
Ada tak antara korang masih single dan rasa down? Adakah kawan-kawan korang yang sudah berpasangan jadikan korang sebagai bahan ejekan? Jangan sedih. Single itu tidak salah! Sekurang-kurangnya, pakar psikologi mengatakan bahawa single bermanfaat buat kesihatan korang dan lebih membahagiakan.
1. Menurut Bella DePaulo, single membuat persahabatan anda bertahan lebih lama
Mempunyai kawan yang mengambil berat akan membuat anda lebih bahagia daripada hanya menimbulkan emosi apabila bercinta. Adakah anda masih ingat bagaimana anda dan kawan baik anda tidak dapat menghubungi apabila anda sedang sibuk? Tiba-tiba semua masa anda dibelanjakan untuk pasangan sahaja. Kemudian kekerapan untuk berjumpa (berkomunikasi juga) dengan rakan-rakan dikurangkan.
Menurut Bella DePaulo (pakar psikologi, penyelidik sosial, dan pengarang buku “Singled Out: How Singles Are Stereotyped, Stigamtized, and Abandoned, and Still Live Happily“), menjadi single membuat anda mempunyai lebih banyak waktu dengan kawan-kawan, baik dalam kegembiraan dan kesedihan.
Bagi orang dewasa, menjaga persahabatan yang sihat dan menyenangkan adalah sangat penting. Kerana kawan-kawan anda akan membantu dan menjadi kekuatan anda apabila anda sedang lemah. Terutamanya ketika lemah kerana hubungan cinta yang kurang lancar.
2. Lebih banyak masa anda habiskan dengan sahabat sejati, semakin banyak anda akan gembira dan optimis mengenai hari-hari anda
Semakin kerap anda bersama kawan terbaik anda, anda akan rasa tenaga yang luar biasa. Tenaga itu akan membuat anda teruja dan gembira. Akhirnya, anda dapat menikmati lebih banyak hidup dan lebih panjang umur.
Sekiranya kelak anda tetap single atau berpasangan dengan orang yang dicintai, anda masih akan mengekalkan hubungan dengan kawan terbaik anda. Kerana dia adalah orang yang menemani anda kerana anda adalah seorang yang single dan dalam keadaan yang sukar.
3. Ketika single, anda belajar untuk lebih berdikari
Mengatasi segala-galanya sendiri, akan membuat anda termotivasi dan bangga untuk mencapai cita-cita anda. Apabila single, anda belajar bagaimana mengurus diri anda. Tidak kira secara kewangan dan emosi. Anda bebas untuk menetapkan masa anda dan memutuskan apakah komitmen anda, tanpa belenggu.
Anda lebih peka terhadap apa yang anda perlukan. Dan kerana anda menghadapi segala-galanya sendiri, anda lebih bergelut dan termotivasi untuk mencapai apa yang anda perlukan.
4. DePaulo menambah bahawa bercinta boleh membuat anda lupa siapa diri anda dan apa tujuan anda dalam hidup
Single untuk sementara waktu itu adalah munasabah. DePaulo menambah, “Risiko bercinta adalah bahawa anda merasakan anda boleh bersatu dengan pasangan anda. Ini boleh membuat anda melupakan siapa anda sebenarnya.” Oleh itu, single adalah lebih baik daripada anda terlalu bersemangat untuk membuat keputusan tetapi tidak bersedia untuk semua akibatnya.
Bagaimana? Anda masih mahu menafikan bahawa single itu menyedihkan? Malu apa bossku diejek oleh rakan-rakan kerana anda masih single? Apa yang anda mesti ingat, single tidak bermakna anda kesepian. Single adalah menyeronokkan dan tidak menyakiti!
Sumber: Apakes
Kentut Depan Pasangan Buat Hubungan Tahan Lebih Lama. Eh,Biar Betul?

Bila tengok tajuk, rasa geli pun ada tapi apa yang mungkin ramai tidak tahu mengenai kentut? Kentut adalah mekanisme tubuh yang menandakan bahawa metabolisma kita sihat. Beberapa kajian juga mendapati bahawa kentut di hadapan pasangan akan membuatkan hubungan lebih tahan lama.
Mungkin tak ramai yang berani buat macam tu. Ada pasangan yang boleh menerimanya dan ada juga yang menganggap kentut dianggap perkara yang menjijikkan dan kurang sopan. Ini beberapa kajian yang menunjukkan mengapa kentut di hadapan pasangan membuatkan hubungan lebih bahagia dan bertahan lama.
Kentut membuktikan anda selesa dengan pasangan
Jika anda selesa untuk melepaskan kentut di hadapan pasangan ini bermakna anda tidak menyorokkan apa-apa atau berahsia dengan pasangan. Kita selalu nak nampak sempurna di hadapan pasangan tapi kita tak tahu yang sebenarnya dia juga perlu menerima kita keseluruhannya. Jadi apa salahnya kita uji mereka dengan cara ini sekali sekala kan?
Kentut menguji penerimaan pasangan
Penulis buku Psikologi Keluarga Leah DeCesare mengatakan bahawa hubungan yang sihat dalam keluarga merupakan satu ketulusan dan kepercayaan. Kenyataan yang dikutip dari Ozock ini menyatakan bahawa ketulusan itu dalam erti memahami apa-apa jua keadaan pasangan. Jadi, lepas ini kalau pasangan anda kentut di hadapan anda anggaplah ia sebagai satu lawak dan bahan jenaka. Terimalah setulus hati walaupun baunya kalau boleh nak lari keluar rumah!
Lebih selesa bersama pasangan
Leah Decesare mengatakan bahawa detik-detik pertama dalam perkahwina yang membuatkan suaminya rasa selesa adalah ketika kali pertama dia kentut di depan suaminya. Apabila anda bertindak sedemikian rupa, anda akan lebih rasa bebas untuk melakukan apa sahaja di hadapan pasangan anda.
Kentut adalah perkara semula jadi manusia
Perempuan selalu nak nampak cantik dan lelaki pula selalu nak kelihatan gentleman. Kentut sebenarnya tak mengubah keadaan menjadi sebaliknya. Kentut adalah perkara semula jadi seperti gelak, menangis dan makan. Harus diingatkan, kalau agak-agak anda rasa kentut anda bakal menggegarkan kawasan tersebut dengan baunya, at least, beritahu pasangan anda siap-siap. Mungkin dia boleh bersedia!
Lepas proses kentut selesai, meriahkan hubungan anda dengan ketawa bersama-sama. Mungkin ini boleh dimasukkan dalam memori manis anda berdua.
Isteri ‘Datang Bulan’ Memang Ujian Untuk Kaum Lelaki Setiap Bulan

“Kebanyakan lelaki mungkin lupa, jika ‘gila meroyan’ hanya berlaku pada wanita lepas bersalin, ‘datang bulan’ pula berlaku pada wanita setiap bulan.” – Ammar Kamilin
Hidup bergelar suami isteri memang akan banyak ujian yang perlu dilalui. Tanggungjawab yang digalas sebagai seorang suami mahupun isteri bukanlah satu tugas yang mudah.
Oleh itu, ia bukanlah sesuatu yang pelik jika kadang-kadang pertengkaran boleh berlaku. Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami siteri. Begitulah umpama asam garam dalam perkahwinan. Hatta perihal kecil pun kadang-kadang boleh jadi perkara yang besar.
Lagi-lagi sewaktu isteri sedang ‘bercuti’. Waktu ini emosi mereka memang tak stabil. Semua benda tak kena pada mereka.
Jadi, apabila jadi begini, apa yang seharusnya kaum suami lakukan? Mari kita dengar cerita dan nasihat dari saudara bernama Ammar Kamilin ini. Semoga kaum suami dapat hadam dengan baik. =)
Isnin itu,
Sebelum subuh dia sudah mula ‘bersilat’ di dapur. Bunyi air pili mengalir ke singki tak putus-putus dari tadi. Tanda banyaknya pinggan dan cawan tidak berbasuh yang ditinggalkan anak-anak malam tadi.
Sudah jenuh dipesan, ada masa berkesan, kebanyakan masa tak ‘jalan’.
Masing-masing ada ‘misi pagi’. Dia dengan urusan dapur. Memastikan anak-anak mendapat bekalan ‘air tangan’ setiap hari.
Saya dengan urusan ‘perkucingan’. Memastikan ‘anak-anak bulu’ mendapat bekalan makanan mencukupi dan lokasi ‘penyahtinjaan’ sedia bersih.
Ikutkan hati, tak larat dah. Tetapi setiap pagi menguruskan sisa kumbahan, memberi kesan yang agak signifikan kepada ‘ketundukan hati’.
Selalu saja ada bisikan, ‘Padan muka kau, kau rasa kau hebat? Setiap pagi jadi abdi kucing-kucing ni. Mereka yang membuang, kau yang kutip.’ Rendah diri rasanya. Dengan kucing pun kalah.
Belek-belek mengemaskan beg kerja. Baru perasan bekas makanan hari Jumaat lupa nak dikeluarkan dari dalam beg.
Allah! Cepat-cepat keluarkan dan bawa ke dapur.
Baru saja mahu letakkan bekas makanan ke dalam singki, isteri merungut, “Bang, macam mana nak cakap dengan Iman ye. Petang Jumaat hari tu lagi dah ingatkan. Balik sekolah, keluarkan ‘lunchbox’. Basuh.
Jenuh cari mana ‘lunchbox’ dia pagi ni. Rupanya tak keluarkan lagi dari dalam beg.”
Perlahan-lahan saya mulakan membasuh bekas sendiri.
Entah kenapa, telinga saya yang berdesing. Sungguh itu cerita Iman. Tapi nampaknya saling tak tumpah dengan perangai abahnya. Kebetulan yang menyakitkan.
“Bercakap dengan budak, memang perlu berulang-ulang. Tak boleh harap dengan sekali cakap, terus dia akan ikut. Manusia ni mudah lupa.
Itu sebabnya, Al-Quran pun ada ayat peringatan yang berulang-ulang. Dibaca selalu untuk ingatkan kita.”
Dia hanya diam sambil tangan laju membuka bungkusan mozzarella. Kuali sudah mula panas.
“Orang dewasa pun sama. Kita dah pesan jangan letak beg tangan merata-rata. Sangkut dalam bilik. Balik kerja, sofa depan ruang tamu juga tempatnya.”
Entah dari mana meluncur laju terlepas dari mulut. Nampaknya telinga yang berdesing tadi mula ‘memuntahkan’ respon buruk.
Suasana hening.
Dia meneruskan kerja-kerja memasak. Tugas saya seterusnya mengejutkan anak-anak dan membersihkan diri.
Pagi itu, sebelum bergerak ke tempat kerja, wajahnya tidak seperti biasa. Jelas tiada sinar dalam mata. Ulas bibir melurut semua.
Ikut pengalaman, memang ada yang tak kena. Ada sesuatu yang mencabut ceria. Ciuman di tangan tidak sekuat biasa. Pelukan juga cepat-cepat dilepaskan sekadar ada.
______
Sedang sibuk di meja kerja, Jam 10.07 pagi.
‘Salam abang. Ryn minta maaf tau. Mungkin ada stress sikit. Emosi terganggu. Cepat terasa hati.’
Teks dihantar melalui whatsapp.
Benar apa yang disangka. Dia memang terasa hati. Rasa bersalah pada diri sendiri.
Satu, kerana tidak dapat mengawal hati yang terlampau sensitif terus mengeluarkan kata-kata yang menyindir.
Dua, kerana tidak segera menurunkan ego meminta maaf apabila sudah tahu terlajak cakap.
Jika tidak terus dijawab teks whatsapp ini, maka ini kesalahan ketiga. Melengah-lengahkan kemaafan.
‘Abang sentiasa maafkan. Maafkan abang juga.’ Send.
Baru hadir ketenangan bekerja pagi itu. Patutlah serba tak kena pagi itu. Boss-boss di pejabat juga seakan ‘angin satu macam’.
Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan ‘gila meroyan’ yang mengorbankan nyawa.
Kejadian itu realiti.
Penyakit ‘gila meroyan’ itu juga realiti.
Puncanya?
Mengabaikan tanda-tanda awal yang ditunjukkan melalui perubahan tingkah laku dan sikap seorang wanita.
Kebanyakan lelaki mungkin lupa, jika ‘gila meroyan’ hanya berlaku pada wanita lepas bersalin, ‘datang bulan’ pula berlaku pada wanita setiap bulan.
Perubahan hormon itu sesuatu yang benar-benar ada kesannya. Kesan pada fizikal yang boleh dilihat dan kesan pada psikologi yang samar-samar.
Ada wanita, saya pernah lihat masa di kolej dulu, sedang mesyuarat boleh tiba-tiba berguling-guling memegang perut menahan kesakitan.
Baru saya tahu, boleh tahap itu kesakitannya. Ada juga yang mengalami sakit-sakit badan dan sakit pinggang.
Jika tiba-tiba si isteri menunjukkan tahap sensitiviti yang tinggi atau ‘merapu’, itu tanda-tanda mereka perlukan perhatian.
Lebih baik lagi, ketenangan melalui sentuhan dan belaian. Dalam kesakitan dan ketidaktentuan, tiba-tiba dimanjakan, bukankah itu ‘nikmat’ buat mereka.
Entah kenapa tiba-tiba saya bercerita kisah ini. Sungguh, luar niche penulisan saya. Mungkin atas rasa mahu menebus kesalahan.
Mahu kawan-kawan lelaki atau adik-adik yang baru bercadang untuk berpasangan, tahu dan sedar hakikat fitrah yang Allah ‘embedded’ dalam diri seorang wanita.
Lelaki seperti saya, ada juga hormon. ‘Hormon ego’. Ada masa sedar, tetapi hidung tetap mahu ditinggikan.
‘Datang bulan’ memang ujian untuk kaum lelaki setiap bulan. Ujian mengukur tahap keprihatinan.
Balik petang tu, “Macam mana? Dah ok?” Menyambut beg-beg sekolah anak yang dihulur.
“Alhamdulillah.” Melepaskan beg yang berat dan beban emosi yang ditanggung bersama senyum terukir.
Saya belajar tiga perkara dari peristiwa ini,
1. Sensitif dengan perubahan emosi isteri. Perempuan jika terlepas kata, mungkin disebabkan hormon. Lelaki tenang saja.
2. Respon reaktif (segera) mengundang bahaya. Dengar, tarik nafas dalam-dalam. Tenang. Langkah terbaik, terus diam. Diam juga ada makna. Beri masa 10 saat untuk respon.
3. Ego merencatkan bahagia. Dalam banyak kegunaan ego manusia, ego dengan isteri adalah sesuatu yang perlu dielakkan.
Mana mungkin kita boleh ego pada wanita yang menemani kita tidur setiap malam, malah melahirkan anak kita.
Ini Yang Ramai Tak Tahu, Bahaya Yang Bakal Terjadi Bila Beli Rumah Bersama Pasangan

Ramai yang tak pasti dan mungkin ada sesetengahnya tidak tahu keberangkalian terjadinya masalah ini apabila membeli rumah atas nama perkongsian bersama pasangan. Lebih memilukan apabila salah seorang daripada penama meninggal dunia. Apa hak kita apabila pasangan sudah tiada? Blog ini menjawab segala persoalan.
Kebiasaanya, suami isteri akan membeli rumah bersama untuk kuatkan dokumen. Di SPA/SNP pula akan ada dua nama. Nama si suami dan nama si isteri. Dua-duanya mengambil MRTA/MRTT (takaful).
Sekarang apa akan berlaku jika salah seorang meninggal dunia?
Jika harga rumah RM600,000. Rumah itu terbahagi 2 (sebab 2 penama):
- 50% Si Suami (RM300,000)
- 50% Si Isteri (RM300,000)
Jika suami meninggal dunia, 50% bahagian suami sudah tidak perlu dibiayai, kerana takaful sudah bayarkan. Betul kan? Manakala bahagian isteri, 50% selebihnya perlu terus dibayar oleh pihak si isteri.
Isu Yang Timbul Selepas Kematian Salah Seorang Penama
Bahagian si suami(50%) sudah pun menjadi HARTA PUSAKA. Jika suami masih ada mak ayah, mereka boleh tuntut hak mereka daripada 50% tersebut.
Saya baru dapat mesej, seorang balu yang baru kehilangan suaminya, anak ada dua. Mak dan ayah mertua tidak mahu lepaskan hak. Mereka tetap mahukan bahagian mereka dalam rumah. Si isteri tidak mampu bayar, kerana jumlah bahagian mereka hampir RM140,000!
Ya, RM140,000.
Sudahlah harta ini saja tinggal kepada balu dan anak-anaknya. Tetapi tetap mak ayah mertua tidak lepaskan. Bila ditanya kenapa?
“Ayah mahu sedekah duit kepada anak yatim dan bagi anak-anak ayah.”
Gamaknya, mertua beliau dan cucu beliau bukan anak yatim rasanya. Allah. Ini kes biasa yang ada di Malaysia. Faraid sememangnya sudah cantik dan adil, namun terfitnah dengan akhlak manusia
Ini baru mak ayah mertua, bagaimana pula kalau waris ialah adik-beradik mertua?
Satu kes saya jumpa di PWTC, hari ini suami meninggal, esoknya adik beradik datang ke rumah ambil kereta dan motor arwah
Ayah Mertua Mahu Rumah Anak Yang Bakal Mati
Kes lain saya jumpa, ayah mertua kata buatlah rumah di atas tanah dia. Nanti dah siap, ayah mertua tukar nama. Tetapi sampai sekarang tak tertukar. Sudahlah si isteri guna tunai buat rumah dengan orang kampung. Tiada hitam putih.
Sekarang suaminya sudah lumpuh (anaknya si ayah ini) dan sudah nyanyuk kerana kemalangan. Tiap-tiap hari ayah mertua remind menantunya, jangan tukar bil elektrik. Sebab dia ingin rumah itu jatuh kepada dia jika anaknya sudah tiada nanti.
Saya rasa kasihan dengan si isteri itu. Anak sudah 4 orang. Sekarang isteri tengah memikirkan bagaimana nak dapatkan rumah yang telah dibina dengan duitnya. Moga Allah swt lindungi mereka dan mencukupkan rezeki mereka.
Kes ini paling banyak saya jumpa, dari Kedah, dari Kelantan, semua kes mirip sebegini. Si suami lumpuh, si isteri jenuh memikirkan rezeki anak anak. Si isteri sudahlah tidak bekerja. Allah
Besar ujian keluarga ini
Panggilan si Balu
Saya mendapat panggilan dari Pulau Pinang, seorang balu yang baru kehilangan suaminya. Rumah beli bulan 5, bulan 8 Allah swt memanggil si suami-Nya ( Al Fatihah). Hanya 3 bulan saja sempat duduk bersama.
Luahan si balu
“Sebelum ini dengan mak dengan ayah mertua sangat baik, tak sangka begini ayah mertua boleh berubah selepas si suami tiada
Saya langsung tiada masalah dengan mertua begitu, very polite, very islamic. Setiap hari pergi ke masjid. Saya sangat rapat dengan mak ayah mertua
Kawan arwah pun terkejut, Adik beradik semua terkejut. Macam tak kenal mak ayah mertua ini
Saya merayu kepada ayah dan mak mertua untuk mudahkanlah urusan ini, Minta tolong sangat sangat jasa baik mak ayah. Tolong mak ayah. Saya merayu. saya hanya minta rumah sahaja”
Si balu tanya kepada saya
“Encik, faraid ini kena ikut ke, boleh ke mereka lepaskan hak?
Saya jawap
” Boleh, tetapi jika mereka ingin melepaskan hak mereka, jika tidak Puan perlu bayar hak mereka ( anggaran ratusan ribu juga)”
Balu ini menyambung luahannya
“Mak ayah mertua, adik beradik mertua semua lepas tangan waktu suami sudah tiada, saya urus seorang seorang perkara, saya urus seorang diri. Mana adik beradik lain, mana mak ayah mertua lain? Saya turun naik Kl semata mata nak dapatkan balik kerja saya yang dulu. Saya ke hulur ke hilir seluruh Penang untuk uruskan harta si arwah. Saya minta tolong adik beradik arwah, tetapi seorang tak respon. Mereka sibuk nak faraid, nak faraid, tetapi mana mereka waktu saya susah?
Saya sekarang buntu, saya taknak jual rumah ini tuan, saya sayang rumah ini, anak anak saya suka rumah ini
Saya sanggup bagi duit Tuan kepada mak ayah.
Saya merayu kepada ayah mertua saya
” Ayah tiada timbang rasa ke? Ayah tak tengok ke anak anak saya?Cucu ayah nak duduk mana?
Bawah jambatan ke ayah?”
Saya perlukan terus hidup saya, saya hilang tempat bergantung, saya sedih tuan
Tuan, salah ke saya buat begini tuan
salah ke saya Tuan saya lindungi hak anak saya?
Salah ke saya buat semua ini encik? ( sambil menangis)”
Saya mampu dengar dan mengusap air mata. Moga Allah swt permudahkan urusan balu ini. Ramai orang lupa hak datang dengan tanggungjawab. Amat berat tanggungjawab. Menjaga anak yatim
Apa Yang Anda Perlu Buat?
Untuk elakkan perkara di atas berlaku dan anda ingin pasangan hidup senang, tidak mahu merempat pasangan dan anak anda hilang tempat tinggal selepas anda tiada nanti, anda perlu:
- Buat dokumen hibah.
Si suami hibahkan bahagian (50%) beliau kepada si isteri. Si isteri pun hibahkan bahagian (50%) beliau kepada si suami. Hibahkan antara satu sama lain.
Jika suami meninggal dunia, bahagian suami akan dapat sepenuhnya kepada isteri. Jadi 100%. Begitulah sebaliknya. Selamat. Tidak pergi ke sesiapa sudah. Prosesnya anda perlu berjumpa consultant untuk melakukan hibah ini.
Rumah yang belum habis bayar pun boleh dihibahkan. Ini diambil atas ijtihad Dr Wahbah Zuhaili, dengan syarat hutang (loan) itu dilangsaikan jika meninggal dunia.
Apa maksudnya?
Perlu ada MRTA/MRTT. Kos tidaklah mahal. Dari RM3000- RM6000 sahaja untuk 8 aset. Apalah nilai RM4000 dengan nilai rumah anda RM400,000-RM500,000 kan
Ini untuk orang tersayang anda juga, bukan untuk orang lain.
Soalan
1 Jika saya mengambil hibah takaful, adakah sudah selesai masalah saya?
Tidak, kerana polisi takaful tidak akan naik pampasan meninggalnya. Sedangkan harga rumah semakin naik. Contoh rumah RM300,000
Si Ali mengambil plan takaful ( MLTT) untuk perlindungan yang bernilai RM300,000 pampasan meninggal. Ali dikurniakan umur yang panjang. 25 tahun kemudian baru meninggal.
Rumah pada waktu itu sudah mencecah RM900,000, sedangkan polisi hanya lindungi RM300,000. Jadi ia penyelesaian terbaik.
Jika anda tanya perunding takaful, semestinya mereka mencadangkan mengambil MLTT untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi sila berjumpa dengan perunding kewangan bertauliah atau perunding harta pusaka.
- Bagaimana dengan harta sepencarian?
Untuk harta sepencarian, proses perlu di Mahkamah Syariah di mana kos amat tinggi. Biasa rate peguam buka kes sahaja RM5,000-RM10,000.
Untuk dapatkan hak penuh rumah, isteri perlu menunjukan bukti beliau ada sumbangan terhadap rumah tersebut.
Contoh:
- Resit bayaran bulanan,
- Resit renovation,
- Resit yang berkaitan dengan rumah.
Pihak isteri perlu membawa perbuktian, barulah Hakim akan memberi pertimbangan sewajarnya. Sangat susah kes isteri dapat hak penuh terhadap rumah. Oleh itu, rancanglah sebaiknya tentang rumah ini kerana rumah paling kritikal jika berlaku perceraian atau kematian.
- Boleh ke saya tukar terus kepada nama isteri atau anak?
Proses ini dibuat di Pejabat Tanah. Isi Borang 14A. Adakah ia jalan terbaik?
Jawapannya:
Tidak juga, kerana jika isteri mati warisnya juga boleh menuntut hak. Jika tukar kepada nama anak, anak pula mati awal daripada mak ayah.
Jika anak itu sudah berkahwin, sudah ada waris lain yang berhak. Contohnya, isteri atau suaminya.
- Tapi pasangan saya sudah membuat wasiat dan memberikan kepada saya dan anak anak, Bukankah sudah selesai?
Belum selesai, kerana fungsi wasiat hanyalah 2 sahaja
- Melantik Pentadbir/Wasi- untuk menguruskan harta kita
- Wasiat 1/3- Tujuan amal jariah
Biasanya orang Melayu selalu salah faham tentang wasiat. Agih harta mestilah dengan wasiat. Ini salah faham yang memudaratkan. Dengan pengaruh drama dan filem. Oleh itu, sila fahami fungsi wasiat sebetulnya. Boleh baca artikel saya tentang ” Apa itu Hibah?” untuk memahami apa itu hibah dan wasiat.
Bagaimana dengan wasiat tersebut? Ianya terbatal jika tidak mendapat persetujuan waris
- Jika letak dua nama di SNP. Sudah selesai masalah ke?
Tidak, masalah sama seperti dijelaskan di atas
Penyelesaian Terbaik
Penyelesaian yang terbaik ialah yang pertama iaitu buat dokumen hibah
Kepada suami dan isteri, buatlah perancangan sekarang. Kebanyakan yang ramai sangat jumpa saya ialah mereka yang telah menghadapi masalah sebegini. Tambahan jika anak bawah umur
Merasai keperitan keluarga retak kerana harta. Ya pasti berbeza orang merasai dan orang yang hanya tahu sahaja.
Yang merasai sudah tentu tidak mahu warisnya susah begini. Yang tahu hanya tenang sahaja. Yang nak sangat berjumpa saya ialah orang yang sudah berlaku dan kritikal. Saya hanya memberi khidmat nasihat saja. Tidak lagi boleh membantu sepenuhnya
Si isteri pujuklah si suami mendengar penerangan harta pusaka. Kebiasannya si suami tenang tenang sahaja. Si isteri perlu main peranan untuk masa depan anak anak. Rancang harta anda
Ramai orang buat apa ingin merancang, harta tak banyak. Tahukah anda?
Harta tak banyak inilah yang selalu bergaduh. Rumah arwah yang satu satunya yang ditinggalkan yang jadi rebutan. Kereta yang tinggal satu satu inilah yang direbutnya.
Alangkah sedihnya. Kita sudah berada di taman-taman syurga. Tetapi waris kita berada di neraka dunia. Merempat kerana tiada lagi rumah untuk berehat dan bersuka ria. Kita tidak tahu kita pergi bila, Rancanglah secepat dan sebaik yang mungkin
Sila tag dan share kepada pasangan anda jika anda termasuk dalam golongan ini.
Golongan di atas ini ialah golongan pertama kritikal perlu perancangan hibah. Dan ada 11 golongan lagi. Nanti saya akan share dari masa ke semasa.
Nasihat terakhir:
- Hibah bukan lebih baik daripada faraid.
- Hibah bukan penyelesaian segala-galanya.
- Hibah bukan lebih baik daripada wasiat.
Setiapnya ada fungsi berbeza. Sila fahami terlebih dahulu sebelum membuat perancangan
Kredit : Blog Fatihin Abshar