Isu perancang kehamilan adalah sesuatu yang tidak asing lagi di zaman ini sekalipun di negara-negara Islam seperti di Malaysia. Dalam era serba moden ini manusia semakin bijak menyelusuri kehidupan dalam apa jua perkara termasuklah merancang keluarga sama ada untuk kebaikan atau untuk keburukan. Seperti yang hangat diperkatakan, kehamilan seseorang wanita boleh dirancang dengan menggunakan kaedah moden seperti pil perancang, suntikan, implanon dan sebagainya. Timbul persoalan apakah hukum merancang kehamilan bagi wanita?
Terlebih dahulu meneliti apakah pandangan Islam terhadap perkara tersebut, marilah kita sama-sama memahami beberapa definasi dan pengenalan berikut :
1 – TANZIM AL-USRAH ( تنظيم الاأسرة ) : Ertinya : Merancang Keluarga , seperti dengan cara berjimak dengan isteri pada tarikh dan masa yang tertentu , ataupun dengan cara selainnya dengan tujuan untuk menyusun jadual kehamilan mengikut kehendak sepasang suami – isteri . Nama lain bagi Tanzim Al-Usrah ini ialah “ Tanzim An-Nasal “ ( تنظيم النسل ) yang bererti : Merancang Kelahiran . Ianya dilakukan menurut tempoh tertentu , bukannya secara kekal.
2 – TAHDID AN-NASAL ( تحديد النسل ) : Ertinya : Membatasi Kelahiran , seperti alat kelamin lelaki ataupun perempuan dimatikan fungsinya , sehingga tidak boleh menghasilkan sperma yang boleh menyebabkan seseorang zuriat itu lahir. Nama lain bagi proses ini ialah “ Tahdid Al-Usrah“ ( تحديد الأسرة ) yang bermakna : Membatasi Keluarga . Di dalam kitab-kitab Fiqh klasik , istilah untuk proses yang sama seperti ini dinamakan sebagai “ At-Taa’qim “ ( التعقيم ) ertinya : Proses Pemandulan . Kalau untuk binatang diertinkan sebagai : Proses Pengkasian . Proses pemandulan ini @ membatasi keturunan ini dilakukan untuk jangka masa yang kekal-abadi.
3 – ‘AZAL ( العزل ) : Proses menahan ataupun menghalang mani lelaki daripada masuk ke dalam rahim wanita , samada dengan cara menumpahkannya , ataupun dengan memakai kondom dan seumpamanya. Dilakukan agar wanita tersebut tidak hamil.
TANZIM AL-USRAH ( تنظيم الاأسرة ) : MERANCANG KELUARGA
Walaupun Islam sememangnya mahukan umat yang ramai akan tetapi di dalam beberapa ketika, dibenarkan bagi sepasang suami-isteri itu untuk merancang keluarganya iaitu dengan menggunakan sistem di atas.
Tanzim Al-Usrah ini dibenarkan di atas sebab-sebab berikut :
1 – Agar si ibu mempunyai tempoh masa yang cukup untuk menghadapi anak yang akan datang dan tempoh untuk menyusui anak yang pertama itu sempurna selama dua tahun sebagaimana menurut ajaran Al-Quran Al-Karim. Selain itu, dengan menyusun jadual kehamilan bagi tempoh 2-3 tahun bagi setiap kehamilan , lebih memberikan kekuatan dan tenaga kepada si ibu.Lihat dan pelajari Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Al-Baqarah , ayat 233.
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan. (al-Baqarah:233)
2 – Jika si ibu itu lemah fizikalnya , tidak berupaya untuk selalu bersalin.
3 – Jika si ibu itu ataupun si bapa mempunyai “ penyakit keturunan “ yang boleh menjangkiti si anak yang bakal dilahirkan.
4 – Terdapatnya sebab-sebab ekonomi bagi sesebuah keluarga itu , seperti keadaan susah dan miskin . Perkara ini diistilahkan oleh ulama’ , khasnya oleh Hujjatul Islam , Imam Al-Ghazali (rh) sebagai : “ الخوف من الوقوع في الضيق بسبب كثرة الأولاد “ yang bermaksud : Bimbang terjerumus ke dalam lembah kesusahan disebabkan ramainya anak.
5 – Si ibu itu sememangnya mempunyai penyakit , dan jika dia beranak lagi, penyakit yang dideritai itu akan lambat sembuh , ataupun tidak sembuh ataupun anak yang bakal dilahirkan itu dalam keadaan yang amat sukar.
Apabila terdapatnya salah-satu daripada sebab-sebab di atas , dan ianya disememangnya disahkan oleh orang yang ‘alim di dalam agama , dengan kerjasama daripada seorang pakar perubatan yang amanah , maka Tanzim Al-Usrah ini harus dilakukan menurut pandangan Islam.
TAHDID AN-NASAL ( تحديد النسل ) MEMBATASI KELAHIRAN :
Proses membatasi kelahiran ini dilakukan dengan cara memandulkan si suami ataupun si isteri agar mereka tidak lagi boleh menghasilkan zuriat di masa yang akan datang. Sama ada ianya dilakukan secara proses pembedahan , ataupun dengan mengambil jenis-jenis makanan tertentu dan seumpamanya.
Walaupun tiada nas yang jelas di dalam Al-Quran , mahupun Al-Hadits yang menyatakan mengenai HARAMNYA MEMBATASI KELAHIRAN ( PROSES PEMANDULAN ) seperti ini , akan tetapi majoriti ulama’ Islam menyatakan perkara itu sebagai HARAM dan DITEGAH OLEH SYARAK .
Namun minoriti ulama’ pula menyatakan bahawa ianya DIBENARKAN OLEH SYARAK berdalilkan firman Allah Ta’ala di dalam Surah Asy- Syura , ayat 50 :
Ertinya : “ Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada sesiapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa “ .
Daripada ayat di atas, maka minoriti ulama’ ini pun mengatakan : “ Jika Allah Ta’ala sendiri memang menciptakan sebahagian manusia itu ada yang mandul disebabkan ada hikmahnya, maka tidaklah salah jika sebahagian manusia itu juga boleh jadi mandul disebabkan ada maslahahnya ( kebaikannya ) “.
Dan sebahagian ulama’ Fiqh membenarkan proses pemandulan ini jika ada penyakit yang berhubungan dengan seks , akal ataupun diri , yang mana telah dikenal-pasti sebagai sakit yang berbahaya lagi tiada ubatnya dan penyakit itu pula boleh menjangkiti anak yang bakal dilahirkan lagi berbahaya.
Namun , setelah diambil-kira semua pendapat ulama’ di dalam hal ini , maka PENDAPAT YANG PALING MENEPATI KEHENDAK SYARIAT ISLAM ITU SENDIRI IALAH : HENDAKLAH DILAKUKAN PROSES PEMANDULAN INI BUAT SEMENTARA WAKTU SAHAJA , BUKANNYA UNTUK SELAMA-LAMANYA . KERANA INSYA-ALLAH ADA PENYAKIT BAGI SETIAP UBAT ITU – KECUALI PENYAKIT AS-SAM : MATI – Dan apabila ditemui ubat tersebut , maka proses pemandulan seperti ini sudah tidak lagi diperlukan. Dan kemungkinan juga , jika sesebuah keluarga itu susah , barangkali di kemudian hari kelak , setelah mereka dikurniakan rezeki daripada Allah Ta’ala secara berlimpah-ruah , di saat itu sudah tentu mereka sangat berhajat kepada zuriat yang ramai . Dan kalaulah mereka melakukan proses pemandulan yang kekal , sudah pasti mereka tidak akan memperolehi zuriat sendiri di kemudian hari. Apatah lagi , proses pemandulan yang bersifat kekal ini adalah satu kezaliman ke atas makhluk Allah Ta’ala yang mana kezaliman merupakan satu perkara yang sangat ditentang dan dilarang oleh Islam !
‘AZAL ( العزل ) : MENAHAN SPERMA DARIPADA MASUK KE DALAM RAHIM
Perkara ini sendiri pernah berlaku di masa hidupnya Baginda Rasulullah s.a.w .
Ertinya : “ Daripada Jabir r.a beliau berkata : Kami pernah melakukan Al-‘Azal di zaman Rasulullah s.a.w dan perkara itu sampai ke pengetahuan baginda s.a.w , tetapi Baginda s.a.w tidak pula menegah kami daripada melakukan perkara tersebut “ ~ ( Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim – Kitab An-Nikah – 2610 ) .
Dan bagi seseorang suami tidak dibenarkan melakukan perkara tersebut melainkan dengan redha isterinya , dan tentulah sebuah kebahagian rumahtangga yang diimpikan itu tidak akan menjadi realiti andainya tiada kesefahaman dan redha-meredhai di antara anggota rumahtangga itu.
Berikut beberapa kesilapan yang kerap dilakukan oleh pasangan baru berkahwin.
Kesilapan 1: Tidak menguruskan hutang
Memang bunyinya tidak romantik, tetapi hakikat ini tidak boleh ditolak. Banyak perkara membabitkan kewangan perlu ditangani pada tahun pertama perkahwinan terutama jika berhajat untuk membeli rumah dalam tempoh beberapa tahun lagi. Wang antara yang kerap menjadi punca pergaduhan dalam rumahtangga (sehingga membawa perceraian). Jadi mengurus kewangan dengan cara bijak adalah antara perkara utama.
Apa yang perlu dilakukan: Berterus-terang antara satu sama lain mengenai hutang-hutang peribadi yang ada, kerana baik atau buruk anda sudah berkahwin. Langkah bijak jika anda mula membentuk pelan kewangan keluarga untuk masa depan
Kesilapan 2: Menyingkirkan kawan
Kawan adalah asas kepada kejayaan kepada sebuah perkahwinan, jadi anda masih memerlukan mereka.
IKLAN
Apa yang perlu dilakukan: Jelaskan pada kawan-kawan anda bahawa mereka juga penting dalam hidup anda. Undang mereka ke rumah atau sesekali keluar bersama mereka (tanpa pasangan anda) dan jadikan ia satu kelaziman walaupun jadual harian anda ketat.
Kesilapan 3: Tidak lagi menjaga soal penampilan diri kerana sudah selesa
Ini termasuk membiarkan berat badan terus meningkat. Pasangan baru kahwin cenderung untuk naik berat badan bermula dari tempoh bulan madu lagi dan tidak berusaha untuk memberi perhatian terhadapnya. Bagi mereka, mengapa perlu risau kerana sudah menemui pasangan hidup.
Apa perlu dilakukan : Buat rancangan bersama-sama pasangan anda untuk kembali cergas. Saling memberi motivasi, memuji dan bukan mengkritik
IKLAN
Kesilapan 4: Bergaduh secara tidak adil
Apabila sudah berkahwin tidak bermakna anda boleh bertindak melulu. Perselisihan faham mudah berlaku, tetapi tidak harus menyimpan dendam. Percaya atau tidak bahawa peraturan untuk ‘bergaduh’ dengan adil memang ada.
Apa yang perlu dibuat : Jika berasa marah, lebih elok keluar rumah seketika untuk meredakan perasaan. Dalam keadaan marah, seseorang mungkin tidak boleh berfikir dengan betul dan cenderung mengeluarkan kata-kata atau melakukan perubatan yang akan dikesali kemudian hari. Ambil langkah berbaik-baik.
IKLAN
Kesilapan 5: Menjadi terlalu obses dengan langkah seterusnya – anak
Pasangan baru kahwin boleh menjadi terlalu obses tentang soal anak sehingga mereka terlupa untuk menikmati apa yang mereka ada sekarang.
Apa yang perlu dilakukan: Fokus terhadap hubungan yang sedia ada. Nikmati kebahagiaan yang sedia ada bersama-sama. Nikmati saat-saat indah sebelum anda perlu bangun 4 pagi untuk menyusukan anak.
Buat perancangan supaya anda lebih bersedia terutama dari segi masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata. Ini dapat mengelak anda daripada terlalu obses.
Zaman bertunang sebenarnya adalah fasa perkenalan dan persediaan bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Orang tua-tua selalu pesan, kalau dah berkenan di hati tu, cepat-cepatlah masuk meminang untuk memelihara maruah masing-masing dan juga menjauhi dari mulut-mulut yang sering menabur fitnah ini.
Bila dah bertunang tu, jangan pula ikat lama sangat untuk ke alam perkahwinan sebab katanya nanti, makin banyak cabaran dan dugaan yang mendatang.
Duit
Kos persiapan perkahwinan memakan wang yang banyak. Belah perempuan sahaja ada 3 majlis yang selalunya dibuat -tunang, nikah, resepsi. Bagi pengantin lelaki pula, masa ini terfikir tentang duit hantaran, rumah selepas berkahwin dan sebagainnya. Ini belum lagi fikir termasuk kos yang diperlukan untuk membeli mesin basuh, peti ais dan lain-lain untuk kediaman anda berdua selepas berkahwin nanti. Kadang kala bahang itu lebih terasa jika pasangan anda berdua mempunyai tabiat menyimpan dan berbelanja yang berbeza
Tips: Kalau usaha lebih sedikit, insyaallah duit boleh dicari. Cuma kena rajin sedikit lah. Jika majlis anda bakal berlangsung lagi 6 hingga 11 bulan lagi, anda boleh mula menyimpan daripada sekarang. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Jika perlu, anda semak semula bajet majlis anda, ungkin ada kos yang boleh dikurangkan atau ditambahbaik. Ini baru ujian kecil tentang duit, nanti selepas berkahwin, akan ada banyak lagi hal yang melibatkan hal ehwal kewangan anda berdua perlu hadapi bersama. Untuk barangan rumah selepas berkahwin nanti, apa kata anda beli sedikit-sedikit. Beli yang asas dahulu. Berusaha bersama-sama okay? Susah senang biarlah bersama.
Keluarga dan bakal keluarga mertua
Ada pasangan diduga dengan sedikit masalah dengan keluarga pasangan. Mungkin ipar duai, mungkin juga mentua. Lagi sedih kalau pasangan anda bias terhadap keluarganya apabila anda berkongsi tentang hal ini. Kalau sikit-sikit tak apa lagi, tapi kalau dah selalu sangat, mesti terkesan sedikit, kan? Lagi-lagi jika ada yang tunjuk secara terang-terangan yang beliau dan anda tidak ‘ngam’.
Tips: Yang ini selalu jadi, sweetie. Tidak kiralah anda lelaki, atau pun perempuan. Tapi anda cool saja okay. Kalau ipar duai atau biras yang suka cari pasal dengan anda, anda tak payah ambil port sangat. Kadang kala memang geram. Tapi, Allah Maha Adil. Anda pergi happykan diri anda dengan benda lain. Dan.. Ada sesetengah parents yang cepat sahaja boleh menatang bakal menantu seperti anak sendiri, tapi ada juga yang lambat sedikit. Biasalah itu. Jangan ambil hati pula. Bukan mereka tidak suka, mereka mungkin ambil masa sedikit untuk kenal anda. Ada sesetengah parents yang mungkin lebih skeptikal sedikit. Anda buat macam biasa sahaja. Hormati dan sayangi anak mereka seperti biasa. Cara paling senang untuk yakinkan ibu bapa adalah dengan cara anda menjaga anak mereka. Parents ini, kalau anak mereka sedih, anak tak perlu cakap pun mereka tahu. Yang paling penting sekali, tidak kisahlah apa yang berlaku, anda dan pasangan perlu kuat sebagai satu pasukan.
Yang lama
Dah lama tak muncul, tiba-tiba nak kahwin ini, dia muncul pula. Hah, jangan tergugat pula. Ada sebab kenapa ‘ex’ tu jadi ‘ex’ anda.
Tips: Yang ini tidak perlu tips kot. Takkan nak kahwin pun tidak ‘move on’ lagi.
Yang baru
Bila dah bertunang ini, tiba-tiba nampak pula yang lebih menarik dan lebih sesuai untuk anda. Hati pun macam sedikit ragu-ragu dah untuk bersama pasangan.
Tips: Benda macam ini banyak berlaku. Sebab itulah banyak kes curang selepas berkahwin. Tak pernah nak rasa puas dengan apa yang ada. Sentiasa rasa yang anda patut dapat yang lebih baik. Masalahnya, dengan pola pemikiran sebegini, anda tidak rasakah yang pasangan anda yang sebenarnya ‘deserve’ seseorang yang lebih baik daripada anda? Seseorang yang tahu bersyukur, maybe? Jangan marah, cakap saja.
Baik buruk
Masa bertunang ini, anda dan pasangan sudah mula membuat keputusan untuk hal-hal serius. Kalau dulu anda berdua hanya perlu buat keputusan tentang nak makan mana, nak tengok ‘movie’ apa, kali ini anda berdua sudah perlu buat keputusan tentang nak tinggal mana, nak beli rumah jenis apa, bajet bulanan selepas berkahwin dan sebagainya.
Pendek cerita, keputusan yang ada efek kepada masa depan. Bila masuk hal tanggungjawab selalunya keadaan akan jadi sedikit tegang sampaikan benda kecil pun anda berdua cepat rasa ‘annoyed’.
Tips: Transisi perubahan hidup kadang kala ada bawa sedikit ketegangan kepada seseorang individu. Perkara sebegini agak normal. Relaks. Jangan takut dengan komitmen. Anda dalam proses untuk membina keluarga dan menjadi dewasa. Seperti pokemon, anda pun sedang ‘evolve’.
Imam Bukhari meriwayatkan, Abu Hurairah menceritakan bahawa seorang lelaki datang meminta nasihat daripada Rasulullah S.A.W. Baginda menjawab “ Jangan marah”. Lelaki tersebut mengulangi soalannya. Rasulullah S.A.W menjawab “Jangan marah”. Soalan diulang lagi beberapa kali, lantas baginda mengulang juga jawapan yang sama.
Dalam hadis yang lain, Riwayat Imam Tarmizi:
Lelaki itu berkata “Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku dan janganlah terlalu banyak, moga aku senang memahaminya”. Lantas baginda menjawab “Jangan marah”.
Kenapakah Nabi S.A.W mengulangi jawapan yang sama kepada pemuda tersebut?
Ini kerana marah adalah salah satu bentuk emosi yang semulajadi. Marah boleh diceritakan kepada dua iaitu marah yang terpuji dan marah yang dikeji.
Kebiasaannya, marah kita lebih cenderung kepada sifat negatif yang memberi kesan kepada pergerakan yang tidak terkawal dan tindakan ganas terhadap orang tersayang. Marah seperti ini yang tergolong dalam marah yang dikeji.
Teruskan pembacaan anda untuk tahu siapakah tiga individu tersayang yang akan cepat terkesan dengan sikap amarah anda.
KESAN-KESAN NEGATIF APABILA MARAH
l
#1-Kerana Marah, Diri Menjadi Sakit
Individu pertama yang akan terkesan adalah diri anda sendiri.
Marah memberi kesan terus pada kesihatan hati dan jiwa anda. Sesuai dengan bait lagu ini “Sakitnya tuh di sini, di dalam hatiku”. Rasa sakit dan marah bekerjasama, maka secara tidak sedar karakter kita akan berubah sekelip mata.
Bermula dari hati akan pergi membawa ke lidah. Kata-kata yang dikeluarkan ada yang kasar dan berbentuk makian. Tidak semena-mena, suara yang keluar juga menjadi kuat dan menarik perhatian orang sekeliling.
Ekspresi muka apabila sudah marah, hilang semua kemanisan. Muka menjadi merah, badan tiba-tiba rasa panas, tangan dan kaki pula jadi ringan untuk memukul.
Rasa marah tidak boleh diberhentikan tiba-tiba seperti ada suis buka tutup. Tapi ada cara kita dapat mengawalnya sendiri dengan cara yang betul.
Tenang….tarik nafas dalam-dalam. Istighfar…
#2-Kerana Marah, Rumahtangga Goyah
Individu kedua adalah pasangan anda, orang yang anda pilih untuk bersama dalam kehidupan rumahtangga.
Rumahtangga yang goyah kerana banyaknya pertengkaran.
Pertengkaran bermula bila terbit rasa tidak puas hati antara satu sama lain dan membuka laluan untuk emosi marah ini menjengah.
Marah yang sederhana
Berlaku pertengkaran kecil dan tidak berlarutan terlalu lama. Kebiasaannya, rasa marah ini datang dari seorang isteri. Marah mereka dalam bentuk bebelan dan pesanan kepada suami.
Rasa marah yang ada sedikit hilang setelah dapat menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap pasangan. Dalam masa ini pasangan yang dimarahi harus menerima dan mendengar sahaja.
Marah yang berbahaya
Rasa marah pada peringkat ini yang membimbangkan. Bimbang rasa marah ini akan mendorong perlakuan yang boleh menyakiti pasangan khususnya.
Selalunya dari sikap pasangan yang panas baran. Situasi yang melibatkan perkara yang mereka tidak suka lihat, dengar dan katakan mereka akan cepat melenting. Situasi yang lain juga pasangan panas baran ini akan mudah marah apabila cemburu, ego tercabar dan prasangka buruk.
Sebelah pihak yang lagi satu akan menderita mempunyai pasangan panas baran. Tidak dapat lari genggaman mereka, pihak ini akan menggunakan konsep bertahan. Sehingga sampai satu masa karakter pihak ini berubah, mereka terpaksa melawan bagi melindungi diri. Kesannya wujud pertengkaran lebih besar.
Lalu, bagaimana keharmonian hubungan mahu mekar? Lebih banyak pertengkaran dari perbincangan antara satu sama lain.
#3-Kerana Marah, Anak-anak Menjadi Mangsa
Anak-anak menjadi mangsa tempat kita melepaskan rasa marah yang belum habis kepada pasangan.
Secara tidak sedar, rasa marah turut mencetuskan tindakan reflek dari kita kepada anak. Tengah marah-marah, tangan pula mencubit, menampar dan memukul anak. Selepas beberapa ketika, baru kita tersedar dan berhenti. Allah…istighfar banyak-banyak sahabat..
Termanggu-manggu seketika anak apabila dimarah. Usia anak masih muda, jiwa mereka belum dapat memahami sepenuhnya kehendak ibubapa.
Adakah kita mahu anak itu nanti membesar menjadi seorang pemarah, pembengis dan agresif?
Kita pasti tidak mahu mereka membesar dengan karakter tersebut. Kita berharap mereka tidak akan ikut perkembangan yang tidak baik. Kita mahukan mereka membesar dengan pemikiran yang sihat.
Sekali sekala anak-anak perlu dimarah dan ditegur. Ibubapa harus juga menunjukkan ketegasan terhadap anak perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh. Gunakan cara penyampaian yang betul. Tidak menjerit apatah lagi menengking dengan bahasa yang kurang sopan terhadap anak-anak.
Menarik untuk dibaca juga Perkara yang Membuatkan Saya Berhenti Menjerit Dan Menengking Anak-Anak Saya
Kita sudah tahu betapa kritikalnya keadaan bila kita marah. Kerana marah, manusia akan hilang pertimbangan diri. Merawat emosi marah ini adalah lebih baik dari cubaan menghapuskannya. Kerana sebagai hamba Allah, kita tidak terlepas dari ujian dan cabaran yang hadir untuk menguji nilai kesabaran dalam diri kita.
Ayuh! sama-sama kita memperbaiki diri dan mengurangkan sifat marah yang tentunya lebih banyak kemudaratan dari kebaikan.