
Melihatkan gambar Kek Minyak yang dikongsikan Nor Khomariah Norrohman sudah cukup membuka selera. Dan untuk membuatnya pun tidak sukar mana, tidak perlu kemahiran. Cukup dengan hanya mengikut resipi yang dikongsi.
Bahan :
5 biji telur
1/2 cawan gula halus
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
3/4 cawan susu pekat
1 sudu besar ovallate
1 cawan minyak masak
Perasa yg disukai ( kalau xletak pom tkpe)
1 sudu teh esen vanila
Pewarna yg disukai
Cara :
1. Satukan tepung dan baking powder kemudian di ayak, ketepikan.
2. Pukul telur bersama gula dan ovallate hingga kembang dan gebu. Putar dalam 5 minit.
3. Masukkan susu pekat dan esen vanila, pukul sebati.
4. Masukkan minyak masak dan perasa sambil dipukul lagi tapi hanya sekadar untuk adunan bergaul rata.
4. Akhir sekali masukkan tepung gandum yang telah di ayak.
5. Kaup balik adunan dengan spatula hingga rata
6. Bahagikan adunan kepada 3 atau 4 bekas. Letakkan pewarna dalam setiap bekas mengikut kesesuaian & gaul rata. Sediakan loyang 8 inci / 9 inci
7. Lapik dasar loyang dengan kertas minyak dan sapu keliling loyang dgn majerin.
8. Tuangkan adunan berselang seli warna sehingga habis
9. Bakar suhu 170 °C @ bergantung kepanasan oven masing-masing
10. Bakar selama 45 minit ~ 60 minit menggunakan api atas bawah.
Sumber: https://www.facebook.com/groups/MasakApaHariNiMAHN.my/permalink/3029358884054074?sfns=mo
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Jadikan Kereta Macam Almari, Suami Kenalah Selalu Periksa

Ada sesetengah pemilik kereta suka buat kereta ni macam rumah, kalau boleh peti ais pun nak di sumbat masuk dalam kereta. Meskipun kita memiliki banyak ruang kosong di dalam kereta ini tidak bermakna kita boleh menyimpan segala barang keperluan atau dokumen penting di dalam kereta. Menyimpan barang yang tak sepatutnya bukan sahaja merosakkan barang tersebut kerana suhu panas di dalam kereta tetapi boleh juga membahayakan nyawa anda!

Disini kami kongsikan 10 barang yang di larang simpan di dalam kereta:
1) Ubat-ubatan
Apa sahaja jenis ubat terutama pil-pil yang diperoleh daripada doktor tidak boleh disimpan di dalam kenderaan. Apabila cuaca panas, suhu dalam kenderaan juga meningkat sekali gus mengubah struktur molekul dalam ubat-ubatan. Akibatnya, keberkesanan ubat tersebut akan berkurangan.
2) Botol air plastik
Plastik diperbuat daripada bahan sampingan petroleum! Para penyelidik Jerman juga menemukan bahan digelar ‘pengganggu endokrin‘ di dalam botol polietilena terephtalate (PET). Bahan tersebut berpotensi untuk menggugat estrogen dan hormon pembiakan lain di dalam tubuh manusia. Justeru apabila ia terdedah kepada cuaca panas (berbanding disimpan di persekitaran bersuhu bilik), bahan berbahaya dalam botol plastik akan terlerai dan meresap ke dalam air.
3) Kaca mata
Anda terkejut bukan? Selama ini kita memang menyimpan kaca mata khususnya cermin mata hitam di dalam kenderaan bagi memudahkan penggunaannya di siang hari.
Namun adakah anda perasan hanya selepas beberapa penggunaan, bingkai dan pelipis (temple) kaca mata anda mengalami perubahan bentuk?
Suhu panas di dalam kenderaan akan melembutkan apa sahaja bingkai yang diperbuat sama ada daripada plastik, asetat atau nilon. Akibatnya kaca mata anda akan longgar apabila dipakai.
4) Penyembur rambut
Bukan penyembur rambut sahaja, malah apa jua barangan mudah terbakar jangan sesekali ditinggalkan dalam kenderaan.
Anda sendiri tahu kesannya bukan? Ia akan meletup dan merisikokan keselamatan kenderaan.
5) Telefon pintar
Peralatan elektronik seperti telefon pintar, pemain MP3, iPad dan semua daripada kelompoknya juga tidak boleh ditinggalkan dalam kenderaan.
Suhu panas yang terkumpul di dalam kenderaan akan merosakkan fungsi gajet elektronik anda terutamanya bateri.
Maka usah bising kalau jangka hayat bateri anda semakin pendek sekiranya anda tergolong dalam individu yang kerap meninggalkan telefon pintar di dalam kenderaan.
6) Pemetik api
Ketika cuaca panas, pemetik api yang ditinggalkan dalam kenderaan boleh mengundang bahaya. Biarpun kecil, ia boleh meletup akibat tekanan ekoran peningkatan suhu di dalam kenderaan. Akibatnya, cermin kenderaan anda mungkin merekah atau meninggalkan lubang pada kerusi.
7) Minyak wangi
Janganlah tinggalkan minyak wangi di dalam kenderaan. Apa guna anda membeli haruman berjenama pada harga yang mahal jika akhirnya bauannya berubah?
Suhu panas dalam kenderaan akan menyejat bauan daripada minyak wangi. Maka minyak wangi pun bertukar menjadi minyak tanpa haruman.
8) CD dan DVD
Cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD) bukanlah barangan asing di dalam kenderaan. Kebiasaannya kita akan menyimpan CD lagu kegemaran di dalam kompartmen yang terletak di bahagian tempat duduk penumpang depan.
Namun tahukah anda jika disimpan terlalu lama di dalam kenderaan dan terdedah kepada cuaca panas, ia akan meleding (melengkung)? Maka terpaksalah anda membeli CD baharu bagi menggantikan CD yang rosak.
9) Lipstik
Wanita memang gemar meninggalkan alat solek di dalam kenderaan terutamanya lipstik. Kebiasaan itu mesti dikikis kerana lipstik mudah mencair apabila terdedah kepada cuaca panas.
10) Surat dan dokumen beralamat
Apa sahaja surat atau dokumen (bil elektrik atau air) sering ditinggalkan di dalam kenderaan.
Anda perlu berwaspada kerana kesilapan kecil ini boleh mengundang padah. Surat dan dokumen lengkap beralamat serta mempunyai maklumat peribadi termasuk nombor kad pengenalan mesti dielakkan daripada disimpan di dalam kenderaan.
Sekiranya kenderaan anda dipecahkan atau dilarikan pencuri, maklumat penting tersebut berkemungkinan besar untuk disalah guna.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Isteri Jangan Rasa Diri Sempurna Sangat, Barulah Nampak Lebihnya Suami

Jika kita seorang lelaki atau wanita yang baik dan beriman berniat untuk mendapatkan pasangan soleh serta solehah, kita akan dapat sebagaimana yang diniatkan. Jika kita sudah berusaha menjadikan diri soleh atau solehah, Allah SWT akan menggerakkan hati orang yang beriman mendekati kita.
Itu yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran ‘reset minda’ dengan formula ‘Ada – Beri – Dapat’.
Insya-Allah kita akan dapat orang yang sama seperti kita, kecuali Allah hendak menguji dengan memberikan pasangan yang bertentangan sikap, perangai, bagi menguji kesabaran, ketakwaan dan keimanan. Atau kita ditakdirkan Allah SWT menjadi ‘ejen pengubah’ kepada pasangan.
Wanita yang memiliki suami, anak, rumah tangga aman bahagia, sihat tubuh badan dan harta secukupnya, ia adalah nikmat tidak terhingga. Ibarat telah mendapat syurga di dunia. Bersyukur kepada Allah SWT jika kita tergolong dalam kategori wanita bertuah seperti itu.
Ada wanita yang nasibnya tidak sebaik kita. Mereka dikurniakan suami kacak, baik, berkerjaya bagus, berharta dan agamanya terjaga, tetapi walaupun sudah bernikah bertahun-tahun pasangan itu tidak dikurniakan anak.
Ada wanita pula, hasil perkahwinan dengan suami tercinta, dikurniakan ramai anak tetapi ekonomi mereka tidak kukuh. Tidak kurang juga wanita yang berasa tidak bahagia, walaupun dikurniakan beberapa orang anak kerana anaknya semua perempuan, sedangkan suami teringin hendak anak lelaki.
.
Elak membandingkan diri
Lebih dahsyat lagi ujian Allah SWT, ada pasangan mempunyai anak lelaki dan perempuan tetapi anaknya cacat pula. Dalam hidup ini, apabila kita fokus kepada apa yang dimiliki, kita akan bersyukur. Tetapi, jika fokus kepada yang tidak ada, akan rasa kekurangan kerana asyik membandingkan diri dengan orang lain.
Hasil daripada perbandingan itu, yang akan terserlah hanyalah rasa terkilan dan tidak puas hati kerana hidup tidak seindah atau sebahagia orang lain.
Ingatlah jika asyik membandingkan dan bersaing dengan orang lain, mengharapkan penghargaan manusia dan sentiasa fikir apa orang kata, hidup tidak akan tenang. Demikianlah permasalahan rumah tangga, jika tidak berpunca daripada anak, mungkin daripada sikap suami atau isteri sendiri.
Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita tidak perlu cari punca masalah. Carilah segera penyelesaian masalah dan pada masa sama cari jalan untuk menguatkan jiwa supaya tabah menghadapi serta berhadapan masalah atau musibah.
Analoginya, apabila susu tertumpah di atas meja adakah kita akan segera mengambil kain dan mengelap bagi mengelak susu tumpah ke lantai yang menyebabkan banyak lagi tempat perlu dibersihkan. Atau kita bising-bising mencari siapa dan bagaimana susu itu tertumpah? Fikirkan mana satu pilihan perlu diambil.
Dalam kehidupan rumah tangga, cabaran sering ditemui ialah isteri berasa dirinya tidak dihargai, tidak dilayani dengan baik dan tidak mendapat kasih sayang daripada suami. Andai berhadapan masalah ini, pertama, tanyalah diri adakah kita telah melayan suami dengan baik?
.
Cari kesilapan sendiri
Kita tidak akan membersihkan jiwa selagi hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah SWT memberi kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila dia sibuk melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain hingga tidak sempat melihat keburukan orang.
Jika hendak mencari kesilapan suami tentu kita akan temui banyak kesilapannya kerana kita akan dapat apa yang difokuskan. Tetapi jika kita muhasabah mencari kekurangan diri, akhirnya kita akan dapat menerima suami seadanya dan menemui banyak kebaikan suami untuk disyukuri.
Manusia paling lemah ialah mereka yang menyembunyikan keburukan diri tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang lain dan berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
Jika ingin diri disayangi dan dihormati, kita terlebih dahulu perlu menyayangi serta menghormati. Ingatlah dunia melayan kita sebagaimana kita melayan diri sendiri. Harga diri yang tinggi bergantung kepada ketakwaan kepada Allah SWT dan akhlak yang terkawal.
Cabaran seterusnya biasa dihadapi isteri adalah berhadapan dengan suami yang ego. Hakikatnya, suami adalah ketua keluarga dan kerana itu perlu mempunyai ego tetapi janganlah berlebihan keegoan hingga menggugat hubungan suami isteri.
Tanda orang yang tinggi sifat egonya, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain. Kemarahan keluar daripada hati yang suka marah. Oleh itu, perlu pastikan kemarahan disebabkan oleh apa dan kepada siapa.
.
Ada sejarah hitam
Orang yang ego sebenarnya kurang keyakinan diri dan mempunyai sejarah hitam semasa kecil yang mempengaruhi kehidupan dewasanya. Isteri berhadapan suami yang berimej negatif perlu menghargai dan melayan suami dengan kasih sayang.
Puji dan hargai kehadirannya dalam hidup kita, sebut selalu kebaikannya. Tukar fokus kepada mencari kebaikan suami. Tonjolkan kebaikan, jangan sengaja mencari dan mengungkit kelemahan suami. Ramai yang suka menghukum berdasarkan perkara yang lepas.
Allah SWT lebih suka orang yang berdosa tetapi bertaubat daripada orang yang kuat beramal tetapi riak. Jangan fikir sejarah silam suami jika berniat ingin membawanya ke jalan yang baik kerana Allah SWT. Insya Allah akan dipermudahkan urusan kita.
Apabila suami mendapat pujian dan penghargaan isteri, keyakinannya semakin tinggi. Pada masa sama, suami tidak berasa perlu menunjukkan kehebatan dan kemampuan dirinya (keegoan) kerana sudah mendapat pengiktirafan daripada isterinya.
Akaun emosi suami akan melonjak tinggi apabila suami mendapat kasih sayang dan penghargaan daripada orang terdekat dengannya iaitu isteri. Dalam proses hendak mengambil dan menambat hati suami, jangan menghukum atau bersangka buruk kepada suami.
Sebaliknya, berterus terang dan cakap dari hati ke hati apa yang patut atau tidak patut dilakukan. Semarakkan rasa cinta dan jadilah isteri yang sentiasa bersyukur serta menghargai kehadiran seorang lelaki bergelar suami.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Malaikat Rahmat Tak Masuk Rumah-Rumah Orang Ini

DALAM kehidupan di dunia ini, setiap orang memerlukan tempat tinggal yang aman, damai, sejahtera, selesa dan harmoni sebagai tempat berlindung atau berteduh. Malah, sebagai umat Islam, pasti kita juga mengharapkan rumah yang diduduki sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah.
Persoalannya, bagaimanakah cara kita selaku umat Islam untuk mendapatkan rumah yang dirahmati? Sebenarnya, antara faktor menyebabkan sesebuah rumah itu mendapat rahmat dan keberkatan adalah disebabkan rumah itu sentiasa dikunjungi Malaikat Rahmat.
Malaikat Rahmat sentiasa taat menjunjung akan perintah Allah SWT dan tidak pernah menderhakai-Nya sebagaimana firman Allah dalam Surah At Tahriim ayat 6, yang bermaksud: “Mereka (malaikat) tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” Apabila Malaikat Rahmat memasuki rumah seseorang, inilah yang disifatkan sebagai satu rahmat, keuntungan dan kebaikan bagi penghuninya.
Penghuni yang beriman akan dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan, memperoleh ketenangan dan ketenteraman hati serta dipohonkan keampunan oleh malaikat. Mereka dipelihara ketika tidur dan jaga, didoakan malaikat, selain doa mereka turut ‘diaminkan’ malaikat ketika mengerjakan solat.

Ini antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Oleh itu setiap orang mukmin hendaklah sentiasa memelihara perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah kita.
Sebaliknya, apabila malaikat tidak masuk ke dalam rumah kita, ditakuti pula syaitan akan mengambil tempat memasukinya. Apabila syaitan berada pada satu tempat disebabkan ada maksiat dilakukan, malaikat tidak akan masuk ke tempat itu kerana syaitan adalah musuh malaikat.
Perlu diketahui, ada banyak sebab mengapa rumah atau tempat kediaman tidak dimasuki Malaikat Rahmat, antaranya:
1. Rumah orang yang memutuskan tali persaudaraan. Sesungguhnya menghubungkan silaturahim adalah wajib, manakala memutuskannya maksiat dan berdosa besar.
2. Rumah orang yang menderhaka kepada ibu bapa. Kewajipan anak terhadap ibu bapa ialah berbuat baik, taat dan menghormati mereka. Menderhaka adalah sebesar-besar dosa selepas syirik kepada Allah. Sesungguhnya keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa terhadap anaknya dan kemurkaan Allah terletak pada kebencian ibu bapa terhadap anaknya.
3. Rumah orang yang memakan harta anak yatim. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang diberi layanan baik terhadapnya. Dan seburuk-buruk rumah orang Islam ialah rumah yang tinggal di dalamnya anak yatim yang dianiaya.” (Riwayat Al-Imam Ibnu Maajah)
4. Rumah yang mempunyai anjing. Islam menitikberatkan soal kebersihan dan kesucian. Adanya anjing dalam rumah seorang Muslim memungkinkan adanya najis pada persekitaran rumah disebabkan jilatan dan kencing anjing atau seumpamanya.
Riwayat Imam Al-Bukhari menyatakan, Abi Talhah mendengar baginda Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk malaikat ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan tidak pula masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya patung.”
5. Rumah yang mengadakan majlis namun langsung tidak menyebut perkataan mengingati Allah. Sesuatu majlis yang tidak diisi dengan zikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir dan tidak diisi ucapan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW disifatkan sebagai kelalaian, kerugian dan penyesalan disebabkan hilangnya kebajikan, tidak mendapat apa-apa ganjaran atau pahala, jauh daripada Malaikat Rahmat dan bertapaknya syaitan dalam majlis itu.
Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah satu kaum duduk dalam satu majlis di mana mereka tidak berzikir kepada Allah SWT melainkan ditimpakan ke atas mereka pengurangan pahala.” (Riwayat Al-Imam Ahmad)

6. Rumah yang banyak kedengaran di dalamnya caci maki. Contohnya mencaci maki sesama Muslim, mencaci maki orang yang telah meninggal dunia, kejadian alam, penyakit dan sebagainya. Bagi setiap Muslim dan Muslimah mestilah sentiasa memelihara atau menjaga lidahnya daripada setiap kata atau ucapan melainkan yang jelas ada manfaatnya.
Di antara rahsia di sebalik menjaga lidah itu ialah memudahkan Malaikat Rahmat mendekatkan diri kita dan datang berkunjung ke dalam rumah kita. Orang yang celupar lidahnya, suka memaki hamun, mencela dan mengutuk tidaklah disifatkan sebagai orang yang beriman sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :
“Dari Abdullah telah berkata : Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Seorang yang beriman itu bukanlah orang yang suka mencela, suka mengutuk, suka berbuat jahat dan bukan pula yang kotor lidahnya”. (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
7. Rumah orang yang dilaknat. Antara golongan yang dimaksudkan ialah orang yang terbabit dengan arak dan rasuah, orang yang merubah ciptaan Allah seperti membuat tatu pada tubuh badan, mencukur atau menipis bulu kening, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Untuk menjadikan rumah kita sentiasa dikunjungi oleh Malaikat Rahmat hendaklah kita menjauhi perkara-perkara yang dilarang dalam agama kita. Biarlah segala yang makruf itu dijadikan sebagai prinsip dan syiar dalam kehidupan kita seharian.
Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan Malaikat Rahmat akan sentiasa mengunjungi rumah kita dengan membawa berkat dan mendoakan kebaikan serta keselamatan terhadap diri dan keluarga kita. Amin Ya Rabbal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahzab ayat 43 tafsirnya :
“Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya pula berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman dan taat). Dan adalah Ia sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman di dunia dan di akhirat”.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI