“Dan kahwinlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui”.
Ayat di atas merupakan janji Allah bahawa apabila lelaki dan perempuan itu berkahwin, Allah akan murahkan rezeki mereka. Ya, memang.
Rezeki tidak akan turun dari langit, tetapi Allah akan memberikan rezeki sama ada dari segi harta, anak tanpa kita sedari sekiranya sesuatu pasangan itu berkahwin semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredhaan dariNya. Oleh itu, pasangan muda yang ingin berkahwin tidak perlu terlampau gusar memikirkan kewangan anda selepas kahwin sehinggakan sanggup hidup bergelumang dengan maksiat tanpa menjalinkan ikatan yang sah. Itu adalah lebih dimurkai oleh Allah.
Antara kelebihan berkahwin ialah menenangkan jiwa:
“Allah telah berfirman:“Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang.
Surah Ar-Rum ,ayat 21
IKLAN
Jika seseorang pemuda telah berkenan dengan seorang wanita dan ingin menjadikannya permaisuri di hati mereka, ajaklah mak ayah berbincang untuk melanjutkan hubungan mereka ke alam perkahwinan. Adalah lebih baik jika mereka menjalinkan hubungan yang sah daripada sang lelaki berkhayal yang bukan- bukan tentang wanita yang dia minati.
Hati akan lebih tenang apabila sah menjadi suami isteri, dan setiap pandangan juga mendapat pahala daripada Allah SWT. Yang paling penting, perkahwinan menewaskan musuh kita syaitan daripada terus menghasut kita untuk teringat- ingat akan wanita yang belum sah menjadi milik kita.
IKLAN
Lelaki yang ingin menjadi suami pada usia yang muda perlu ingat, bahawa tanggungjawab anda lebih berat berbanding sang isteri. Anda pelu memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri, membimbing isteri menjadi manusia yang lebih baik dan pada masa yang sama anda mungkin masih perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran anda.
Oleh itu, lelaki yang ingin menamatkan masa bujang pada usia yang muda dan berhajat untuk kahwin muda harus sentiasa sedar akan tanggungjawab sebagai suami kelak dan lebih mematangkan diri untuk mengemudi nakhoda perkahwinan. Suami perlu matang untuk mendidik dan mengawal isteri kerana wanita muda selalunya mempunyai fikiran yang kurang matang dan rasional. Jadi, lelaki harus memainkan peranan untuk membimbing isteri ke jalan yang Dia redhai dengan penuh hikmah dan sabar.
IKLAN
Wahai para pemuda, barangsiapa yang mempunyai kemampuan dari kalangan kamu, maka berkahwinlah, kerana kahwin itu boleh menjaga pandangan dan boleh menjaga kehormatan. Jika kamu tidak mampu maka berpuasalah, kerana pada puasa itu ada penjagaan”
Sabda Nabi SAW
Kahwin muda dapat menjaga pandangan dan kehormatan. Sekiranya seorang pelajar yang sudah mempunyai pasangan tetapi tidak mampu mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat, dan puasa masih tidak mampu menghalang mereka tidak membuat maksiat, maka wajib mereka itu berkahwin.
Buat apa mengusung anak dara orang ke sana ke sini seandainya tiada niat untuk berkahwin? Ia hanya menambah dosa dan merendahkan martabat lelaki dan wanita tersebut. Berkahwin pada usia yang muda tidak ada salahnya kerana dalam perkahwinan mempunyai banyak barakah malah pintu rezeki terbuka luas bagi orang yang berkahwin.
Buat para isteri pasti menginginkan perhatian dari suami tidak kira masa. Jangan lupa, si suami juga mahukan perhatian yang sama lebih-lebih lagi ketika dia dalam keadaan penat dan memerlukan sokongan.
Jadi bila ada saatnya suami kelihatan seperti ‘tiada mood’ mainkan peranan penting anda sebagai isteri si penceria hati. Iyalah cuba anda bayangkan, kalau anda merajuk suami tidak pujuk pasti jadi lebih parah. Begitulah juga dengan kaum lelaki, mereka turut mempunyai soft spot yang perlu dijaga.
Emosinya Berubah Tiba-Tiba
Kalau sudah sepinggan, sebantal dan sebilik pasti lama-kelamaan anda sudah masak dengan tabiat si suami. Cuba lihat dan perhatikan jika terdapat sebarang perubahan kelakuan si suami ketika pulang dari tempat kerja atau secara tiba-tiba. Jangan anggap perubahan ini suatu yang lekeh atau biasa, kita tidak tahu ia boleh mempengaruhi emosi mental dan kesihatan.
Bagi Dia Masa Dan Ruang
Anda tak perlu gopoh untuk memujuk atau mengajak si suami menceritakan perkara sebenar. Sebaiknya beri sahaja layanan seperti biasa dan cuba bersabar.
Buka bicara
Bila keadaan sudah reda, mulakan dengan perbualaan yang menunjukkan anda simpati dan risau padanya. Cara sebegini sedikit sebanyak memberi pasangan selesa untuk berkongsi. Saat suami anda meluahkan, jadilah pendengar yang baik dan anda jangan sesekali untuk mencelah. Cukup hanya mendengar.
.
Jangan ambil hati
Langkah paling penting sekali ialah untuk anda tidak terasa hati dengan apa yang berlaku. Memang perit juga bila suami buat perangai seolahnya kita buat salah. Tapi cuba ingat saat kita merajuk, suami juga merasa perkara yang sama.
Beri sentuhan mesra
Bergantung pada mood juga ya. Tawarkan si suami dengan urutan mesra, sediakan makanan kegemaran atau lebih senang anda duduk diam sahaja sebelah suami. Hormati masa ‘sunyi’ pasangan, lebih baik beri ruang pada si suami.
Soalan: Ibu bapa pada hari ini ada yang menyekat anak-anak dari berkahwin kerana usia anak yang masih muda. Sedangkan pada zaman Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam ada yang kahwin muda dan berkekalan. Jadi adakah kita perlu risau dengan rezki yang telah ditulis oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala?
sekadar gambar hiasan
Sebenarnya tidak ada perintah langsung dari Nabi sallallaahu ‘alaihi wa sallam supaya bernikah di usia muda, cuma hadis di mana Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
“Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di kalangan kamu yang mampu maka hendaklah dia menikah, kerana hal tersebut lebih menundukkan pandangan dan lebih memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang belum mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah perisai baginya.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Nabi menggunakan perkataan mampu. Perkataan mampu ini sangat subjektif. Mungkin ada orang menterjemah mampu dengan kemampuan mengurus hidup. Mungkin ada orang terjemah mampu dengan kekuatan. Mungkin ada orang menterjemah mampu itu dengan kekayaan, sudah memiliki pekerjaan, rumah, kereta, dan berfikiran matang. Ia boleh diterjemahkan mengikut keadaan dan suasana.
Pada zaman Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam, memang masyarakat Arab ketika usia belasan tahun bentuk tubuh mereka sudah besar. Wanita pada ketika itu tidak bekerja seperti mana pekerjaan pada hari ini. Jadi apabila wujud perbezaan yang sedemikian rupa, maka budaya dan kebiasaan masyarakat Arab memilih usia yang muda untuk dijadikan sebagai isteri.
Cuma untuk kita menetapkan semua orang kena kahwin muda, semua kena kahwin dalam umur yang sekian sekian, itu kembali kepada individu itu sendiri kerana Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak pernah menetapkan umur. Nabi hanya menetapkan kemampuan (al-baa-ah) dan ia merujuk kepada individu itu sendiri; mampukah berfikir dengan matang dan sebagainya.
Ada yang baru berkahwin satu hari, merajuk, bergaduh, kemudian bercerai pada hari kedua. Ada yang merancang untuk berkahwin, apabila tiba hari perkahwinan mereka batalkan perkahwinan. Ini semua ketentuan daripada Allah Subhaanahu wa Ta’ala.
Sebenarnya, sebelum dilahirkan lagi telah ditetapkan ketentuan hidup setiap makhluk. Sabda Nabi sallallaahu’alaihi wasallam di dalam satu hadis,
“Sesungguhnya yang pertama kali diciptakan Allah adalah Qalam (Pena), lalu Allah berfirman kepada-Nya, “Tulislah” Qalam berkata, “Wahai Rabb, apa yang harus kutulis?” Allah berkata, “Tulislah ketentuan-ketentuan segala sesuatu hingga terjadinya Kiamat.” (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Ini bermaksud segala-galanya telah tertulis. Jadi kita katakan, sesuatu perkahwinan itu juga telah ditulis, dan mungkin pembatalan perkahwinan itu juga telah Allah Subhanahu wa Ta’ala tentukan.
Walaubagaimanapun ALLAH memberikan kita peluang untuk memilih. Kita mampu memilih dengan peluang doa dan usaha yang ALLAH Ta’ala sediakan kepada kita.\
“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa paras kamu dan harta kamu, tetapi Dia melihat hati kamu dan amal perbuatan kamu.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh mengatakan hati kita baik sedangkan amal perbuatan kita tidak baik. Tetapi hati yang baik mesti disusuli dengan tindakan dan amal perbuatan yang baik.
Walau demikian, Islam bukan anti-kecantikan dan keindahan. Nabi sallallaahu’alaihi wasallam bersabda,
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara; kerana harta kekayaannya, kedudukannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Hendaklah memilih yang taat beragama, nescaya engkau akan beruntung.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kita kena faham maksud hadis ini. Ada orang mengatakan kita perlu lihat agama sahaja dan jangan lihat yang lain. Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah ketika mengulas hadis ini mengatakan perlu dilihat ciri-ciri ini satu persatu.
Pernah berlaku di dalam sejarah sahabat Nabi, seorang lelaki bernama Tsabit bin Qais, seorang yang hitam, gemuk, rendah sehingga isterinya tidak menyukainya kerana rupa parasnya. Isterinya lalu bertemu dengan Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam dan mengatakan,
يَا رَسُولَ اَللَّهِ ! ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ مَا أَعِيبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلَا دِينٍ , وَلَكِنِّي أَكْرَهُ اَلْكُفْرَ فِي اَلْإِسْلَامِ , قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ ? , قَالَتْ : نَعَمْ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم اِقْبَلِ اَلْحَدِيقَةَ , وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً ) رَوَاهُ اَلْبُخَارِيُّ وَفِي رِوَايَةٍ لَهُ : ( وَأَمَرَهُ بِطَلَاقِهَا )
“Wahai Rasulullah, aku tidak mencela Tsabit Ibnu Qais, namun aku tidak suka durhaka (kepada suami) setelah masuk Islam. Lalu Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apakah engkau mahu mengembalikan kebun kepadanya?” Dia menjawab: Ya. Maka Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda (kepada Tsabit Ibnu Qais): “Terimalah kebun itu dan ceraikanlah dia sekali talak.” (Riwayat Bukhari). Dalam riwayat yang lain: Baginda menyuruh untuk menceraikannya.
Ini bermakna bahawa kecantikan juga menjadi salah satu daripada ciri-ciri pilihan. Jadi kita tidak boleh mengatakan harus menolak semuanya dan memilih agama sahaja, tetapi memadai apabila kita merasa sejuk hati apabila melihatnya. Ianya kembali kepada pemilihan dan kesukaan masing-masing.
“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain nescaya aku akan memerintahkan wanita untuk sujud kepada suaminya.” (Riwayat At-Tirmidzi)
Tugas asas isteri adalah memberi ketaatan dan layanan kepada suami. Nabi memerintahkan wanita untuk memberikan ketaatan yang mutlak kepada suami. Maksud ketaatan mutlak bukan bererti melampaui ketaatan kepada Allah dan Rasul, tetapi bermaksud selama mana suami memerintah agar melakukan kebaikan atau hal-hal yang tidak bercanggah dengan syariat Islam, seorang isteri mestilah mengikuti perintah suami. Itulah asas kepada kehidupan dalam keluarga.
Tanggungjawab seorang isteri berbeza dengan tanggungjawab seorang suami. Di dalam sebuah hadis Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam mengatakan bahawa seorang wanita bertanggungjawab ke atas isi rumahnya. Adapun suami pula adalah sebagai pemimpin dan tanggungjawabnya lebih luas. Suami juga bertanggungjawab menyediakan pakaian, makanan, dan keperluan asas untuk isteri dan ianya perlu diberikan secara adil. Tidak boleh sekiranya suami memakai benda-benda mewah tetapi memberikan benda yang buruk untuk isterinya.
Tanggungjawab suami juga lebih luas dan besar iaitu merangkumi tanggungjawab kepada ibu bapa, kepada masyarakat, kepada negara. Sedangkan tanggungjawab isteri adalah mengurus suami dan anak-anak sahaja. Sebab itu, sifat wanita adalah agak halus dan menghalusi sesuatu perkara. Dan sebab itu juga Allah menjadikan sifat wanita ini mampu menggoda lelaki. Sabda Nabi di dalam hadis,
“Aku tidak pernah melihat (manusia) yang kurang akal dan agamanya namun dapat mencairkan hati kaum lelaki yang sangat gagah selain daripada kamu wahai sekalian wanita.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Sebab itu mudah sebenarnya untuk para wanita untuk mencapai syurga iaitu memadai dengan memberikan ketaatan dan memenuhi tuntutan dan kehendak suami (setelah ketaatan kepada Allah dan Rasul).
Di barat hampir 90 peratus rumah tangga berantakan kerana tidak mengikut acuan yang telah ditetapkan Allah SWT. Tidak mustahil fenomena tersebut berlaku di negara ini apabila makin ramai yang membina rumah tangga dengan hanya mengikut nafsu dan tidak berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.
Sebenarnya senario semakin membimbangkan ini telahpun dibuktikan dengan jumlah kes perceraian yang dilaporkan meningkat hari demi hari. Malah mengikut purata yang dikeluarkan oleh Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) seramai 77 pasangan Islam bercerai setiap hari.
Asas 1
Menurut Siti Nor Bahyah, setiap pasangan yang berkahwin harus menetapkan matlamat mereka iaitu kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hanya iman dan takwa boleh membawa pasangan ke syurga untuk mendapatkan kebahagiaan yang abadi. Uji diri adakah kita telah menjalani tanggung jawab sebagai Muslim. Keluar rumah menuju ke pejabat apakah niatnya?
Bagi isteri, jangan salah guna keizinan bekerja yang suami telah beri. Elakkan makan berdua dengan lelaki bukan muhrim begitu juga dengan lelaki. Masing-masing perlu perkukuh iman dan kepercayaan yang telah diberikan, barulah rumah tangga ada asasnya.
Menurutnya, tip dari nabi SAW untuk menjaga kesetiaan ialah jangan sesekali suami atau isteri mendengar rintihan dari rakan yang berlainan jantina dari mereka.
“Ujian datang dalam bentuk kesenangan dan juga kesusahan, jadi kalau iman kita lemah kita pasti akan kalah, untuk menguatkan iman di pejabat, pastikan kita berjemaah di surau pejabat dan isi masa dengan membaca al-Quran,” tambah Wan Akashah pula.
Asas 2
Perlu ada kasih sayang, cinta dan rindu.
“Sedihnya dua elemen ini sering berlaku pada zaman bercinta sahaja. Nabi SAW berpesan, kalau kita sayangkan seseorang mesti ditunjukkan dengan kata-kata dan perbuatan. Jadi jika ada suami yang mengatakan ‘abang sayang, cuma tak tunjuk saja’ maka itu tidak patut, kerana nabi ajar suruh tunjuk,” tambah Siti Nor Bahyah pula.
Sebagai ibu, haruslah memanggil anak dengan penuh kasih sayang dan panggilan yang baik-baik kerana setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ibu adalah doa.
“Nabi sendiri pun menunjukkan kasih sayangnya dengan berbaring di atas paha Saidatina Khadijah, jadi mengapa perlu suami sekarang tidak mengikuti perlakuan Rasulullah kalau itu yang menggembirakan hati isteri,” ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 3
Contohi akhlak Nabi Muhammad SAW, jagalah adab suami isteri serta tingkah laku masing-masing. Setiap dari anggota yang Allah kurniakan seperti mata, mulut dan hidung semuanya perlu dijaga.
Kata Wan Akashah, isteri mesti memastikan suami makan dari masakannya supaya berkat.
“Sebab itu ustaz sendiri pun makan masakan yang ibu dan isteri masak. Dari situ makanan yang dimakan itu diyakini kebersihannya, apa yang dimakan menjadi darah daging untuk membentuk insan yang berakhlak mulia,” jelasnya.
Asas 4
Tegas Siti Nor Bahyah, amanah dan tanggung jawab perlu dipikul sehabis baik oleh setiap pasangan. Dalam keadaan ekonomi sekarang, ramai pasangan yang secara tidak sengaja mengabaikan masa bersama pasangan atau anak-anak.
“Anak adalah amanah, sebaiknya kita menjaga anak kita sendiri dan tidak perlu menyerahkan tugas tersebut kepada pembantu rumah atau hantar ke pusat jagaan. Kalau pakai pembantu janganlah pula kita membiarkan pembantu mengambil peranan kita sebagai isteri,” tambahnya.
Asas 5
Setiap suami atau isteri mesti pastikan rezeki yang mereka perolehi adalah halal dan diberkati.
“Biar sedikit tapi mencukupi. Keberkatan itu amat penting. Apabila kita bersembahyang kita pasti akan mendapat ketenangannya. Begitu juga dengan kewajipan berzakat yang apabila kita tunaikan pasti kita akan tenang kerana mengikut suruhan Allah,” ujar Siti Nor Bahyah.
Asas 6
Pesanan yang paling penting ialah berbuat baiklah kepada ibu dan bapa. “Apabila kita sebagai anak berbuat baik kepada ibu bapa kita, Insya-Allah anak-anak kita akan baik kepada kita dan rumah tangga kita pasti bahagia,” ujarnya.