Antara matlamat perkahwinan adalah untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara dua keluarga pasangan. Suami dan isteri perlu berusaha mencipta hubungan kekeluargaan yang baik, berkasih sayang dan saling menghormati. Allah SWT mensyariatkan perkahwinan sebagai medan kasih mengasihi dan memenuhi naluri serta fitrah manusia yang perlukan belaian dan layanan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat 21 bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
Jika berlaku kepincangan yang menyebabkan wujud perasaan terkilan, kecewa dan sedih, ia perlu ditangani dengan bijak dan hikmah.
Perceraian bukan penyelesaian utama, malah sepatutnya menjadi jalan penyelesaian terakhir.
Pembabitan ibu bapa atau ahli keluarga dalam rumah tangga biasanya berlaku apabila timbul masalah besar yang gagal diselesaikan suami isteri. Jika pasangan hidup dalam keadaan bahagia walaupun belum dikurniakan zuriat, ibu bapa atau ahli keluarga tidak perlu masuk campur. Jika berlaku kezaliman seperti tiada nafkah buat isteri, isteri dianiaya, suami gagal menjalankan tanggungjawab, isteri tidak taat kepada suami, maka masalah seperti itu perlu diselesaikan.
Mungkin perkara ini memerlukan pembabitan ibu bapa untuk menjernihkan keadaan sama ada memberi nasihat atau menghulurkan bantuan lain. Kewajipan menjaga dan berbuat baik terhadap ibu bapa adalah satu kewajipan dan tanggungjawab seorang anak. Terdapat banyak ayat al-Quran menyentuh kewajipan anak terhadap ibu bapa serta adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Bahawasanya Allah mengharamkan ke atas kamu semua menderhakai ibu dan menanam hidup anak-anak perempuan sebagaimana Tuhan mencegahmu untuk menahan pemberian yang perlu diberikan dan Allah tidak menyukai kata-kata yang sia-sia dan membanyakkan pertanyaan dan mensiasiakan harta.” (Riwayat Bukhari)
Dalam urusan rumah tangga, perlu dibezakan tanggungjawab selaku suami dan ketaatan sebagai seorang anak.
Apabila bapa meminta anak lelakinya mencari pengganti isteri atau menantunya, atas dasar apa arahan itu? Adakah maksud pengganti itu dengan menceraikan isteri dan diganti isteri baru? Jika itu tujuannya, sedangkan rumah tangga anak aman damai dan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik, maka tidak wajar anak atau suami mentaati arahan ibu bapanya.
Ia tidak termasuk dalam perkara yang boleh menjatuhkan diri anak itu sebagai anak derhaka. Sebagaimana yang puan nyatakan, suami tetap menjalankan kewajipannya sebagai anak lelaki. Maka, itulah yang dituntut oleh syarak dalam menyantuni ibu bapa.
Dalam merungkai kemelut rumah tangga puan alami, sebaiknya puan lihat kembali mengapa ibu bapa mentua mencampuri urusan rumah tangga. Kemungkinan kelemahan puan gagal menjalinkan hubungan rapat bersama mentua. Puan mungkin dinilai bukan isteri dan menantu yang baik kepada anaknya.
Jika demikian, sebaiknya isteri cuba berubah dan perbaiki diri. Tunjukkan kepada ibu bapa mentua, puan adalah isteri dan menantu yang baik dan menghargai mereka. Keluarga mentua juga ibarat ibu bapa kita. Contohnya, berilah hadiah dan penghargaan kepada mereka.
Sebagai isteri, hendaklah patuh dan berkhidmat kepada suami sebaik mungkin kerana sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Selain itu, sentiasa berdoa agar rumah tangga lebih aman damai.
Penulis peguam syarie
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI