Pesona Pengantin kini berada di dalam aplikasi   
Pesona Pengantin kini berada di dalam aplikasi   
Home Kekeluargaan Hubungan Isteri Kena Ada Sifat Kayakan Diri Sendiri, Bukan Hendak Senangkan Apa Lagi...

Isteri Kena Ada Sifat Kayakan Diri Sendiri, Bukan Hendak Senangkan Apa Lagi Kayakan Suami

“MASIH terdengar-dengar lagi nasihat nenek ketika kakak saya ditinggalkan suaminya. “kalau sayangkan suami! tunggu! Kalau dah tak tahan minta cerai! Kau takkan mati kalau tak berlaki? ’’ Kata-kata yang amat kejam dan tajam mencucuk ke jantung kalbu. Tapi kerana kakak sayangkan suami, dia menangis dan menangis.’’ Itu cerita Nurazie membuka kata.

“Suami kakak kakitangan beruniforam, dia tinggalkan kakak kerana berpindah tempat kerja. Bukan benda baharu. Dah dua kali bertukar begitulah caranya dia tinggalkan kakak. Alasannya belum dapat rumah lagi, susah nak cari rumah sewa jadi lebih baik dia hantar kakak balik rumah emak sementara dia menjalankan tugas.

“Kali pertama ditinggalkan, kakak diam, anak baru satu, tapi kali kedua kakak bantah. Dia suruh suaminya cari rumah sewa kalau belum dapat rumah kerajaan. Tetapi suami tetap suami, dia takkan dengar cakap isterinya.

“Walaupun duduk rumah emak, boleh dikatakan selang sehari kakak telefon suaminya, tanyakan rumah sewa, kadang kala dia kecewa panggilannya tak berjawab. Masuk sebulan ayah pulak melenting bertanya “Siapa nak bayar bil telefon dah makan RM400 ni?’’ kakak terkedu. Terkejut tak sangka bil telefon rumah ayah naik melambung.

“Sejak itu kakak hilangkan diri dalam bilik bersama anaknya. Emak pulak risau. Ayah pulak naik angin mana nak cari duit nak bayar bil telefon.

“Kesugulan kakak merunsingkan emak. Emak mula merisik dan bertanya kakak apa sebenarnya berlaku antara dia dan suaminya. Seminggu dua memang kakak membisu, tetapi masuk sebulan pecahlah tembelang. Kakak cerita dia bimbang perangai suaminya yang jelas ada perempuan lain. Memang dia tak nampak tapi jiran beritahu.

“Dari bulan berganti bulan keadaan kakak merunsingkan emak. Hinggakan anak-anak pun dia tak pedulikan, dia jadi macam orang tak tentu hala. Pernah kakak beranikan diri pergi sendiri ke negeri suaminya bertugas. Tetapi kawan suaminya bagi alasan nak tutup cerita konon suami kakak bertugas luar mungkin tiga atau empat bulan baru balik . Betul ke?

“Kakak balik dan merasa lebih kecewa. Dahlah telefon tak berjawab, dia ditinggalkan tanpa berita. Akhirnya emak pujuk kakak. Kalau suaminya bertanggungjawab dia akan balik. Jika tidak dan sebagai isteri kakak kena sabar. “Dipendekkan cerita memang suami kakak sudah kahwin lain. Kawan suami kakak sendiri buka rahsia. Berita itu buat kakak macam orang sasau meroyan. Kerana kakak amat sayangkan suaminya. Kata ayah “kalau laki kau kahwin lagi, biarkan! Dia ada hak! Asalkan dia bagi nafkah anak-anak setiap bulan cukup, itu sudah baik tanda dia tak abaikan kau!’’ itu cerita ayah pulak mengikut pengalaman suami zaman dulu.

Isteri Kena Ada Sifat Kayakan Diri Sendiri, Bukan Hendak Senangkan Apa Lagi Kayakan Suami

IKLAN

“Lama juga kakak makan hati berulang jantung, berat badan kakak merosot dari 70kg turun 56 kg. Ketika kakak tak tentu arah inilah nenek nasihatkan kakak: “Kalau sayangkan suami tunggu! kalau tak tahan minta cerai! Kau tak mati kalau tak berlaki? Banyak perempuan lain tak berlaki tak mati pun?’’ kakak terkedu. Kata nenek dulu dia pun kena madu, tapi dia tak suka bermadu, jadi nenek minta cerai, bukan kerana nenek nak kahwin lagi tetapi kerana nenek mahu jaga hati dan perasaannya.

“Nenek hebat, dengan kerja kampung menoreh getah aja dia boleh besarkan tiga orang anaknya sendiri. Dua anak lelaki nenek dapat kerja kerajaan, hanya emak anak sulung yang tak bekerja. Kata nenek tak mati kalau tak ada laki, pokok pangkalnya mesti rajin bekerja. Jangan tangisi suami yang dah tak sayangkan isterinya lagi.

Falsafah nenek:“ Bila suami kahwin baharu, maknanya dia tak sayangkan isteri tuanya, kerana isteri muda lebih baik. Jadi untuk apa kita isteri tua mesti hambakan diri pada dia lagi. Sebab dia dah tak suka dan sayangkan isteri kita lagi. Lebih baik kita jadi janda dan buat hal sendiri. Hati lebih senang tak ada siapa ganggu dan menyakiti kita lagi.’’ Itulah nasihat nenek pada kakak berulang kali.

Isteri Kena Ada Sifat Kayakan Diri Sendiri, Bukan Hendak Senangkan Apa Lagi Kayakan Suami

“Lama-lama kakak kena `nyanyian nenek’ akhirnya kakak berubah. Entah macam mana kakak jadi berani dia minta cerai. Memang senang dapat cerai sebab ketika itu isteri baharu sudah ada dua orang anak. Suami jadi pening, mana nak tanggung dua orang anak kakak dan anak isteri baharu. Kebetulan isteri baharunya memang cemburu.

“Sebelum bercerai, kakak cari kerja. Itulah perubahan hidup kakak yang memang berlainan daripada mula-mula dia ditinggalkan dulu. Agaknya kerana perangsang dan nasihat nenek benar-benar tertanam di hatinya. Kakak mula berubah jadi wanita yang bertanggungjawab kepada anak-anaknya. Lama kelamaan hidupnya jadi lebih tenang dan tenteram.

IKLAN

“Itu cerita kakak, di sini cerita saya. Masa berlalu terlalu pantas dan setelah saya berumahtangga, saya juga pegang nasihat nenek. Nasihat nenek kalau ada ringgit simpan sendiri. Sebab tanggungjawab bagi makan pakai anak bini tugas suami, jadi buat apa perempuan nak susah payah bantu suami. “Saya masih ingat nasihat nenek, kalau kita ada ringgit kita tak perlu risau tentang masa depan, baik ada suami, atau kalau diceraikan. Hati kita senang, lapang dan gembira sebab ringgit ada dalam tangan. Tapi kalau kita bagi ringgit bantu suami, orang tak cakap isteri bantu suami, tapi orang cakap suami kita pandai urus keluarga. Sedangkan kita yang bantu dia uruskan keluarga. Kata nenek lagi.

“Satu lagi kata nenek kalau suami sentiasa dibantu, dia akan sentiasa minta bantuan, dia jadi malas berusaha. Tetapi satu masalah besar merosakkan hati suami ialah apabila isteri suka meminta perabot dan hiasan rumah mahal-mahal, bila suami tak mampu beli, isteri beli sendiri, nak puaskan hati dan menunjuk nunjuk. Untuk apa?

“Lebih baik kita perempuan simpan ringgit sendiri. Bukan buat hutang. Biarlah hiasan rumah tak cantik, kereta cuma kancil, tapi hati kita senang. “Kata nenek lagi, orang lelaki kalau hatinya sudah terpaut pada wanita lain, kita layan dia makan dalam pinggan emas pun, dia lebih suka makan dalam pinggan ayan. Sebab ada wanita lain lebih menarik. Bini bagi layanan first class pun dia tetap cari wanita luar yang dia lebih suka.

“Jadi kalau kita sudah nampak suami ada riak-riak suka duduk luar rumah daripada dalam rumah, biarkan. Kita jangan menangis meroyan, tak ada gunanya, sebab hati suami sudah berubah. Beri dia kata putus, kalau nak kahwin lagi, kahwinlah, tapi bercerai dulu.

“Kerana itu resepi kebahagiaan sesebuah keluarga wanita mesti pandai jaga hartanya, duit ringgitnya dan hatinya. Jangan senang-senang nak curahkan ringgit pada orang lain walaupun suami sendiri. Dan jangan bagi suami kaya, bila dia kaya dia akan cari wanita lain untuk jadi teman hidupnya yang baharu.

IKLAN

Isteri Kena Ada Sifat Kayakan Diri Sendiri, Bukan Hendak Senangkan Apa Lagi Kayakan Suami

 

“Kerana itu wanita jangan berebut suami. Tidak ada faedahnya. Itu antara nasihat nenek sampai sekarang teguh tersimpan dalam hati saya.

“Menyedari hal beginilah dan mendengar nasihat neneklah, saya rela sewa rumah murah dan memiliki perabot murah. Lepas lima tahun berkahwin, kami beli rumah murah atas nama bersama. Masih menggunakan perabot lama. Kereta saya beli kereta murah, suami pula pakai motosikal dan saya bangga dengan kesederhanaan yang saya miliki, hati tak sakit sebab tidak perlu bayar ansuran kereta yang tinggi dan perabot mahal setiap bulan.

“Saya amalkan simpan duit sendiri, tidak berkongsi. Saya tidak minta suami berbelanja makan besar di luar setiap minggu sebaliknya kami sekeluarga gembira makan di rumah yang saya masak sendiri. Begitu juga kalau ada tamu datang, kami makan apa yang ada, tidak berlebihan atau membazir.

“Pada saya asalkan keluarga dapat makan dengan hidangan masakan saya sendiri itu sudah mencukupi. Satu lagi, mungkin saudara yang bertamu tak dapat tidur di rumah saya kerana rumah saya cuma ada dua bilik, tapi kalau nak tidur juga tidurlah di ruang tamu! silakan , tiada halangan. Saya tidak mahu menunjukkan kemewahan akhirnya sendiri merana.

“Saya amalkan falsafah hidup nenek yang cukup sederhana dan terlebih penting, saya amalkan sifat kayakan diri sendiri, bukan hendak senangkan apa lagi kayakan suami. Kerana apabila suami bertambah kaya belum tentu dia kekal jadi suami saya.’’ Demikian cerita Norazie tentang pengalaman hidupnya mengamalkan falsafah hidup neneknya yang serba mudah dan sederhana.

SUMBER : UTUSAN

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI