Mencontohi Rasulullah ini juga merupakan perintah Allah yang tercatat dalam ayat 21, surah al-Ahzab yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi diri Rasulullah s.a.w. itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa ingin mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia menyebut dan mengingati nama Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.

Satu aspek yang bakal menjadi lebih baik sekiranya kita mencontohi akhlak Rasulullah ini ialah kehidupan berkeluarga. Pada ketika ini, keluarga Islam di Malaysia tidaklah dapat digambarkan sebagai penuh dengan keindahan.

Dalam berhadapan dengan cabaran-cabaran yang melanda, nilai-nilai kekeluargaan kadangkala diketepikan dan akibatnya keluarga Islam yang sepatutnya berada dalam keadaan aman dan sejahtera menjadi sebaliknya.

Layan Karenah Isteri, Tak Sama Macam Zaman Bercinta

Keluarga yang sepatutnya melindungi dan memberi ketenangan kepada ahlinya tidak lagi dapat memenuhi fungsi tersebut. Satu faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah hakikat bahawa ahli keluarga tidak lagi mengikut ajaran Islam yang sebenar terutamanya yang berkaitan dengan akhlak. Mereka mungkin mengamalkan ajaran Islam dari segi akidah dan syariahnya tetapi tidak dari segi akhlaknya.

Sebagai manusia biasa, sepanjang usia Baginda, Rasulullah pernah menjadi anak, suami, bapa dan datuk. Begitulah juga dengan kebanyakan daripada kita. Pada setiap peranan ini Rasulullah telah menunjukkan contoh yang terbaik yang boleh kita ikuti.

Dalam rencana ini, kita hanya memfokuskan peranan Baginda sebagai suami, memandangkan tugasnya sebagai ketua keluarga, jatuh bangun keluarga itu berada di tangannya.

Sebagai suami, Baginda begitu menghargai isterinya Siti Khadijah yang dikatakan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri Baginda.

Menurut Baginda, Dia (Siti Khadijah) beriman kepadaku di masa orang lain berada dalam kekafiran. Dia membenarkanku di waktu orang lain mendustakan aku. Dia menolongku dengan hartanya, ketika orang lain tidak sudi memberikannya. Dan Allah mengurniakan anak daripadanya, tidak dari isteri-isteri yang lain.

Pengorbanan Siti Khadijah ini membuatkan Baginda terus mengingatinya walaupun isterinya itu telah lama meninggal dunia.

IKLAN

Ketika dengan isteri-isteri yang lain pula, Baginda menunjukkan sifat-sifat seperti bertimbang rasa, hormat dan sabar dengan kerenah mereka. Baginda tidak keberatan untuk membantu isteri-isterinya melakukan kerja rumah.

Begitu juga, untuk menjaga hati isteri Baginda, Rasulullah pernah menolak jemputan makan daripada seorang jiran hanya kerana isteri Baginda tidak dijemput sama. Seperti yang diriwayatkan oleh Anas, hanya pada jemputan ketiga, bila jirannya itu turut menjemput isterinya, barulah Rasulullah bersetuju untuk hadir.

Baginda membawa isteri-isterinya ke luar daerah untuk berdakwah kerana mengetahui isteri-isterinya itu ingin berada di sampingnya.

Dalam perjalanan itu pula, Baginda memastikan tempat duduk isterinya di atas unta dalam keadaan selesa. Malah, Anas mengatakan bahawa Baginda akan duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Bilakah kali terakhir anda membuka pintu kereta untuk isteri anda? Teringat pula penulis pada satu jenaka iaitu, hanya ada dua kemungkinan apabila seorang suami membukakan pintu kereta untuk isterinya. Sama ada kereta itu kereta baru atau isteri itu isteri baru.

IKLAN
Layan Karenah Isteri, Tak Sama Macam Zaman Bercinta

Kembali kepada kisah Rasulullah, Baginda sabar melayani kerenah isteri-isteri Baginda. Tidak pernah sekalipun Baginda mengasari mereka. Baginda memberi peluang kepada isteri-isterinya untuk berdebat dengan Baginda dan jika isteri Baginda berkasar ketika sedang marah, Baginda menghadapinya dengan penuh pengertian dan kemaafan, bukannya dengan menyuruh mereka diam.

Malah, kalau dilihat wasiat Baginda yang terakhir, satu daripadanya menekankan betapa pentingnya lelaki berhati-hati dalam perlakuan mereka terhadap isteri. Baginda bersabda yang bermaksud:

Takutlah pada Allah dalam hal wanita. Mereka berada dalam peliharaanmu. Kamu telah mengambil mereka sebagai amanah dari Allah dan mereka itu dihalalkan untuk kamu dengan nama Allah.

Berbuat baik dengan isteri bukan hanya bermaksud tidak menyakiti mereka atau mendera mereka, tetapi juga untuk menghadapi segala kesulitan, bersabar dan mengikuti contoh Rasulullah.

Wasiat terakhir ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. menekankan kepada peranan suami yang perlu bersabar ketika berhadapan dengan kerenah isteri demi kesejahteraan keluarga.

IKLAN

Jadi, kesejahteraan rumah tangga itu bukan hanya terletak kepada kesabaran dan pengorbanan isteri semata-mata seperti yang ditanamkan dalam minda kaum hawa sejak sekian lama.

Bagi wanita, ini tidak bererti tiada apa yang dapat kita contohi daripada Baginda. Oleh kerana kebahagiaan rumah tangga itu berasaskan kepada hubungan timbal-balik antara suami dan isteri, ciri-ciri Rasulullah seperti bertimbang rasa, hormat dan sabar, boleh kita contohi. Selain itu, banyak ayat al-Quran dan hadis yang dapat memberi panduan tentang ciri-ciri isteri yang baik untuk dicontohi.

Layan Karenah Isteri, Tak Sama Macam Zaman Bercinta

Keindahan berkeluarga dalam Islam akan terhasil apabila ahli-ahlinya mengamalkan ajaran-ajaran Islam secara keseluruhannya yakni akidahnya, syariahnya dan akhlaknya.

Sempena sambutan Maulidur Rasul Sabtu ini, eloklah kita membaiki akhlak keluarga kita semoga keluarga Islam yang ada dalam negara ini benar-benar mencerminkan keindahan Islam selaras dengan tujuan Allah mewujudkan institusi keluarga ini. Rasulullah adalah contoh terbaik untuk kita ikuti kerana Baginda pernah bersabda yang bermaksud:

Yang paling baik di antara kamu ialah yang paling baik terhadap isteri-isterinya. Dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap isteri-isteriku.

SUMER : http://www.ikim.gov.my/

GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI