Hubungan suami isteri bukanlah semata-mata berteraskan kasih dan sayang. Tetapi perlu bertunjangkan hukum-hakam syariat Islam yang diturunkan melalui al-Quran dan sunah serta sumber hukum yang lain seperti qias dan ijmak ulama. Apabila sesuatu perhubungan perkahwinan bubar dengan satu lafaz talak, kedua-dua pasangan perlu merujuk kepada hukum yang ada bagi memastikan status perhubungan itu sah di sisi syarak atau sebaliknya.

Ia penting agar kesahihan status nasab dapat disahkan bukan sahaja mengikut undang-undang di mahkamah tetapi mengikut kesahan undang-undang Allah SWT.

Hari ini banyak pasangan yang bercerai di luar mahkamah tidak merujuk kepada mahkamah untuk mengesahkan perceraian mereka secara undang-undang. Begitu juga dengan lafaz rujuk yang dilakukan, walhal di sisi undang-undang, ia perlu ada saksi untuk membolehkan mereka kembali bersama sebagai suami isteri.

Inilah keadaan yang berlaku di luar sana di mana masyarakat tidak melihat ia sebagai suatu perkara yang penting dan perlu dipantau oleh pihak yang bertanggungjawab. Justeru, semua pasangan terutamanya bakal suami isteri diwajibkan hadir kursus pra perkahwinan untuk memahami hukum-hakam perkahwinan dan perkara yang berkaitan hak dan tanggungjawab apabila berumah tangga.

Fenomena pasangan duduk bersama selepas berlakunya lafaz cerai tanpa pengesahan mahkamah juga menjadi kebiasaan sehingga menyebabkan mereka menghadapi kesulitan apabila ada keperluan di masa-masa hadapan.

Kesian Keturunan Bila Pasangan Lalai Daftar Cerai Dan Lafaz Rujuk Tapi Masih Duduk Bersama

Sebagai contoh, semasa berlaku lafaz cerai di luar mahkamah, mereka tidak membuat pengesahan di luar mahkamah kerana khuatir akan dikenakan denda. Lantas, sebagai jalan mudah, apabila mereka merujuk kembali, perkara sama dilakukan apabila lafaz rujuk juga tidak dilakukan mengikut prosedur undang-undang.

Masalah timbul apabila status perceraian tadi tidak disahkan oleh mahkamah dan rujuk yang dilakukan juga tidak di hadapan saksi, dikhuatiri status anak yang lahir selepas rujuk berlaku akan menimbulkan masalah.

IKLAN

Hal ini lebih rumit andai lafaz perceraian itu bukan kali pertama atau kedua, bahkan kali ketiga! Inilah kecetekan masyarakat Islam sendiri terhadap undang-undang syariah sehingga memandang remeh tanpa merasa bersalah di atas tindakan mereka yang mendatangkan risiko, khususnya kedudukan kelahiran anak yang seterusnya. Hal ini sudah tentu membuatkan hubungan suami isteri menjadi kucar-kacir dan anak-anak menjadi mangsa keadaan.

Harus dimaklumi, kelalaian pasangan suami atau isteri mendaftarkan perceraian dan lafaz rujuk mereka adalah salah di sisi undang-undang syariah. Ini kerana apabila pasangan tidak mendapatkan pengesahan tersebut, status untuk tinggal bersama sudah tentu menimbulkan keraguan.

Sepatutnya mereka perlu datang ke institusi untuk membuat pengaduan dan pengesahan hukum oleh pihak yang berautoriti dan dipertanggungjawabkan. Sebaliknya ramai pasangan terutama suami mendiamkan diri kerana ego. Lantas beranggapan cukup dengan persetujuan isteri untuk dirujuk tanpa perlu melalui prosedur undang-undang yang sah.

Sementara itu sebagai isteri, apabila diri mereka diceraikan di luar mahkamah dan suami tidak ambil kisah untuk melaporkan kepada mahkamah untuk mendapatkan pengesahan, isteri wajar untuk bertindak. Isteri bertanggungjawab untuk tampil mengemukakan aduan agar hubungan serta status suami isteri tersebut halal di sisi agama.

Cuba bayangkan apabila suami isteri meneruskan hubungan perkahwinan yang tidak sah daripada segi undang-undang, bukan sahaja diri mereka yang akan menanggung risiko bahkan keturunan mereka.

Kesian Keturunan Bila Pasangan Lalai Daftar Cerai Dan Lafaz Rujuk Tapi Masih Duduk Bersama

Paling ditakuti, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, ia akan mendatangkan kucar-kacir jurai keturunan mereka. Justeru, kepada pasangan suami isteri lakukanlah sesuatu demi kebaikan dan kesucian nasab agar kesilapan yang telah dilakukan tidak ‘diwarisi’ oleh anak cucu, cicit yang tidak berdosa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku padah akhirnya.

IKLAN

Sesungguhnya tiada manusia di dunia ini tidak diampuni Allah apabila tersilap dalam hidupnya. Jadikan setiap perkara yang berlaku sebagai teladan dan sempadan agar tidak mengulangi kesilapan yang sama. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin yang sejati tidak akan memasuki dalam satu lubang dua kali.” Kata-kata baginda ini mengingatkan kita supaya apabila melakukan kesilapan, bertindaklah segera untuk menyelesaikannya dan bukan membiarkannya berpanjangan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada yang lain.

TIP KAUNSELOR

1.Kehidupan berumah tangga bukanlah semudah kata bermadah kerana apabila perkahwinan terbina, suami dan isteri perlu melayarinya dengan ilmu dan kemahiran. Begitu juga alam perkahwinan perlu diisi dengan pelbagai sumber agar perkahwinan dan rumah tangga akan mendapat rahmat dan hidayah daripada-Nya.

2. Perceraian sekalipun dibenarkan dalam Islam namun ia perkara yang amat dibenci. Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda: “Perkara halal yang paling Allah benci adalah perceraian.” Justeru, dalam kemelut rumah tangga, talak atau cerai adalah jalan terakhir setelah beberapa usaha menyelamatkan rumah tangga yang dibina telah dilakukan.

IKLAN

3. Setelah lafaz itu dijatuhkan, suami dan/atau isteri perlulah bertindak merujuk kepada pihak yang terdekat seperti imam atau penolong pendaftar, pegawai agama atau terus ke mahkamah supaya kes tersebut dapat didengari dan difahami. Keadaan ini penting supaya tidak menimbulkan kekeliruan fahaman tentang lafaz yang dijatuhkan.

4. Kegagalan pasangan mendaftarkan pengesahan lafaz cerai akan memberi impak kepada hukum terutamanya yang berkaitan seperti sah atau tidak lafaz talak tersebut, tempoh idah yang akan dilalui oleh isteri, nafkah isteri ketika idah dan tempoh sahnya lafaz rujuk yang akan dilafazkan oleh suami. Bahkan, jika berlaku hubungan suami isteri adakah ia sah di sisi hukum apabila tiadanya lafaz rujuk yang dipersaksikan oleh pihak yang berwajib.

5. Sekiranya suami tidak mengemukakan aduan bahkan melarang isteri membuat pengaduan kepada pihak yang bertanggungjawab, suami akan menanggung segala beban dosa selama mana perkara itu tidak dilakukan tindakan. Namun isteri perlulah bijak mencari ruang dan peluang untuk melaporkan agar perkara tersebut tidak akan tergantung tanpa ada pengesahan yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

6. Suami yang bertanggungjawab akan bertindak segera di atas tanggungjawabnya bagi memastikan lafaz tersebut sah atau tidak serta melakukan lafaz rujuk di hadapan saksi agar hubungan perkahwinan itu dapat diperakui secara undang-undang. Sekaligus anak-anak yang bakal lahir dapat dibinkan atau diwalikan dengan bapa yang sah.

7. Janganlah disebabkan cetek ilmu agama dan hukum-hakam Islam menjadikan suami isteri hidup dalam kemurkaan Allah lantaran dosa yang dilakukan. Hasilnya hidup akan sentiasa dalam kekalutan dan huru-hara kerana tidak diberkati-Nya. Perkahwinan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan kesusahan akibat dosa yang tidak diperbetulkan.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI