Pesona Pengantin kini berada di dalam aplikasi   
Pesona Pengantin kini berada di dalam aplikasi   
Home Kekeluargaan Hubungan Isteri Jangan Jadi Tunggul, Bila Ditinggalkan Gantung Tak Bertali?

Isteri Jangan Jadi Tunggul, Bila Ditinggalkan Gantung Tak Bertali?

Sebenarnya, jika isteri ditinggal langsung oleh suami tanpa sebab dan khabar berita lebih dari empat bulan berturut-turut, isteri telah layak memohon cerai taklik.

Isteri Jangan Jadi Tunggul, Bila Ditinggalkan Gantung Tak Bertali?

Ini diperuntukkan dalam seksyen 50 yang berbunyi:

1. Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

2. Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu.

Dan jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.”

Untuk mendapat cerai taklik, pasangan mesti telah membuat janji atau ikrar di mana suami melafaz taklik selepas majlis akad nikah.

Tujuan taklik adalah untuk menyelamatkan isteri yang digantung tak bertali daripada terus hidup dalam ketidaktentuan.

Bagi membolehkan isteri memohon taklik, suami mesti telah melafaz taklik selepas majlis akad nikah dan isteri mesti telah mendengar taklik yang telah dilafazkan itu.

Talkiq perceraian bersyarat dan suami jika telah melafaz syarat dan apabila isteri melanggar syarat, maka taklik berkuatkuasa.

Selain daripada taklik, mangsa tinggal langsung boleh juga memohon fasakh untuk bercerai kerana ditinggal langsung oleh pasangannya.

Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh diperuntukkan dalam seksyen 53 di mana ada bayak alasan untuk memohon fasakh, namun yang paling relevan adalah seksyen 53 (1) yang berbunyi seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih dari satu tahun.

IKLAN

Jika dilihat daripada peruntukan taklik dan fasakh maka kemungkinan seorang isteri menderita kerana ditinggal langsung untuk sekian lamanya adalah tipis.

Undang-undang keluarga Islam membuat peruntukan-peruntukkan yang jelas dalam hal ini untuk memastikan isteri tidak ditinggalkan begitu sahaja.

KITA sering mendengar seorang isteri mengadu yang dia digantung tidak bertali oleh suaminya. Kisah penderitaan seorang wanita yang digantung tidak bertali sering dipaparkan di dalam akhbar mahupun melalui drama dan pementasan.

Namun apakah sebenarnya, gantung tidak bertali? Ini adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh suami dengan meninggalkan isteri dan anak-anaknya tanpa memberi sebab dan tanpa memberitahu di mana dia berada.

Dalam bahasa undang-undang, gantung tak bertali adalah tinggal langsung. Di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003, tinggal langsung itu tidak ditakrifkan tetapi adalah satu kesalahan.

Ini dapat dilihat dalam seksyen 127, yang berbunyi: “Jika seseorang telah diperintahkan oleh mahkamah supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”

IKLAN

Dalam peruntukan ini, seorang isteri telah pun membuat aduan kepada mahkamah yang suaminya telah tidak pulang ke rumah atau telah meninggalkannya untuk tempoh tertentu dan mahkamah telah mengeluarkan perintah memerintahkan suami tersebut untuk hidup semula dengan isterinya.

Jika suami tersebut enggan berbuat demikian, maka jika isteri ini memaklumkan kepada mahkamah mengenai keengganan suami tersebut, maka suami boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Dilihat daripada peruntukan itu, meninggalkan isteri begitu sahaja adalah suatu kesalahan, namun jika isteri tidak membuat aduan dan mendapatkan perintah, maka tiada apa yang boleh dibuat oleh mahkamah.

Tetapi jika aduan dibuat dan mahkamah mengeluar perintah dan suami yang ingkar boleh dikenakan hukuman. Namun hukuman tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah isteri yang ditinggalkan langsung ini.

Tinggal langsung

Kebiasaannya dalam kes tinggal langsung, suami mungkin meninggalkan isteri selepas berkahwin beberapa lama dan telah mempunyai anak.

IKLAN

Ada kes suami meninggalkan rumah kerana pergaduhan, sama ada dengan isteri atau keluarga isteri. Isteri pula tidak cuba mencari suami kerana masih marah dan ada juga kerana dilarang keluarga.

Tetapi apabila wang simpanan mula menipis atau makanan telah tiada, baru isteri mula merasa resah dan gelisah. Jika isteri bekerja, kerisauan itu mungkin tidak sama dengan isteri yang tidak bekerja tetapi tetap risau dan gusar.

Bagi yang bekerja, kerisauan tertumpu kepada bayaran bulanan sewa atau pinjaman rumah, bayaran kereta (jika semua itu dibayar oleh suami sebelum ini) dan bagi yang tidak bekerja ialah di mana ia hendak mencari wang untuk membeli makanan dan menghantar anak ke sekolah.

Ada kes isteri yang ditinggalkan langsung terpaksa balik ke rumah ibu bapa sendiri setelah ditinggalkan suami kerana tidak ada duit untuk membayar sewa.

Malah, ada juga rumah yang dilelong bank kerana suami tidak membayar pinjaman dan isteri tidak cukup wang untuk membayarnya. Akhirnya isteri terpaksa berpindah bersama anak-anak.

Oleh kerana pendapatan keluarga menjadi berkurangan dalam kes isteri yang bekerja, maka isteri perlu mengubah cara hidup bersama anak-anak seperti berpindah ke rumah yang lebih kecil di mana sewanya lebih rendah.

Tidak lagi menghantar anak ke tuisyen, anak berhenti menikmati kemewahan seperti kelas renang, kelas muzik dan sebagainya dan berhenti memakan makanan yang mahal yang biasa dibeli ketika ayah ada bersama.

Perubahan kehidupan ini sering menjejaskan emosi anak dan ada masanya jika tidak dipantau dengan baik akan timbul rasa kebencian yang sukar dibendung dan dipulihkan. Kesukaran ini akan lebih teruk lagi bagi isteri yang tidak bekerja dan bilangan anak yang agak ramai.

Ada yang malu untuk pulang ke rumah keluarga kerana keluarga juga bukan orang yang senang, maka biasanya ibu ini akan membawa anak-anak ke tempat lain. Dia mula mencari kerja dan jika dia ada kepandaian seperti memasak dan menjahit, dia mungkin akan menjalankan perniagaan sendiri.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/mega/agama/kemelut-gantung-tidak-bertali-1.121219#ixzz5hS1U7ZPO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI