Kurang Komunikasi Boleh Jadi Masalah Pada Rumah Tangga

5290

Dunia rumah tangga hari ini semakin mencabar dan ramai pasangan suami isteri menghadapi masalah untuk berkomunikasi bersama pasangan masing-masing dalam urusan rumah tangga.

Ini dapat dibuktikan dengan statistik aduan rumah tangga daripada Jabatan Agama Islam Selangor sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Statistik itu mencatatkan, isu komunikasi berada di kedudukan ketiga teratas dengan peratusan kes sebanyak 13 peratus selepas isu akhlak (40 peratus) dan isu tidak bertanggungjawab (23 peratus).

Maka, timbul persoalan mengapa sukar untuk pasangan berkomunikasi? Apakah yang menghalang mereka daripada berinteraksi? Apakah masih ada jalan penyelesaian bagi isu ini?

Di sini, dikongsikan antara punca berlaku halangan dalam komunikasi dan kaedah mengatasinya.

1. Gagal untuk mendengar

Sukar untuk mendapat kefahaman yang tepat daripada pasangan jika terdapat banyak celahan dalam percakapan. Gagal untuk mendengar menyebabkan pasangan berasa diri mereka tidak difahami sebaliknya telah dijatuhkan hukuman dan tidak dipedulikan dengan balasan kata-kata yang menyakitkan hati.

Bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini? Ini caranya:

• Pilih masa dan tempat yang bersesuaian untuk berbincang

• Pastikan jauh daripada gangguan

• Pastikan pasangan tenang dan bersedia untuk mendengar

• Berikan tumpuan dan fahami apa yang sedang dirasakan pasangan

• Berikan respons dan pandangan jika diminta pasangan

2. Ekspektasi yang berbeza

Hasrat dan harapan yang berbeza antara pasangan boleh membuka ruang berlakunya salah faham dan pertengkaran. Ketidakmampuan untuk mencapai sesuatu perkara seperti yang diinginkan menjadi salah satu punca ketidakpuasan pasangan dan menyebabkan hilangnya minat untuk berkomunikasi. Bagi mengatasi hal ini, berikut antara cadangannya:

• Para suami perlu faham bahawa isteri amat memerlukan kesalinghubungan dalam berkomunikasi

• Para isteri perlu faham bahawa suami inginkan kebebasan dalam berinteraksi

• Suami isteri perlu saling memberi apa yang diingini pasangan

• Suami isteri perlu elak berprasangka buruk terhadap apa yang difikirkan dan dirasakan oleh pasangan

• Letakkan ekspektasi yang sewajarnya dengan kemampuan pasangan

3. Cara dan bentuk komunikasi yang berbeza

Pertikaian terhadap gaya pertuturan pasangan turut menjadi halangan komunikasi dalam rumah tangga. Isu bahasa, nada suara, mimik muka dan pandangan mata yang tidak menyenangkan pasangan menyebabkan hubungan menjadi hambar.

Situasi ini dapat dielak dengan cara berikut:

• Suami isteri perlu sedar dan peka dengan perbezaan cara pasangan berkomunikasi

• Suami isteri perlu faham bahawa sejarah dan latar belakang pasangan ada kaitan dengan cara mereka berkomunikasi

• Suami isteri harus belajar untuk menerima perbezaan tersebut

• Suami isteri harus mempertingkatkan seni komunikasi yang dekat dengan pasangan

4. Isu yang tidak boleh diselesaikan

Adakalanya, pasangan diuji dengan sesuatu yang agak berat untuk ditanggung dalam rumah tangga. Memaksa pasangan menyelesaikan isu dengan segera sedangkan dirinya tidak mampu pada saat itu boleh mengundang komunikasi yang tidak baik dan memudaratkan hubungan.

Antara perkara yang disarankan apabila menghadapi isu ini adalah:

• Berikan ruang dan masa untuk kedua-dua pasangan bertenang

• Cuba ubah lokasi perbincangan dengan persekitaran yang lebih kondusif

• Yakin dan sentiasa positif bahawa pasangan boleh berubah

• Kenal pasti kekuatan dan kelebihan pasangan yang boleh dimanfaatkan bagi menyelesaikan isu yang dihadapi.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara Nu Ideaktiv Sdn Bhd • Dikendali Oleh Astro Group

error: