Gaya Hidup

Ketepi Kek Tingkat Tinggi, ‘Italian-Style Wedding Cake’ Kini Jadi Pilihan Pengantin

Share

Pemilihan kek perkahwinan bertingkat tinggi yang dihiasi bunga gula dan kemasan fondant sememangnya mempunyai daya tarikan tersendiri dan menjadi pilihan yang popular. Bahkan ia dianggap sebagai satu simbolik yang mewakili tema kepada keseluruhan majlis.

Namun jika diperhatikan kepada trend kek perkahwinan terkini, cita rasa kebanyakan pasangan raja dan ratu sehari semakin berubah apabila ramai mereka mula memilih kek yang lebih rendah, lebar serta dihiasi limpahan buah-buahan segar.

Dikenali sebagai Italian-style wedding cake, gaya kek ini semakin mendapat perhatian kerana penampilannya yang romantik, bersahaja tetapi tetap mewah.

Tidak terlalu sarat dengan dekorasi rumit, keindahan kek ini banyak bergantung pada susunan buah-buahan berwarna-warni, krim yang lembut dan kemasan semula jadi.

Terinspirasi Daripada Millefoglie Itali

Konsep Italian-style wedding cake banyak mengambil inspirasi daripada millefoglie, iaitu pencuci mulut Itali yang dihasilkan menggunakan lapisan puff pastry

rangup bersama pastry cream, kastard atau krim putar.

 

Perkataan millefoglie membawa maksud “seribu lapisan”, merujuk kepada tekstur pastrinya yang nipis dan berlapis-lapis. Bahagian atasnya lazimnya dihiasi dengan buah-buahan segar seperti strawberi, raspberi, beri biru, beri hitam, anggur dan buah tin.

Gabungan pastri rangup, krim lembut dan rasa masam manis daripada buah-buahan menjadikannya tidak terlalu berat untuk dinikmati selepas hidangan utama.

Meskipun versi tradisional menggunakan lapisan pastri, trend semasa menyaksikan konsep tersebut turut diadaptasi menggunakan kek biasa seperti vanilla sponge, butter cake atau chiffon.

Kek ini masih mengekalkan bentuk rendah dan lebar, manakala bahagian atasnya dipenuhi buah-buahan segar. Krim putar atau buttercream pula digunakan secara sederhana agar penampilan kek kekal ringan dan tidak terlalu formal.

Adaptasi tersebut memberi lebih banyak pilihan kepada pasangan yang menyukai estetika kek Itali tetapi tetap mahu menikmati tekstur kek span yang lebih lembut dan biasa dinikmati dalam majlis perkahwinan tempatan.

Rendah Tetapi Tetap Mencuri Perhatian

Berbeza daripada kek perkahwinan konvensional yang menonjol melalui ketinggian, Italian-style wedding cake menyerlah dengan saiznya yang besar dan melebar.

Apabila diletakkan di atas meja utama, permukaan kek yang dipenuhi buah-buahan berwarna terang memberikan kesan dramatik. Susunannya yang sedikit bebas turut menghasilkan estetika rustic luxury

, seolah-olah kek tersebut dihidangkan dalam sebuah majlis romantik di vila atau taman Itali.

Penampilannya sesuai untuk majlis berkonsepkan taman, destination wedding, perkahwinan intim mahupun resepsi moden yang mahukan dekorasi lebih santai tetapi masih eksklusif.

Limpahan buah-buahan segar menjadi elemen yang membezakan Italian-style wedding cake daripada kek perkahwinan lain.Strawberi, raspberi, beri biru dan beri hitam sering menjadi pilihan kerana warnanya yang menarik. Pasangan juga boleh menggunakan buah tin, pic, aprikot, ceri, anggur atau buah-buahan tempatan mengikut cita rasa dan tema majlis.

Bunga-bungaan yang boleh dimakan, taburan gula aising, daun herba serta cebisan meringue boleh ditambah sebagai sentuhan akhir. Hasilnya ialah sebuah kek yang kelihatan mewah tanpa memerlukan dekorasi fondant atau bunga gula yang terlalu rumit.

Boleh Disesuaikan Mengikut Tema Majlis

Salah satu kelebihan gaya kek ini ialah fleksibilitinya. Untuk majlis bernuansa romantik, gabungan pic, raspberi dan kelopak ros boleh digunakan. Tema serba putih pula boleh diterjemahkan menerusi krim berwarna gading, meringue serta bunga-bungaan putih.

Bagi pasangan yang mahukan penampilan lebih dramatik, buah tin, anggur hitam, ceri gelap dan beri hitam mampu menghasilkan palet warna yang lebih mewah. Sementara itu, hirisan lemon bersama dedaunan hijau sesuai untuk majlis berkonsepkan Mediterranean atau suasana musim panas.

Selain kelihatan menarik dalam gambar, penggunaan buah-buahan segar memberikan rasa yang lebih seimbang. Kemanisan krim dan kek dipadankan dengan rasa masam semula jadi daripada buah, sekali gus mengelakkannya daripada terasa terlalu manis.

Populariti Italian-style wedding cake membuktikan bahawa kek perkahwinan tidak semestinya perlu tinggi untuk kelihatan mewah. Dengan bentuk rendah dan lebar serta limpahan buah-buahan segar sebagai daya tarikan utama, gaya ini menawarkan sesuatu yang romantik, moden dan lebih dekat dengan selera pasangan masa kini.

Jadi, ketepikan dahulu bayangan kek lima tingkat yang sarat dengan fondant. Barangkali kek satu tingkat yang dipenuhi buah-buahan segar inilah yang bakal menjadi sajian paling mencuri perhatian pada hari bahagia anda.

Published by
Fiezreen