Mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami, Allah swt telah menyatakan :

‘Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya’.
( Surah at-Talak : 6 )

Isteri Selepas Bercerai, Ini Hak-Hak Yang Anda Dapat Dan Bekas Suami Perlu Tahu

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Sungguhpun ikatan pernikahan telah putus akibat jatuh talaq, Islam masih memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung di antara satu sama lain dengan batas-batas pergaulan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Matlamat ini amat murni bagi memastikan hak-hak bekas suami isteri dan anak-anak terus dilindungi.

PERKARA YANG BOLEH DITUNTUT DI MAHKAMAH SYARIAH

Mengenai hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:

1. Nafkah Edah
2. Mut’ah
3. Harta Sepencarian
4. Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
5. Nafkah Anak
6. Tunggakan Nafkah
7. Hak Tempat Tinggal

IKLAN

Nafkah Edah
Nafkah edah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam tempoh Edah Raj’ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak.

Muta’ah
Mut’ah iaitu satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut Hukum Syarak. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut’ah tersebut.

Harta Sepencarian
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakann ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Isteri Selepas Bercerai, Ini Hak-Hak Yang Anda Dapat Dan Bekas Suami Perlu Tahu

Tunggakan Nafkah
Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.

IKLAN

Tunggakan Nafkah Anak
Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.

Hak Jagaan Anak
Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.
Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.Tuntutan hak jagaan anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Nafkah Anak
Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

IKLAN

Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.

Hak Tempat Tinggal
Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tingga semasa dalam pekahwinan selama tempoh edah.

 

 

 

 

Sumber : Jabatan Kehakiman Syariah 

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI