“KENAPA tiada orang hendakkan aku? Aku ni tak cantik ke? Apa kurangnya aku? Sampai bila aku hendak hidup sendiri?”
Barangkali itu antara persoalan yang terbias daripada minda seseorang apabila merasakan begitu lambat dan ‘berat’ jodohnya.
Meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, namun rezekinya dalam hal jodoh masih belum berpihak kepadanya.
Belum pun reda segala persoalan yang bersarang di minda itu, orang di sekeliling pula ‘mengasak’ dengan pertanyaan-pertanyaan jodoh yang tidak mampu dijawab.
Benar, jodoh itu adalah ketentuan ALLAH SWT yang ditetapkan sebelum kita dilahirkan di dunia yang fana ini. Percayalah setiap apa yang berlaku dan ketentuan yang ditetapkan oleh-NYA adalah yang terbaik buat diri kita.
Kenapakah jodoh seseorang itu begitu ‘berat’ dan lambat? Bagaimana kita hendak tahu seseorang itu ialah jodoh kita?
Setiap orang ada jodoh
Ini kata pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi.
Sebelum menjawab persoalan berkenaan, agamawan itu mengajak kita untuk menelusuri jodoh yang mana ia telah ditetapkan ALLAH SWT sebelum kita dilahirkan ke dunia.
“Jodoh seseorang itu pasti ada dan sama ada di dunia ataupun jika tidak di dunia, di akhirat nanti. Wallahu’alam. Perbincangan dalam kalangan ulama, jodoh setiap orang ada sebagaimana rezekinya.
“Sebelum seseorang itu lahir, telah ditetapkan tiga perkara buatnya iaitu pertama rezeki, kedua jodoh dan ketiga ialah umurnya. Ada orang mungkin sudah buat pelbagai usaha, tetapi jodoh tiada. Kemungkinan jodoh yang ALLAH telah tetapkan itu telah meninggal dunia atau syahid dan mereka akan bertemu di dalam syurga nanti,” katanya ketika ditemui di pejabat Ecoriths Leisure Travel & Tour di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Ustaz Hanafi menjelaskan, ada dua penyebab mengapa jodoh seseorang itu lambat. Pertama, kemungkinan besar jodohnya ‘berat’ kerana ALLAH SWT ‘memberatkan’ jodohnya dan kedua barangkali kerana sikap seseorang itu sendiri.
“Mungkin seseorang itu terlalu memilih atau malas mencari jodoh. Dalam bab jodoh itu, ada dua istilah kita selalu dengar iaitu satu apabila kita terjumpa jodoh dan satu lagi ialah mencari jodoh.
“Kedua-dua itu berbeza istilahnya sepertimana kita jumpa duit. Sudah tentu berbeza situasi apabila kita jumpa duit atau barang dengan benda yang kita cari. Pastinya kita akan mencari yang terbaik untuk diri kita.
“Jadi nasihat saya, jangan mengeluh, tetapi berusaha dan jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT. Sebaliknya, teruskan berdoa dan senyum selalu, insya-ALLAH jodoh (kita) itu ada,” katanya.
Apapun, ujar beliau, lambat atau cepat jodoh seseorang itu, ia sebenarnya ialah urusan ALLAH SWT. Namun, umat Islam diingatkan supaya banyakkan berdoa, berusaha mencari jodoh yang ditetapkan dan bertawakal kepada ALLAH.
“Paling penting, kita dapat jodoh sebenar yang ALLAH SWT telah tetapkan. Sebab itulah setiap kali solat, kita akan meminta kepada ALLAH Iyyaka na’budu wa iyyaka nastai’n (Hanya ENGKAU kami sembah dan hanya kepada ENGKAU kami memohon pertolongan).
“Tolong apa? Ihdinas siratal mustaqim (menunjukkan kami jalan yang lurus). Jalan yang lurus itu (termasuklah) dalam mencari jodoh, rezeki dan keberkatan umur sebab sebelum kita lahir lagi, ALLAH SWT sudah tetapkan tiga perkara itu. Jadi, kita meminta tolong kepada ALLAH supaya menunjukkan jalan yang lurus.
“Maknanya ALLAH tunjuk jalan, kita kena berusaha. Maka usaha mencari jodoh itu hukumnya wajib. Bagi seorang lelaki, dia perlu mencari jodoh untuk dirinya sendiri, tetapi bagi seorang wanita, ayahnya bertanggungjawab untuk mencari jodoh untuk dirinya,” ujar beliau.
.
Panduan
Ustaz Hanafi meneruskan perkongsian ilmunya. Kali ini, beliau menyentuh tentang panduan mencari jodoh menurut Islam.
Sabda Rasulullah SAW: “Wanita dinikahi kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama (berpegang dengan tuntutan agama), pasti engkau beruntung.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis itu, jelas menunjukkan wanita dikahwini atas empat perkara berkenaan. Namun, apabila seseorang wanita itu hendak berkahwin dengan lelaki, panduan tersebut boleh digunakan, tetapi ia bermula daripada belakang ke hadapan.
“Pertama ialah agamanya yang mana wanita perlu carilah lelaki yang soleh. Tidak salah kita meminang lelaki kerana dalam Islam dibenarkan. Kemudian, lihatlah solatnya. Kalau lelaki itu boleh jaga solatnya, insya-ALLAH dia boleh jaga kita. Kalau dia tak jaga solat iaitu hubungan ALLAH, bagaimana dia hendak jaga kita? (Sedangkan) Janji dengan ALLAH pun dikhianati, apatah lagi janji dengan kita.
“Kedua, carilah mereka yang mempunyai keturunan yang baik. Ketiga, jangan lupa kahwin sebab hartanya. Yang terakhir sekali, barulah rupa,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Hanafi turut berkongsi kaedah mudah untuk mendapatkan jodoh dengan menggunakan formula DUS iaitu doa, usaha, sekufu dan senyum.
“Sebenarnya, seorang bapa perlu mendoakan anak perempuannya sejak usianya sembilan tahun untuk mendapatkan jodoh. Ini kerana doa itu belum tentu dimakbulkan ketika anaknya umur sebegitu, mungkin dimakbulkan 10 tahun atau 20 tahun lagi.
“Doa untuk jodoh selalunya mengambil masa, jadi kena berdoa daripada awal. Antara doa yang paling bagus iaitu ayat 74, Surah al-Furqan,” jelas beliau.
Kepada satu soalan, Ustaz Hanafi berkata: “Hukum asal menggunakan portal mencari jodoh ialah harus. Ia satu usaha era moden untuk mencari jodoh. Namun, kita kena ingat, bila gunakan platform tersebut, mesti niat kerana ALLAH untuk mencari jodoh.
“Tak salah guna portal tersebut. Cuma isunya kalau hendak bagi gambar, janganlah gambar yang menjolok mata atau mendedahkan aurat. Sebaiknya, berilah gambar yang betul, jangan tampal ‘simen’ pada muka dengan mekap berlebihan. Ingat, jangan ada unsur penipuan dan mengambil kesempatan.”
Kesediaan
Bagi menjawab persoalan tentang usaha mencari atau menunggu jodoh, Sinar Islam mewawancara Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood.
Ujar beliau, meskipun jodoh itu ditetapkan oleh ALLAH SWT, namun, sebagai hamba-NYA, kita boleh berusaha dan berdoa untuk jodoh kita. Sebenarnya, katanya, persoalan berkenaan perlu dilihat dari aspek kesediaan individu tersebut iaitu:
i. Berusaha mempersiapkan dirinya dari aspek intelektual, fizikal dan spiritual untuk mendalami ilmu dan adab untuk mengharungi alam rumahtangga;
ii. Bersikap terbuka dengan ibu bapa, keluarga ataupun kawan-kawan dalam perbincangan berkaitan jodoh selagi mana tidak melanggar syariah;
iii. Tidak terlalu memilih jika ada calon yang memenuhi syarat yang digalakkan oleh Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Jika ada yang meminang dan kalian reda dengan agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah. Jika kalian tidak berbuat demikian akan terjadi fitnah di bumi dan keburukan akan meluas.” (Riwayat al-Tirmizi)
.
Menjawab satu soalan, Ustazah Siti Fatahiyah berkata: “Akan terdetik dalam hati kita bahawa dia ialah jodoh kita apabila kita merasa tenang tatkala melihatnya. Akan berdegup jantung kita meneka mungkinkah dia jodoh kita apabila banyak persamaan antara kita dan dia.
“Akan merasa yakin yang dia ditakdirkan untuk kita apabila melihat keimanannya, ibu bapa merestuinya dan segala urusan kita dipermudahkan. Untuk menyakinkan bahawa dia ialah jodoh kita apabila memenuhi semua yang dikatakan tadi, dirikanlah solat istikharah bagi memohon petunjuk daripada ALLAH SWT.”
Ujar beliau, pemilihan jodoh yang baik adalah sangat penting bagi memastikan keluarga yang kita bina dapat membawa kita sama-sama menghuni syurga milik ALLAH SWT nanti.
“Dalam memilih pasangan, usahlah tergesa-gesa untuk jatuh cinta. Pandulah cinta kita ke arah jalan yang benar untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki.
“Perkahwinan adalah amanah yang penuh dengan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan. Bukan hanya dipenuhi kasih sayang semata-mata yang adakalanya boleh meruntuhkan kebahagiaan yang dicipta. Bercintalah dengan mereka yang meletakkan cinta utama kepada Pencipta, pasti akan menambahkan lagi ketenangan dan ketakwaan dalam hidup kita,” ujar beliau mengakhiri bicara.
Jangan persoalkan apa yang ALLAH tetapkan
Jodoh merupakan salah satu rezeki atau pemberian ALLAH SWT kepada kita yang termasuk dalam rezeki mamluk (dipinjam milik oleh ALLAH).
Justeru, pendakwah Ustaz Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz mengingatkan bahawa suami, isteri mahupun anak-anak hanyalah pinjaman untuk kita di dunia semata-mata.
“Ini kerana setiap anak Adam yang dilahirkan daripada perut seorang ibu itu telah ditetapkan empat perkara iaitu rezeki, tempoh hidup, amalannya dan nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan.
“Jadi, memang manusia tidak tahu akan jodoh mereka. Ia adalah fitrah kerana sememangnya ilmu kita sebenarnya didahului dengan jahil. Kita jalani apa sahaja yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT. Apabila tiba masanya, barulah kita tahu bahawa itulah yang ditulis ALLAH sejak dahulu lagi,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
PU Faiz yang juga Ketua Tanfiziyah Pertubuhan Nadhlatul Ulama Malaysia turut menegur sikap segelintir masyarakat yang hanya mahukan jodoh yang sempurna, tetapi menolak beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam proses mencari pasangan hidup.
“Ya, manusia memang hendak kepada kesempurnaan, tetapi dia kena ingat bahawa yang memberi itu ialah Tuhan. Yang menerima itu ialah dia sebagai hamba. Jadi dia tiada hak (untuk persoalkan) sama ada ALLAH akan memberikan sebagaimana yang dia mahukan.
“Apapun, kita kena ingat, di dunia ALLAH SWT, ada ujian dan rezeki yang mana ia akan dipertanggungjawabkan kepada kita,” ujar beliau.
Mudir Pondok Sungai Buloh Selangor Ma’ahad Rumi Sufi Jawi itu turut mengajak kita mengingati kembali kisah dua nabi ALLAH SWT iaitu Nabi Luth dan Nabi Nuh AS yang mana kedua-dua mereka diuji dengan isteri yang kafir.
Pun begitu, ujar beliau, kedua-dua nabi ALLAH itu sabar dan tidak jemu-jemu menasihati isteri masing-masing.
“Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik itu hanyalah hukum adat sahaja, tetapi ia tidak wajib pada syarak dan akal. Pada hari ini, bagi isteri yang mendapat suami yang nakal atau jahat, renungkanlah kisah Asiah yang bersuamikan Firaun.
“Asiah seorang wanita Mukminah dan solehah, sedangkan Firaun degil dan jahatnya bukan kepalang, mengaku dirinya Tuhan hinggakan dua orang rasul diutuskan untuk menasihati Firaun,” katanya.
Menurut agamawan itu, tidak salah jika kita mengharapkan pasangan yang sempurna. Namun, jika sudah berkahwin, jalanilah hidup sebagai hamba ALLAH.
“Kita kena bertanggungjawab kerana ALLAH SWT akan menyoal kita nanti (di akhirat). Maksudnya kita tidak boleh mempersoalkan ALLAH, tetapi setelah Tuhan meletakkan itu ialah jodoh kita, kita perlu jalankan tugas sebagai hamba-NYA,” katanya.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI