
Nak tahu kenapa pasangan suami isteri kena habiskan masa bersama dan keluar dating, ini sebab-sebabnya.
Komunikasi Sentiasa Terjaga
Kadang-kala kita sendiri tidak dapat lari dari salah faham dan bergaduh meski ianya isu sekecil zarah sekalipun, tapi dengan keluar dating berdua segala permasalahan dapat diselesaikan tatkala berbual kosong bersama pasangan dan menjernihkan hubungan.
Semakin Intim
Tahu tak dengan keluar berduaan bersama pasangan, secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan intim antara kamu dan pasangan. Tiada yang dapat mengeratkan hubungan dua hati, apabila bahang asmara tetap utuh dan kuat seperti masa mula-mula berkahwin dahulu.
Elak Stres
Apabila keluar berdua secara tidak langsung kamu dan pasangan dapat meluahkan segala yang terbuku di hati dengan terbuka, dan dalam masa yang sama segala tekanan atau bebanan yang dialami juga dapat dilepaskan semasa menghabiskan masa berdua.
Hadapi Hari Mendatang Dengan Lebih Ceria Dan Mengujakan
Banyak pasangan yang berkahwin kecundang dipertengahan jalan, dek kerana masing-masing telah berasa bosan dan tiada apa yang menarik dalam perkahwinan.
Tetapi lain pula jadinya bila mana kamu dan pasangan menghadapi hari-hari mendatang dengan lebih ceria, dan mengujakan kerana mengamalkan dating setiap minggu atau dua kali sebulan. Masing-masing bergilir-gilir merancang, menyediakan jadual dan lokasi untuk keluar dating bersama pasangan tercinta.
Menjadi Pasangan Contoh Kepada Anak-Anak
Melihat hubungan kamu dan pasangan sentiasa harmoni dan saling memahami antara satu sama yang lain, dengan banyak menghabiskan masa berdua-duaan akan membuatkan kamu dan pasangan merupakan idola buat anak-anak.
Justeru itu, anak-anak akan menyematkan impian untuk miliki hubungan yang harmonis seperti kamu dan pasangan. Mengamalkan cara yang sama seperti kamu dan pasangan iaitu keluar dating berdua-duaan, untuk mengukuhkan lagi hubungan dan perasaan.
Bulan Madu Ke Hanoi? Apa Salahnya!

Sesekali tidak salah kiranya lari daripada kebiasaan. Kalau pasangan lain kerap memilih destinasi bulan madu yang gah seperti Kota London, Paris, Bali atau Phuket, apa kata anda dan pasangan mencuba lokasi yang mungkin underrated, Hanoi contohnya.
Bandar yang terletak di negara Indo-China ini memang tidak sehebat kota-kota di Eropah, tetapi ia juga punya sisi yang tidak kurang hebatnya. Paling penting, Hanoi menjanjikan elemen romantik buat pasangan yang ingin berbulan madu ke sini.
Mengapa begitu? Ini kerana Hanoi punya warisan sejarah yang menyuntik suasana Eropah dek kerana ia pernah menjadi wilayah jajahan Perancis pada abad ke 19. Banyak bangunan-bangunan kolonial yang menjanjikan latar belakang menarik untuk anda merakam memori bersama pasangan.
Malah, kekayaan budaya dan warisan masyarakat setempat jua memberi pengalaman yang cukup bernilai. Jika bijak berimaginasi, mungkin boleh merencana sesi penggambaran bertemakan filem klasik ataupun kononnya berada di negara Eropah. Paling penting, rancang dengan teliti.
Pilih hotel yang menjanjikan penginapan selesa
Bagi memastikan trip bulan madu anda melakar detik-detik manis, hotel penginapan merupakan satu perkara yang jangan sekali-kali diabaikan. Pilih hotel yang sesuai dengan bajet dan dirasakan mampu memberikan pengalaman menggembirakan. Sebagai pasangan yang sedang berbulan madu, pasti anda dan pasangan tidak mahu terperangkap di dalam bilik hotel yang membosankan.
Satu pilihan terbaik jika memilih Pullman Hanoi sebagai lokasi penginapan. Hotel bertaraf 4.5 bintang ini memang satu pilihan yang cukup bijak. Mempunyai lokasi yang strategik (terasing dari Old Quarter yang sibuk dan padat), Pullman Hanoi juga menawarkan pakej bulan madu yang pastinya membuat anda tersenyum lebar. Ini kerana ia direka atau disusun mengikut permintaan anda, bahkan ada unsur kejutan yang mungkin tidak disangka-sangka.
Berkesempatan berbulan madu di hotel ini baru-baru ini, penulis nyata terpegun dengan layanan yang diberikan. Ianya menjangkaui ekspektasi memandangkan caj yang dikenakan tidaklah terlalu mahal memandangkan hotel ini bertaraf lima bintang.
Layanan bagaikan VIP bukannya bermula sebaik tiba di lobi hotel, sebaliknya di saat kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai. Apa tidaknya, ada pemandu yang datang menjemput. Perjalanan ke hotel mengambil masa kira-kira 45 minit, bergantung kepada keadaan.
Sambil diulit dengan pemandangan di luar tingkap, bolehlah menyegarkan tubuh badan dengan air mineral yang tersedia bersama sebekas Macaroon dan coklat tanda kunjungan dialu-alukan pihak hotel. Tuala basah turut tersedia bagi menyegarkan wajah. Tiba di Pullman Hanoi, petugas hotel membantu untuk urusan daftar masuk yang mengambil masa kurang dari 10 minit.
Menjengah masuk ke kamar, hati tambah berbunga riang kerana Deluxe Executive King dihias cantik mengikut tema bulan madu. Kelopak Mawar berbentuk hati yang menghiasi katil menyuntik mood romantik. Selain itu terdapat juga jambangan Mawar di meja kecil yang turut menghidangkan kek, sparkling juice dan juga Phu Thê Rice Cake yang menjadi simbol suami dan isteri bagi masyarakat tempatan.
Ketika mahu merebahkan badan di tilam yang empuk, penulis sekali lagi terkesima kerana baru menyedari terdapat tenunan nama sendiri dan suami di sarung bantal. Patutlah petugas hotel sempat berbisik tadi yang mereka ada kejutan buat kami berdua. Selain itu terdapat juga nota tulisan yang memberitahu, kami boleh membawa pulang kedua-dua sarung bantal berkenaan. Idea yang ditampilkan pihak hotel ini memang lain daripada lain. Mana tahu giliran anda nanti ada kejutan yang lebih wow!
Merakam memori di Kota Hanoi
Biarpun jatuh cinta dengan kamar dan kemudahan yang ada di Pullman Hotel Hanoi, mana mungkin masa dihabiskan dengan berpeleseran di hotel sahaja. Jadi ke mana harus kaki melangkah? Ingat tujuan anda ke sini. Mahu berbulan madu bukan? Jadi jangan sesekali lepaskan peluang singgah ke Hoan Kiem Lake.
Tasik Hoan Kiem adalah titik tumpuan Kota Hanoi. Ia adalah tempat yang popular untuk pasangan bertemu dan berbual-bual terutama di hujung minggu. Lokasi ini juga popular di kalangan pengantin baru yang mahu merakam memori di hari istimewa mereka.
Turtle Tower di tengah-tengah tasik adalah latar belakang yang mesti ada di dalam kebanyakan foto perkahwinan Vietnam. Jadi, ambil peluang yang ada untuk anda dan pasangan pula bergambar kenangan di sini. Satu lagi sudut fotografi yang popular di tasik ini ialah jambatan merah di Kuil Ngoc Son. Jambatan ini tidak pernah sunyi daripada kehadiran pelancong.
Untuk merakam memori romantik berlatarkan matahari terbenam, bolehlah ke West Lake yang terletak di daerah Tay Ho. Tay Ho adalah kawasan yang sedang berkembang pesat di sekitar tasik air tawar terbesar di Hanoi. Ramai penduduk tempatan ke sini bagi mengelakkan kesesakan di pusat bandar.
Satu aktiviti popular di sini ialah menyewa bot angsa. Sambil berdayung dan menikmati keindahan alam, bolehlah berbual-bual tentang hati, serta tentang masa depan bersama. Selepas itu, lihat matahari terbenam dengan pemandangan tasik yang menakjubkan.
Jika punya masa, luangkan sehari dua ke Halong Bay untuk merakam foto-foto menarik bersama pasangan. Terletak 180 kilometer di utara Hanoi, perjalanan ke Halong Bay mengambil masa kira-kira empat jam untuk sampai. Biarpun memenatkan, ia berbaloi kerana tapak warisan dunia ini menawarkan landskap alam memukau.
Ratusan kapal besar dan bot nelayan yang keluar masuk ke Halong Bay atau Teluk Naga memberikan pemandangan pelabuhan silam. Kehadiran kapal-kapal layar kayu seakan-akan membawa pengunjung kembali ke era dahulu.
Terdapat 1,969 pulau batu kapur yang bertaburan di Halong Bay di mana kebanyakannya belum dicemari oleh pembangunan. Paling terkenal ialah Gua Hang Dou atau Grotte des Merveilles yang diterokai oleh warga Perancis pada abad ke-19.
Teks: Sri Rahayu Mat Nah
Buat Serum Dan Berjaya Hilangkan Segala Dark Circle Bawah Mata, Bakal Pengantin Sila Cuba!

Ada orang suka guna produk untuk hilangkan dark circle bawah mata, tetapi yang jadi masalah cara itu belum tentu berkesan. Haa… jadi kali ini mak-mak boleh cuba petua yang dikongsikan oleh Puan Aisyah Badar Bajrai, katanya dia sendiri pun dah cuba dan hasilnya berkesan!
Kalau orang lain ada masalah kulit jerawat, Aisyah pula masalah dark circle. Lagi pun sekarang selalu tidur lambat, makin menjadi jadi la dark circle ni.
Memacam petua Aisyah dah cuba tuk hilangkan dark circle ni. Orang cakap pakai timun, Aisyah pakai timun. Orang cakap pakai kentang, Aisyah pakai kentang. Tapi dark circle Aisyah ni liat, still tak kurang sampai la Aisyah jumpa satu petua ni.
Cuma Guna Aloevera
Jeng jeng jeng. Ingat tak semalam Aisyah cakap aloe vera ni boleh buat macam-macam. Yess, sila lah percaya. Aloe vera ni sebenarnya bahan utama untuk banyak petua kulit.
Aisyah dah try memacam petua tuk hilangkan dark circle, and serum ni masuk dalam carta top 2 paling best. Yang buat dia double best, dia guna 2 bahan jek. Memang simple sangat.
Bahan Buat Serum
Ok, jom tengok bahan and cara buat serum ni
- 2 sudu besar gel aloe vera
- 2 kapsul minyak vitamin E
Gunting softgel vitamin E, pastu masukkan minyak tu dalam aloe vera dan kacau rata-rata. Nanti aloe vera korang akan jadi kaler putih macam dalam gambar tu tau.
Cara Pakai Serum
Ambil calit sikit kat jari pastu sapu lembut-lembut kat bawah mata dengan kelopak mata. Pastu biarkan jek. Tak yah basuh okey. Pakai 2 kali sehari.
Tapi kalau dark circle korang kategori nazak sampai orang tak dapat beza mata korang dengan mata panda. Korang wajib konsisten pakai at least 2 minggu. Baru nampak kesan. Cuba dulu baru dapat hasilnya!
Jika Pasangan Seorang Panas Baran, Ubahlah Pendirian & Emosi Diri Sendiri, Kita Tak Boleh Ubah Orang Lain

Susahnya apabila berhadapan dengan lelaki yang panas baran. Perkara sekecil kuman pun boleh menjadi besar. Memang susah untuk mengubah mereka. Kita perlu bijak mengawal keadaan apabila berdepan dengan mereka yang panas baran. Apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan teman lelaki atau tunang yang panas baran?
Menurut perunding psikologi keluarga dan guaman Syarie, Suzana Ghazali, hubungan yang terjalin boleh diteruskan dengan teman lelaki atau tunang yang panas baran sekadar dengan cepat marah atau melenting. Boleh cuba bertahan dengan teman lelaki atau tunang yang suka caci maki tetapi fikirkanlah banyak kali jika berdepan dengan teman lelaki atau tunang yang panas baran hingga sampai tahap memukul walau baharu cubaan angkat tangan hendak menampar.
Sukar untuk mengubah sikap orang lain lantaran ubahlah pendirian dan emosi diri sendiri terlebih dahulu.
Berikut dikongsikan lima cara untuk menghadapi teman lelaki atau tunang yang panas baran. Moga ia bermanfaat kepada wanita yang mengalami masalah ini.
Lebih Bersabar
Teman lelaki atau tunang yang panas baran mempunyai sikap kurang sabar. Oleh itu anda sebagai teman wanita atau tunangnya perlulah lebih bersabar. Jika anda juga tidak sabar sepertinya agak susah untuk mengawal keadaan.
Jangan Cari Pasal
Anda perlu tahu segala perkara yang si dia tidak suka. Seteklah mengetahui tentang perkara tersebut maka elakkan daripada melakukan perkara tersebut. Sebaliknya jika perkara yang si dia tidak suka itulah adalah satu keperluan atau tanggungjawab contohnya solat, berlembutlah dalam mengajak, bukan mengajar
Elakkan Lawan Bercakap
Seorang yang panas baran memang tidak suka dilawan percakapannya atau dibangkang. Sebaiknya jika anda rasa perlu untuk mempertahankan pendapat sekali pun, tunggu keadaan yang sesuai. Jangan terus dibantah pada waktu yang sama.
Kenal Pasti Kelemahan
Setiap orang ada perkara yang boleh menyebabkan dia jadi lemah dan mengalah. Sama juga dengan mereka yang memiliki sikap panas baran. Tambahan pula jika si dia terlalu sayangkan anda maka jika dia tiba-tiba marah, anda boleh diam dan pura-pura merajuk. Walau bagaimanapun perlu juga kenal pasti sikap si dia yang lain sebab ada jenis si panas baran yang tidak suka orang merajuk. Tika ini, mungkin anda boleh sekadar mengakui kata-katanya atau senyum dan cuba untuk menukar topik perbualan.
Gunakan Komunikasi Yang Baik
Sentiasa bercakap atau berhubung dengan ayat-ayat yang baik dan lembut. Boleh luahkan rasa suka anda apabila si dia bercakap dengan baik. Nyatakan kerisauan dan ketakutan anda jika si dia berubah sikap menjadi panas baran. Dengan cara tersebut, si dia boleh mengubah sikap apatah lagi jika si dia takut kehilangan anda.
Bantu Si Dia Ubah Sikap
Panas baran berpunca daripada banyak sebab dan boleh ‘ditawarkan’ menjadi lebih dingin dan hilang panas baran tersebut jika si pelaku berkehendak dan dibantu. Si dia mungkin menghadapi tekanan atau mengikut sikap ahli keluarga yang rapat terutama ayah sendiri. Lantaran itu, bantu si dia untuk tahu dan faham mengenai kesan dan akibat daripada sikap panas baran.