
Cara bina hubungan baik sesama ipar duai dan ahli keluarga yang lain:
Ketahui perkara yang disukai
Cuba selidik perkara yang disukai oleh ipar duai dan pada masa sama pelajari juga perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka. Melalui cara ini anda dapat mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh adik beradik suami.
Waktu bersama
Habiskan waktu bersama dan pilih aktiviti yang disukai sama ada berkaitan dunia masakan, hiasan, pakaian, kecantikan mahupun senaman. Pasti ada satu perkara yang boleh anda lakukan bersama mereka. Jika mereka suka aktiviti kecergasan, sertailah mana-mana acara larian ceria yang banyak dianjurkan kini. Jika tidak, anda boleh merancang untuk keluar makan dan menonton wayang bersama-sama.
Beri hadiah
Hadiah yang diberikan tidak perlulah terlalu mewah kerana paling utama adalah ikhlas. Beri hadiah kecil yang menunjukkan rasa perhatian dan mesra terutama pada ulang tahun hari kelahiran atau apabila anda pergi bercuti. Melalui cara itu, mereka akan berasa lebih disayangi dan berasa diri dihargai.
Tanya pendapat
Jangan segan untuk bertanya pendapat termasuklah tip rumah tangga atau didikan anak-anak kepada ipar duai. Mungkin mereka dapat membantu berkongsi pandangan yang berguna.
Beri bantuan ikut kemampuan
Tawarkan bantuan ketika mereka sedang mengalami masalah. Bantuan itu bukan hanya dalam bentuk kewangan namun ia juga boleh diberikan dalam bentuk nasihat atau pandangan.
Jangan jadi kaki sibuk
Ini paling penting. Sebagai ipar, jangan sesekali mencampuri urusan rumah tangga ipar duai walaupun kes terbentang di depan mata anda. Jangan juga mencuba untuk memberi nasihat walaupun melalui orang tengah jika tidak diminta kerana ia mungkin boleh memburukkan keadaan. Langkah terbaik ialah hindarkan diri daripada masalah.
Berhati-hati
Berhati-hati bukanlah bermaksud langsung tidak boleh mempercayai tetapi dalam apa juga perkara perlu ada batasnya terutama sekiranya ia membabitkan soal peribadi suami isteri. Jaga rahsia keluarga anda sebaiknya khususnya yang membabitkan soal maruah. Menjaga hubungan yang baik dengan ipar sangat penting kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kehidupan anda.
Buat Majlis Kahwin Simple, Supaya Anak Bini Tenang Tanpa Hutang Nanti

PERKAHWINAN membuktikan manusia meraikan salah satu fitrah mereka yang memerlukan pasangan hidup.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati akan kebesaran Allah.” (Surah az-Zariyaat, ayat 49)
Apabila ingin berkahwin, kebanyakan orang memilih mengadakan majlis untuk menghebahkannya sesuai dengan tuntutan agama. Salah satu tujuannya adalah bagi mengelakkan fitnah.
Antara adab walimatulurus (kenduri perkahwinan) yang perlu dipatuhi adalah:

1. Rasulullah SAW memperingatkan orang-orang yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan supaya tidak hanya mengundang golongan berada saja. Golongan itu sudah biasa dengan makanan mewah.
Sebaliknya, golongan miskin dan kurang berada sangat menantikan majlis seumpama itu untuk menikmati makanan yang lazat. Barangkali santapan harian mereka berlaukkan nasi dengan telur dan kicap saja.
Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Makanan paling buruk adalah makanan dalam walimah yang hanya mengundang orang-orang kaya saja untuk makan, sedangkan orang-orang miskin tidak diundang. Barang siapa yang tidak menghadiri undangan walimah, maka ia derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya.”

2. Elakkan pembaziran dalam majlis walimatulurus. Kebanyakan orang muda apabila ingin berkahwin, mereka mengimpikan dream wedding kerana kata mereka itu hanya dilakukan sekali seumur hidup.
Dengan kewangan yang belum stabil dan wang simpanan yang ‘suamsuam kuku’, kebanyakan mereka membuat pinjaman bank dengan nilai yang besar. Semuanya dilakukan demi merealisasikan perkahwinan idaman mereka.
Sesetengah yang suka bersaing ingin mengadakan majllis mereka yang diingati tetamu undangan. Ada yang mengundang artis terkenal untuk menyanyi dengan bayaran yang bukan sedikit.
Akibat kurang matang dalam bab kewangan, mereka tidak tahu kehidupan selepas berkahwin menuntut komitmen kewangan yang jauh lebih besar. Selepas berkahwin, apabila ingin berpindah rumah, sewa bulanan bukannya murah selain ditambah pula dengan wang deposit yang tinggi.
Begitu juga di dalam rumah mesti mahu dilengkapi perabot dan perkakasan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan pelbagai lagi yang semuanya memerlukan belanja.
Lebih kurang setahun selepas berkahwin, apabila isteri akan bersalin, perkara itu juga memerlukan kos yang besar. Ketika berpantang pula, bayaran mengupah tukang urut untuk tiga hari misalnya purata kosnya dalam lingkungan RM500.
Ketika bujang, duit gaji dirasakan banyak kerana belum mempunyai komitmen, tetapi apabila sudah berkeluarga, pasti perbelanjaannya kian bertambah.
Salah sebuah jabatan agama di negara ini mendedahkan, salah satu punca perceraian berlaku kerana bebanan hutang perkahwinan. Sehubungan itu, berpada-padalah berbelanja untuk mengadakan majlis walimatul urus.
3. Elakkan perkara maksiat. Salah satu trend hari ini diadakan sesi karaoke untuk saudara-mara menyanyi. Maka, di situ akan berlakulah pergaulan lelaki dan wanita sehingga melupakan adab dan tatasusila. Berkaraoke pula hingga larut malam tanpa mempedulikan ketenteraman jiran yang ingin tidur, terutamanya kepada jiran yang mempunyai anak kecil.
Selain itu, beberapa hari sebelum majlis berlangsung, saudara-mara akan berhimpun di rumah pengantin. Apabila sudah ramai dan berhimpit-himpit, soal aurat pula diabaikan.
Apabila keluar bilik mandi, ada yang tidak sempurna cara menutup aurat. Seelok-eloknya keluarga pengantin perlu sewa homestay dengan mengasingkan lelaki dan perempuan demi menjaga aurat.
Allah berfirman dalam Surah an-Nahl, ayat 72 yang bermaksud: “Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri berpasang-pasangan, dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit serta dikurniakan kepada kamu daripada benda yang baik lagi halal, maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah, dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?”
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Rajin Tahajud, Hidup Tak Sulit, Rezeki Halal Dan Diberkati

Allah SWT menyuruh hambaNya untuk sentiasa mengingatiNya dengan melakukan pelbagai amalan dan ibadah, iaitu menyedikitkan tidur malam dan memperbanyak qiamullail dan solat-solat malam seperti yang dianjurkan as-sunnah.
Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah untuk solat malam, kecuali sedikit sekali untuk tidur, iaitu seperdua dari waktu malam itu atau kurang sedikit daripadanya atau lebihi dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran dengan tartil dengan penuh perhatian, pengertian dan khusyuk.
Sesungguhnya saat-saat di waktu malam itu lebih kuat untuk khusyuk. Sesungguhnya bagimu waktu siang itu cukup panjang untuk berbagai urusan atau sebutlah (iaitu ingatilah) selalu nama Tuhanmu, dan beribadatlah kepadaNya sepenuh hatimu.”
– Al-Muzzammil: 1 – 4 dan 6 -8
Selain itu, saidina Umar al-Khattab juga menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata, ‘golongan yang mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat’.
.
Lima Ganjaran Tahajjud di Dunia
1- Jauh Daripada Semua Penyakit
Salman Al-Farisi menceritakan, Rasulullah SAW pernah bersabda;
“Kerjakanlah solat malam, kerana itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, jalan mendekatkan diri kepada Tuhan, penebus kesalahan, pencegah dosa, serta penghindar penyakit.”
2 – Dikurniakan Kesan Takwa Pada Wajah
Pernahkah melihat wajah-wajah ahli ibadah yang mengamalkan solat malam? Bukankah wajah mereka kelihatan berseri dan tenang? Itulah bukti anugerah yang Allah berikan kepadanya.
Bukan itu sahaja, dengan melihat wajah mereka sahaja pun kita berasa cukup bahagia dan seronok, bahkan terasa mahu melihatnya berkali-kali.
3 – Dikasihi Oleh Semua Manusia
Sesiapa yang mengamalkan ibadah malam pasti akan dikasihi oleh setiap manusia, apatah lagi oleh Allah SWT. Begitulah ciri-ciri orang yang beriman dan beramal dengan Allah pasti akan mendapat kasih sayang dari sesiapa pun.
4 – Percakapan Dan Perbuatannya Mengandungi Hikmah (Kebijaksanaan)
Sesungguhnya ciri-ciri mereka yang beriman adalah yang menjaga adab dan pertuturan kata-kata mereka. Golongan ini sudah tentu tidak berbicara hal yang melalaikan tetapi setiap kata-kata mereka adalah yang bermanfaat dan berhikmah.
Begitu juga dalam perbuatan dan tindak tanduk mereka yang sentiasa berusaha menjauhi perkara yang melalaikan dan berlumba-lumba melakukan kebaikan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
.
5 – Dikurniakan Kekuatan Dan Rezeki (Halal dan Diberkati)
Dengan menunaikan setiap amal ibadah kepada Allah SWT, tidak kiralah apapun ibadahnya pasti akan ditunaikan rezeki yang melimpah-ruah, seperti makanan yang enak, kesihatan, keluarga yang bahagia dan sebagainya. Bahkan setiap rezeki akan diberkati oleh Allah SWT.
Kurniaan Di Akhirat
- Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri.
- Dipermudahkan hisab.
- Melalui sirat al-Mustaqim dengan cepat seperti kilat.
- Diserahkan surat amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.
Solat malam seperti Tahajud adalah tawaran emas kepada setiap hambaNya untuk mendekatkan hubungan dengan Allah SWT.
Walau tidak mudah untuk bangun ketika banyak orang sedang nyenyak tidur, waktu yang dingin, ditambah dengan kesejukan untuk berwudhuk, namun semua ini adalah nikmat agung bagi sesiapa yang sering mengerjakannya sehingga terasa rugi pula jika meninggalkan peluang berharga itu.
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES
Bila Isteri Sedang Sakit, Ketabahan Dan Kesetiaan Suami Diuji

Akhirnya baruku tahu…isteriku menjadi calon syurgawi….
Ini kisah aku dan insan bidadariku yang dipanggil Illahi tanggal 16 September 1997.. ketika aku jadi pelajar pascasiswazah utk program sarjana (master). Tujuh bulan sebelum itu, dia seorang periang, seorang yang sangat berprinsip dan menyayangi aku melebihi dirinya sendiri.
Suatu hari, dia mengajak aku ke klinik kerana terdpat luka kecil ulser dilidahnya. Malamnya, setelah mengenakan tudung labuh dan jubah tanpa make-up, sedang aku selesa dgn jean, kami ke klinik Zul di Kajang, meninggalkan dua anak kecil kami Alia, 7 dan Iffah, 5 tahun. Arif 1 tahun aku bawa bersama. Dialah buah hati isteriku itu kerana masih menyusu badan.
Selepas 3 hari, ulser isteriku tidak kebah, malah terdapat tanda-tanda semakin merebak. Dia tidak lalu makan dan menanggung kesakitan. Kami sekali lagi ke klinik yang sama, lalu diberikan ubat lagi. Aku mula melihat perubahan pada isteriku, dia mula kurang bercakap, sekali sekala menahan kepedihan.
Selepas tidak juga kebah, aku nekad untuk ke PUSRAWI, kebetulan aku ke Kuala Lumpur. Sedikit pelik kerana sebaik sahaja isteriku menunjukkan ulser dilidahnya, doktor tersebut tidak membuat pemeriksaan tetapi terus berkata “Sila buat pemeriksaan segera di HKL”, lalu menyediakan sekeping surat. Rupanya doktor mengesyaki ulser isteriku adalah simpton kanser !
Isteriku kelihatan tenang, kerana kesakitan yang dirasakannya lebih menyiksakan dari berita tersebut. Dia lebih memerlukan rawatan untuk kesakitannya.
Selang beberapa hari, kami ke HKL. Doktor melakukan biopsy untuk diagnosa sel kanser. Mr. Nasir, doktor pakar HKL selepas mendapat keputusan diagnose mengesahkan isteriku mengidap kanser late stage 3. Inilah kata-kata Mr Nasir yang akan aku ingat sampai bila-bila “Othman, just give her a comfort life” yang kemudiannya aku fahami bahawa isteriku telah tercalon sebagai penghuni syurga.
Esoknya, isteriku dimasukkan ke wad HKL, dan doctor mengambil keputusan untuk membuat pembedahan membuang sebahagian lidah isteriku yang mempunyai sel kanser. Namun, isteriku tetap tenang, tidakpun kelihatan gusar. Aku tidak tahu kenapa dia begitu tenang.
Selepas itu beberapa siri biopsy dijalankan dan doctor mendapat sel kanser telah berada hampir diseluruh badannya. Mr Nasir memanggil fenomena sel kanser malignant isteriku sebagai “a sleeping monster”, yang boleh merebak dgn sangat cepat.
Bermulalah HKL menjadi rumah keduaku. Waktu pagi aku uruskan anak-anak aku, Alia ke sekolah, Iffah ke Taski, dan Arif ke rumah pengasuh. Kemudian aku ke UPM mengajar di Pusat Matrikulasi spt biasa, kemudian bergegas ke HUKM pukul 12 hingga 2 pm, hampir setiap hari. Malamnya, dalam pukul 10, aku tinggalkan anak2 aku utk dijaga oleh Alia, 7 tahun, pergi menemui isteriku di HKL. Hanya air mata sahaja menemai ku bila meninggalkan anak2.
Oleh kerana isteriku berada di wad perempuan, aku hanya menemai sehingga tengah malam, kemudian aku balik atau tertidur dalam kereta. Waktu pagi aku menyiapkan anak2 aku. Hujung minggu barulah aku membawa semuanya ke hospital. Aku tidak mahu menunjukkan kesedihan kerana itu pesan isteri malah dia sendiri begitu tenang. Dalam kesakitan, masanya dihabiskan dengan membaca Al-Quran, dan dikunjungi rakan, memohon maaf…. sambil sekali sekala dia mencoret sesuatu dalam diarinya.
Selepas 7 bulan berlalu, melalui siri-siri chemo…. wajahnya semakin cengkung, langkahnya semakin lemah, matanya semakin kuyu. Dia tidak lagi mesra dengan anak-anak, malah kelihatan menjauhi mereka. Aku kehairanan, namun terima dgn pasrah. Ketika itu HKL sudah membenarkan dia tinggal dirumah, seperti ada sesuatu isyarat untukku. Kedua ibu dan mertuaku pula menemainya kerumahku.
Suatu pagi, dia minta untuk memakai baju kemejaku. Aku mengiyakan. Tengahari aku balik spt biasa, untuk menemuinya. Dia bersandar ditepi katil, masih memakai baju kemejaku. Sekali sekala dia memandang kesyiling. Aku bertanya “Idah ingat apa?.. Idah ingat Allah ke?”. Dia tenang menganggukkan kepalanya.
Itulah komunikasi terakhir dgn isteriku buat selama-lamanya…
Malam pemergiannya, jenazah dibawa balik ke Rembau. Malam itu aku tidur disebelah jenazah isteriku buat kali terakhir hingga subuh. Selepas beberapa hari, aku membuka diari, dan terbaca satu tulisan ringkas yang membawa maksud “abang… Idah tidak mahu melayan anak2 supaya mereka tidak terasa akan pemergian Idah nanti”.
Bertuahlah dia sebagai calon syurgawi kerana Allah menarik kudratnya secara perlahan-lahan, memberikan kesakitan supaya dia sempat bertaubat dan memohon keampunan, dengan adik berdik dan sahabat handai. Allah memberinya kesakitan supaya hatinya terikat kuat dgn PenciptaNya. Semua ini terpancar pada wajahnya yang sentiasa tenang hingga akhir hayatnya.
Barulah aku sedar… bertuahlah dia… mendapat satu ANUGERAH …. sebagai calon syurgawi !
______________________
Penulisan Dr Othman Talib