Selepas berakhirnya fasa honeymoon, pasangan ini akan mula mengenali perwatakan sebenar pasangan masing-masing. Tiba-tiba, segalanya bukan indah seperti semasa di awal perkahwinan.

Pakar psikologi dan perkahwinan telah mengenalpasti lima perkara utama yang perlu dibincangkan setiap pasangan yang baru berkahwin untuk mengelakkan masalah daripada berlaku di kemudian hari. Mari baca!

1) Kewangan.

Ini adalah perkara paling sensitif yang tidak senang disentuh oleh ramai pasangan baru berkahwin, tetapi hakikatnya AMAT PENTING untuk dibincangkan.

Pasangan yang baru berkahwin sebaiknya berbincang tentang jumlah pendapatan, jumlah perbelanjaan dan hutang yang masih dibayar sejak sebelum berkahwin. Pasangan juga disarankan untuk menggunakan ruang ini untuk berbincang tentang bajet perbelanjaan bulanan dan simpanan yang boleh dibuat.

Sebagai pasangan suami isteri, kepercayaan dan ketelusan dalam membincangkan kewangan amat penting kerana inilah yang akan membantu pasangan tersebut mengharungi dunia pada zaman ini.

Kahwin Awal-Awal Memang Indah, Tapi Janganlah Mengalah Sehingga Tawar Selamanya

2) Limit yang tidak boleh dilanggar (Boundaries).

Mungkin ada antara si suami atau si isteri yang gemar berjumpa dengan kawan-kawan rapat. Di sini, perlu ada perbincangan tentang had yang dibenarkan; contohnya berapa kali boleh berjumpa dalam masa seminggu atau sebulan, dan jam berapa si suami atau isteri perlu pulang ke rumah.

Mungkin juga si suami atau si isteri ingin menetapkan bahawa mereka perlu sarapan bersama setiap hari, atau perlu makan malam bersama setiap hari.

Mungkin si suami atau si isteri ingin menetapkan waktu malam tidak boleh diganggu oleh kerja, atau hujung minggu adalah khusus untuk diluangkan bersama keluarga.

Semua ini perlu dan boleh dibincangkan untuk mengelak sebelah pihak memendam rasa marah di kemudian hari.

3) Keluarga.
Bukan semua orang dibesarkan di dalam keluarga yang sama seperti anda. Ada keluarga yang sangat rapat; mereka suka meluangkan masa bersama dan akan sentiasa menghubungi sesama mereka setiap hari atau setiap beberapa hari.

Ada juga keluarga yang lebih menumpukan perhatian kepada kerjaya dan hal sendiri. Mereka mesra, tetapi tidak selalu berhubung dan tidak pula meluangkan masa yang banyak bersama.

Selepas berkahwin, amat penting untuk si suami dan si isteri untuk mengenali keluarga pasangan. Si suami perlu mengajar dan memberi petunjuk kepada isteri cara-cara untuk lebih rapat dengan keluarga, dan begitu juga sebaliknya. Hakikatnya, perkahwinan bukanlah antara dua pihak sahaja, tetapi adalah ikatan antara dua keluarga yang berbeza.

Kahwin Awal-Awal Memang Indah, Tapi Janganlah Mengalah Sehingga Tawar Selamanya

4) Anak.
Pasangan mana yang tidak inginkan cahaya mata. Jangan terkejut ya. Ada pasangan yang mungkin berbeza pendapat tentang family planning. Mungkin si suami ingin terus berusaha untuk mendapatkan cahaya mata. Mungkin si isteri ingin fokus kepada pelajaran dan kerjaya dahulu sebelum memikirkan tentang anak.

Jika tidak dibincangkan dengan baik dan mencapai persetujuan bersama, soal anak juga boleh menjadi punca pergaduhan besar di kemudian hari.

5) Kerjaya.

Baik dari pihak suami mahupun isteri, soal kerjaya pada zaman sekarang adalah sesuatu yang wajib dibincangkan setiap pasangan baru berkahwin. Pasangan perlu mencapai persetujuan andai terdapat perubahan dari segi kerjaya.

Jika si isteri perlu berpindah ke tempat lain, tetapi gajinya akan dinaikkan dua kali ganda, adakah si suami boleh berkorban demi kerjaya isteri? Adakah pasangan ini lebih rela duduk berjauhan demi membina kerjaya masing-masing? Atau adakah si suami lebih menginginkan isterinya menjadi suri rumah dan fokus kepada pendidikan anak-anak?

Semua ini elok dibincangkan di awal perkahwinan supaya kedua suami dan isteri mendapat gambaran tentang apa yang dikehendaki pasangan masing-masing.

Perkahwinan adalah antara anugerah paling indah yang diberikan oleh Allah taala kepada hambanya. Di dalam keindahan perkahwinan juga terdapat banyak cabaran dan ujian untuk meningkatkan darjat kedua pasangan suami isteri tersebut.

Ramai kaunselor bersepakat mengatakan bahawa jika perkara-perkara ini dibincangkan di awal perkahwinan, ianya sangat membantu untuk mengatasi masalah-masalah yang mungkin hadir kemudian.

GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI