
Memiliki pasangan yang menemai anda dari awal perjalanan anda sehingga ke hari ini adalah impian ramai orang, kerana orang yang setia menemani anda dari awal sdangat susah untuk dijumpai. Kebanyakan orang hanya akan hadir bila kita sudah ada segalanya yang ingin dicapai.
Namun sayangnya, ada beberapa individu memilih meninggalkan orang yang telah setia menemani dirinya dari awal berjuang demi seseorang yang lebih menarik pandangannya. Hal tersebut jelasnya adalah satu kebodohan, kerana meninggalkan seseorang yang telah lama kita kenal dengan kesetian dan berpaling pada orang yang selok-beloknya belum kita ketahui hanya kerana rupa paras atau harta.
Kesetian sangatlah mahal, apatah lagi disertai dengan sikap menerima apa adanya, kesetian pun akan tak ternilai harganya. Wajah yang rupawan belum tentu memiliki kesetian, tapi orang yang mendekati kesempurnaan ialah dia yang akan menemani anda dari awal.
Orang ini yang faham keadaan anda dan selalu ada sejak awal perkenalan anda dengannya. Jadi, untuk apa anda meninggalkan orang yang menemani anda sejak awal demi mencari yang lebih sempurna?

Ingatlah bahawa tidak semua orang sempurna, jangan hanya pandang seseorang hanya kerana paras rupa atau harta. Ia tidak menjamin kebahagiaan melainkan hati yang ikhlas. Semoga anda berjumpa dengan orang yang betul dan boleh membahagiakan anda!
Kredit foto: TANGKAP PICTURES
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Masih Ada Ke Perempuan Yang Tak Minta Hantaran Tinggi?

Matlamat Perkahwinan
Kami mulakan dengan rahsia dan matlamat perkahwinan yang mana telah Allah SWT firmankan:
وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦٓ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا لِّتَسۡكُنُوٓاْ إِلَيۡهَا وَجَعَلَ بَيۡنَكُم مَّوَدَّةٗ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Al-Ruum: 21)
Syeikh Ahmad Mustafa al-Maraghi Rahimahullah di dalam tafsirnya menyebutkan: “Antara tanda yang menunjukkan adanya hari kebangkitan dan dikumpulkan seluruh manusia di hadapan Allah SWT ialah dengan menjadikan bidadari daripada isteri kamu sendiri untuk menikmati kebahagiaan-Nya. Secara tidak langsung Dia menanamkan rasa cinta dan kasih saying bagi membentuk kehidupan keluarganya dengan sistem yang baik”.
Daripada ayat ini, matlamat sebenar perkahwinan ialah untuk mendapatkan sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmat. Inilah tujuan utama sesebuah perkahwinan disamping untuk mendapatkan zuriat yang baik.
Pilihan Yang Ada
Islam memandang bahawa perkahwinan itu adalah suatu ibadah yang sangat serius. Oleh yang demikian, Islam amat menitikberatkan aspek pemilihan calon isteri dan suami dalam pembentukan sesebuah keluarga itu. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda:
تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ
Maksudnya: Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya (status), kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya beruntunglah kamu.
Riwayat Al-Bukhari (5090) & Muslim (1466)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur dan Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan kamu di dunia dan di akhirat. (Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/51-52)
Mahar VS Hantaran
Kekeliruan sering berlaku di antara mahar dan juga hantaran yang akhirnya menimbulkan tanda tanya, mana satukah yang sebenarnya disyariatkan oleh Islam? Mahar ialah pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan dan ianya juga dinamakan dengan mas kahwin.
Manakala mahar di sisi istilah fiqh pula membawa maksud sesuatu harta yang wajib diserahkan oleh pihak lelaki kepada perempuan kerana berlakunya akad nikah yang menghalalkan perhubungan di antara keduanya. Istilah mahar juga disebut juga dengan al-Sodaaq di dalam kitab-kitab fiqh bahkan terdapat juga nama-nama yang lain diberikan untuk mahar yang mana kesemua istilah tersebut terdapat di dalam Al-Quran dan juga hadith Nabi SAW.
Masyhur di sisi masayarakat Melayu kita pula dengan istilah hantaran perkahwinan yang mana membawa maksud wang yang dihantar oleh pihak lelaki kepada bakal mentua untuk perbelanjaan perkahwinan ataupun disebutkan juga sebagai belanja hangus. Ianya juga berupa hadiah seperti makanan, pakaian dan sebagainya.
Islam hanya menetapkan mahar di dalam perkahwinan, adapun hantaran berupa wang ataupun barang, ianya tertakluk kepada budi bicara, perbincangan di antara kedua belah pihak dan sepatutnya mahar dan hantaran ini tidak menjadi penghalang bagi perkahwinan yang bakal dilangsungkan.
Sebaik-baik Mahar
Tiada had yang tertentu bagi sesebuah mahar. Oleh itu, ianya tiada had terendah dan juga had maksimum dalam nilaian mahar tersebut bahkan yang pastinya, semua benda yang bernilai dan mempunyai nilai untuk dijual ataupun dijadikan sewaan maka ianya boleh dijadikan mahar sama ada ianya berbentuk ‘ain (barang tersebut), hutang ataupun manfaat, sedikit atau banyaknya ia seperti kereta, ataupun RM 5,000.00, ataupun sebuah rumah, ataupun mahar dari segi mengajarkan sesuatu dari ilmu-ilmu seperti mengajarkan Al-Quran kepada isteri.
Meskipun syarak tidak menetapkan kadar mahar namun di sana terdapat petunjuk dari Nabi SAW agar mahar ini dipermudahkan. Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ النِّكَاحِ أَيْسَرُهُ[6]
Maksudnya: Sebaik-baik pernikahan adalah yang dipermudahkan maharnya.
Riwayat Ibn Hibban (4072)
Dalam sebuah hadith yang lain pula, dari ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَعْظَمَ النِّكَاحِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُ مَؤُونَةً
Maksudnya: Sesungguhnya, perkahwinan yang paling agung dan berkat adalah yang dipermudahkan perbelanjaannya.
Riwayat Al-Imam Ahmad (24529)
Berdasarkan hadith di atas, jelas menunjukkan betapa pernikahan yang tidak diasaskan dengan nilai yang mahal mas kahwinnya akan dikurniakan keberkatan. Penghargaan yang diberikan dari pihak perempuan terhadap keluarga lelaki menunjukkan keikhlasan dalam menjalinkan hubungan di antara dua keluarga. Keikhlasan yang dizahirkan akan menghilangkan sangkaan seperti mata duitan dapat dilenyapkan dari kamus kehidupan mereka.
Telah berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah: “Barang siapa yang nafsunya mengajak kepada meninggikan mahar anak perempuan mereka melebihi mahar anak-anak perempuan Nabi SAW yang mana mereka itu adalah sebaik-baik ciptaan Allah SWT dari segenap kebaikan dan mereka itu adalah sebaik-baik wanita sekalian alam pada setiap sifat adalah jahil. Begitu juga dengan mahar isteri-isteri Rasulullah SAW dan ianya atas kemampuan dan kemudahan. Adapun golongan fakir tidaklah perlu untuk mereka memberikan mahar kecuali dengan apa yang termampu tanpa adanya sebarang masalah”.
Diriwayatkan bahawa mahar untuk isteri-isteri dan anak perempuan Baginda SAW, seperti yang terdapat di dalam Sunan Ibn Majah adalah tidak melebihi 12 uqiyyah. Ianya bersamaan dengan 480 dirham iaitu sekitar 135 riyal perak.
Justeru, disyorkan agar mas kahwin mengikut kadar kemampuan, serta adat yang munasabah. Ianya semata-mata demi mencari keredhaan Allah SWT dan hadith Nabi SAW ada menyebutkan:
فَالْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya: Carilah sesuatu meskipun sebentuk cincin besi.
Riwayat Al-Bukhari (5121)
Inilah Pesananku…
Kami titipkan di sini beberapa perkara agar dapat di ambil perhatian bagi pasangan pengantin dan juga buat kedua-dua keluarga agar perjalanan majlis diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. Antaranya:
- Betulkan niat bahawa perkahwinan sejuzuk dari kehidupan yang semestinya dinawaitukan semata-mata Allah SWT. Benarlah firman Allah SWT:
قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ
Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.
(Al-An’aam: 162)
- Perkahwinan asas dan matlamatnya seperti yang telah kami nyatakan pada awal perbincangan iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah. Dengan memahami matlamat ini, sebarang tindakan kita semata-mata mencapai matlamat tersebut.
- Hendaklah kita menzahirkan rasa suka dan gembira serta menyebarkannya dalam urusan perkahwinan kerana matlamatnya untuk sama-sama gembira atas himpunan dari dua keluarga melalui pasangan masing-masing. Amat malang jika api kemarahan, kata nista dan ucapan yang kurang baik telah menguasai majlis yang diharapkan mendapat keberkatan dari Allah SWT.
- Prinsip memudahkan dan bukannya memayahkan amat penting untuk diaplikasikan termasuklah di dalam perkahwinan. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ
Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
(Al-Baqarah: 185)
- Hendaklah kita merapatkan saf ukhwah Islamiyyah sementelahan lagi dilaksanakan ikatan perkahwinan. Ingatlah api dendam kemarahan dan menunjukkan sikap yang kasar banyak berakhir dan menatijahkan kekesalan. Alangkah baiknya jika sikap berlapang dada, hormat menghormati antara pasangan , kaum keluarga dan sahabat handai dapat diterapkan sudah tentu ianya menatijahkan keadaan yang harmoni.
Akhir kalam, saya mengambil kesempatan untuk menasihati agar kita sama-sama membuang yang keruh dan mengambil yang jernih dalam memperbaiki kembali hubungan serta bersamanya kemaafan agar kehidupan kita sentiasa tenang. Ikatlah perkahwinan sebaik mungkin dan jangan biarkan syaitan, nafsu menguasai kita. Ingatlah, Allah SWT amat suka orang yang pemaaf. Binalah kembali hubungan kerana Allah SWT. InsyaAllah sinar bahagia akan muncul dari ufuk kehidupan kita. Saya berdoa agar Allah SWT sirami hati kita dalam kehidupan ini dan menjadikan kita hamba-hambaNya yang taat perintah dan mencapai mardhatillah.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Ini Amalan Yang Boleh Suami Isteri Lakukan Sebelum Tidur.

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu. (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang.Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim) Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11 . Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki. Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim). Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3) Nabi s.a.w. bersabda: “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya
Sumber: mohdherman
Isteri Ni, Susah Nak Kecil Hati Kalau Suaminya Pandai Ambil Hati,

Sepatutnya setiap suami wajib tahu hal seperti ini untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga sehinggalah ke akhir nyawa. Menjadi suami yg menjaga hati isteri ialah sunnah, bukan kahwin lagi satu!
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: خيركم خيركم لأهله، وأنا خيركم لأهلي (رواه الترمذي و ابن ماجه)
Terlalu banyak hadis yg menceritakan betapa Nabi SAW menjadi suami yg baik.. Baik dalam muasyarah bil makruf, berlemah lembut, menyantuni hati isteri dan menjaga perasaan mereka lebih menarik, riwayat yg mencatatkan antaranya :
1.Baginda berlumba lari dgn Aisyah. Adakalanya Baginda menang dan ada masanya Aisyah menang (H.R Ahmad, Abu Dawud & al-Nasaiiy).
2.Membuat kerja2 rumah (sudah tentu sprt membasuh baju, jemur, sapu sampah, basuh pinggan dll) ketika Baginda berada di rumah (H.R Bukhari).
3.Menzahirkan kecintaan kpd isteri. Apabila ditanya siapakah wanita paling disayangi, Baginda menjawab “Aisyah”. Kalau lelaki?. Jawab Baginda, “Bapanya” (H.R Bukhari)
4.Tidak pernah memukul wanita (isteri) dan khadamnya (H.R Muslim).
5.Melayani isteri ketika sakit malah Baginda mengelap air mata Safiyyah ketika dia menangis (H.R Nasaa’iyy). Adakalanya Baginda meniup isteri2 yg sakit dgn bacaan surah 3 qul -al-mu’awwizat (H.R Muslim).Tetap mengingati kebaikan isteri telah meninggal dan amat appreciated atas kebaikan, kecantikan dan sumbangan mereka. Nabi tidak pernah melupakan Khadijah malah sering menyebut namanya sehingga Aisyah rasa cemburu (H.R Bukhari).
6.Amat romantik sehingga berkongsi gelas dgn isteri… malah Baginda minum ikut tempat yg ada kesan mulut isterinya tanpa rasa jijik (H.R Muslim).
Realiti hari ini, para suami mengabaikan sunnah yg wajib ini tetapi nampak poligami pula sebagai sunnah! Kepada para suami, poligami bukanlah sunnah muttaba’ah utk semua umat Islam!
Ia bukan sunnah mustaqillah (berasingan) tetapi sekadar rukhsah yakni bila ada keperluan menuntut berpoligami itu berdasarkan syarat2 tertentu,dlm poligami itu Baginda ingin menunjukkan sunnah melayani isteri dengan baik.. juga menunjukkan beberapa sebab syarie yg boleh org lelaki ikuti utk mengahwini seorang wanita… Ada 9 sebab yg ditunjukkan oleh Nabi melalui setiap perkahwinan2nya agar kita pelajari dgn mata hati.
Kalau dengan isteri sedia ada pun engkau gagal mengamalkan 7 perkara yg dinyatakan di atas, maka atas asas syarak apa mendorong engkau menambah beban pada wanita yg perlukan kasih sayang seorang suami?
Isteri yg disayangi oleh suami akan menjadi isteri yg mentaati. Isteri yg taat akan masuk syurga melalui pintu mana yg disukainya…. Suami semua, marilah membantu isteri2 kita masuk syurga.
Jika begitu keadaannya, takkanlah Allah akan membiarkan suami ke neraka!!
Ustaz Haslin Bahrin