
5 Langkah Yang Perlu Isteri Lakukan Apabila Berdepan Masalah Kecurangan Suami
Awas suami curang. Hati mana yang tidak terluka jika suami yang kita sayangi bermain kasih dengan perempuan lain. Namun, jangan sesekali mudah putus harapan dan terus ingin berpisah. Perkahwinan anda masih boleh diselamatkan.
Berikut 5 langkah yang boleh anda lakukan jika berdepan dengan masalah ini:
- Jangan ikutkan hati dan ingin terus meninggalkannya
- Jangan ambil sikap tidak peduli
- Ambil masa redakan tekanan perasaan
- Dapatkan sokongan dan nasihat
- Dekati Sang Pencipta
1 Jangan ikutkan hati dan terus ingin meninggalkannya
Sebagai seorang isteri yang masih sayangkan perkahwinan yang dibina sekian lama, jangan sesekali terfikir untuk terus bertindak meninggalkan si suami yang curang. Masalah berlaku adalah untuk kita hadapi, bukan untuk kita lari daripadanya. Makin kita lari, masalah tetap akan mengekori.
2 Jangan ambil sikap tidak peduli
Bersikap tidak peduli seolah-olah menunjukkan kita meredai kecurangan si suami. Ada sesetengah daripada wanita yang mengambil jalan mudah dengan tidak mengendahkan kecurangan suami, walhal mereka sudah tahu akan perkara tersebut.
Si isteri beranggapan dengan cara membiarkan masalah tersebut, lama-kelamaan masalah tersebut akan hilang dengan sendirinya. Ternyata ianya salah jika seorang isteri beranggapan sebegitu. Kecurangan suami akan menjadi-jadi sekiranya ia dibiarkan dan tidak diambil peduli.
3 Ambil masa redakan tekanan dan perasaan terhadap suami curang
Jiwa mana yang akan tenang bila menyedari suami curang yang kita cintai tiba-tiba berlaku curang. Makin difikir, makin bergelora hati dibuatnya. Oleh sebab itulah, seorang isteri patut tenangkan fikiran dan cuba untuk memberikan masa kepada diri sendiri dan juga suami sebelum mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya. Nescaya bila hati tenang, jalan penyelesaian pasti akan kunjung tiba.
4 Dapatkan sokongan dan nasihat daripada orang yang berpengalaman
Jika keadaan makin rumit dan sukar untuk diselesaikan secara bersama, segeralah dapatkan nasihat dan pandangan daripada orang-orang yang berpengalaman seperti ibu bapa dan juga kaunselor atau pakar dalam masalah rumah tangga.
5. Dekati Sang Pencipta dengan memperbanyak doa dan mempertingkat amalan
Kadang-kala kita mungkin tidak sedar bahawa yang memberikan kebahagiaan hakiki adalah Sang Pencipta yang Maha Agung iaitu Allah S.W.T. Mana mungkin hati yang sentiasa lupa akan Dia akan tenang dan bahagia hidupnya. Samalah jua keadaannya dengan sesuatu perkahwinan. Perkahwinan yang bahagia bergantung juga kepada sejauh mana kita berhubung dengan-Nya.
Pesanan Buat Isteri, Jangan Sebab Satu Kekurangan Suami, Sampai Lupa Seribu Kebaikannya!

Lumrah rumah tangga apabila perkahwinan yang dibina diberi dengan beberapa ujian. Di situ, kesetiaan isteri diuji. Ada yang boleh menerimanya dengan hati yang terbuka, ada juga yang mungkin berat untuk menerima ujian itu.
Di saat suami bergadai nyawa untuk mencari nafkah buat isteri dan keluarga, di situ isteri perlu memainkan peranannya. Jangan kerana satu kekurangan suami, anda boleh lupa seribu kebaikan yang dia bina bersama anda. Muhammad Ahmad berkongsi pesanan agar semua isteri sedar.
ISTERI.
Jangan lupa sentiasa ucap TERIMA KASIH kepada suami. Sediakan makan minum, pakaian yang terbaik buat suami. Cuba fahami keadaan emosi suami, cuba fahami apa yang suami suka dan tidak suka. Penat dia, stres dia di tempat kerja, stres dia dengan hutang, stres dia dengan pelbagai bil-bil di rumah. Ketika ini pentingnya sokongan, dorongan dan kata-kata semangat daripada seorang isteri.
Pegang tangan suami. Cium tangan dia. Abang terima kasih penat cari rezeki untuk kami, terima kasih siang malam buat yang terbaik untuk kami. Terima kasih didik kami dengan agama. Maafkan sayang jika ada salah silap atau bebankan abang. Sayang sentiasa doakan kebaikan untuk abang. Sayang sayang abang kerana Allah dan Rasul.
Saat berjauhan, mesej suami, hantar gambar anak-anak di WhatsApp dan sentiasa doakan suami agar dijauhkan dari segala fitnah.
Subhanallah kadang-kadang kata-kata dan doa ini buatkan seorang suami rasa sangat diharga, dicintai.
Fahamilah tanggungjawab suami bukan sahaja untuk memastikan isteri dan anak-anak bahagia, kenyang dari lapar, sihat dari sakit dan bukan sahaja untuk memastikan isteri dan anak-anak rasa selamat, tenang, dihargai, dicintai, disayangi selalu.
Bahkan tanggungjawab seorang suami untuk memastikan agar isteri dan anak-anak terselamat dari Azab Allah SWT, terselamat dari azab kubur, lepas titian sirat, terselamat dari huru-hara padang mahsyar dan memastikan isteri dan anak-anak bersama masuk syurga Allah SWT.
ISTERI.
Sabarlah dengan emosi suami selagi tidak mencederakan anda. Sabar dan redha jika dimarahi suami. Jangan melawan ketika suami memberi nasihat, marah. Jangan tinggikan suara ketika memanggil suami. Jangan sesekali aibkan suami di facebook mahupun di pejabat hatta kepada ibu bapa kita sekalipun. Sebaliknya, jadilah pendengar, penasihat yang setia buat suami.
Ketahuilah REDHA seorang suami syurga buat isteri.
Maka, hormati dan taatilah suami anda selayaknya. Kerana dia bukan milik anda semata-mata tapi dia hanya sebagai asbab untuk anda dipilih ke syurga atau neraka.
Ada Suami, Biarlah Dia Jadi Tempat Bergantung. Isteri Berdikari Kena Selalu Ingat Ni!

Dalam kehidupan yang serba moden ini membuatkan pasangan suami isteri terpaksa bekerja demi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat. Hinggakan kadangkala si isteri pula yang terpaksa mengeluarkan duit untuk menanggung keluarga.
Bukan tak boleh untuk isteri menampung keluarga tetapi ia merupakan tanggungjawab suami. Isteri hanya membantu mana yang tidak cukup sahaja. Walaupun isteri ikhlas untuk membantu, biarlah suami tunaikan tanggungjawabnya dahulu kerana dikhuatiri suami terlalu selesa dan mula mengabaikan tanggungjawabnya.
Seperti perkongsian oleh Firdaus Shakirin menerusi Facebook, beliau menasihati agar seorang isteri yang bekerjaya agar tidak mengajar diri untuk beli serba serbi dengan duit sendiri dan jangan tanggung segalanya selagi masih mempunyai suami. Jangan bagi suami lupa tanggungjawab dan jangan ajar serta manjakan suami dengan hasil duit isteri.
Jom kita baca perkongsian penuh oleh beliau. Semoga bermanfaat untuk anda di luar sana.
Sekadar menasihati…
Andainya anda seorang isteri yang bekerjaya, yang ada pendapatan tetap, jangan ajar diri untuk beli serba serbi dengan duit sendiri…barang dapur habis, beli…bil-bil utility, bayar…perbelanjaan anak, minyak kereta, komitmen keluarga, semua ni jangan tanggung segalanya sendiri ketika anda masih lagi ada SUAMI…
Walaupun pendapatan awak lebih tinggi ke atau awak memang ikhlas nak bantu suami, tolong letakkan tanggungjawab tu di tempat yang sepatutnya dahulu…
Apa yang sepatutnya suami bayar, biar dia bayar…apa yang sepatutnya suami tanggung, biar dia tanggung…
Tak cukup, baru awak support…baru tiba saat di mana peranan awak diperlukan…
Nowadays, banyak suami yang diajar untuk menjadi selesa…serba serbi isteri dah setelkan…kesannya ialah, dia ada lebihan duit untuk digunakan ke arah lain, dia akan take for granted akan apa yang dibuat isteri, dan dia juga boleh lupa diri…
Buang mentaliti isteri kena ada duit sendiri supaya senang ank beli apa yg dihajati…
BACA: Setinggi Mana Pun Gaji Isteri, Jangan Sesekali Jatuhkan Martabat Suami
Walaupun ada duit sendiri, tetap mintak duit dari suami untuk apa-apa yang awak nak beli…tetap guna duit suami jika itu sepatutnya ditanggung suami…
Jangan bagi suami lupa tanggungjawab dia, jangan ajar dan manjakan suami dengan duit hasil isteri…
Meringankan beban dan mengambil alih beban maksudnya tak sama...
Dan kepada suami, niat nak menjadikan isteri seorang yg berdikari itu tak salah, tapi fikirlah, sekiranya isteri terlebih berdikari, mampu beli atau buat serba serbi sendiri, maka ketika itu, senang atau tidak untuk kita mengawalnya?
Kehidupan dia tu umpama hidup tanpa suami…kegunaan suami dan sumbangan suami dalam hidupnya mungkin 20 percent sahaja, selebihnya 80 percent adalah dari dirinya semata-mata…
Ada suami atau tidak ada suami, baginya sama…tolong jalankan tanggungjawab dan kewajipan kita ikut kemampuan yang ada…tak cukup, baru mintak pertolongan isteri…
Dan takde isteri dalam dunia ni yang sanggup tengok suami dia susah dan merana…
Buat suami, jangan abaikan tanggungjawab anda terhadap keluarga. Ya, memang isteri akan bantu apa yang patut tetapi anda tidak boleh terlalu selesa kerana itu sebenarnya merupakan tanggungjawab anda. Buat isteri pula, bergantunglah juga pada suami dan jangan terlalu berdikari. Bantulah suami jika suami memerlukan bantuan anda. Kerana wang, ramai pasangan yang berpisah. Jadi, rancang kewangan keluarga anda sebaiknya.
Kredit: Facebook Firdaus Shakirin
Penat Isteri Akan Hilang Bila Suami Fahami Pengorbanan Isteri

Perkahwinan merupakan medan untuk suami isteri saling melengkapi kelebihan dan kekurangan diri masing-masing. Walaupun tinggal sebumbung dan tidur sekatil, belum tentu suami dapat memahami pengorbanan yang isteri rasai.
Sebenarnya banyak pengorbanan seorang wanita yang bergelar isteri. Sanggup berpindah dari naungan keluarga, kemudiannya menyerahkan jiwa dan raganya kepada seorang lelaki asing serta hidup bersama insan yang kini bergelar suaminya.
Perkongsian Nor Hazwani tentang pengorbanan seorang isteri ini mungkin tidak sama antara satu wanita dengan wanita yang lain. Namun cukup jika dikatakan bahawa sebagai suri dalam rumah tangga, isteri menanggung banyak perkara. Malah sanggup berkorban kerana isteri rela mengutamakan, mendahulukan dan melebihkan suami berbanding dirinya.
Pengorbanan Seorang Isteri ❤
Artikel yang indah tu semua para isteri.. Ya Allah, betapa mulianya pekerjaan sebagai seorang isteri.. Mmg menitis air mata bila kita dalami artikel ni…
Sanggup berpindah dari naungan keluarga sendiri dan kemudiannya menyerahkan jiwa dan raganya kepada seorang lelaki asing, bukanlah satu perkara yang mudah. Walaupun lelaki itu telah dikenalnya tapi si lelaki tetap masih orang asing dalam kehidupannya.
Kini dia menyerahkan maruah dan kehormatannya kepada lelaki itu yang mungkin akan menjadi satu-satunya teman hidupnya sampai bila-bila. Ini dikira satu pengorbanan. Mungkin boleh dikatakan, inilah pengorbanan pertama yang dilakukan oleh seorang wanita bila bergelar isteri.
Kehidupan seorang isteri dalam bahtera rumah tangga selepas itu menemukan dia pada banyak saat dan ketika di mana dia melakukan pengorbanan demi pengorbanan. Kecil atau besar, sedikit atau banyak, pengorbanan pasti ada dalam kamus hidup seorang isteri.
Waktu merelakan dirinya diambil sebagai isteri, dia telah menggadai diri dan kebebasannya untuk hidup bersama suami. Tidak ada lagi kehidupan yang agak merdeka di bawah kawalan ibu bapa. Tidak lagi bebas mengisi masa bersama teman-teman. Atau memenuhi pelbagai aktiviti dan mengejar cita-cita peribadi. Semua itu tidak dapat dikecapi lagi. Dia kini sudah terikat dengan tanggungjawab kepada suami.
Kemudian isteri akan menempuh kehidupan bersama suami tidak kira bagaimana pun bentuk kehidupan itu. Liku dan ranjau di hadapan belum diketahui. Kalaupun lebih susah dari sebelumnya, isteri selalunya sanggup berkorban dan bersusah-susah demi meneruskan hidup bersama suami.
Ada isteri yang menyimpan rahsia kesusahan hidupnya dari pengetahuan keluarga. Demi menjaga maruah suami, seboleh mungkin dia akan cuba menutup kesusahan hidupnya bersama suami. Dia tidak mahu kaum keluarganya memandang rendah pada suaminya. Lebih-lebih lagi kalau kaum keluarga si isteri lebih berdarjat dari suami. Menjaga rahsia rumah tangga dan aib suami menjadi perjuangan dalam hidupnya. Hingga dia sanggup berkorban kerananya.
Kalau pun kehidupannya selepas berkahwin diliputi kesenangan, pasti ada waktu-waktunya isteri perlu dan harus berkorban. Si isteri sendiri mungkin tidak merasakannya sebagai satu pengorbanan kerana dia gembira melakukannya demi suami. Contoh paling mudah, isteri selalunya akan mendahulukan suami dan anak-anak lebih dari dirinya. Apa yang suami dan anak-anak teringin hendak makan misalnya, dia sanggup sediakan. Tidak mengapa kalau masakan itu bukan kegemarannya sendiri. Citarasa suami lebih penting dari cita rasanya sendiri.
Isteri juga selalunya mendahulukan ibu bapa dan keluarga suami. Kerana baginya, memuliakan keluarga suami sama seperti memuliakan suami juga.
Kehidupan seharian dalam sesebuah rumah tangga menyerlahkan banyak pengorbanan isteri. Bersengkang mata hingga jauh malam untuk membereskan urusan rumah mungkin tidak dirasakan satu pengorbanan oleh seorang isteri. Kerja-kerja itu sudah dianggap alah bisa tegal biasa. Sudah menjadi kerja rutin yang setiap hari dibuat. Tetapi semua itu menuntut masa dan tenaga.
Bermakna, isteri harus korbankan masa dan kerehatannya. Mungkin juga kesihatan. Semuanya untuk memastikan rumah yang dihuni bersama suami dalam keadaan terurus. Nyaman selesa dan membuatkan suami bahagia.
Menjelang bergelar ibu, seorang isteri akan melalui ujian dan cabaran tersendiri. Namun, rasa bahagia mengandungkan anak hasil perkongsian hidup dengan suami membuatkan dia lupa penanggungannya sewaktu sarat mengandung. Memang kadang-kadang rasa agak tidak selesa dengan perut yang membesar.
Suami yang memandang pun rasa rimas melihat pergerakan isteri yang terbatas, inikan pula isteri yang menanggungnya. Namun, rasa tidak selesa itu hilang bila timbul bayangan cahaya mata yang bakal ditimang. Isteri sanggup melalui detik ujian dan cabaran sewaktu mengandung demi kasih pada suami dan anak dalam kandungan.
Dalam keadaan sarat mengandung, isteri masih aktif di rumah. Membawa perut yang memboyot, dia masih sanggup turun ke dapur, membasuhkan pakaian suami, menjemur kain baju, basuh pinggan mangkuk, mengelap lantai, membersihkan habuk dan bermacam lagi.
Banyak kerja yang dilakukan oleh isteri ini adalah hakikatnya untuk membantu suami membereskan urusan rumah tangga. Kerja-kerja yang menjadi tanggungjawab bersama itu dibuat oleh isteri demi memberi khidmat bakti kepada suami.
Tidak ada isteri yang merungut kenapa dia harus menanggung sakit bersalin dan berpantang lepas bersalin. Sebaliknya isteri boleh senyum selepas mengalami kesakitan yang tak tertanggung sewaktu bersalin. Selepas berhempas-pulas bersabung nyawa di meja bersalin, beberapa minit kemudian dia boleh melemparkan senyum puas bila menatap wajah suami dan wajah anak yang masih merah. Bukan cerita sakit bersalin yang diluahkan pada suami, tapi cerita gembira menimang cahaya mata.
Walaupun isteri tahu sakitnya bersalin, tapi setiap kali mengandungkan anak suami, si isteri tidak pernah meluahkan rasa takut dan ngeri untuk bersalin lagi. Kalau ada suami yang pernah menemani isteri di meja bersalin dan melihat penanggungan isterinya sewaktu meneran anak, dia akan tahu beratnya sakit yang ditanggung waktu itu. Memang isteri terpaksa berhempas-pulas. Mungkin suami tidak akan sanggup melihat isteri menanggung sakit seperti itu lagi, tapi si isteri tetap bersedia mengharungi kesakitan yang sama.
Demi kegembiraan bersama memperolehi cahaya mata, soal sakit dilupa-lupakannya. Pengorbanan isteri ini, jika difahami oleh suami, pasti akan sangat dihargai. Melihat wajah anak-anak, terbayang keperitan yang dialami isteri waktu mengandung dan melahirkannya dulu.
Selepas melahirkan anak, isteri harus berkorban pula membesarkan si kecil. Menyusukannya tidak kira waktu, membersihkan najisnya, memandikannya, menyuapnya ketika sudah boleh makan, menadah telinga mendengar tangisannya bila si kecil meragam… Kemudian memenuhi tanggungjawab mendidiknya dan berdepan dengan segala kerenahnya. Belum pun anak itu cukup besar, isteri mengandung lagi dan melahirkan si adik pula.
Terpaksa pula memberi perhatian dan jagaan pada si bayi di samping meneruskan proses jagaan dan didikan kepada si abang atau si kakak. Sebahagian besar keperluan anak-anak ini, isterilah yang membereskannya. Isteri benar-benar menjadi tangan kanan suami untuk memelihara dan mendidik setiap orang anak yang lahir dari zuriat suami.
Semakin bertambah anak, semakin bertambah pula tanggungjawab isteri. Semakin banyak kerja perlu dibuat. Namun isteri masih orang yang sama, dengan kudrat fizikal dan kemampuan yang dulu. Di samping harus meneruskan layanan kepada suami dan kerja-kerja pengurusan rumah tangga yang sentiasa ada dan bertambah.
Jarang sekali ada isteri menuntut bayaran dari suami bagi kerja-kerja lebih masa yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi untuk menuntut gaji. Kalau suami faham dan tahu menghargainya, alhamdulillah. Kalau suami mahu sama-sama ringankan tangan untuk membantu, syukur. Kalau suami sekali-sekala mahu memberi penghargaan dalam bentuk material atau hadiah, itu dikira sudah cukup baik. Paling tidak, penghargaan dalam bentuk kata-kata, sikap dan belaian mesra pun amat tinggi harganya.
Namun, kalaupun suami tidak faham, tidak prihatin dan tidak mahu menunjukkan penghargaan serta pengiktirafan, isteri akan tetap melakukan kerja-kerja menguruskan rumah tangga.
Lebih berat tanggungjawab dan penanggungan isteri bila dia juga keluar bekerja. Di luar rumah, dia berkorban tenaga membantu suami mencukupkan sara hidup keluarga. Di rumah, dia meneruskan ˜kerjaya sebagai isteri, ibu dan suri rumah. Kalau tiada pembantu rumah, dia akan berdepan dengan lebih banyak kerja untuk dibereskan. Balik ke rumah, dia sanggup korbankan masa rehatnya untuk menyambung kerja yang tertangguh. Layan suami, layan anak-anak, sediakan makan minum, basuh pakaian, berkemas rumah, seterika baju dan banyak lagi.
Paling ketara bila isteri pulang kerja bersama suami. Balik ke rumah, isteri selalunya bersedia untuk layan diri bagi apa-apa keperluannya sendiri. Namun untuk suami, dia sanggup beri layanan istimewa. Kalau suami dilihat kepenatan, isteri sanggup melupakan kepenatannya sendiri untuk memenuhi keperluan suami. Paling tidak, terus ke dapur untuk menghidang cucur pelepas lapar suami. Mengorbankan kerehatannya sendiri demi mendahulukan keperluan dan keselesaan suami.
Memang ada isteri yang merungut. Memang ada isteri yang membebel dan mengungkit. Memang ada isteri yang meluahkan rasa sakit hati bila melihat suami rehat-rehat ketika si isteri sibuk melakukan ops dapur, ops bilik air, ops bilik tidur, ops halaman dan pelbagai lagi. Sebab bukan semua suami yang mahu berkongsi melakukan kerja-kerja di rumah. Bukan semua suami bersikap sporting dan tahu menghargai susah payah isteri.
Tetapi dalam merungut dan membebel itu pun, segala kerja tetap dibuatnya. Suami hanya perlu sabar sedikit sambil menadah telinga mendengar bebelan isteri. Dalam waktu yang sama, kalau suami hendak makan, ada juadah tersedia. Hendak pakai baju, pakaian siap berbasuh. Hendak bermain-main dengan anak kecil, kencing berak anak sudah dicuci.
Kalau pun ada isteri yang menjeruk rasa kerana suami semacam tidak hargai segala khidmat baktinya, namun jarang ada isteri yang sanggup mogok dari tugas sebagai isteri, ibu dan suri rumah.
Dia mengharap sedikit tanda berterima kasih dari suami tetapi tidak sanggup meluahkannya dengan kata-kata. Hanya gerak-geri atau bahasa badannya saja yang berbicara. Kalau suami faham, fahamlah. Jika tidak, isteri selalunya akan hanya memendam perasaan. Hatinya mengharap dan meminta tanpa kata-kata. Atau dia akan meluahkan rasa di atas kertas. Bila suami dilihat langsung tidak menghargai, waktu itu mungkin coretan di kertas mengganti lidah berbicara.
Berat macam mana pun kerja yang dibuatnya, isteri akan rasa puas dapat melakukannya. Dia buat kerja dengan rasa gembira. Tugas dan kerja yang nampak berat bagi suami dapat dibereskan oleh isteri dengan agak mudah dan ringan. Walaupun tika usia telah senja dan si isteri telah menjadi nenek, dia masih isteri yang dulu. Isteri yang akan sentiasa mengutamakan dan melebihkan suami.
Ini satu kelebihan wanita. Allah jadikan fitrahnya dari segi fizikal dan kehalusan perasaan, mampu menanggung segala macam tugas dan tanggungjawab dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi kalau isteri dapat rasakan apa yang dibuatnya itu akan membahagiakan suami dan menggandakan pahala dari Allah. Di situ dia mendapat motivasi dan lebih bersemangat untuk buat bermacam-macam kerja.
Suami yang faham akan menambah motivasi untuk isteri melalui ucapan terima kasih, kata-kata pujian, belaian, kasih sayang, sikap prihatin, turut membantu dan sekali-sekala memberinya hadiah. Segala penat, segala lelah dan segala penanggungan akan hilang bila semua itu suami hargai.
Rasanya tidak mungkin untuk menyenaraikan satu persatu susah payah dan pengorbanan isteri. Bentuk-bentuk pengorbanan pun tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Tetapi cukuplah dikatakan bahawa sebagai suri dalam rumah tangga, isteri umumnya menanggung (suffer) banyak perkara. Isteri sanggup berkorban kerana dia rela mengutamakan, mendahulukan dan melebihkan suami berbanding dirinya.
Seorang suami sanggupkah berkorban?? Atau meninggalkan isteri bila dia sudah tidak berupaya lagi??
…….
Dipersilakan share ❤️