.bukanlah alasan yang syrie. Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud :
“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Kelapan : Isteri merahsiakan perhubungannya dengan lelaki lain
Isteri selalu chatting, telefon dan hantar pesanan ringkas tanpa pengetahuan suami untuk berseronok-seronok dan menceritakan aib suaminya kepada lelaki yang bukan mahramnya, jelas inilah tanda seorang isteri derhaka kepada suaminya.
Kesembilan: Puasa sunat tanpa keizinan suami dan memasukkan seorang lelaki tanpa izin suaminya
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud :
“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun lelaki yang datang ke rumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .
Kemusyiklan dan Soalan
Sekiranya isteri derhaka (nusyuz) apakah tindakan yang patut diambil oleh seorang suami bagi mendidik isterinya supaya taat kepada suami?
Apabila berlaku nusyuz isteri, maka suami bolehlah mengambil tindakan dengan terus menasihati isterinya itu dan harus juga baginya untuk mengasingkan diri dari tempat tidur isterinya atau dengan kata lain, tidak tidur bersama-sama. Mengasingkan diri dari tempat tidur isteri adalah antara cara berkesan untuk menghukum isteri agar tidak mengulang perbuatan nusyuznya.
Jika nusyuz isteri berlaku berulang-ulang atau berterusan, maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang ringan (bukan penderaan) jika mengikut sangkaannya dengan pukulan itu dapat mendatangkan faedah iaitu isteri akan kembali taat kepadanya.
Jalan terakhir apabila suami sudah tidak berkemampuan menasihati isterinya adalah menceriakannya dengan talak satu. Jika isteri sudah ada tanda-tanda berubah maka bolehlah rujuk semula.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta‘ala maksudnya :
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) tinggalkanlah (pulaukanlah) mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” (Surah an-Nisa ayat 34)
Untuk menjadi isteri yang solehah apakah perbuatan atau ciri-ciri yang patut dilakukan oleh isteri terhadap suaminya?
Para isteri perlu sedar akan tanggungjawab mereka menunaikan hak-hak suami. Selain dari mentaati suami, isteri wajib berlemah lembut dengan suami, menjaga perasaan suami, bersyukur dan menerima seadanya apa saja pemberian suami.
Isteri dilarang meninggikan suara kerana walaupun perkara tersebut bukan dianggap sebagai nusyuz, akan tetapi ia boleh saja menjadi sebagai permulaan isteri nusyuz terhadap suaminya.
Para isteri, wajiblah mentaati suaminya dan menjaga kehormatan diri di belakang suaminya. Berdosa besar apabila seorang isteri derhaka pada suaminya, begitu juga haram seorang wanita yang telah bersuami bercinta dengan lelaki lain melalui Facebook atau telefon bimbit.
Jauhkan diri kalian daripada menjadi isteri nusyuz kerana isteri nusyuz tidak akan mencium bau syurga. Sesungguhnya ganjaran Allah Subhanahu Wa Ta‘ala terhadap isteri yang solehah dan diredhai oleh suaminya adalah syurga yang penuh kenikmatan, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah radhiallahu ‘anha yang bermaksud :
“Setiap perempuan yang mati dalam keadaan suaminya redha kepadanya, maka perempuan itu akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Janganlah anda tergolong dalam kumpulan isteri nusyuz iaitu isteri derhaka, jadilah seorang isteri yang mendapat redha suami dan dikasihi sepenuh hati.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI