Selama ini kita sering menganggap ibu mempunyai peranan utama dalam pembinaan peribadi anak. Malah, secara keterlaluan ada sesetengah golongan bapa yang menyerahkan tugas mendidik anak kepada isteri sepenuhnya.

Ya, memang benar bapa selalu sibuk dengan urusan mencari nafkah untuk keperluan keluarga sehingga kurang ada masa untuk mendampingi anak di rumah. Mungkin pada tanggapan, cukuplah si ibu menguruskan hal rumah tangga dan pendidikan anak.

Sebenarnya pandangan seperti ini meleset kerana bapa tetap penting dan perlu berkongsi tanggungjawab dalam memberi pendidikan, khususnya dalam pembinaan peribadi anak.

Dalam kajian sains psikologi moden ada menunjukkan bahawa seseorang bapa yang rapat dan selalu bermesra dengan anak akan memberikan kesan positif kepada terbentuknya karakter yang baik.

Malah, prestasi anak dalam pembelajaran dan pencapaian akademik dikatakan lebih menonjol berbanding dengan anak yang kurang diberikan perhatian dan selalu ketandusan kasih sayang daripada bapanya.

Satu kajian di luar negara dilaporkan oleh agensi menyatakan peranan bapa dapat memberi pengaruh besar terhadap kehidupan sosial, prestasi di sekolah dan pencapaian cita-cita anak. Oleh itu, bapa sering dianggap sebagai ‘hero’ di mata anak.

Disebutkan juga pengaruh figura seorang bapa dalam memberi bimbingan adalah kunci utama dalam fasa pertumbuhan perkembangan otak dan minda anak.

IKLAN

Selama empat dekad kajian yang membabitkan ratusan penelitian, akhirnya pengkaji menemui rumusan bahawa bapa ikut bersama membantu si ibu mengasuh, menjaga dan membesarkan anak memberikan natijah amat positif dalam melonjakkan reputasi dan prestasi akademik anak di sekolah.

Berkait dengan hal kanak-kanak ini, Rasulullah SAW menunjukkan teladan yang baik kepada kita. Cuba amati sirah Baginda SAW yang menunjukkan perhatian dan kasih sayang tidak berbelah bahagi.

Imam Bukhari ada meriwayatkan: “Pada suatu hari, Rasulullah ke sebuah pasar di Madinah bersama-sama seorang sahabatnya, Abu Hurairah.

“Dengan tidak semena-mena Baginda bertanya kepada Abu Hurairah: ‘Di manakah anak-anak kecil? Baginda bertanyakan hal itu hingga tiga kali.

IKLAN

“Seketika kemudian, Baginda minta dipanggilkan cucunya, Hasan. Kemudian, muncullah Hasan dengan benang yang dibentuk seperti kalung di lehernya.

“Lantas Baginda segera memeluk Hasan dengan kasih sayang. Hasan juga membalas pelukan datuknya itu.

“Kemudian Baginda bersabda: “Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia dan orang-orang yang mencintainya.”

IKLAN

Ayuh, wahai lelaki yang bergelar bapa, dekatilah anak dan bajailah mereka dengan kasih sayang. Meskipun mereka masih kecil, mereka tetap memahami dan mampu merasai erti kasih sayang yang kita berikan.

Marilah kita melihat pada diri masing-masing khususnya membabitkan sikap dan tindakan kita sebagai seorang bapa. Apakah selama ini kita rapat dengan anak?

Buanglah sikap kasar dan bengis. Beralihlah kepada kaedah ditunjukkan oleh Baginda SAW, iaitu sentiasa menunjukkan perilaku baik, bertanggungjawab dan bersandarkan nilai kasih sayang.

Janganlah beralasan kesibukan bekerja untuk kita mengabaikan anak. Pandai-pandailah membahagikan waktu untuk anak dan keluarga, sekiranya kita mahu mengecap bahagia bersama-bersama seisi keluarga.

Semuanya terletak pada kita sebagai bapa. Ingatlah, anak seperti kain putih yang menerima setiap coretan padanya. Baik yang kita tunjukkan, baiklah sahsiah mereka dan begitulah juga sebaliknya.

Penulis pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah