
Enam tahun melayari bahtera rumah tangga, Wan Emir Astar menitipkan ucapan penuh makna buat isteri tercinta, Mira Filzah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
Menerusi perkongsian di Threads, Wan Emir menyifatkan perjalanan enam tahun bersama Mira sebagai satu proses memahami makna cinta dengan lebih mendalam.
“Cinta itu tidak selalunya banyak bicara. Kadang-kadang cukup dengan satu pandangan, satu genggaman tangan, atau sekadar berada di sisi.”
Wan Emir turut menyentuh tentang bagaimana kehidupan berumah tangga mengajar mereka untuk saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain.
“Kita belajar bahawa cinta bukan tentang menjadi sempurna, tetapi tentang dua insan yang tidak sempurna, yang tetap memilih satu sama lain setiap hari.”
Dalam perkongsian sama, Wan Emir melahirkan rasa syukur atas perjalanan rumah tangga yang dibina bersama Mira serta memanjatkan doa agar hubungan mereka terus diberkati.
“Semoga Allah terus memimpin langkah kita, menjaga hati kita, melindungi keluarga kita dan menjadikan setiap cinta, perjuangan dan pengorbanan ini sebagai bekalan menuju kehidupan yang kekal.”
BACA JUGA: Sarung Busana Kahwin Ibu, Pilihan Illyyeen Ishak Sarat Nilai Sentimental
Mengakhiri ucapan istimewa itu, Wan Emir menitipkan harapan agar perjalanan mereka sebagai suami isteri terus kekal hingga ke akhir hayat.
“Genggam erat tangan kita di dunia hingga ke syurga menanti.”
Mira Filzah dan Wan Emir mendirikan rumah tangga pada September 2020 selepas mengikat pertunangan pada tahun yang sama. Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir yang kini sudah mencecah usia 4 tahun.
Selepas enam tahun bersama, ucapan Wan Emir itu cukup menggambarkan bagaimana cinta dalam perkahwinan berkembang daripada sekadar kata-kata romantis kepada sebuah hubungan yang dibina atas kefahaman, kesetiaan dan juga doa.