Kadang ada suami, dia terlupa apabila dia menempa kejayaan, siapa yang berkorban masa, tenaga, jiwa dan raga di belakang kejayaannya itu. Suami boleh outstation, ke seminar, kursus, sambung belajar dengan hati yang senang dan tenang kerana dia tahu, anak-anak, harta, rumah serta maruah isteri dijaga oleh orang yang dipercayai, iaitu isterinya. Penat dengan tugasan serta segala kursus seminar untuk menempa kejayaan, dia pulang ke rumah melihat anak sudah semakin bijak, pandai membaca, pandai solat, pandai mengaji, badan semuanya comel, montel, penampilan bersih terjaga. Syukur alhamdulillah.
Apabila di luar, orang cuma nampak kehebatannya dalam kerjaya. Orang bertepuk tangan dengan kejayaan yang ditempanya. Hebat penampilannya yang serba serbi terjaga. Lalu, kadang mulalah ada pihak yang menghimpit, memberi 'nasihat', "kau ni layak kahwin lagi satu ni."
Kalau lelaki tadi mahu muhasabah diri dan terkenangkan isteri di rumah, baguslah. Namun, tidak kurang ada yang tiba-tiba 'terlupa' tentang pengorbanan dan kepayahan isteri melainkan hanya nampak dia mampu sebab gajinya sudah stabil, kerjayanya sedang di puncak, pendapatannya makin bertambah, anak-anak semua terjaga, nafkah anak isteri semua pun sudah dilunaskan. Sedangkan di sebalik semua itu, mungkin si isteri tadi berkorban kerjayanya demi menjaga sendiri anak-anak dan rumahtangga. Ada yang elok-elok menyambung pengajian, tersangkut dan terpaksa dilupakan demi duduk bersama suami dan anak-anak. Ada yang berhenti kerja demi menjaga anak-anak yang memerlukan perhatian rapi.
Kadang ada yang terlampau penat dan keletihan hingga tak sedar sudah hampir menggantung diri di kipas. Ada yang menekan pedal minyak kereta mencecah 180km kerana 'kosong'nya fikiran. Mujur tak kehilangan nyawa kerana ajal belum tiba. Masa untuk diri sendiri tak ada, apatah lagi mahu disebut tentang 'kejayaan'. Segalanya 'dilepaskan' demi menyokong 'kejayaan' suami. 'Tak apalah aku berkorban, demi kebahagiaan suami dan anak-anak.' Fikirnya begitu.
IKLAN
Satu-satu kejayaannya kala ini mungkin bangkit esok hari dengan nafas yang masih dihela di sebalik jerit pekik anak-anak, pelbagai telatah dan hiruk pikuk di dalam rumah, yang mana mungkin HANYA DIA YANG TAHU.
Suami, di sebalik sibuknya mengejar urusan di luar. Sesekali jangan lupa terus tentang rumahtangga kalian. Di sebaliknya kemasnya rumah, terjamunya hidangan atas meja, bersih penampilan anak-anak siap diberi makan dan didikan. Lihatlah SIAPA di sebalik semua itu.
IKLAN
Abaikanlah suara-suara 'dangkal' yang mudah-mudah memberi 'nasihat' suruh kahwin lagi. Atau tangkislah sekuatnya godaan dari luar yang terpesona dengan pesona keterampilan dan kejayaan kerjayamu. Jangan sesekali lupa di sebalik semua itu, siapa yang berkorban untukmu. Mungkin dengan air mata yang tak pernah jemu menitis setiap hari meminta kekuatan dari Tuhan.
Untuk para isteri yang diuji dengan situasi suami 'dinasihat' berpoligami oleh 'kawan-kawan', atau digoda oleh wanita luar atau diuji dengan suami yang curang tatkala diri kalian bermatian mengabdikan diri demi rumahtangga dan anak-anak, ingatlah Allah tak pernah tidur. Allah Melihat semuanya.
IKLAN
Berpegang teguhlah kepada Allah, dan mintalah kekuatan dan petunjuk dariNya. Kalian bijak, kalian hebat, kalian kuat. InsyaAllah, kalian boleh melalui semua ini. Yang pasti, segala yang kita lakukan dengan niat lillahi taala, takkan pernah sia-sia. InsyaAllah.
Zaman sekarang, pekerjaan sesorang menjadi titik utama menilai seseorang. Walhal nilai tanggung jawab, budi bahasa semua lebih penting dalam membentuk sesebuah keluarga. Lelaki bernama Firdaus Shakirin ini kongsi, jangan malu kalau suami kerja biasa-biasa kerana..
Jangan malu kalau suami keje biasa2 ja…
Selagi dia keluar setiap hari utk mencari rezeki, selagi dia tak pernah culas dlm menafkahi anda & anak2, selagi dia tunaikan semua kewajipannya, selagi dia cuba buat yg terbaik utk keluarga dgn kudrat yg dia ada, maka dia ialah seorang suami yg baik…
Jgn compare suami anda dgn suami org lain…anda tak dduk ditempat isterinya, anda tak tahu siapa sebenarnya suaminya di sebalik kehebatan pekerjaannya…
Nota kaki : Dulu masa nk kawin, klu sebut keje kilang, perghhh…tgok sebelah mata je kiter ni…ingat keje kilang xbleh bg ank dia mkn kepci dan texas chicken? Baik2 sikit…
Jika anda adalah anak yang pertama kahwin dalam keluarga atau mempunyai ibu bapa yang moden, mungkin kita tidak didedahkan dengan 6 perkara ini.
1: Mas kahwin, wang hantaran untuk majlis nikah. Hal-hal ini selalunya dibincang dahulu sesama keluarga pasangan sebelum majlis pertunangan berlangsung. Selalunya pihak lelaki yang akan mengajukan soalan berkaitan ini dahulu dan pihak perempuan akan menetapkannya. Jadi, tidak adalah kekalutan atau rasa segan di majlis pertunangan nanti.
2: Cincin. Bagi pihak lelaki yang datang daripada jauh, selalunya majlis merisik dan bertunang diadakan serentak. Jadi, mereka akan membawa dua cincin pada masa yang sama. Satu untuk cincin merisik dan satu lagi cincin pertunangan. Bagi pasangan yang rumah keluarga mereka tidak jauh, mereka selalunya mengadakan dua majlis ini secara berasingan.
KADANG KALA PIHAK PEREMPUAN JUGA ADA MENYEDIAKAN CINCIN UNTUK PIHAK LELAKI. CINCIN UNTUK BAKAL PENGANTIN PEREMPUAN AKAN DISARUNGKAN OLEH IBU BAKAL PENGANTIN LELAKI. MANAKALA BAGI BAKAL PENGANTIN LELAKI PULA, CINCIN AKAN DISARUNGKAN BAKAL BAPA MENTUANYA.
3: Hantaran. Hantaran untuk majlis pertunangan lebih kepada makanan. Kek, pulut kuning, puding, kek cawan, kuih, dan sebagainya, Ada juga yang memberi kain untuk persalinan nikah. Menurut kebiasaan, hantaran daripada pihak perempuan lebih banyak daripada pihak lelaki. Sebelum pihak lelaki berangkat pulang, barangan atas dulang hantaran ditukar ke dulang pihak lagi satu.
4: Jamuan makan. Sebenarnya tiada peraturan dalam hal ini. Lauk campur makan tengah hari biasa pun sudah memadai.
5: Bakal pengantin lelaki. Bila majlis sedang berlangsung, bakal pengantin lelaki selalunya duduk di luar dahulu. Apabila dipanggil baru turut sama menyertai majlis
6: Kos majlis. Kos majlis pertunangan kebiasaanya ditanggung oleh pihak perempuan.
Saya tidak mengetahui dengan mendalam dengan isu solat dan sebagainya yang berkaitan fiqh ibadah, namun saya kongsikan di sini berdasarkan sedikit ilmu dan kefahaman yang telah diperolehi tentang solat istikharah. Ilmu dan kefahaman ini saya gandingkan dengan pengalaman yang telah dilalui. Dialu-alukan perkongsian ilmiah dari kalian buat menambah ilmu kita semua tentang solat istikharah.
Yang setakat ini difahami, solat istikharah itu dilakukan setelah kita berusaha mencari jodoh, membuat pilihan berdasarkan taaruf dan melakukan penyelidikan tentang calon yang melamar atau dilamar.
Contoh yang pernah saya alami, sewaktu belajar dulu saya suka seorang lelaki yang nampak baik, yang dikenali dalam salah satu program khidmat masyarakat yang saya sertai, bernama Abdullah (bukan nama sebenar). Jadi mula-mula saya sekadar tertarik kerana akhlak yang zahir, tapi saya tak tahu rasa suka saya ini akan bawa ke mana.. saya hanya mengadu pada tuhan akan perasaan saya 😀 suka sekadar kerana nampak baik, tapi sekarang dah tak ada rasa suka dan dah lupa pun..
Lalu saya berusaha, pertama, memilih untuk menyiasat tentang Abdullah dan latarbelakangnya dari teman-teman yang dipercayai.
Usaha saya yang kedua, saya bercerita kepada ibu bapa saya tentang Abdullah, apa pendapat mak abah jika saya ingin berkahwin dengan Abdullah..?
Usaha seterusnya, dengan info-info yang saya ada tentang Abdullah, saya mengambil keputusan untuk melamarnya.
Sebelum saya melamarnya itu, saya beristikharah, menghadapkan pada ALLAH keputusan saya untuk melamar lelaki itu…
Dan setelah beristikharah, saya melamar Abdullah. Tetapi akhirnya takdir ALLAH itu melakar bahawa Abdullah yang saya lamar bukan jodoh saya. Sebagai manusia biasa, saya bersedih kerana saya telah berusaha untuk bernikah dan saya berharap ALLAH membantu saya bernikah dengan jodoh ini.
Malah kerana itu adalah cubaan ‘berani mati’ saya yang pertama melamar seorang lelaki, perasaan saya ketika itu sangat teruji dengan rasa-rasa yang agak negatif, kecewa, down.
Tetapi ALLAH Maha Mengetahui kan? Maka hati pun terpujuk dengan rangkap doa istikharah yang diajar Rasulullah SAW.
“…Ya ALLAH, andai urusan yang ku inginkan ini baik untuk agama dan kehidupanku dunia dan akhirat, maka takdirkanlah ia untukku, mudahkanlah jalannya, berkatilah ia..
…Andainya urusan ini membawa keburukan untuk agama dan kehidupanku dunia dan akhirat, jauhkan ia dariku, takdirkanlah kebaikan untukku di mana saja diriku berada, dan berilah keredhaan kepadaku.”
Saya juga tidak rasa menyesal kerana hubungan itu diputuskan setelah berbincang dengan orang-orang yang amanah dan berilmu. Untuk soalan seberat jodoh, jangan sesekali membuat keputusan tanpa berdasarkan musyawarah (perbincangan) dengan ibu bapa dan orang-orang berilmu.
Istikharah dan musyawarah adalah sangat penting untuk membuat keputusan yang mantap dan tidak berakhir dengan penyesalan.
Namun bagi ramai antara kita yang jatuh cinta dan berpacaran sebelum bernikah, maka perasaanlah yang menjadi panduan dalam membuat jodoh. Berhati-hatilah, lorongkanlah perasaan itu untuk mencari jodoh yang beriman dan membantu kita dalam kehidupan menuju akhirat yang kekal abadi.
Dan kini Abdullah ada di sisi saya, bukan Abdullah yang dilamar, tapi Abdullah anak saya yang ALLAH bagi melalui suami yang ALLAH tetapkan buat saya…
Bagaimana pula usaha saya untuk bernikah dengan suami yang ALLAH telah tetapkan ini?
Setelah kakak isteri pertama menyampaikan hasrat suami menjadikan saya isteri kedua, saya membincangkan dengan teman-teman terdekat dan kakak naqibah yang mengendalikan usrah saya. Saya tak berani terus-terus memberitahu pada ibu ayah – saya bimbang mereka terkejut, atau marah, atau bersangka bahawa saya yang sengaja menjalin hubungan dengan suami orang.
Namun yang terawal adalah berdoa meluahkan segala rasa hati pada ALLAH – kebimbangan, ketidakpastian dan segala gelodak perasaan dengan lamaran poligami itu. Kerana ALLAH lah yang kemudiannya menemukan kita dengan teman-teman baik yang membantu meleraikan persoalan dan kekusutan.
Saya kemudian meluahkan pada mak, tapi mak pastilah berkongsi dengan abah. Dalam pada itu, saya banyakkan bertemu dan memohon pandangan tentang lamaran poligami dari makcik pakcik, majikan tempat saya bekerja, ustaz ustazah. Yang agak rapat dan boleh dipercayai.
Saya mula menggoogle tentang suami saya, banyak juga pakcik google sediakan info. Saya mendapat paling banyak info tentang suami saya dari kakak isteri pertama. Saya bertanya pandangan orang-orang yang mengenali suami saya secara jauh atau dekat.
Saya menggoogle tentang kehidupan poligami. Saya meminjam buku tentang poligami dari sahabat. Saya menemui beberapa isteri yang berpoligami untuk mendengar cerita dan pengalaman.
Setelah berbincang dengan ibu ayah dan adik beradik, dengan segala risikan dan penyiasatan tentang suami saya, dengan taaruf yang sempat berlangsung dengan suami beberapa waktu, dengan info tentang kehidupan berpoligami yang perlu saya ketahui, semuanya diproses hati dan minda saya – saya kemudian beristikharah.
Dengan doa istikharah, saya berteguh hati menerima lamaran. Tidak ada mimpi aneh memberi petanda, tidak ada bisikan yang datang di malam hari. Tidak ada wajah yang hadir di alam tidur.
Hasil istikharah itu bagi saya ialah, saya merasa tenang. Saya merasa bantuan. Saya merasa ALLAH menunjuk jalan.
Saya merasa lapang meneruskan walau banyak cabaran yang datang di sepanjang perjalanan menuju pernikahan.
Maka sebenarnya untuk urusan jodoh ini perlu usaha yang optima dan berterusan, dalam rangka kemampuan kita asalkan mengikut syariat. Dan bukan meminta ALLAH membuat keputusan untuk kita, tapi dengan segala usaha kita menyelidik latar belakang pasangan, dengan persediaan kita menerima atau menyesuaikan diri dengan keperibadian calon teman hidup – inilah akhirnya yang membawa kita membuat keputusan.
Dan usaha serta keputusan seorang insan kerdil ini kita hadapkan dalam solat istikharah kepada ALLAH dengan setulus perasaan, memohon perlindungan, meminta kebaikan, merayu rahmat dan petunjuk. Setakat yang saya tahu, doa istikharah itu boleh dilafazkan sebelum atau selepas memberi salam, dalam bahasa melayu, bahasa cina, bahasa france atau sebaiknya dalam bahasa arab – asalkan kita faham, tak kira bahasa apa.
Islam bukan agama yang pasif, bukan hanya menerima calon yang melamar tanpa merisik dan menyiasat latarbelakang, atau bukan duduk menunggu jodoh datang bergolek. Islam bukan mengajar memilih jodoh dengan hanya dengan perasaan, namun aspek perasaan ada bahagiaanya dalam memilih jodoh. Islam mengajar aktif dan proaktif mencari jodoh mengikut syariat.
Kesimpulannya, solat istikharah memilih jodoh adalah gabungan usaha yang optima dan tawakkal yang tinggi kepada ALLAH. Kita sebagai manusia berusaha mencari, berkenalan, menyelidik dan berkomunikasi dengan calon teman hidup dalam kadar yang sewajarnya. Kemudian, kepada ALLAH kita sandarkan dengan keyakinan segala ikhtiar, harapan dan perjalanan kehidupan yang kita rancang. Hingga akhirnya kita redha dengan ketentuan dan keputusan tuhan yang Maha Mengurus Kehidupan.