
Dalam satu entri di Instagramnya, penyanyi dan pelakon yang lahir daripada program realiti Akademi Fantasia berkongsi satu video dan cerita di sebaliknya.
Menurut Nonny, video tersebut adalah ketika dia membuat persembahan pada sebelah pagi, sehari selepas dia diceraikan.
“Don’t simply judge! Apa yang saya belajar tentang Islam adalah Islam itu indah & mudah. Tapi bukan bermakna kita boleh ambil mudah.
“Cantik tak saya freehair? Saya boleh pilih untuk sentiasa kelihatan cantik di mata manusia, sexy, jadi macam penyanyi kpop, makeup 24 jam, ya saya pernah berada di situ,” tulis Nonny.
Tambah Nonny, apa yang dimiliki adalah milik Allah, lalu kenapa kita perlu melawan perintahnya. Ada sebab kenapa Allah perintahkan supaya menutup aurat.
“Dikira saya pilih jalan untuk kembali ke fitrah masa nama meningkat naik, tapi saya tak pernah menyesal.
“Sebab saya takut dengan Allah. Cantik macam mana pun ini semua mainan dunia, makin hari kita makin tua. Entah sempat atau tidak untuk bertaubat.
“Sekarang saya dah jadi mokcik2 tapi saya gembira! Inilah ketenangan yang saya cari selama nie. Hidayah itu mahal. Paksa & latih diri untuk berubah ke arah yg lebih baik, tulis Nonny panjang lebar.
Tambah Nonny lagi, dia masih berada di fasanya tersendiri dan hanya Allah Maha Mengetahui.
“Lepas balik dari umrah saya diuji dengan terbolak-baliknya hati ini. Sebab tu kita dipesan jangan tinggal solat dan hari demi hari saya bagi masa kepada diri saya untuk memperbaiki diri, bukan disebabkan makhluk tapi kerana Lillahi Ta’ala.
“Janganlah dikeji atau dikecam selepas ini jika masih ada kekurangan dari diri saya. Kita semua manusia biasa. Tidak lari dari melakukan kesilapan,” tulis Nonny.
Menurut Nonny, tidak menjadi masalah untuk menegurnya tapi biarlah dengan cara dan adab yang betul.
“Perlahan-lahan, tapi pasti, dengan izin Allah saya akan ke arah lebih baik.
“Jangan hanya suruh saya, tapi tunjukkan pada saya. Anda lebih baik daripada saya,” tulis Nonny.
Nonny pernah berkahwin pada Mac 2018 bersama seorang penerbit di sebuah stesen televisyen, namun perkahwinannya itu bertahan tidak sampai setahun.
Suami Kita Tak Kaya Dari Segi Duit. Tapi Hati Isteri Tersangatlah Tenang Bila Suami Kaya Budi Bahasa

Realitinya berapa ramai suami yang tak pernah berkira dalam membelanjakan wang ringgit, masa malah tenaga yang mereka ada untuk menggembirakan hati isteri. Bukan tiada, ada sebenarnya. Cuma isteri sajalah yang boleh jawab pertanyaan ini. Ini cara lebatkan rezeki suami. Sepanjang masa, isterilah yang akan berada di samping suaminya. Jadi nak tahu pemurah atau tak suami, isterilah yang paling dekat dan boleh jawab.
Salah satu cara nak bagi suami murah rezeki adalah dengan memberi sedekah pada isteri sendiri. Sedekah bukan saja wang ringgit. Sedekah masa, sedekah tenaga itupun dikira sedekah. Suami yang pemurah, takkan pernah berkira kalau kena basuh baju sendiri, isteri dan anak-anaknya. Sesekali turun ke dapur siapkan sarapan pagi untuk anak isteri.
Mungkin, suami kita tak kaya dari segi duit. Tapi hati isteri akan jadi tersangatlah tenang bila suami kita kaya budi bahasa. Suami yang kaya, adalah suami yang sentiasa berusaha menggembirakan orang di sekelilingnya. Biarlah dia letih sedikit. Dia tetap bahagia tengok orang lain bahagia.

Cara Buat Suami Murah Hati Bersedekah Pada Isteri
Memandangkan bukan semua suami bermurah hati dengan isterinya. Ada cara sebenarnya nak pujuk suami agar bermurah hati dan rajin bersedekah dengan isterinya
1. Isteri sendiri pun jangan terlalu ‘macam-macam’. Tengoklah kemampuan suami takat mana. Kalau dia cuma mampu menyediakan rumah sewa, janganlah kita memaksa suami belikan rumah mewah. Kelak, hidup kita dikelilingi hutang hanya kerana suami nak usahakan juga sedekah sebuah rumah untuk isterinya.
2. Isteri sendiri kenalah pemurah. Bukan saja pemurah dari segi wang ringgit. Tapi pemurahlah melayan dengan baik ibu bapa suami malah adik-beradik suami.
Hubungan baik itu akan buatkan suami jadi tenang. Mudah saja nanti nak minta suami hulurkan sedekah kepada kita. Percayalah! Suami memang takkan teragak-agak jika kita ikhlas sayangkan orang-orang yang pernah membesar dan berjasa dengannya.
3. Awas! Kata-katamu. Adatlah hidup berumah tangga ada masa tenang macam air tasik. Ada masa bergelora macam Laut China Selatan. Tengah marah sekalipun, jangan sampai keluar ayat-ayat yang menyakitkan.
Biarlah cuma ayat-ayat cinta pedas menusuk ke kalbu isteri berikan pada suami. Isteri yang bijak adalah isteri yang pandai bermain dengan bahasa. Kalau marah pun, marahlah dalam gurauan. Hati pun tak sakit, tapi pedasnya terasa.
4. Mengalahlah untuk satu-satu perkara yang memberi manfaat pada suami mahupun isteri. Kadangkala terlalu ego dan menegakkan benang yang basah pun ada tak eloknya.
Mungkin di mata kasar, isteri kalah. Tapi hikmahnya, isteri telah menang besar.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Teknik ‘Sayang’ Suami Paling Mantap Bakal Isteri Kena Belajar Sebelum Kahwin

Bagi seorang isteri yang bergelar isteri, tiada apa yang lebih memedihkan selain daripada suami mula berubah hati. Sebelum dia mula buat sesuatu yang kita tak gemar, ambillah pendekatan ini terutamanya wanita yang bakal bergelar isteri.
Jom kami kongsikan teknik ‘jampi’ hati suami agar mereka tidak terfikir untuk ‘pasang dua’.
1. Jangan Ambil Sikap Tidak Peduli
Tunjukkan yang anda sebenarnya amat menyayangi dia. Jika anda ambil sikap tidak peduli, pasangan akan cepat merasa bosan. Jadi, ambil berat tentang dirinya. Barulah dia rasa disayangi.
2. Baiki Penampilan Diri
Berhiaslah untuk suami. Jaga dan jangan sesekali mengabaikan kecantikan diri. Pastikan anda sentiasa nampak cantik di mata suami. Cuba untuk jadi seorang isteri yang lebih baik daripada sebelum ini, secara luaran dan dalaman.
3. Dekatkan Diri Dengan Tuhan
Ini yang paling utama! Pokoknya, ingat Tuhan dan sentiasa berdoa supaya diberi hidayah dan keberkatan dalam rumah tangga. Bagi Muslim, ingatlah Allah itu sentiasa ada dan mendengar setiap keluhan dan rintihan.
4. Ingat Tanggungjawab Kepada Anak-Anak
Orang kata anak-anak adalah pengikat antara suami isteri. Cuba ingatkan kembali tanggungjawab si suami. Bukan dia terlupa, mungkin dia hanya terleka dek cinta sementara. Ajaklah anak-anak bermanja sekali dengan ayah mereka. Pasti kebahagiaan keluarga akan bertambah.
5. Amal Doa Dalam Masakan
Orang kata kalau nak pikat suami melalui masakan. Jika anda sayangkan suami, amalkan beberapa doa ketika memasak. Ia sebagai penguat dan pengikat kasih sayang. Barulah suami anda terikat dan terpikat. Tapi, jangan guna bomoh ya!
6. Izinkan Suami Berpoligami
Ya, pasti ia amat sukar. Wanita mana yang nak berkongsi kasih? Tetapi, anda harus belajar untuk menerima dan redha dengan ketentuan Allah. Mana tahu dengan izinkan suami berkahwin lain, dia mula sedar dengan kesilapan diri dan ingin anda menyayanginya seperti dulu.
7. Hubungan Intim Yang Sihat
Hubungan intim memang penting dalam kehidupan rumah tangga. Waktu tidur amat penting dan pasangan suami isteri hendaklah tidur bersama. Sebelum waktu tidur, suami isteri pasti akan bercerita dan berkongsi apa yang dirasai dalam hati.
8. Duduk Berbincang
Ini yang sepatutnya anda lakukan. Tiada jalan penyelesaian jika bermasa muka dan saling memarahi antara satu sama lain. Ingat, setiap masalah pasti ada penyelesaian. Berbincanglah elok-elok.
9. Jangan Mendesak Atau Memberi Tekanan
Lelaki memang tidak suka didesak dengan pelbagai persoalan. Lagi didesak, lagi mereka akan mengelak. Bagi mereka, desakan itu satu tekanan yang amat merimaskan. Jadi, cuba berlembut dan sabar dalam mencari jawapan.
10. Ajak Suami Solat Berjemaah
Solat itu tiang agama. Jadikan solat berjemaah bersama suami dan anak-anak sebagai satu rutin harian. InsyaAllah, jika diizinkan oleh Allah, rumah tangga akan terpelihara daripada anasir-anasir jahat. Ketika bersolat, mintalah hubungan anda dan pasangan dijauhkan dari maksiat.
Ingatlah Wahai Bakal Suami, Mencari Calon Isteri Tidak Semudah Seperti Beli Barang Di Pasar Borong

Dalam memilih bakal isteri, Islam menggariskan beberapa panduan untuk mengekalkan perhubungan suami isteri agar mereka dapat hidup bahagia sepanjang masa. Mencari calon isteri bukanlah suatu perkara mudah seperti membeli barang di pasar atau pasar raya. Setiap orang inginkan bakal isteri yang sempurna dalam banyak perkara. Islam sendiri menggariskan beberapa ciri dalam memilih calon isteri bagi kebahagiaan yang berkekalan.
Rasululullah S.A.W menggariskan sebaik-baik wanita yang soleh ialah seorang isteri apabila suami melihatnya, akan menjadikan riang dan suka. Apabila menyuruh berbuat sesuatu dia tetap mematuhi suruhan. Apabila disuruh bersumpah mengenai dirinya, dia tetap berpegang dengan sumpahnya. Sekiranya berjauhan, dia menjaga kehormatan dan harta suaminya.
Nabi Muhammad SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita idaman yang diperlukan oleh seorang suami, Baginda menjawab, Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh dan wanita yang tidak mengkhianatinya (tiada curang). Dan, wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci. (Riwayat Abu Daud dan Nasaii)
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat menggembirakan apabila dilihat, mentaatimu apabila disuruh dan menjaga dirinya serta hartamu apabila kamu tiada. (Riwayat A-Tabrani)
Sifat yang perlu diberi keutamaan mencakupi raut wajah yang menyenangkan, akhlak baik terhadap suami, amanah dan setia. Raut wajah yang menyenangkan meliputi dari semua segi iaitu kecantikan, senyuman dan tutur kata ketika berbicara. Faktor sedemikian kerapnya sangat dititikberatkan oleh kebanyakan lelaki dalam soal memilih pasangan hidup.
Akhlak yang baik terhadap suami turut dititikberatkan dalam Islam ketika memilih calon isteri. Faktor ini bagi menjamin kerukunan rumah tangga. Isteri yang baik ialah isteri yang mentaati perintah dan suruhan suami sejauh mana ia tidak bertentangan dengan apa yang digariskan oleh Islam.
Satu lagi ciri dalam memilih calon isteri ialah amanah dan setia. Pada pandangan Islam, isteri yang amanah dan setia bolehlah disifatkan sebagai isteri yang baik dan solehah. Mereka dapat menjaga kehormatan diri dan harta suami sekalipun ketika ketiadaan suami di rumah.
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, Nikahilah wanita dalam empat kategori: Hartanya, keturunannya, kecantikannya, agamanya. Pilihlah wanita yang mempunyai agama kerana dia akan menjagamu.(Riwayat Shaihan). Hadis ini menggalakkan seseorang itu memilih isteri dari kalangan wanita yang mempunyai agama iaitu yang beragama Islam dan mengamalkannya.
Perkahwinan yang berdasarkan kepada kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Seseorang itu perlu mengambil kira semua faktor sebagaimana maksud hadis di atas.
Kecantikan seseorang wanita tanpa disertai dengan akhlak baik, tidak akan menepati ciri-ciri wanita solehah. Hasil perkahwinan yang dilangsungkan atas dasar kecantikan paras rupa semata-mata berkemungkinan tidak mendatangkan kebahagiaan dan kegembiraan.
Dalam Islam, kecantikan tidak bermaksud hanya keelokan paras rupa saja, malah meliputi semua perkara. Kecantikan juga termasuk dalam soal akhlak, budi pekerti, kasih sayang dan persefahaman. Inilah yang dimaksudkan sebagai kecantikan sebenarnya, malah faktor inilah juga yang perlu diambil kira dalam memilih calon isteri.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud, Apabila Allah Taala mewujudkan dalam jiwa salah seorang dari kamu seorang wanita, maka lihatlah kepadanya. Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kebebasan kepada kamu berdua untuk berkasih sayang.
Dalam riwayat lain pula daripada Mughairah bin Subah ketika dia ingin meminang seorang wanita dan dikhabarkannya kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda bermaksud, Lihatlah dia! Sesungguhnya, dengan melihat akan memberi kepada kamu berdua kebebasan untuk berkasih sayang. (Riwayat At-Tarmizi, Nasaii dan Ibnu Majah).
Hadis di atas, bersesuaian dengan kehendak Islam, kerana Islam menggalakkan seorang lelaki melihat muka dan dua tapak tangan seorang wanita sebelum memilihnya sebagai isteri. Dengan melihat sendiri barulah boleh dibuat penentuan sama ada berkenan atau sebaliknya dengan calon itu.
Sehubungan itu, wajah memainkan fungsi penting dalam pemilihan calon isteri. Ia boleh merangsang hubungan kasih sayang di antara suami dan isteri. Dengan cara ini, kekesalan pada kemudian hari tidak akan timbul. Kita juga perlu maklum, akhlak agama dan harta tidak dapat dinilai dengan pandangan, melainkan kecantikan saja yang dapat dinilai ketika itu.
Justeru, dalam memperkatakan mengenai status wanita idaman, agama sepatutnya menduduki tempat pertama, selepas itu barulah diikuti oleh kecantikan paras rupa.
Pada prinsipnya, Islam amat menitikberatkan kecantikan dalam pemilihan calon isteri. Namun begitu, ia dinilai selepas wanita itu memiliki agama dan mentaatinya. Menilai erti kecantikan ini barangkali ada perbezaan di antara seorang dengan seorang yang lain. Oleh itu, jalan yang dikira mudah ialah terserah kepada individu itu sendiri. Jika mereka tertarik dan cukup berkenan dengan raut muka, tingkah laku dan budi pekerti, wanita itu sewajarnya memadai dinilai di segi kecantikan dirinya.
Kecantikan isteri sebagaimana penilaian sendiri, dapat menambahkan kebahagiaan rumah tangga dan menambat hati suami. Kasih sayang di antara suami isteri akan menimbulkan kemesraan. Wanita yang mempunyai paras rupa baik dan menarik dianggap sebagai wanita mempunyai keberkatan. Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan bagi seorang wanita ialah mereka yang mempunyai paras rupa dan rendah maharnya (mas kahwin).
Sungguhpun demikian, perlu juga ditegaskan paras rupa yang menarik tiada bernilai jika tidak disertakan dengan agama dan akhlak.
Selain wanita beragama dan memiliki kecantikan, soal mas kahwin perlu diambil kira. Dalam Islam, wanita yang meminta mahar atau mas kahwin rendah (berpatutan) adalah dianggap wanita yang mendapat keberkatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud,
Sesungguhnya, sebesar-besar keberkatan bagi seorang wanita ialah mereka yang mempunyai paras rupa dan rendah mahar (mas kahwinnya).
Wanita yang meminta mas kahwin berpatutan menjadi wanita idaman kepada kebanyakan lelaki. Ini kerana secara simboliknya ia memperjelaskan sikap wanita yang tidak mementingkan harta, malah lebih penting lagi mencerminkan sikap wanita itu sendiri tidak tamak, sebaliknya pandai berjimat cermat dalam urusan rumah tangga.
Bagi wanita yang meminta mas kahwin tinggi, mereka akan sentiasa mementingkan harta dan kedudukan. Pada mereka, wang adalah kesayangan mereka yang utama berbanding suami sendiri. Oleh kerana mementingkan harta, mungkin suaminya akan sentiasa didesak untuk menyediakan setiap kemudahan dan kesenangan tanpa memikirkan keupayaan suami. Jika keadaan seperti ini berlaku, si suami pasti akan tertekan dan kecewa oleh sikap isteri yang tidak mahu memahami hakikat keupayaan suami.
Wanita yang boleh melahirkan zuriat adalah menjadi wanita idaman oleh hampir setiap lelaki, walaupun tidak dapat dikatakan secara keseluruhannya. Wanita yang dapat melahirkan zuriat juga tergolong dalam kelompok wanita mendapat keberkatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud, Kahwinilah wanita yang manja dan tidak mandul! (Riwayat Abu Daud dan Nasaii).
Wanita yang boleh melahirkan zuriat adalah wanita yang menjadi pilihan untuk dijadikan isteri, kerana dalam sesebuah perkahwinan anak yang dilahirkan itu dapat menjadi pengikat atau penambat kasih sayang dan kerukunan rumah tangga.
Rasulullah SAW juga berbangga mempunyai umat ramai. Justeru, adalah perlu lelaki Muslim memilih calon isteri yang berketurunan boleh melahirkan zuriat, kerana dengan adanya anak boleh menambahkan ikatan kasih sayang di antara suami isteri.
Wanita idaman yang disukai oleh ajaran Islam, ialah wanita yang pandai menguruskan rumah tangga. Pandai menguruskan rumah tangga termasuk menjaga hak dan harta suami, sayang terhadap anak-anak dan pandai pula mendidik mereka. Kasih seorang ibu bukan hanya melayani kehendak anak semata-mata, malah perlu memberikan didikan sempurna khususnya didikan agama.
GAMBAR : AZFARINA SULAIMAN