Ketika seseorang itu cemburu, segala sesuatu menjadi sangat buruk di matanya. Perasaan cemburu, lebih-lebih lagi ‘cemburu buta’ bakal mengundang rasa sakit hati yang menyakitkan serta boleh merosakkan akal dan fikiran manusia.
Kebimbangan yang berlebihan terhadap pasangan turut mengakibatkan anda hilang kepercayaan dan terus diselubungi perasaan takut. Pelbagai prasangka yang belum tentu betul mula timbul. Ini tip untuk anda atasi masalah kuat cemburu dalam diri.
.
1. Beri masa dan ruang buat diri sendiri
Rasa cemburu selalunya datang beriringan dengan rasa curiga. Ketika perasaan itu dating, jangan terburu-buru terus menyerang pasangan anda dengan sejuta pertanyaan.
Carilah dan tentukan sedikit waktu untuk anda mengatasi sifat cemburu anda. Nilailah setiap kebaikan atau keburukannya pada hubungan anda. Ingati apa kesannya pada anda dan si dia tiapkali anda cemburu.
Jika anda mula berasa bersalah terhadap diri anda kerana sering berasa cemburu terhadap orang lain, anda akan berasa semakin dengki terhadap orang lain. Tak elok bersikap sebegini, jadi terimalah rasa cemburu anda itu dengan sebaiknya, hadapi secara positif dan terus melangkah maju.
2. Hormati pasangan anda
Si dia juga sama seperti insan lain,sama seperti anda,punya hak dan berhak untuk menilai kebaikan/kecantikan orang lain yang berada di sekelilingnya.
IKLAN
Penting bagi anda mempercayai pasangan, walaupun ia memang tidak semudah yang diucapkan. Tetapi berfikirlah positif sambil berusaha. Anda boleh membuktikan pada pasangan bahawa anda boleh memegang teguh komitmen bersama.
Mungkin dengan menunjukkan keseriusan anda dalam menjalinkan hubungan tersebut juga akan membuatkan si dia turut berusaha mengimbangi dan menghargai anda sebagai seorang yang penting dalam kehidupannya.
.
3. Kenal pasti faktor penyebab
Anda harus mengenal pasti apakah sebab musabab yang menyebabkan anda berasa terlalu cemburu terhadap pasangan.
Adakah ia disebabkan oleh peristiwa hitam yang pernah berlaku pada anda sebelum ini? Atau anda kurang percaya dan yakin pada pasangan anda? Atau anda kurang yakin pada diri anda sendiri?.
IKLAN
Carilah sebabnya agar anda tahu di manakah puncanya perasaan cemburu buta itu terbit. Selain itu, cubalah untuk terbuka terhadap apa yang anda rasakan. Tetapi pastikan anda melakukannya dengan cara positif.
Selalu berfikiran optimis dan postif bukan hanya boleh mengatasi rasa cemburu. Bahkan juga membuatkan hubungan cinta anda menjadi lebih harmoni.
4. Bina keyakinan diri
Kurang yakin terhadap diri sendiri adalah salah satu punca kepada sikap cemburu buta. Merasa sangsi terhadap pasangan kerana merasakan diri sendiri tidak hebat dan banyak kekurangan boleh meretakkan sesuatu hubungan.
Jadi, anda harus yakinkan diri bahawa anda adalah seorang yang mempunyai kualiti serta kelebihan dibandingkan orang lain. Sebelum anda berasa cemburu pada lelaki atau wanita lain, cuba berdiri di hadapan cermin dan yakinlah bahawa anda adalah orang yang paling layak untuk dicintai oleh pasangan, sehingga dia tidak akan berpaling tadah daripada anda.
IKLAN
Percayalah juga bahawa anda adalah orang yang benar-benar dicintai oleh pasangan anda.
.
5. Berfikiran positif
Menghilangkan rasa cemburu salah satu caranya adalah dengan berfikiran positif atau ‘positive thinking’. Cuba hilangkan prasangka buruk terhadap pasangan. Tidak perlu memeriksa atau menyelidik telefon bimbit atau diari hariannya. Yakinkan pada diri sendiri, bahawa hanya anda sahaja yang berada dalam jiwanya.
Ketika anda berfikiran positif, fikiran pun akan menjadi lebih terbuka dan anda akan melihat kebaikan dan rasa kasih sayang pasangan dengan teguh, tanpa diganggu oleh prasangka yang buruk.
Jangan biarkan perasaan cemburu merosak hubungan adan dengan pasangan. Jika ada orang lain mengganggu pasangan, anggap sahaja itu sebagai sesuatu yang boleh anda banggakan. Ini adalah kerana mereka hanya boleh mengganggu si dia, sedangkan anda sudah memilikinya!
Jika semua usaha telah anda lakukan untuk mengatasi perasaan cemburu tersebut, namun tetap gagal. Mungkin sudah waktunya anda mencari bantuan profesional untuk mengatasi perasaan dan fikiran anda yang tidak rasional ini. Jangan berasa ragu atau majlu untuk meminta bantuan orang lain demi kesejahteraan hubungan cinta yang telah anda bina itu.
Suami dan pasangan kena tahu matlamat dalam perkhwinan tahu jaga perasaan pasangan masing-masing, saling menghormati dan saling setia. Jangan sesekali tipu dan curang kerana ia terlalu menyakitkan.
Bila seorang wanita mendirikan rumahtangga, perkara utama yang dicarinya ialah kebahgiaan bersama suami dan anak-anak yang bakal dilahirkan hingga akhir hayatnya. Dalam merealisasikan impiannya, wanita itu akan meletakan sepenuh kepercayaan kepada suaminya dengan harapan, suaminya akan sentiasa berlaku jujur kepadanya.
sekadar gambar hiasan
Kadangkala suami mudah terpedaya dengan godaan luar hingga membuatkannya melanggar janji setia kepada isterinya. Mula menipu dan tidak jujur dengan isterinya. Bila semuanya terbongkar, bagi isteri yang mudah kalah dalam peperangan emosinya, perceraian adalah jalan penyelesaiannya. Tapi bagi isteri yang kental, berfikiran waras dalam mengawal emosinya, mungkin kemaafan telah tersedia untuk si suami.
Tetapi tidak KEPERCAYAAN. Sekali ia dikhianati, ia akan hilang untuk selama-lamanya. Pada masa itu, walaupun si suami berada dalam keadaan yang benar, si isteri sukar untuk mempercayainya.
Isteri akan mula ‘menyiasat’ segala gerak geri suami. Dan jika sekali lagi si suami ditangkap menipu, isteri akan berhenti ‘menyiasat’. Suami mungkin sangkakan isterinya tak marah lagi. Tapi sangkaan itu salah.
gambar sekadar hiasan
Jika berlaku situasi itu, maknanya isteri dah muak dengan tingkahlaku suami dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku. Apa yang terlintas di fikirannya ialah menyusun strategi bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan terhadap suami.
Dia perlu menyiapkan diri dari segi material, fizikal dan mental untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Dalam melayari bahtera kehidupan, sebagai manusia yang bersifat sebagai masyarakat madani, maka perjalanan adalah sentiasa menuju ke arah ketamadunan dan kemodenan di samping susun atur kehidupan bermasyarakat. Maka kerjaya adalah salah satu perkara sebagai manusia yang melaksanakan pelbagai bentuk pekerjaan untuk meneruskan kehidupan bahkan bagi menambahkan keselesaan. Pada zaman dahulu, pekerjaan adalah melalui pertanian, penternakan dan juga perniagaan. Ketiga-tiga bidang ini kemudian dikembangkan lagi dengan lebih khusus mengikut keperluan semasa.
Tugas pekerjaan bagi sesebuah keluarga pada awalnya dipikul oleh suami atau bapa. Ini sudah menjadi uruf dan adat. Begitu juga tradisi kebanyakan kaum serta bangsa. Akan tetapi setelah arus kemajuan serta kehidupan mula berubah, wanita dan lelaki seolah-olah seiring bahkan berlumba-lumba sepertimana dalam bidang pendidikan serta mencari peluang pekerjaan.
Justeru, kami bahaskan secara khusus pada kali ini berkaitan dengan isu wanita yang bekerja. Secara umumnya wanita juga bekerja pada peringkat awal sebagai membantu kepada suaminya dalam menyelesaikan isu keteraturan rumahtangga. Dengan sebab itu, perempuan digelar rabbatul bait. Kerjanya adalah seperti memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, mengasuh anak-anak bahkan sebahagiannya pula bercucuk tanam di hadapan rumah, menjalankan ternakan ayam, itik dan sebagainya yang menjadi penghasilan kepada masyarakat sekitar. Ini biasa dilakukan oleh wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa.
Kemudian wanita mula menceburi dalam bidang perguruan serta kerjaya yang bersesuaian. Sebahagian mereka melaksanakan perniagaan dengan mengambil kira apa yang dilakukan oleh Ummul Mukminin yang pertama, Khadijah R.Anha sebagai salah seorang tokoh korporat yang berjaya. Begitu juga, melihat peranan oleh al-Syifa’ R.Anha yang menjadi penyelia kepada pasar. Ada juga dalam kalangan sahabat yang membantu merawat tentera yang terluka dan cedera dalam peperangan. Begitu juga menjadi bidan kepada wanita yang bersalin seperti Ummu ‘Atiyyah.
Justeru, kerjaya bagi wanita tidaklah pelik dan bukanlah asing. Kami catatkan di sini kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya (Fatawa Mu’asirah (terj.), 2/202-205) yang menyebut: Walau bagaimanapun kerjaya pertama dan terbesar wanita yang tidak dapat disangkal dan tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pesaing adalah mendidik seluruh generasi. Tugas ini disediakan oleh Allah SWT untuk wanita secara fizikal dan mental. Wanita perlu untuk tidak disibukkan daripada mesej agung ini dengan kesibukan isu kebendaan ataupun moral walau apa cara sekalipun. Ini kerana, tiada sesiapa yang mampu mengambil alih tempat wanita dalam tugas besar ini. Pada tugas ini juga terletaknya masa hadapan umat Islam. Melalui tugas ini juga terbentuknya kekayaan-kekayaan terbesar, iaitu kekayaan umat manusia.'
Semoga Allah SWT merahmati penyair Mesir, Hafiz Ibrahim ketika beliau bermadah:
Ibu itu adalah sekolah jikalau dia menyediakannya
Menyediakan sebuah masyarakat yang baik asasnya
Tugas wanita juga adalah menguruskan rumah tangga dengan membahagiakan suami. Selain itu, membentuk sebuah keluarga bahagia yang berasaskan ketenangan, kemesraan, dan kasih sayang. Dicatatkan, wanita yang menjadi pendamping yang baik kepada suaminya dikira satu jihad pada jalan Allah SWT.
Ini tidak bermakna pekerjaan wanita di luar rumah adalah haram menurut syarak, kerana tiada sesiapa pun boleh mengharamkan sesuatu tanpa ketetapan syarak yang betul dan pembuktian yang jelas. Sedangkan asas untuk semua perkara dan perbuatan biasa adalah harus. Ini seperti mana yang sudah kita ketahui.
Dengan asas inilah kita katakan, sebenarnya pekerjaan wanita itu sendiri asalnya dibolehkan. Iaitu ia boleh jadi tuntutan sunat ataupun wajib sekiranya wanita itu memerlukannya. Contohnya, balu ataupun janda yang tiada sumber pendapatan dan orang yang menanggung, sedangkan dia berkemampuan bagi meraih pendapatan yang dapat mencukupkan tuntutan keperluan ataupun kebajikannya.
Selain itu, boleh jadi keadaan keluarga wanita itu memerlukan dia bekerja seperti membantu suami, mendidik anak-anak ataupun adik beradiknya yang masih kecil, ataupun membantu bapanya yang sudah tua. Contohnya, kisah dua orang anak perempuan seorang lelaki tua yang dinyatakan Al-Quran dalam surah Al-Qasas. Kedua-dua anak perempuan itu mengambil alih tugas bapa mereka dengan menggembala kambing:
Maksudnya: Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga para penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”
Surah Al-Qasas (23)
Begitu juga dengan kisah Asma' binti Abu Bakar, pemilik dua tali pinggang (gelaran untuk Asma') yang membantu suaminya, Zubair bin Al-Awwam menguruskan kuda dan memahat batu bagi meleraikannya. Ini sehingga beliau sanggup memikul batu di atas kepala bagi membina dinding kebun yang sejauh jarak dari Madinah.
Boleh jadi juga keadaan masyarakat itu sendiri yang memerlukan tugas wanita seperti mengubati dan merawat golongan wanita, mengajar anak-anak perempuan, dan segala tugas yang seumpama dengannya, yang mengkhususkan kepada golongan wanita. Namun apa yang paling utama, wanita bekerja sesama wanita, bukan bersama lelaki.
Manakala penglibatan lelaki dalam beberapa situasi tertentu adalah antara bab terdesak yang perlu ditetapkan had batasan, dan bukan menjadi satu kaedah tetap.
Apabila kita membolehkan wanita bekerja, maka ia perlu dibatasi dengan beberapa syarat:
Pekerjaan itu sendiri adalah pekerjaan yang mengikut syarak. Pekerjaan itu sendiri tidak haram ataupun cenderung ke arah melakukan yang haram. Contohnya, wanita yang bekerja sebagai orang gaji kepada lelaki bujang, setiausaha khas kepada seorang pengarah yang memerlukan mereka berdua-duaan. Selain itu, penari yang merangsang segala nafsu dan keinginan dunia, pekerja kelab-kelab yang menghidangkan arak yang dilaknat oleh Rasulullah SAW. Sama ada pemberi minum, pembawa, dan penjualnya. Juga, pramugari kapal terbang yang tugasnya memerlukan dia menghidang benda-benda memabukkan dan bermusafir jauh tanpa mahram yang menyebabkan dia perlu bermalam seorang diri di negara-negara Barat. Ataupun segala jenis pekerjaan selain daripada itu yang diharamkan oleh Islam kepada wanita, terutamanya ataupun kepada semua golongan lelaki dan wanita.
Sentiasa menjaga adab wanita Muslimah apabila keluar dari rumah. Sama ada dari segi penampilan, gaya berjalan, pertuturan, dan pergerakan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;
Maksudnya: Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Surah al-Ahzab (32)
Jangan pula pekerjaan itu menyebabkan mereka mengabaikan pekerjaan-pekerjaan lain. Contohnya seperti kewajipan mereka kepada suami dan anak-anaknya, iaitu kewajipan pertama mereka yang menjadi pekerjaan asas wanita. (Lihat Fatawa Mu’asirah –terj., 2/202-205)
Walaupun begitu, suka kami tegaskan, wanita yang berkerjaya mestilah memahami tugas hakiki sebagai isteri kepada suaminya dan ibu kepada anak-anaknya yang inginkan dambaan kasih sayang serta bantuannya ketika berada di rumah. Ini akan melahirkan perasaan kasih sayang, rahmah dan sakinah di alam rumahtangga yang akan menatijahkan Baiti Jannati. Memahami tanggungjawab dan hak sebagai ibu atau isteri serta dapat melaksanakannya dengan sebaik mungkin sudah tentu ia akan lebih dihormati dan perjalanan kehidupan kekeluargaan dalam keadaan harmoni.
Akhir kalam, kami menutup perbincangan ini dengan berdoa:
Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Sifat lembut air telah dapat mengubah fizikal batu dari bentuk asal. Tekanan dari titisan-titisan air yang berterusan akan dapat menghasilkan lekuk pada batu yang semulajadinya keras.
Jika pasangan anda batu, anda harus menjadi air. Hadapi lawan anda dengan sikap yang bertentangan darinya. Menjadi seperti air, hadapi dengan kelembutan. Batu bertemu batu tidak akan pergi kemana silap-silap akan melantun keduanya menjauh.
TIP MENGHADAPI PASANGAN KERAS KEPALA
#1-Mendengar, Tidak Memotong Kata-katanya
Langkah pertama berhadapan individu yang keras kepala adalah jangan memotong kata-kata mereka.
Menunggu sehingga dia selesai berbicara.
Dia sedang memperjuangkan hak sebagai orang yang menyayangi anda dan mempertahankan ideologi yang dia bawa.
Anda yang berada di pihak satu lagi harus mendengar dan tahan diri dari untuk melawan.
Jika anda turut melawan untuk mempertahankan kebenaran, anda tidak akan dapat paham keinginannya.
#2-Fahami tujuan dan keinginan
Jadi langkah kedua, anda perlu buka hati dan minda untuk fahami tujuan dan keinginannya.
Kebanyakkan pasangan yang bersifat keras kepala ini ingin memberitahu anda bahawa dia sangat mencintai, ingin menjaga anda sepenuhnya dan takut kehilangan diri anda.
Bayangkan anda di situasi mereka, adakah anda juga akan berasa risau, runsing memikirkan keselamatan pasangan anda.
Fahamilah tujuan pada perkara-perkara yang mereka tegaskan.
Jika anda susah untuk menjangka sebab dia menjadi keras kepala, solusinya adalah dengan bertanya terus kepada mereka alasan mereka menjadi keras kepala pada perkara tersebut.
Sekejap,
Nak bertanya alasan mereka bersikap begitu, perlu tepat dengan teknik dan caranya. Salah satu cara terbaik adalah bercakap dengan nada rendah.
#3-Intonasi suara yang rendah
Sampai ke langkah yang ketiga, perlu langkah yang lebih efektif dan boleh beri kesan pada pasangan yang keras kepala.
Langkah efektif dengan intonasi suara.
Intonasi suara anda kepada pasangan amat berperanan penting ketika dalam perbualan. Bercakap dalam intonasi suara yang rendah dapat membantu memudahkan penyampaian soalan kepada pasangan.
Persoalan tentang alasan dan sebab mereka berkeras dengan anda adalah soalan yang sukar bagi mereka untuk memberi jawapan. Jawapan cepat mereka boleh beri sebab mahu melindungi anda.
Rasa tidak puas hati mendengar jawapan cepat dari mereka, betulkan? Anda juga akan merasakan ini tidak cukup dan tidak adil. Tidak adil bagi diri anda bila mana mereka begitu bersungguh-sungguh bertegas dan melarang anda tanpa diberikan alasan yang kukuh.
Oleh itu, anda perlu cari masa dan tempat yang sesuai untuk beri dia masa berfikir bagi membincangkan alasan mereka berkeras dengan anda.
Mudah-mudahan dalam keadaan tenang dan emosinya telah reda, pasangan yang keras kepala ini akan berfikir kewajaran dan kesan tindakan mereka terhadap anda.
Mohon pertolongan dari Allah S.W.T untuk memelihara dan menjaga keharmonian rumahtangga:
“Allahumma Ya Baaqi Ya Rouf, kekalkanlah ikatan ini agar kami saling berkasih sayang keranaMu. Allah Ya Salam Ya Mukmin, berkatilah perkahwinan ini dan alirkan rasa aman dan tenteram ke dalam jiwa kami dengan selalu berzikir mengingatiMu agar harmoni rumahtangga kami”
Semoga anda tidak mudah menyerah kalah berhadapan dengan pasangan keras kepala. Insha Allah sama-sama berusaha memberikan terbaik.