
Lelaki perlu tahu bahawa kehebatan seorang lelaki bukan dilihat pada setinggi mana jawatanmu di pejabat atau sebanyak mana yang kamu dimiliki. Tetapi harga diri bagi seorang lelaki terletak pada sehebat mana anda menjaga kepercayaan wanitamu di mana sahaja kamu berada, dalam apa-apa keadaan pun.
Oleh itu, jika sudah mendapat kepercayaan seorang wanita, maka setialah. Janganlah buat wanitamu menangis kerana kamu tidak lagi menunaikan janjimu padanya dan telah mengkhianati kepercayaannya. Ramai lelaki yang sudah berjanji namun tidak menunaikannya. Ibarat kamu telah merosakkan harga dirimu sendiri.
Jangan sampai wanitamu menangis di hadapan Allah kerana perangaimu itu. Jangan sampai wanitamu mengadu kepada Allah tentang kelakuan yang telah kamu lakukan padanya kerana sesungguhnya doa orang yang dizalimi itu sangatlah mustajab.
Fahamilah tanggungjawabmu sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab untuk selalu menajaganya. Pastikan kamu tidak pernah lupa tentang hal itu. Wanitamu adalah amanah terindah dari Allah, maka suatu hari nanti Allah akan bertanya kepadamu tentang bagaimana kamu menjaganya ketika masih di dunia.
Jadi, mengertilah tentang tanggungjawab, jangan abaikannya, jangan pura-pura lupa dengan kewajibanmu terutama dalam menjaga dan menghormatinya. Jagalah perasaannya dan sentiasalah berlembut dengannya walaupun kamu sedang marah atau kecewa dengannya.
Jagalah hati dan kepercayaannya kerana sesungguhnya wanita itu amanah terbaik dari Allah. Dia adalah penyempurna kehidupan dan separuh dari agamamu. Pastikan kamu tidak pernah ingkar kepada yang memberimu amanah.
Jangan abaikan tanggungjawabmu kerana jika diabai semua itu, maknanya kamu telah melupakan janjimu kepada Allah.
12 Ciri-Ciri Suami Ini Pasti Akan Buat Isteri Sentiasa Rindu Walaupun Sesaat!

Lumrah berumah tangga, dugaan dan cabaran sentiasa datang dan pergi, pasang dan surut tidak mengenal masa dan ketika. Pasangan mana yang tidak bergaduh, rumah tangga mana yang tidak bergegar. Ia satu yang normal, tiada apa yang perlu dimalukan, hanya perlu banyak belajar dan bersabar.
Namun isteri pasti menjadi orang paling bahagia di dunia jika mempunyai suami yang sanggup bersusah senang dan miliki 12 ciri-ciri ini. Jangan kata keluar rumah, ke tandas pun dah mula rindu!
1. Selalu buat isteri bahagia sewaktu berada di sisinya
Seorang suami bukan sahaja berperanan sebagai seorang teman hidup tetapi harus menjadi seorang yang boleh melengkapi setiap kekurangan isteri. Malah suami juga perlu menjadi seorang ‘guru’ yang mendidik isteri, selain memenuhi keperluan isteri yang membolehkan isteri rasa bahagia apabila berada dekat dengan suami.
2. Sentiasa genggam tangan isteri seeratnya
Tanpa melalui kata-kata, suami yang terbaik tidak sesekali melepaskan genggaman isterinya ketika suami menunjukkan cinta dan kasih sayangnya. Suami juga tidak rasa malu untuk menunjukkan keprihatinannya terhadap isteri di khalayak ramai kerana suami tahu sikap pedulinya itu akan membuatkan isteri rasa lebih tenang.
3. Cinta suami sentiasa mekar dan tak pernah pudar
Jika suami betul-betul mencintai isterinya, suami pasti sanggup melakukan apa sahaja dan berkorban untuk orang yang disayangi. Malah cinta yang diberikan kepada isterinya merupakan cinta yang tulus demi mengutamakan kebahagiaan isterinya dan bukannya bersandarkan nafsu semata-mata ataupun penampilan luaran isterinya sahaja. Mengikut kajian, meluahkan rasa sayang secara teratur merupakan perkara terpenting yang boleh mendatangkan kepuasan dalam perkahwinan.
4. Sentiasa ketawa bersama isteri walaupun hal-hal kecil
Suami yang menjadi pujian isteri merupakan suami yang periang dan punya sifat humor kerana mampu membuatkan isteri sentiasa ceria. Walaupun perkara tersebut dianggap biasa bagi pandangan orang lain, namun disebabkan anda berdua saling memahami sifat humor masing-masing membuatkan hidup anda berdua sentiasa diseliputi rasa ceria dan gembira. Apabila isteri rasa gembira bersama orang yang disayangi ini menunjukkan anda seorang suami yang terbaik untuk isteri sekali gus terpancar rasa bahagia dalam rumah tangga.
5. Masih menganggap isterinya wanita yang tercantik
Semakin lama usia penikahan anda berdua, pasti isteri akan dimamah usia dan penampilan fizikal isteri juga berubah. Wajah yang tegang mulai kendur, rambut yang hitam mulai putih dan badan yang kurus semakin berisi. Sebagai seorang suami yang terbaik, di matanya tetap menganggap isterinya wanita tercantik dan masih menarik sama seperti kali pertama anda berdua bertemu. Malah dalam diam, suami masih cuba mencuri pandangan terhadap isterinya tanpa isterinya sedar, selain mulutnya sering memuji kecantikan isterinya.
6. Ringan tulang membantu isteri tanpa disuruh
Jika anda menyayangi isteri, seorang suami tidak akan tega membiarkan isterinya sahaja yang terbeban dengan segala urusan di rumah. Suami haruslah sama-sama meringankan beban isteri dalam menguruskan rumah tangga. Malah suami juga sanggup menggantikan tugas isteri tanpa mengeluh saat melakukannya.
7. Berbincang dan minta pandangan isteri sebelum membuat keputusan
Apabila suami meminta pandangan isteri sebelum memutuskan sesuatu perkara atau anda dijadikan rujukan untuk merungkaikan masalahnya, ini menunjukkan bahawa isteri dianggap insan terpenting dalam hidupnya. Malah suami juga percaya dan menghargai keputusan yang isteri lontarkan. Tidak semestinya setiap pandangan isteri harus diterima namun setidak-tidaknya isteri juga berperanan dalam memberikan pandangan dan nasihat terhadap sesuatu perkara yang suami sedang fikirkan.
8. Sering membanggakan isteri di hadapan temannya
Walaupun isteri tiada di sisi, suami yang terbaik sentiasa membanggakan orang yang disayanginya di hadapan teman-temannya. Suami yang baik sama sekali tidak malu memiliki isterinya walau apa jua keadaan isterinya. Malah suami juga tidak malu memberitahu temannya yang dia bersyukur dan bangga kerana memiliki wanita seperti isterinya, selain menganggap isterinya istimewa dan menjadi keutamaan dalam hidupnya.
9. Tetap makan masakan isteri walaupun tak sedap
Suami yang baik akan tetap menjamah masakan isterinya dan tidak terus memarahi isteri walaupun mungkin masakan itu kurang dengan selera suami. Bagi mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga, suami yang baik akan menegur masakan isterinya dengan cara yang paling lembut kerana tidak mahu melukakan hati isterinya dan tidak jemu-jemu memberi isteri semangat untuk terus mencuba agar masakannya dapat diperbaiki.
10. Sentiasa bantu isteri menjadi insan yang lebih baik
Semua manusia pasti miliki kekurangan. Walaupun mungkin isteri kurang sempurna dalam banyak perkara, suami yang terbaik akan sentiasa memberikan sokongan untuk isteri terus menjadi orang terbaik di masa akan datang. Sama sekali suami tidak menyesal memperisterikan anda walaupun isterinya ada kekurangan, selain tidak pernah rasa lelah untuk mengajar dan memberikan yang terbaik agar isterinya menjadi wanita yang hebat dalam semua perkara.
11. Tak jeling wanita lain kerana sangat mencintai isterinya
Tak ramai lelaki yang seperti ini. Seorang suami yang baik tidak akan menjeling pada wanita lain kerana tahu isterinya pasti cemburu. Malah suami akan sentiasa setia dan tidak pernah berpaling daripada isterinya walaupun mungkin ada godaan daripada wanita lain. Ini kerana suami begitu menghormati perasaan isterinya kerana tidak mahu isterinya terluka, selain menghargai pengorbanan isterinya daam memberikan sepenuh kasih sayang terhadap suami dan keluarga.
12. Sentiasa mengembangkan hubungannya dengan sang pencipta
Sebagai imam dalam keluarga, suami yang baik akan sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah SWT agar keluarganya sentiasa dirahmati dan berasa di jalan yang lurus. Selain itu, suami berusaha agar ilmu agamanya terus berkembang dengan lebih baik supaya dia dapat memimpin isteri dan anak-anaknya mengikuti perintah Yang Maha Esa.
Badan Terlalu Kurus Dah Macam Orang Tak Sihat! Ikut 5 Cara Ini, Pasti Boleh Tambah Berat

Setiap orang tentu sahaja mendambakan berat badan yang sempurna dan ideal. Jika badan terlalu kurus, pasti ia merunsingkan anda kerana anda dianggap sebagai orang yang tak sihat dan badan kekurangan zat.
Perlu anda ketahui bahawa tidak semua lemak itu jahat. Menyimpan lemak sebagai cadangan tenaga merupakan salah satu daripada kebanyakan cara tubuh berfungsi dengan maksimum.
Lemak dikatakan jahat kerana menyebabkan berat badan berlebihan dan obesiti. Tenaga yang tersimpan dalam lemak membantu anda untuk melakukan pekerjaan atau senaman berat.
Lemak yang baik juga memainkan peranan penting untuk perkembangan otak, mencegah inflamasi dan pembekuan darah. Bersyukurlah jika tubuh anda miliki lemak baik dalam kadar yang mencukupi.
Namun bukan semua orang beruntung! Ada ramai orang yang kekurangan lemak. Orang sebegini cenderung bertubuh kurus dengan indeks massa tubuh di bawah normal.
PENYEBAB BERAT BADAN RENDAH
Berat badan kurang daripada ukuran normal standard kesihatan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Penting untuk anda ketahui bahawa tidak semua orang bertubuh kurus, menderita masalah kesihatan yang harus ditangani.
Berikut merupakan beberapa kemungkinan seseorang miliki berat badan rendah menurut kesihatan Family Doctor yang dikelolakan oleh American Academy of Family Physicians.
- Genetik
Jika badan anda terlalu kurus sejak sekolah dan rata-rata keluarga anda juga demikian, kemungkinan memang anda dilahirkan dengan metabolisme lebih tinggi daripada orang lain. Secara semula jadi, mungkin anda juga memiliki nafsu makan kurang daripada orang lain.
- Aktiviti fizikal yang kerap
Latihan dan aktiviti fizikal dapat mempengaruhi berat badan. Jika anda sering bergerak, ini bererti tubuh anda membakar lebih banyak kalori daripada orang yang lebih banyak duduk. Dalam erti kata lain, metabolisme anda lebih tinggi dan tubuh anda cenderung untuk lebih langsing.
- Penyakit
Sakit dapat mempengaruhi nafsu makan serta kemampuan tubuh untuk mengelola makanan. Jika anda baharu saja kehilangan banyak berat badan tanpa diet atau olahraga, itu mungkin merupakan tanda adanya penyakit seperti masalah tiroid, diabetes, penyakit pencernaan atau barah. Pastikan anda berjumpa doktor untuk membincangkan tentang penurunan berat badan anda yang banyak dan mendadak.
- Ubat-ubatan
Ubat-ubatan tertentu dapat menyebabkan mual dan muntah. Beberapa jenis rawatan seperti kemoterapi juga dapat mengurangkan nafsu makan.
- Masalah psikologi
Faktor-faktor seperti stres dan depresi dapat mengganggu kebiasaan makan yang sihat. Rasa tidak percaya diri juga dapat menyebabkan gangguan makan. Jika anda menderita masalah emosional yang merosakkan kebiasaan makan yang sihat, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat pakar.
CARA TAMBAH BERAT BADAN
Sekadar menambahkan berat badan, sebenarnya tidaklah sesukar mana. Makan kentang goreng yang banyak ditambah dengan minuman manis setiap hari, dijamin berat badan anda akan bertambah dalam waktu yang singkat.
Tapi, tujuan anda bukanlah sekadar menjadi lebih gemuk. Apa yang penting, anda mencapai berat ideal dengan cara yang sihat. Ini lima cara sihat dan berkesan yang boleh anda amalkan untuk menambahkan berat badan.
- Tambahkan kalori yang sihat
Tanpa harus mengubah pola makan secara radikal, anda dapat meningkatkan pengambilan kalori dengan menambahkan ekstra kacang-kacangan, susu penuh krim, avokado, telur atau gandum ke dalam menu harian anda.
- Pilih makanan padat zat
Alih-alih makan junk food, apa kata anda fokuslah pada makanan yang kaya nutrisi seperti daging lembu rendah lemak, daging ayam tanpa kulit dan keju. Pilih sumber karbohidrat rendah seperti beras merah dan biji-bijian.
- Waktu makan
Ada baiknya anda makan di antara waktu sarapan dengan makan tengah hari dan antara makan tengah hari dengan makan malam. Pilih makanan yang mengandungi banyak protein dan karbohidrat sihat seperti protein bar, kacang rebus atau minum milk shake buatan anda sendiri.
- Makan dalam bahagian kecil
Jika anda sedang berjuang untuk mengatasi masalah emosi, makan dalam bahagian biasa atau jumlah besar mungkin sukar untuk dilakukan. Pertimbangkan makan dalam jumlah kecil tapi lebih kerap untuk meningkatkan pengambilan kalori anda.
- Senaman beban
Latihan aerobik dapat membantu dalam membakar kalori dan menurunkan berat badan. Sebaliknya, latihan beban dan yoga pula dapat membantu menaikkan berat dengan cara membangunkan otot-otot anda. Hasilnya, tubuh anda akan menjadi lebih mantap dan berisi. Sebelum memulakan program menaikkan berat badan, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.
Tubuh yang kurus mungkin bererti ada masalah kesihatan yang tidak boleh dibetulkan oleh perubahan pola makan. Doktor boleh membantu anda untuk program “menjadi lebih gemuk”.
“Tiada Istilah Suami Curang Kerana Boleh Poligami…”

Sebut saja perkataan poligami memang kaum wanita boleh naik darah mendengarnya, apatah lagi perkara itu dikongsikan di media sosial pasti akan menjadi perdebatan.
Baru-baru ini tular satu Tweet dari seorang netizen yang berkongsikan kenyataan daripada seorang ustaz yang menjadi salah seorang penceramah di kursus perkahwinan yang berat sebelah mengenai isu poligami.
Menurut Tweet tersebut, ustaz itu menyatakan tiada istilah curang bagi kaum lelaki kerana mereka mempunyai hak untuk berkahwin lebih daripada satu.

Seperti sudah dijangka, perkongsian tersebut mendapat perhatian netizen yang menghentam pandangan ustaz tersebut yang seolah membenarkan pelakuan curang oleh mereka bergelar suami.
Kata netizen, Islam membenarkan lelaki berpoligami tetapi tidak bermakna suami boleh menggunakan alasan tersebut untuk tiket berlaku curang.

Menurut netizen lagi, tiada salahnya jika kursus kahwin dipenuhi dengan lawak berkaitan poligami, tetapi adakah penceramah memikirkan tentang perasaan bakal-bakal isteri yang berada di dalam kursus tersebut.
Dalam pada itu, ada seorang netizen meluahkan rasa bengang dengan menyifatkan rata-rata ‘ustaz’ kursus kahwin bodoh malah turut meluahkan rasa bimbang dengan kandungan serta latar belakang penceramah yang diundang bagi memberikan kursus kahwin kebelakangan ini.
