
Kalau betul nak rasa bahagia, lelaki kena layan isteri macam ratu. Jadi pendengar yang baik, tolong uruskan rumah tangga, selesaikan masalah anak-anak dan mungkin sesekali boleh masak.
Perasan tak kita selalu nak semua nampak sempurna, nak rumah kemas, nampak cantik, nak anak-anak berkelakuan baik dan isteri yang pandai ambil hati kita. Kalau dulu kita lihat suamilah raja! Isteri kena ikut perintah. Malah ada yang diperlakukan seperti hamba. Tapi kini, masyarakat kita semakin berilmu. Banyak tolak ansur antara pasangan.
Tak bererti jika suami lakukan kerja rumah, suami takut pada bini tapi sayang pada akhirat. Mana tidaknya, dengan ibadat dan susah kita melayan kerenah isteri akan memudahkan kita ke syurga. Kata Imam Al-Ghazali, suami yang sabar kerana kesusahan isteri dan kesakitan yang disakiti oleh isterinya itu adalah setengah daripada faedah berkahwin.
Layanan seorang suami tu sangatlah penting buat seorang wanita yang bergelar isteri. Sebagai ketua keluarga, suami kena lah tunjuk contoh yang baik lagi-lagi dihadapan anak-anak. Takkan nak tunjukkan contoh yang buruk macam, semua kerja rumah isteri sahaja lakukan. Suami yang tahu balik kerja penat tidur. Zaman dah berubah sekarang. Isteri pun dah bekerjaya. Malah, ada yang lebih sukses daripada suami.
Jika kita sabar atas perbuatan isteri, isteri sakiti hati kita, isteri tak hormat kita, kita akan dapat 2 kelebihan iaitu menjadi manusia yang suci hatinya dan sabar ini juga akan melatih kita melawan hawa nafsu.
Sumber : Mohd Fhais
Jodoh Anda Kahwin Dengan Duda. Pilhan Anda Mungkin Tepat!

Jodoh kan ketentuan Allah. Sama ada berkahwin dengan wanita bergelar ibu tunggal atau lelaki bergelar duda, kedua-duanya tak ada masalah. Selama ini kita asyik dengar lelaki yang sibuk berkahwin dengan ibu tunggal dengan niat untuk menjaga mereka kerana Allah Taala. Begitu juga apabila ada wanita yang sudi menerima lelaki duda.
Jangan pandang status duda atau ibu tunggal itu sebagai satu masalah. Anggaplah ia sebagai kelebihan di dalam rumahtangga yang bakal dibina kelak. Jangan cari pasal berkahwin dengan orang yang masih di dalam rumahtangga sudah!
Kenapa duda boleh jadi pilhan yang tepat?
- Komitmen
Orang bujang ni ada kalanya takutkan komitmen. Susah sangat nak jalinkan hubungan sebab hati masih berbelah bahagi. Berbeza dengan lelaki duda. Mereka tak takut komitmen. Mana yang sudah mempunyai anak, mereka masih mengikat komitmen kepada anak-anak dengan baik.
Sekiranya anda mengenali mereka dan mengajak mereka untuk menjalinkan hubungan yang serius, pasti mereka tidak cepat menolak atau mengambil masa panjang untuk berfikir. Duda yang sudah mempunyai anak pula hanya mengharapkan anda boleh menerima anak-anaknya seperti anak-anak anda.
- Berpengalaman
Lelaki duda biasanya sudah melalui pengalaman pahit dan manis. Mereka lebih berpengetahuan luas terutamanya dalam penjagaan anak-anak. Apa yang berlaku pada kisah silam mereka menjadi pengalaman paling penting untuk mereka menjayakan hubungan yang akan datang.
Beruntung wanita bujang yang mengahwinan lelaki duda kerana mereka boleh belajar dari seseorang yang berpengalaman. Kalau tak mahir menjaga anak, suami dud aini boleh jadi penjaga terbaik.
- Matang
Seorang lelaki duda lebih matang mengendalikan isu yang timbul dalam kehidupan. merekatidak cepat melatah kerana mereka juga pernah melalui sebuah perkahwinan. Sama ada mereka gagal dalam perkahwinan lalu atau menjadi duda kerana kematian isteri, lelaki duda mampu mengawal kehidupan rumahtangganya yang baharu.
Wanita yang lebih selesa bergantung harap pada lelaki bolehlah bergantung pada seorang suami bergelar duda. Mereka sangat berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan dan menyelesaikan masalah dalam perhubungan. Anda pasti akan rasa dialah Superhero anda!
- Menjaga hati
Lelaki duda bukan sewenang-wenangnya memberikan hati dan perasaan kepada wanita lain. Apabila dia sudah mengenali anda, dia akan hanya menumpukan perhatian terhadap anda seorang kerana dia tidak mahu berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam hubungan yang baharu dibina.
Sekiranya mereka gagal dalam perkahwinan lalu, mereka seboleh-bolehnya ingin mengelakkan diri daripada ia berlaku sekali lagi dalam hidupnya. Hatinya dan hatimu menjadi keutamaan untuk dibelai dan tidak sesekali dibiarkan terluka lagi.
- Dialah yang tepat!
Sekiranya bukan dia punca kegagalan rumahtangga lalu maka jangan ada doubt lagi memilih mereka sebagai teman hidup. Lelaki kalau dah sayang, dia akan sayang betul-betul. Janganlah anda pula mengambil kesempatan terhadap kebaikan mereka.
Baik duda, ibu tunggal atau bujang, masing-masing bergantung kepada hati dan perasaan. Sebelum mula mengenali bakal pasangan dengan lebih mendalam, buatlah ‘siasatan’ latar belakang. Sekurang-kurangnya anda tahu dari mana mereka berasal dan tahu serba sedikit mengenai kehidupan mereka.
Buat Pengantin Bertudung, Ini Rahsia Elak Rambut Berbuah

Rambut berbuah biasanya dikaitakan dengan wanita bertudung. Tabiat mengikat rambut ketika basah, atau memakai tudung dalam keadaan rambut masih belum kering menyebabkan bakteria tumbuh dan melekat pada rambut. Dalam bahasa mudah, rambut berbuah merujuk kepada masalah ketepuan produk pada kulit kepala anda disebabkan penjagaan kulit kepala yang tidak teliti. Jika dibiarkan akan terdapat benda asing yang berwarna putih ataupun hitam yang melekat serta sukar untuk ditanggalkan. Kebanyakan rambut berbuah yang berlaku ini adalah disebabkan oleh bakteria yang tumbuh dan melekat pada rambut.
Tidak bermakna jika rambut yang berselindung di sebalik tudung, tidak perlu diberikan penjagaan yang khusus. Wanita yang bertudung juga perlu menjaga rambut supaya sentiasa sihat dan menawan. Tentunya anda akan berasa geli disebabkan terdapatnya bakteria yang tumbuh serta melekat pada rambut anda. Oleh itu anda perlulah menjaga rambut dengan sebaiknya.
Berikut adalah beberapa tip untuk mencegah rambut berbuah:
1.Gunakan clarifying shampoo
Clarifying shampoo adalah cara paling biasa untuk menyingkirkan ketepuan produk pada rambut. Pun begitu, jangan gunakan syampu ini secara berlebihan. Disebabkan kesannya yang kuat, ia boleh mengeringkan kulit kepala. Penggunaan sekali sebulan sdah mencukupi.
2. Bilas dengan Cuka Epal Sider
Banyak produk rambut boleh mengganggu pH semula jadi rambut dan memberi kesan negatif kepada keadaan kulit kepala. Mengambil pendekatan DIY, anda boleh menggunakan cuka epal sider (apple cider vinegar) untuk menyingkirkan ketepuan produk. Ia juga membantu mengembalikan rambut dan kulit kepala ke pH semula jadi. Tetapi jangan gunakan secara langsung sebaliknya campurkan dengan air dalam nisbah 1:4 untuk membilas rambut.
3.Cuba Gunakan Jus Lemon
Sepertimana cuka epal sider, jus lemon turut mempunyai nilai pH yang sama. Campurkan dengan air sebelum digunakan seperti cuka epal sider. Keasidan jus lemon membantu menyingkirkan kelemumur dan sisa produk, membersihkan kulit kepala seperti syampu. Biarkan campuran tersebut di kulit kepala selama 10 minit, sikat dan bilas setelah selesai.
4. Pengelupasan dengan Baking Soda
Apabila rambut anda bertambah berat dengan produk melekit, cuba gunakan baking soda sebagai exfoliant kulit kepala. Anda boleh mencampurkan dengan air, kondisioner dan beberapa titis minyak kegemaran anda. Alirkan campuran tersebut melalui rambut yang lembap sewaktu mandi dan ikuti dengan kondisioner rambut yang sesuai. Jangan amalkannya lebih daripada sekali sebulan.
5. Gunakan Syampu dan Kondisioner yang Sesuai
Disebabkan anda tidak boleh menggunakan syampu clarifying dengan kerap, pastikan anda menggunakan produk yang bersesuaian dengan keadaan kulit kepada dan rambut anda. Cari syampu yang ringan dan kurang bahan yang memberatkan seperti paraben, sulfat, dan silikon yang meninggalkan sisa pada rambut.
6. Biarkan rambut lepas
Setelah seharian dikepam dan diikat di dalam hijab, membiarkan rambut anda lepas lebih baik. Bahkan apabila rambut tidak diikat atau saling berselirat, produk rambut akan kurang mempunyai gumpalan kawasan untuk menetap. Pastikan rambut anda kering sebelum memakai hijab.
Berhijab bukan alasan untuk tidak memastikan rambut anda sihat dan cantik. Amalkan tip tersebut dan jaga kebersihan kulit kepala anda sebelum rambut kembali berbuah.
OLEH :HELMA HASSAN
SUMBER : (https://hellodoktor.com/)
Romantik Ni Ada Banyak Cara, Bukan Bagi Bunga Dekat Pasangan Je

Cara mudah untuk jadi romantik dengan pasangan dan sekaligus menambah kemanisan hubungan suami-isteri. Semua pasangan boleh cuba.
Tak kiralah anda seorang suami atau seorang isteri, anda boleh menjadi seorang yang romantik sebenarnya.
Romantik ini ada 2. Satu dari percakapan dan yang kedua dari perbuatan. Ada yang boleh buat kedua-duanya. Ada yang boleh buat 1 sahaja. Tapi jangan risau, mana-mana pun bakal membuatkan pasangan anda tersenyum dan hatinya berbunga-bunga.
Romantik Perbuatan
1. Sentuhan Fizikal
Dibuat apabila suami dan isteri sedang duduk santai. Jangan buat semasa salah seorang sedang fokus pada benda lain contohnya si suami sedang tengok bola atau si isteri sedang tengok drama Nur 2.
▶️ Hanya gunakan tepi ibu jari dan lalukan ia di pipi pasangan perlahan-lahan sambil memandang matanya dan senyum dengan manis.
▶️ Gunakan hujung ibu jari dan bermainlah di kening pasangan dengan lembut. Buat dari dalam kening ke bahagian luar. Kiri dan kanan. Jika matanya tertutup melayan, anda sudah berjaya.
▶️ Mainkan jari-jemari anda di ubun rambutnya. Boleh buat semasa tengok tv atau main telefon. Perlahan-perlahan je. Antara dia sedar dengan tidak. Gunakan juga jari-jemari anda untuk mengusap jari-jemari pasangan dengan lembut dan perlahan.
▶️ Bawa kepala pasangan anda ke peha, biar dia jadikan peha itu sebagai bantal. Mainkan rambutnya. Garu ke, carik uban ke atau usap pun boleh. Cuba mainkan jari di bahagian telinga. Nanti ucap terima kasih kat saya.
▶️ Cuba amalkan menyikat rambut pasangan. Kesannya amat positif. Jika pasangan berambut panjang, buat perlahan-lahan. Jika rambut suami pendek, buat dengan cepat dan kemas. Bila rambutnya sudah terurus, jangan pula kita kacau. Boleh gaduh pulak nanti. Hehe..
▶️ Selalu pegang dengan lembut lengan atau pinggang pasangan. Ini boleh dibuat sama ada bila berjalan atau semasa berdiri menunggu apa-apa. Jangan nampak seperti memaksa. Perlu mulakan sedikit-sedikit. Ada yang hati keras, tak suka sentuhan. Tapi cuba je sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan. Kalau tak berjaya hari ini, esok lusa ada lagi. Nanti bila dah biasa, boleh cengkam-cengkam geram pulak.
▶️ Ini yang paling hebat. Pelukan. Tak semestinya pelukan ghairah. Hanya pelukan sayang dan tak perlu lama pun. 2 3 saat pun dah cukup. Kalau dapat lagi lama lagi bagus. Boleh pilih untuk buat sebelum pergi kerja, selepas pulang dari kerja, bangun pagi, sebelum tidur, peluk dari belakang semasa dia masak, peluk tanda terima kasih jika pasangan buat sesuatu yang menggembirakan dan lain-lain situasi lagi. Tak perlu buat semua, buat salah satu pada permulaan je pun dah cukup. Nanti dah biasa, buatlah banyak-banyak.
▶️ Geletek pasangan. Ini perlu hati-hati dan jangan terlebih. Ada orang suka, ada yang tak suka. Kenali pasangan anda dahulu. Cuba sekali dua dahulu. Kalau nampak dia marah, tak perlu buat dah. Kalau dia tergelak atau seronok, boleh buat lagi.
2. Senyum
Kalau mulut sukar untuk meluahkan, senyum je.
▶️ Bila dia selesai berpakaian untuk ke luar, senyum. Itu tanda anda suka, anda sayang, anda memuji dia cantik atau segak tanpa berkata apa-apa. Hebat kan?
▶️ Bila isteri sedang atau telah selesai masak, berikan dia senyuman tanda terima kasih dan anda menghargainya.
▶️ Sebelum meninggalkan pasangan. Sama ada mahu pergi kerja atau keluar ke kedai. Sebelum pintu rumah ditutup, lemparkan sahaja satu senyuman manis buat pasangan. Tinggalkan mood yang baik. Pasti dia tersenyum sendiri.
▶️ Bila pulang dari kerja, berikan senyuman yang menandakan anda bersyukur kerana telah pulang ke rumah dan anda telah meninggalkan kerja di tempat kerja. Setkan mood pulang anda itu di tahap yang baik.
▶️ Senyum secara rawak atau spontan kepada pasangan. Bila dia tidak memandang, berikan senyuman padanya, bercakaplah dalam hati, “hensemnya laki aku ni” atau “comel bini aku ni”. Biar dia perasan yang anda sedang tersenyum melihat dia. Kalau dia tanya kenapa, boleh jawab sebab dia hensem atau cantik, atau jawab je “takde pape”. Pasti best !
3. Buat Apa Yang Disukai Pasangan
Ada sahabat saya cakap, suami dia beli ayam gunting RM6 pun dia dah rasa romantik sangat. Kenapa? Kerana suami dia TAHU apa yang isterinya suka dan buat.
▶️ Beli atau masak makanan kegemarannya. Tak semestinya yang besar atau mahal. Kadang-kala dia suka keropok jenama Cachos, kalau anda belikan, pasti dia tersenyum. Ataupun jika pasangan suka makan seaweed, belikanlah bila teringat. Pasti dia suka. Kalau ada rezeki lebih, beli makanan kegemaran dia. Mungkin dia suka burger, mungkin dia suka sushi, mungkin dia suka makan di Nandos. Jika mampu, bawak dia sekali sekala. Kalau pasangan jenis suka masakan anda, masak apa yang dia suka. Cukup dapat lihat dia makan dengan bersungguh pun kita dah seronok kan?
▶️ Jika pasangan suka anda buat sesuatu, buatlah. Contohnya pasangan suka anda berzumba, berzumbalah sampai penat. Jika pasangan suka anda bersukan atau ke gym, pergilah. Jika pasangan suka anda buat lawak, jadilah tukang lawak buat dia. Jika pasangan suka nyanyian anda, menyanyilah selalu. Jika pasangan suka anda mengaji, amalkan baca Quran berdekatan dengannya. Pasti dia hargainya.
▶️ Boleh juga masuk bab jangan buat apa yang pasangan tidak suka anda buat. Contohnya, dia tak suka anda geletek dia. Jangan buat dah. Jika dia tak suka nyanyian sumbang anda, jangan sakitkan telinga dia. Jika dia tak suka anda like gambar lelaki atau perempuan lain, jangan buat dah. Mudah kan?
▶️ Layan minat dan hobinya selagi ia tak memudharatkan. Tunjukkan minat untuk ambil tahu. Kalau tak faham pun takpe. Cukup sekadar beri dia ruang untuk melayan hobinya. Kalau hobinya anda pun suka, pasti dia sangat seronok jika dapat dilakukan bersama.
▶️ Solat berjemaah. Mungkin ramai yang anggap Solat berjemaah ini memang kena buat dan perkara wajib. Memang betul. Tapi ini juga salah satu dari cabang romantik. Dari rohani hinggalah fizikal. Pasangan pasti rasa manis bila dapat solat berjemaah bersama.
4. Permudahkan Urusan Pasangan
▶️ Bantu suami bersiap. Sediakan pakaiannya yang kemas. Si suami pun boleh bantu isteri dalam membuat kerja rumah. Basuh pinggan, basuh kain, sidai dan lipat kain, sapu rumah, kemas bilik dan ruang tamu atau basuh tandas. Bukan suruh buat hari-hari. Bila perlu je. Boleh jugak tolong isteri masak sekali-sekala asalkan jangan sampai menyusahkan. Karang ada yang “dah la abang, biar sayang je masak, abang pergi tengok tv”. Pasti ramai yang suka kan? Tapi tak romantiklah.
▶️ Tolong jaga anak bila isteri makan. Sama ada di rumah atau di luar. Kadang-kadang, cuba bagi can isteri makan dahulu. Mesti dia hargainya nanti.
Romantik Percakapan
1. Kata-Kata Cinta
➡️ Ucapkan secara lisan I love you. Cakap sekali sekala boleh. Cakap setiap kali sebelum pergi kerja boleh. Sebelum tidur, sebelum pergi kedai, sebelum keluar dari rumah ataupun secara rawak tanpa dirancang.
➡️ Jika tak mampu bercakap, taip. Kadang-kala ada yang malu nak keluarkan suara. Taip sahaja di whatsapp. Atau yang paling mudah, emoji. Emoji ❤ ini kecil je, tapi sangat-sangat bernilai. Bagi je sekali-sekala atau selalu. Nak selitkan dalam perbualan di whatsapp pun boleh. Pasti pasangan akan nampak punya. Dia balas atau tidak itu soal lain. Buat sahaja bahagian kita. Jangan risau, 1 emoji ini tidak akan membinasakan. Kecuali kalau diberi kepada orang lain. Hahaha..
➡️ Google kata-kata cinta, ambil satu dua dan cuba sekali-sekala. Atau yang lagi bagus, cakap terus kata cinta dari hati. Sama ada “I sayang sangat kat U” atau “I tak boleh kalau U pergi lama-lama, rindu sangat”. Benda-benda yang dulu kita selalu cakap masa bercinta pun ok.
2. Imbau Kenangan Semasa Bercinta
➡️ Masa bercinta semuanya indah kan? Boleh je bersama dengan pasangan cerita kembali kenangan dulu. Benda yang kelakar, benda yang manis, yang memalukan ke pun takpe, pasti akan tergelak bila teringat. Cuba sama-sama ingat kembali masa dating, masa kali pertama jumpa, kali pertama declare, kali pertama kenalkan kepada keluarga dan lain-lain.
➡️ Boleh juga jadikan kenangan lama sebagai pengajaran, kesilapan lalu yang sama-sama mahu tambah baik dan ubah. Atau pun kesusahan lalu yang sudah berjaya atau sedang diatasi. Ini pun satu perkara yang romantik apabila pemikiran suami dan isteri berfikir perkara yang sama.
3. Tanya dan Komunikasi
➡️ Apa yang bermain di fikiran pasangan? Tanya. Apa yang disukai dan tidak disukainya, tanya. Apa yang merunsingkan fikirannya, tanya. Apakah harapannya, tanya. Apakah cita-citanya serta angan-angannya, tanya. Apakah kesilapan kita, pun boleh tanya. Jangan diam. Jangan ingat kita boleh faham sendiri dan jangan ingat kerut di keningnya akan hilang sendiri. Mungkin di luar tak nampak, di dalam hati tak siapa yang tahu jika tidak bertanya.
4. Pujian dan Bisikkan
➡️ Selalulah memuji pasangan. Hargai setiap perbuatannya. Kalau suami tak reti masak, bila dia masak nasi atau telur goreng pun pujilah. Yang penting dia cuba. Atau pun isteri anda pandai masak, puji. Jangan ambil mudah, nak pandai masak tu bukan senang. Lagipun, perut kita pun happy betul tak?
➡️ Puji kecantikan dan kehenseman pasangan. Ucapkan dengan kata-kata. “Cantiknya sayangkuuuu” atau “Abang ni hensem macam Shah Rukh Khan la”. Tak salah pun puji tu. Tak luak langsung. Bukan kena bayar pun. Pujilah selalu. Biar dia rasa biasa pun. Puji je. Takde benda buruk yang boleh datang dengan pujian. Kecuali memuji laki atau bini orang lain. Kah kah kah.
➡️ Bisik manja di telinga dia. Bisik je ape-ape pun. Benda biasa boleh, benda yang seksi pun boleh. “Geram tengok abang hari ni”. “Kenapa cantik sangat ni?”. “I love U”. Atau “hmmmmmmmm”. Nak best lagi, gigit manja telinga dia. Amaran. Apa yang jadi selepas itu, tanggunglah sendiri ye. Hahaha..
Banyak yang kita boleh buat, pilih dan olah mengikut kesesuaian pasangan dan keluarga anda. Perlu ingat, jangan memaksa dan membanding-bandingkan. Semuanya perlukan masa. Semuanya perlukan latihan dan kesesuaian.
Semoga perincian ini dapat menambah kemanisan dan keghairahan dalam hubungan suami isteri.
Sumber : Akhtar Syamir